Search This Blog

Tuesday, April 12, 2016

Rakyat Malaysia Dipenjara, Simbah Rakan Sekerja Dengan Air Panas


Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 5:29 PM

PETALING JAYA: Seorang warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara lima tahun tujuh bulan di New Zealand selepas menyimbah kepala rakan sekerjanya dengan air panas.
Menurut New Zealand Herald, Kian-Wee Show, seorang rakyat Malaysia yang menggunakan visa pekerja mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan niat.
Show didakwa menyerang warga China, Bin Wu kerana marah selepas mangsa mengambil sepotong sosej teman wanitanya sehari sebelum insiden tersebut.
Wu menerima rawatan di hospital selama dua minggu akibat melecur dan mungkin memerlukan masa selama dua tahun lagi untuk pulih sepenuhnya.
Kejadian berlaku di kafeteria kakitangan Turners & Growers Packhouse di pinggir bandar Whakatu Hastings, New Zealand pada Julai tahun lalu.
Show mengambil satu baldi air panas sebelum bertindak menyimbah air panas di belakang, leher dan bahu Wu.
Sebaik sahaja mangsa dikejarkan ke bilik pertolongan cemas, seorang pekerja lain bersemuka dengan Show dan memukul kepalanya dengan baldi.
Sejurus insiden itu, Show kembali ke tempat duduknya dan terus menikmati makanannya.
Mangsa melecur kira-kira 15 peratus di anggota badannya.

Lelaki Myanmar Maut Ditetak Dan Dikelar Di Bukit Mertajam


Diterbitkan: Isnin, 11 April 2016 2:35 PM

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik kedai makanan maut akibat dibelasah dan ditetak sekumpulan lelaki di kedainya di Jalan Permatang Batu, Bukit Tengah di sini pagi Isnin.
Warga Myanmar itu yang dikenali sebagai Hasan, 27, ditikam dan dikelar di leher, dada dan tangan dalam pergaduhan dengan tiga lelaki di bahagian hadapan kedainya pada pukul 6.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata, pertengkaran antara lelaki yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu didengar oleh pekerja kedai tersebut yang sedang membancuh air.
"Pekerja itu nampak tiga lelaki memukul dan menikam majikannya dan dia yang juga rakyat Myanmar menjerit meminta tolong menyebabkan mereka melarikan diri.
"Terdapat lima kesan tikaman di dada, kelar di leher dan tangan mangsa dipercayai dengan parang. Selain itu terdapat beberapa kesan lebam di badannya," katanya.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis percaya lelaki itu mengenali penyerangnya. 
Sehubungan itu, polis kini memburu tiga lelaki dipercayai berusia antara 20 dan 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama

Anak Tikam Bapa Tidak Tunai Permintaan


Diterbitkan: Isnin, 11 April 2016 6:39 PM
- Gambar hiasan

BESUT: Ekoran marah kerana permintaannya tidak ditunaikan, seorang anak bertindak menikam bapanya di Kampung Cawat, Kuala Besut, Ahad.

Penganggur berusia 30 tahun itu dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika menikam bapanya dengan pisau pemotong sayur di dada kiri.

Mangsa yang berusia 67 tahun terpaksa dikejarkan ke Hopital Daerah Besut sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi dan suspek ditahan beberapa jam kemudian.

Jambatan Roboh, Jentera Bomba Terhumban Ke Dalam Sungai


Diterbitkan: Isnin, 11 April 2016 9:10 PM

KUDAT: Sebuah jentera bomba terhumban ke dalam sungai selepas jambatan kayu yang mereka lalui di Kampung Korina, dekat sini, roboh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Khairul Azuan Ibrahim berkata dalam kejadian pukul 2 petang itu, anggota bomba berkenaan dalam perjalanan untuk memadamkan kebakaran hutan di kawasan perkampungan Korina.

Bagaimanapun, katanya, ketika melalui jambatan itu, ia roboh menyebabkan jentera bomba turut terhumban ke dalam sungai.

"Mujur kesemua tujuh anggota yang berada dalam jentera berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Inilah antara risiko dihadapi anggota bomba dan penyelamat dalam menjalankan tugas," katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini Isnin.

Penjenayah Bersarang Di Highland Towers Maut Ditembak


Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 2:11 PM

KUALA LUMPUR: Tiga daripada enam suspek bersenjata dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Selangor, ditembak mati awal pagi Selasa selepas mereka cuba menyerang polis dengan senjata tajam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Adnan Abdullah berkata polis melakukan serbuan pada kira-kira 5 pagi ini selepas mendapat maklumat suspek bersembunyi di dalam sebuah bangunan lama kondominium Highland Towers, Hulu Klang, Selangor, dekat sini.
"Dalam serbuan itu, suspek yang bersembunyi di tingkat satu bangunan itu bertindak menyerang anggota polis dengan menggunakan parang dan sabit.
"Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai tiga daripada enam suspek itu," katanya kepada pemberita selepas ditemui di lokasi kejadian di sini, Selasa.
Adnan berkata suspek yang ditembak mati dipercayai berumur lingkungan 30-an dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
"Selain itu, polis turut merampas beberapa senjata serta peralatan samun seperti parang, sabit, pistol angin, sarung tangan, sarung muka dan pemutar skru.
"Tiga lagi suspek berjaya meloloskan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," katanya.
Kesemua mayat dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.
Beliau berkata polis yakin dengan tumpasnya kumpulan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 26 kes samun di beberapa lokasi antaranya Dengkil, Sepang, Gombak dan Kajang yang melibatkan kerugian RM545,900.
Satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers runtuh pada 11 Dis 1993 dan dua lagi bangunan itu kini terbiar dan tidak berpenghuni atas faktor keselamatan.

Pusat Khidmat P. Ramasamy Dibaling Bom


Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 12:24 PM

BUTTERWORTH: Pusat khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy dekat sini dibaling dengan bahan letupan dipercayai molotov cocktail awal pagi Selasa.

Kejadian itu menyebabkan berlaku letupan dan kebakaran kecil di kaki lima serta pintu gelangsar besi pusat khidmat itu yang terletak di sebuah premis dua tingkat di Taman Chai Leng.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari seorang pekerja pusat khidmat berkenaan kira-kira pukul 3 pagi.

"Bahan (letupan) yang dibaling itu meletup di hadapan pusat khidmat itu.

Terdapat kesan jelaga hitam di kaki lima dan pintu besinya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihak polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan itu bagi mengesan pihak yang terlibat dengan kejadian tersebut.

Rusli meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi  berhubung kejadian itu dan polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta  menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu pengurus pusat khidmat tersebut R.Subramaniam, 60, berkata beliau terdengar bunyi letupan sebelum ternampak api di bahagian pintu masuk tingkat bawah pejabat berkenaan.

"Saya menghubungi rakan saya untuk beritahu kejadian itu dan dia membuat laporan di Balai Polis Chai Leng Park. Kami turut memberitahu kejadian itu kepada Ramasamy," katanya.

AIM Rugi RM8,500 Dalam Samun Bersenjata


Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 2:08 PM

KEMAMAN: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerugian kira-kira RM8,500 dalam kejadian samun bersenjata di Meraga Beris, Kijal di sini, Isnin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika 50 sahabat AIM sedang melakukan proses bayaran mingguan kepada agensi itu di Bangunan Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) Meraga Beris.
"Tiba-tiba muncul seorang lelaki bersenjatakan parang panjang sambil melibas parang itu sebelum merampas tiga beg tangan yang mengandungi wang tunai.
"Suspek bertubuh kurus, tinggi, berkulit sawo matang dan memakai topi keledar bercermin serta menutup mulut dengan kain.
"Lelaki itu langsung tidak bersuara sebaliknya hanya melibas parang untuk menakutkan mereka yang ada dalam bangunan itu sebelum melarikan diri bersama seorang rakannya yang menunggu dengan motosikal di luar bangunan itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Pembayaran balik pembiayaan pinjaman sahabat AIM dilakukan setiap minggu dan ia adalah proses biasa dilakukan agensi tersebut.
Mohd Said berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai melarikan diri menuju ke Kijal.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

Lebih 400 penunjuk perasaan Democracy Spring ditahan

SELASA, 12 APRIL 2016 @ 7:42 AM

WASHINGTON: Lebih 400 penunjuk perasaan ditahan kerana menyertai demonstrasi haram di US Capitol, menurut polis di sini.
Demonstrasi diadakan bagi menuntut Kongres mengambil tindakan segera menamatkan rasuah wang dalam politik dan memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, menurut penganjur Democracy Spring dalam laman webnya. - Reuters


ANTARA penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi haram di US Capitol, Amerika Syarikat, hari ini bagi menuntut Kongres mengambil tindakan segera menamatkan rasuah wang dalam politik dan memastikan pilihan raya yang bebas dan adil. - Sumber wwmt.com

Tiga maut termasuk dua rentung kereta bertembung



Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin


KEADAAN kereta yang terbakar di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, petang tadi. - Foto ihsan pembaca
PASIR MAS: Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain sebelum terbakar di Kampung Gelang Mas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, dua mangsa yang menaiki kereta PROTON Iswara Aeroback ditemui rentung di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang memandu PROTON Wira meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Suhaimi Muhammad Nawi, 19, dan Muhd Faris Zulkifle, 23, manakala seorang lagi belum diketahui identitinya.
Mayat mangsa dihantar ke HPM untuk bedah siasat.
Difahamkan, kereta PROTON Iswara dikatakan dalam perjalanan dari Tumpat menghala ke Pasir Mas dikatakan dipandu laju dan hilang kawalan setiba di lokasi kejadian sebelum bertembung PROTON Wira lalu terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim, berkata sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dan mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan kes kepada polis.

APMM tahan 2 tekong, 11 awak-awak asing

SELASA, 12 APRIL 2016 @ 6:53 PM

Oleh Shamsudin Husin bhkt@bh.com.my PENGARAH Maritim APMM Kemaman, Leftenan Komander Mohd Marmizi Md Nor memeriksa hasil tangkapan bot nelayan asing yang ditahan pada kedudukan 80 batu nautika dari Kuala Kemaman, hari ini. CHUKAI: Dua buah bot nelayan asing bersama dua orang tekong dan 11 awak-awak yang sedang asyik menangkap ikan di perairan negara kira-kira 80 dan 82 batu nautika dari Kuala Kemaman ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), semalam. Sepasukan anggota APMM terdiri daripada tiga pegawai dan sembilan anggota ketika menjalani rondaan rutin mengesan sebuah bot nelayan asing berada dalam keadaan mencurigakan lalu menghampirinya dan melintas bot terbabit yang cuba lari bersama hasil tangkapan mereka. Pengarah Maritim APMM Kemaman, Leftenan Komander Mohd Marmizi Md Nor berkata, bot pertama berjaya ditahan pada kedudukan 80 batu nautika dari Kuala Kemaman pada jam 2.35 petang dan bot kedua berjaya ditahan semalam, kira-kira sejam kemudian. "Semua mereka yang ditahan berumur antara 16 hingga 50 tahun, dipercayai warga Vietnam berdasarkan loghat dan bahasa kerana mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dibawa ke Jeti Pangkalan APMM Teluk Kalong untuk tindakan lanjut. "Hasil pemeriksaan ke atas dan dalam dua bot terbabit, mendapati 40 kilogram ikan, sotong kering (40 kilogram) dan peralatan menangkap ikan bernilai kira-kira RM400,000," katanya pada sidang media di Jeti Pengkalan APMM Teluk Kalong, Kemaman, petang tadi. Mohd Marmizi berkata, semua nelayan asing terbabit akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985. "Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM1 juta, manakala awak-awak RM500,000 setiap orang," katanya. Beliau berkata, pada 5 April lalu, empat tekong, 24 awak-awak bersama empat bot sudah ditahan APMM di kawasan yang hampir sama. Katanya, bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara, APMM akan melakukan pemantauan secara berterusan di perairan Pantai Timur.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/143111

58,587 penagih dadah ditahan dalam tempoh 4 bulan

SELASA, 12 APRIL 2016 @ 7:03 PM

 Oleh Nurul Fhatihah Zakinan fhatihah@bh.com.my MELAKA: Perangkaan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan seramai 58,587 tangkapan penagih dadah mengikut pelbagai kesalahan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini. Timbalan Komander Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Asisten Komisioner, Baharom Othman, berkata tangkapan berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan penagihan, pengedaran dan memiliki dadah antaranya mengikut Seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Beliau berkata, PDRM menerusi pasukan jabatan berkenaan menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengisytiharkan 2016 sebagai tahun memerangi masalah penagihan dan pengedaran dadah secara besar-besaran di seluruh negara. "Dalam usaha ini, kita (STING) membantu jabatan PDRM seperti Jabatan Siasatan Jenayah serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri melaksanakan operasi di sarang penagihan dadah. "Menerusi Ops Sarang yang dijalankan secara bersepadu bersama mereka, kita berusaha 'membersihkan' sarang penagih ini dan mengisytiharkan sebagai kawasan putih selepas dihapuskan sepenuhnya," katanya. Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu membabitkan 119 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan PDRM dan AADK negeri itu di Krubong, di sini, hari ini. Dalam operasi bermula jam 4 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu seramai 114 orang dipercayai penagih termasuk seorang wanita ditahan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut akta sama. Baharom berkata, semua yang ditahan itu dihantar ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh di sini dan direman sehingga 14 hari. Katanya, Ops Sarang yang dijalankan sejak tahun 2015 itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh negara.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/143115

Mayat buruh asing tertimbus pasir ditemui



Oleh S Anand Kumar



MAYAT pekerja warga Indonesia yang tertimbus akibat runtuhan tanah di sebuah tapak perlombongan pasir di Linggiu, Bandar Tenggara dekat Kota Tinggi, Jumaat lalu ditemui petang tadi. - Foto ihsan PDRM
KOTA TINGGI: Mayat seorang pekerja warga Indonesia yang tertimbus akibat runtuhan tanah di sebuah tapak perlombongan pasir di Linggiu, Bandar Tenggara dekat sini, Jumaat lalu ditemui petang tadi.  
Mayat Udin Nurudin, 45, dikeluarkan kira-kira jam 2.20 petang, oleh lima pekerja syarikat perlombongan pasir berkenaan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan menggunakan mesin pengorek tanah. 
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi mayat pertama yang juga rakan senegara mangsa, Saeful Amir, 30, ditemui pada hari kejadian.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi pada jam 3 petang tadi untuk proses bedah siasat dan hasil laporan menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala," katanya. 
Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi Jumaat lalu, mayat Saeful ditemui tersepit di rantai besi mesin penyedut pasir sebelum dibawa keluar dengan bantuan beberapa pekerja lain di tapak lombong pasir berkenaan. 
Bagaimanapun, SAR tidak dapat diteruskan dan diberhentikan pada jam 12 tengah hari, Sabtu lalu berikutan berlaku pergerakan tanah di tapak perlombongan berkenaan.

Lelaki mati tergantung dalam bilik air hotel


SELASA, 12 APRIL 2016 @ 6:24 PM

Oleh S Anand Kumar
anand@bh.com.my





JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditemui mati di bilik air sebuah hotel di sini, dalam keadaan tergantung dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata siasatan polis di lokasi kejadian turut tidak menemui sebarang kecederaan pada mangsa berusia 56 tahun beralamat di Taman Pelangi, dekat sini.

"Polis juga menemui tali dan parang dalam sebuah bungkusan plastik yang diletakkan atas meja dalam bilik berkenaan dan juga tiada sebarang nota ditemui.

"Kira-kira jam 10.30 pagi tadi, pekerja hotel yang bertugas membersihkan bilik beberapa kali mengetuk bilik mangsa, namun tidak dibuka. Apabila pintu dibuka, mereka mendapati mangsa sudah tidak lagi bernyawa dalam bilik air," katanya.

Sulaiman berkata, siasatan polis juga mendapati mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan semalam, sebelum keluar ke rumahnya pagi tadi.

"Mangsa kemudian menaiki teksi ke hotel dari rumahnya kira-kira jam 9 pagi tadi dan keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa lelaki berkenaan tidak mempunyai apa-apa masalah termasuk hutang.

"Mangsa dipercayai bunuh diri dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif kejadian," katanya.

Dua pegawai kanan Korea Utara belot


12 APRIL 2016

Dua pegawai kanan Korea Utara belot

 Dua pegawai kanan Korea Utara belot Seorang lelaki mengambil gambar di bawah poster kempen calon pilihan raya Korea Selatan yang dipamerkan di Cheonggye. - Foto: AFP
SEOUL - KOREA SELATAN. Dua pegawai kanan Korea Utara termasuk seorang kolonel tentera yang pakar dalam pengintipan terhadap Seoul, dilaporkan berpaling tadah ke Korea Selatan tahun lalu.

Berita pengkhianatan itu berikutan pengumuman Jumaat lalu oleh Seoul bahawa 13 pekerja di restoran dikendalikan Pyongyang di sebuah negara ketiga yang tidak didedahkan telah berpaling tadah sebagai satu kumpulan.

Semalam, Kementerian Penyatuan dan Pertahanan Korea Selatan memberitahu, seorang tentera berpangkat kolonel yang berkhidmat di Biro Agung Reconnaissance telah belot tahun lalu dan diberi suaka politik.

Seorang lagi diplomat kanan yang dihantar ke sebuah negara Afrika turut berpaling tadah tahun lalu bersama keluarganya.

Parti pembangkang utama, Parti Minjoo bagaimanapun menyelar berita pendedahan berkenaan dan menuduh Presiden Park Geun-hye ingin mempengaruhi jumlah peratusan pengundi konservatif menjelang pilihan raya Parlimen esok.

Kedua-dua kementerian menafikan dakwaan bahawa pendedahan dilakukan atas sebab politik dan menyifatkan ia sebagai demi kepentingan awam. - Reuters

Maut selepas bergaduh rebut tempat duduk


12 APRIL 2016
Maut selepas bergaduh rebut tempat duduk

 Maut selepas bergaduh rebut tempat duduk Gambar hiasan.
SAN FRANCISCO - AMERIKA SYARIKAT. Seorang warga emas, 75 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung selepas bergaduh dengan seorang wanita berebut tempat duduk di dalam bas.

Polis melancarkan siasatan berhubungan kematian lelaki berkenaan

Pegawai polis, Giselle Talkoff memberitahun San Francisco Chronicle, lelaki yang namanya tidak didedahkan oleh pejabat pemeriksaaan perubatan, meninggal dunia ketika di dalam bas Muni, Kearny, Geary Road.

"Lelaki itu dipercayai mendapat serangan jantung dan meninggal dunia hanya beberapa minit selepas bertengkar dengan seorang wanita berusia 53 tahun kerana berebut tempat duduk semasa berada di dalam bas," katanya.

Tambah Giselle lagi, kejadian itu masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. 

Maut dilanggar kereta api ketika selfie


12 APRIL 2016

Maut dilanggar kereta api ketika selfie

 Maut dilanggar kereta api ketika selfie Foto menunjukkan seorang gadis dilanggar kereta api ketika sedang mengambil foto selfie.
FOSHAN - CHINA. Seorang gadis maut selepas dilanggar kereta api ketika sedang mengambil foto selfie di tepi landasan, 9 April lalu.

Menurut laporan Dailymail UK, seorang pelancong secara tidak sengaja merakam detik terakhir mangsa yang berusia 19 tahun.

Berdasarkan beberapa foto, gadis tersebut dilihat sedang mengambil gambar selfie di tepi landasan sebelum sebuah kereta api melanggarnya.

Mangsa yang dijumpai terbaring di bahagian semak kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan juga mendapati mangsa tidak berdiri di atas landasan yang terletak dengan lokasi pelancongan ketika kejadian.

Penduduk tempatan memberitahu, terdapat papan amaran supaya pelancong tidak berada terlalu dekat dengan landasan kereta api dan majoriti pelancong tidak mengendahkannya.

PM Britain ada akaun rahsia






PENUNJUK perasaan membawa sepanduk menuntut Cameron meletakkan jawatan berarak di Whitehall, London petang kelmarin. - REUTERS

LONDON – Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam mengaku tersilap dalam menguruskan kontroversi melibatkan kepentingan perniagaan luar pesisir milik bapanya selepas kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabatnya bagi menuntut beliau meletak jawatan.

Cameron berkata, beliau akan mendedahkan taksiran cukai tahunannya dan akan memikul tanggungjawab berhubung isu tersebut.

Perdana Menteri itu dan pejabatnya di Downing Street telah mengeluarkan empat kenyataan akhbar melibatkan pendedahan Kertas Panama sebelum mengaku pada Khamis lalu bahawa beliau pernah memegang saham dana pelaburan luar pesisir milik mendiang bapanya di Kepulauan Bahamas.

“Ini bukan minggu yang baik. Saya tahu bahawa saya sepatutnya menguruskan isu ini dengan lebih baik.

“Janganlah salahkan Pejabat Perdana Menteri ataupun penasihat-penasihat saya. Sebaliknya, salahkan saya,” kata Cameron pada forum Parti Konservatif di London.

Sementara itu, beratus-ratus penunjuk perasaan, kebanyakannya memakai topi Panama berkumpul di luar Downing Street pada petang kelmarin untuk menuntut Cameron meletak jawatan.

Mereka membawa sepanduk tertera ayat ‘Apa yang berlaku di Panama, tidak kekal di Panama’ sambil berarak di tengah kota London menuju ke Dataran Trafalgar. Kehadiran kumpulan penunjuk perasaan itu turut menyebabkan lalu lintas terhenti.

Cameron pada Khamis lalu, mengaku beliau dan isterinya pernah mempunyai pegangan dalam syarikat luar pesisir milik bapanya, Blairmore Holdings.

Mereka membeli pegangan itu pada harga £12,497 (RM69,145) pada 1997 dan menjualnya pada harga £31,500 (RM174,288) empat bulan sebelum Cameron menjadi Perdana Menteri Britain pada 2010. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz45bIRGeOy
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi 6.6 magnitud gegar Asia Selatan






BEBERAPA sukarelawan membantu seorang kanak-kanak lelaki yang cedera akibat gempa bumi di Peshawar, Pakistan kelmarin. - Agensi

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh apabila satu gempa bumi kuat menggegarkan sebahagian kawasan di rantau Asia Selatan kelmarin, kata beberapa pegawai.

Tragedi itu menyebabkan lima orang terbunuh di beberapa kawasan terpencil di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan sementara sekurang-kurangnya 29 rumah mengalami kerosakan, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara.

Seorang lelaki turut terbunuh di sebuah kawasan pergunungan di bahagian utara daerah Gilgit-Baltistan, utara Pakistan akibat dihempap batu.

Gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter itu yang turut menggegarkan negara jiran, Afghanistan berlaku pada kedalaman 210 kilometer (km), pukul 2.58 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Gegaran itu turut dirasai di Kabul yang terletak kira-kira 282km dari pusat gempa bumi di Islamabad.

Malah, gempa itu turut menyebabkan beberapa bangunan di New Delhi, India bergegar sementara sistem kereta api metro terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Sementara itu, pihak berkuasa berkata, beberapa gegaran turut dirasai di ibu kota Tajikistan, Dushanbe yang terletak bersempadan dengan utara Afghanistan.

Pada Oktober tahun lalu, satu gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud yang menggegarkan Pakistan telah Afghanistan dan me–ragut hampir 4,000 nyawa. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz45bI0fhEQ
Hakcipta terpelihara 

Api misteri sambar kotak fius





Oleh SAHLIZAH MOHAMED

ANGGOTA bomba melihat kotak fius rumah seorang penduduk yang terbakar akibat kejadian api misteri di Taman Rima Gamelan, Bercham, Ipoh semalam.

IPOH – Kejadian api misteri yang mengganggu sebuah keluarga di Taman Rima Gamelan, Bercham di sini semakin membimbangkan kejiranan di kawasan berkenaan apabila mula merebak ke rumah penduduk lain.

Dalam kejadian terbaharu semalam, sebuah kotak fius di salah sebuah rumah penduduk di situ menjadi sasaran apabila dipercayai terbakar secara tiba-tiba.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu mengejutkan penghuni rumah berkenaan, S. Ratha, 40, apabila dia mendengar bunyi letupan di luar rumahnya.

Menurut Ratha, dia yang merasa cemas keluar rumah sebelum terlihat percikan api pada kotak suis itu.

“Saya merasa pelik bagaimana kotak fius rumah boleh terbakar secara tiba-tiba.

“Mujurlah kebakaran tidak merebak ke bahagian lain dan api berjaya dipadamkan bomba yang tiba kemudian,” ujarnya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz45bHppCIQ
Hakcipta terpelihara 

Dua bersaudara maut di LPT2







Keadaan lori selepas nahas di Kilometer 282.6 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran dengan susur masuk Plaza Tol Chukai petang semalam.

KEMAMAN – Dua bersaudara maut apabila sebuah lori yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilo­meter (KM) 282.6 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran dengan susur masuk Plaza Tol Chukai petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu Jailani Jusoh, 26, dan sepupunya, Muhamad Safwan Abu Bakar, 18, maut apabila lori tiga tan yang dipandu oleh Jailani dikatakan hilang kawalan sebelum terbalik.

Kedua-dua mang­sa berasal dari Kampung Manir, Kuala Terengganu dan bekerja di sebuah koperasi di Bandar Kuala Terengganu.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang dari mengambil bara­ngan elektrik untuk kegunaan koperasi tersebut di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim ketika dihubu­ngi berkata, kejadian berlaku di satu laluan lurus dan ketika kejadian keadaan jalan tidak basah dan keadaan trafik tidak sibuk.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz45bHc1lbJ
Hakcipta terpelihara 

Remaja 14 tahun dalang curi kenderaan






INILAH Proton Iswara yang terlibat dalam jenayah curi kenderaan yang dirampas dalam serbuan di Taman Moyan Utama, Batu Kawa, Kuching kelmarin.

KUCHING – Seorang remaja berusia 14 tahun antara empat lelaki yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam jenayah mencuri kenderaan dalam satu serbuan di sebuah rumah kongsi di Taman Moyan Utama, Batu Kawa di sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, polis turut menemui tiga kenderaan curi iaitu dua kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Mazda serta sebuah motosikal Honda Wave yang diletakkan di hadapan sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Dev Kumar berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan itu bergerak aktif melakukan kegiatan jenayah di sekitar daerah Bau, Padawan, Kota Samarahan dan Kuching.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz45bHN5MQt
Hakcipta terpelihara 

Tentera dipenjara memandu laju





Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN


MELAKA – Mahkamah Majistret di sini semalam mengarahkan seorang anggota tentera dipenjara dua hari dan didenda RM13,000 atas pertuduhan memandu secara membahaya hingga menyebabkan kemalangan tahun lalu.

Majistret Mohd. Asri Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd. Yushaszuan Mohd. Yusof (gambar), 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh mahkamah terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang memandu kereta jenis Proton Wira didakwa memandu secara bahaya.

Bagi pertuduhan kedua, dia yang memandu kenderaan sama didakwa telah menyebabkan kemalangan ke atas seorang penunggang motosikal.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada hari, tempat dan masa sama iaitu di Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini, pukul 2.30 pagi, 16 Ogos tahun lalu.

Kes didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 dan Seksyen 43(1) akta sama (Pindaan) 1999 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz45bH3CAsK
Hakcipta terpelihara 

Barang kemas dikebas dua ‘ustaz’





Oleh FIRDAUS HASSAN



Sampul surat yang sepatutnya berisi barang kemas hanya mengandungi tisu, pasir, batu, kayu dan besi.

TUMPAT – Seorang suri rumah terpaksa berputih mata selepas 13 barang kemas bernilai ratusan ribu ringgit ‘bertukar’ menjadi pasir, batu, kayu, tisu dan besi selepas mendakwa berjumpa dua ‘ustaz’ di Kampung Kok Majid di sini pada Sabtu lalu.

Sebelum kejadian pada pukul 10.30 pagi, mangsa, Jamilah Ismail, 51, pergi ke pasar tani di kampung tersebut untuk membeli barangan dapur.

Namun, kata wanita itu, semasa dia berhenti di sebuah gerai kuih, bahunya ditepuk dan diberi salam oleh seorang lelaki berperwatakan seperti ustaz.

Lelaki yang berjubah dan berserban berusia lingkungan 40-an itu memberitahu, dia datang dari Ipoh, Perak dan ingin bertemu seseorang untuk menyampaikan sedikit derma sebelum dia beredar dari gerai kuih itu.

Sejurus selepas itu, cerita Jamilah, muncul lelaki kedua yang lebih muda dengan memakai kurta dan berserban sebelum lelaki itu turut menepuk bahunya.

Kurta ialah baju tradisional lelaki kaum India.

“Sambil menepuk bahu saya, lelaki berpakaian kurta itu, memberitahu, ‘lelaki alim’ (lelaki pertama) meminta dia memberi satu ‘barang’ kepada saya,” cerita ibu kepada empat orang anak itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Beluru di sini semalam.

Lelaki yang turut digambarkan Jamilah berperwatakan alim tersebut kemudian meminta mangsa mengikut mereka ke satu kawasan lengang namun mangsa menolak dengan alasan dia tidak mengenali mereka.

Jamilah memberitahu, kedua-dua ‘ustaz’ itu kemudian membawanya duduk di sebuah kedai makan yang belum dibuka dengan memberitahu mereka mahu membantu suaminya, bekas seorang kontraktor yang menghidap pelbagai penyakit termasuk kanser sejak enam tahun lalu.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz45bGYHhDP
Hakcipta terpelihara 

Suspek kes tembak ketua forensik nahas MH17 ditahan


12 April 2016 12:25 PM
Suspek berkaitan tembak mati pegawai forensik mh17 ditahan


Suspek berkaitan tembak mati pegawai forensik mh17 ditahan
UTUSAN
KIEV 12 April – Pihak berkuasa Ukraine semalam menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh ketua pasukan forensik yang terlibat dalam siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 yang ditembak jatuh di timur negara ini, kira-kira dua tahun lalu.
Menurut Timbalan Peguam Negara Ukraine, Anatolii Matios, lelaki itu ditahan berhubung dakwaan cubaan membunuh Pengarah Institut Kajian Saintifik Forensik, Oleksandr Ruvin yang cedera ditembak oleh penyerang tidak dikenali pada 18 November tahun lalu.
Jelas Matios, pihak berkuasa percaya cubaan membunuh Ruvin bertujuan menghalang mangsa meneruskan siasatan nahas pesawat MH17 yang dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
“Perbuatan tersebut dipercayai dirancang oleh kumpulan penjenayah yang berasal dari wilayah Crimea dan Donestk,” katanya seperti dilaporkan oleh portal 9news.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suspek-kes-tembak-ketua-forensik-nahas-mh17-ditahan-1.248639#sthash.Pq5A2D5s.dpuf

2,000 suspek penjenayah ditahan menjelang Pesta Songkran


12 April 2016 1:31 PM
2,000 suspek penjenayah ditahan menjelang Pesta Songkran



Pesta Songkran - BERNAMA

BANGKOK 12 April – Pihak polis Thailand menahan lebih 2,000 orang yang mempunyai rekod jenayah lampau menjelang sambutan festival tahun baharu negara ini yang dikenali sebagai Pesta Songkran, lapor portal Bangkok Post hari ini.
Laporan itu yang memetik kenyataan timbalan ketua polis, Winai Thongsong berkata, penahanan tersebut dibuat bagi mengekang individu berkenaan mengulangi aktiviti jenayah mereka termasuk mereka yang pernah terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, semasa pesta berkenaan berlangsung.
Jelas beliau, kesemua suspek ditahan antara 1 April dan 10 April kerana dikehendaki atas dakwaan mencuri, penggubahan wang haram, penipuan dan jenayah berkaitan dadah.
“Kebanyakan suspek ditahan di Bangkok dan beberapa suspek lain bersama kenderaan mereka dirampas di kawasan selatan Thailand,” katanya.
Pesat Songkran akan bermula esok sehingga 15 April ini. – DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/2-000-suspek-penjenayah-ditahan-menjelang-pesta-songkran-1.248656#sthash.bnTQfwHA.dpuf

Drone sesat 
pecah masuk pejabat


12 April 2016 1:02 AM
Drone yang merempuh tingkap pejabat David Perel sehingga mencederakan

Drone yang merempuh tingkap pejabat David Perel sehingga mencederakan kepalanya, baru-baru ini. AGENSI
CAPE TOWN 11 April – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas didatangi sebu­ah drone yang ‘sesat’ di peja­batnya se­hing­ga men­da­tangkan ke­cederaan di kepalanya, ba­ru-baru ini.
Menurut The Huffington Post, David Perel yang bekerja sebagai pereka aplikasi Internet memberitahu, insiden tersebut berlaku ketika dia sedang membuat kerja di tempat duduk sebelum tingkap pejabatnya pecah akibat dirempuh drone tersebut.
“Pada awalnya saya menyangka bunyi kuat itu adalah bom yang meletup di luar bangunan,” ujarnya yang menceritakan insiden tersebut di Instagram miliknya.
Katanya, drone itu masuk ke ruang pejabatnya menerusi tingkap yang pecah, sebelum mengenai kepalanya, mengakibatkan dia mengalami lebam.
Sejurus insiden tersebut berlaku, Perel terus mengeluarkan kad memori dari drone tersebut dan menyunting semula rakaman pelanggaran berkenaan sebelum memuat naiknya di laman sosial.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/drone-sesat-8232-pecah-masuk-pejabat-1.244635#sthash.t37bS6PY.dpuf

Letupan kuil: 6 hadapi pertuduhan awal


12 April 2016 12:46 AM

Orang ramai memerhatikan kelongsong bunga api yang digunakan dalam


Orang ramai memerhatikan kelongsong bunga api yang digunakan dalam pertunjukan bunga api yang mencetuskan kebakaran dan letupan di Kuil Puttingal Devi di bandar Paravur di Kerala, selatan India, kelmarin. REUTERS
KOLLAM, INDIA 11 April – Polis India hari ini mengemukakan pertu­duhan awal terhadap enam individu berhubung kejadian letupan dan kebakaran dalam pertunjukan bunga api yang mengorbankan 110 orang di Kuil Puttingal Devi di bandar Paravur di Kerala, selatan India, awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Cawangan Jenayah Kerala, S. Ananathakrishnan, mereka yang didakwa terdiri daripada tiga ahli jawatankuasa kuil dan tiga kontraktor pertunjukan bunga api.
Mereka didakwa atas pertu­duhan awal termasuk dipersalahkan atas pembunuhan, namun tidak dituduh membunuh.
“Kes berkenaan telah didaftarkan semalam,’’ katanya.
Bagaimanapun keenam-enam individu itu masih belum ditahan, malah polis membe­ritahu, seorang daripada mereka berada di hospital, manakala lima lagi masih hilang.
Pihak polis juga memberitahu, pihaknya sedang menyoal siasat lima pekerja kuil yang terlibat dalam me­lakukan pertunjukan bunga api, namun mereka masih belum didakwa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi semalam, seramai 110 orang terkorban apabila sebatang mercun terjatuh dalam stok mercun simpanan menyebabkan letupan kuat dan memusnahkan bangunan kuil berkenaan.
Saksi memberitahu, letupan kuat itu menyebabkan konkrit runtuh dan menghempap orang ramai yang pa­nik dan bersesak-sesak ­untuk me­nyaksikan pertunjukan api tersebut.
Kira-kira 15,000 pengunjung berada di kuil itu untuk meraikan Festival Tuhan Kali.
Menurut penduduk tempatan, Shiva Kumar, kebanyakan pengunjung yang berkeluarga telah me­ninggalkan pertunjukan itu sebelum letupan berlaku.
Katanya, majoriti mangsa terdiri daripada golongan muda yang bersaing untuk melancarkan bunga api yang mengeluarkan bunyi paling kuat. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/letupan-kuil-6-hadapi-pertuduhan-awal-1.244569#sthash.AFHQf92e.dpuf

Terselamat kerana tulisan 'help'



10 APRIL 2016Terselamat kerana tulisan 'help'
Terselamat kerana tulisan 'help'

Tiga mangsa diselamatkan dari sebuah pulau.
HONOLULU - AMERIKA SYARIKAT. Tiga orang lelaki yang dilaporkan hilang semenjak tiga hari lepas ditemui di sebuah pulau, semalam.
Menurut WCNN, sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat ternampak perkataan 'help' (tolong) yang disusun menggunakan daun pokok palma di pulau kosong tersebut.
Ketiga-tiga mangsa disyaki hanyut ke pulau bernama Fanadik yang terletak beberapa ratus batu di utara Papua New Guinea selepas bot kecil mereka dipukul ombak.
"Mereka bernasib baik kerana memakai jaket keselamatan dan mampu berenang ke pantai," kata jurucakap pengawal pantai, Melissa McKenzie.
Ketika dikesan, kesemua mangsa sedang melambai ke udara menggunakan jaket keselamatan yang berwarna oren.
Selepas dua jam, sebuah bot kecil menyelamatkan kesemua mangsa dan membawa mereka ke hospital.