Search This Blog

Friday, April 1, 2016

Jumpa janin dalam lubang tandas


PONTIAN 31 Mac – Seorang kakitangan Pusat Kesihatan Ayer Baloi di sini yang sedang mencari punca saluran tandas tersumbat terkejut apabila menemukan satu janin bayi lelaki dalam lubang tandas di pusat kesihatan itu semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, Pembantu Kesihatan Awam, Sufaat Sahid cuba menyelesaikan masalah tersebut selepas menerima aduan orang awam tentang tandas itu yang tersumbat tetapi tidak menyangka menemukan janin berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abdul Rahman berkata, janin yang ditemukan tersebut berada dalam keadaan sempurna, mempunyai tangan dan kaki dianggarkan berusia kira-kira enam bulan.
“Seorang doktor yang bertugas di Pusat Kesihatan Ayer Baloi, Dr. Norfaiz Abd. Jalil mengesahkan objek yang ditemui dalam lubang tersebut adalah janin sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ayer Baloi.
“Hasil siasatan yang dijalankan, janin tersebut ditemui dalam lubang tandas keluasan kira-kira 196cmx95cm. Tiada sebarang kesan darah ditemukan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zakaria berkata, pusat kesihatan tersebut tidak mempunyai pengawal keselamatan dan keadaan itu membolehkan orang awam bebas keluar masuk ke dalamnya termasuk kemungkinan melakukan perbuatan membuang janin tersebut.
Katanya, janin itu dihantar ke Hospital Pontian untuk pemeriksaan selanjutnya dan kes disiasat dibawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jumpa-janin-dalam-lubang-tandas-1.207191#sthash.SWRgUgnY.dpuf

'Bukan saya potong sendiri, kawan suruh'


MUHAMMAD ALIF SHUKRAN ALIAS (tengah) yang mendakwa sekumpulan murid memaksanya menggunting lidahnya

MUHAMMAD ALIF SHUKRAN ALIAS (tengah) yang mendakwa sekumpulan murid memaksanya menggunting lidahnya dalam kejadian di sebuah sekolah baru-baru ini, leka bermain dengan rakan-rakan di rumahnya di Bukit Tinggi, Klang, semalam.
KLANG 31 Mac – Murid tahun dua yang dipaksa memotong lidahnya sendiri, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, mengakui dia melakukannya tanpa kerelaan sendiri dan dipaksa oleh rakannya.
“Bukan saya potong sendiri, kawan suruh,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan tempat tinggalnya di Bukit Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat hari ini mengesahkan siasatan menyeluruh oleh polis terhadap kes tersebut mendapati mangsa tidak dibuli.
Sebaliknya beliau menjelaskan, kecederaan yang dialami oleh mangsa berpunca daripada kecuaian sendiri.
Dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah rendah di sini yang disifatkan paling tragis pernah berlaku pada 24 Mac lalu, Muhammad Alif Shukran dipaksa memotong lidahnya sendiri.
Dia mendakwa, dipaksa berbuat demikian oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama ketika waktu rehat.
Menurut Muhammad Alif Shuk­ran, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang semasa dia ke tandas berseorangan.
Ketika hendak keluar dari tandas, dia ditahan oleh murid-murid tersebut yang memaksanya menggunting lidah sendiri.
Akibat kejadian itu, lidahnya putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bukan-saya-potong-sendiri-kawan-suruh-1.207192#sthash.y8MxiAVb.dpuf

Sindiket gores: Hidup mewah, 
kaut RM1.8 juta daripada 47 mangsa


Sindiket gores dan menang tumpas

Roslan Abd. Wahid
Roslan Abd. Wahid
KUALA LUMPUR 31 Mac – Gores gambar Porsche, dapat barangan elektrik.
Itu antara penipuan yang dilakukan sekumpulan anggota sindiket gores dan menang yang hidup mewah sehingga mampu membeli banglo berharga RM2.5 juta dan beberapa kereta mewah bernilai RM1 juta selepas melakukan jenayah ter­sebut dua tahun lalu.
Modus operandi mereka mudah. Bawa mangsa yang berminat ke pejabat dan memilih kertas untuk digores.
Semua kertas yang digores mangsa akan menunjukkan gambar ke­reta mewah seperti Porsche, Mercedes-Benz dan Audi.
Mangsa yang teruja kemudian diminta mengeluarkan wang proses mengeluarkan kereta mewah tersebut di mesin pengeluaran automatik (ATM) bank dengan diiringi ahli sindiket biasanya antara RM5,000 hingga RM50,000.
Selepas menyerahkan wang, mangsa disuruh pulang dan menunggu ketibaan kereta dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan.
Mangsa menyedari ditipu selepas hadiah yang diterima hanya­lah barangan elektrik murah membuat laporan polis.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang melakukan risikan selepas menerima 47 laporan daripada mangsa yang mengalami kerugian keseluruhannya mencecah RM1.8 juta akhirnya berjaya menjejak 13 anggota sindiket tersebut.
Kesemua suspek diberkas dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor bermula pukul 3.30 pagi hingga 11 pagi ini.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, serbuan pertama, pihaknya telah menahan enam orang iaitu empat lelaki dan dua wanita di sebuah kedai makan di Jalan Prima, Kepong.
Menurutnya, susul­an penahanan tersebut, pihaknya seterusnya mem­buat satu lagi serbuan ke atas sebuah kedai makan di Taman Usahawan, Ban­dar Puteri Puchong, dekat sini dan menahan tujuh lagi anggota sindiket terbabit.
“Hasil siasatan telah membawa kita kepada sebuah rumah di Lorong Congkak, Shah Alam dekat sini sebelum menemukan beberapa ken­deraan me­wah dipercayai milik salah seorang anggota sindiket terbabit.
“Dalam pada itu, kita dapati sindiket ini turut telah memperdaya 35 orang dengan membabitkan nilai RM1.4 juta pada tahun lalu dan 12 orang de­ngan kerugian RM400,000 dalam tempoh awal tahun ini sehingga kini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-gores-hidup-mewah-8232-kaut-rm1-8-juta-daripada-47-mangsa-1.207239#sthash.qds1ZZnh.dpuf

Lima direman kes seleweng pinjaman Mara RM2.5j


Lima ahli perniagaan (wajah bertutup) direman tujuh hari bermula
Lima ahli perniagaan (wajah bertutup) direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan dokumen bagi mendapatkan pinjaman Mara berjumlah RM2.5 juta.
PUTRAJAYA 31 Mac – Lima ahli perniagaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes sindiket penyelewengan dan pemalsuan dokumen pinjaman perniagaan Mara bernilai RM2.5 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman sehingga 6 April ini selepas kelima-lima lelaki itu yang berpakaian lokap dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini pada pukul 9.55 pagi.
Kesemua individu tersebut berusia 38 sehingga 48 tahun telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang pada malam tadi.
Menurut jurucakap SPRM, penahanan kelima-lima lelaki itu ekoran aduan oleh pegawai Mara Daerah Klang, Selangor yang mendakwa wujudnya sindiket penyelewengan dan pemalsuan dokumen permohonan pinjaman perniagaan kepada agensi tersebut antara tahun 2013 sehingga 2014.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, Mara terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit kerana dana tersebut sepatutnya digunakan untuk pinjaman perniagaan telah diseleweng bagi tujuan lain.
“Menerusi modus operandi ber­kenaan, mereka didakwa telah me­lakukan beberapa pinjaman bernilai antara RM200,000 sehingga RM350,000 untuk setiap transaksi.
“Walau bagaimanapun, mereka menggunakan pinjaman tersebut untuk tujuan lain dan bukannya se­perti tercatat dalam dokumen permohonan kepada Mara,” katanya.
Ujarnya, SPRM telah menyita sebuah kereta pacuan empat roda dan sebuah motosikal berkuasa tinggi ketika kelima-lima lelaki itu ditangkap semalam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lima-direman-kes-seleweng-pinjaman-mara-rm2-5j-1.207241#sthash.5ObDlFDL.dpuf

1,290 kenderaan klon RM40 juta dirampas


Semua tamat tempoh, dibawa masuk sindiket dari Singapura

KANGAR 30 Mac - Sebanyak 1,290 kenderaan klon bernilai hampir RM40 juta dirampas dalam operasi besar-besaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membanteras kegiatan itu sejak tahun lepas sehingga kini.
Ismail Ahmad
Ke­semua kenderaan tersebut tamat tempoh di Singapura iaitu jangka hayatnya me­lebihi lima tahun dibawa masuk ke negara ini melalui sindiket.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, sebahagian besar kenderaan itu dirampas dari tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Perak.
“Sehingga kini terdapat ahli sindiket yang sudah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Kita memandang serius kegiatan ini kerana menipu orang ramai dan kerugian kepada hasil negara,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pengarah-pengarah negeri, di sini hari ini.
Ismail memberitahu, beliau percaya masih banyak kenderaan klon berada di dalam negara dan menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan tawaran harga murah daripada sindiket.
“Nampak macam ‘ok’ kerana mempunyai dokumen diperlukan seperti cukai jalan dan geran tetapi tiada dalam sistem JPJ. Kenderaan ini tidak boleh sama sekali didaftarkan dalam sistem JPJ,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail menafikan harga lesen memandu akan dinaikkan seperti tersebar dalam laman sosial baru-baru ini, sebaliknya ia dikekal iaitu RM20 setahun untuk motosikal, kereta (RM30 setahun) atau kedua-duanya (RM30 setahun).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/1-290-kenderaan-klon-rm40-juta-dirampas-1.206905#sthash.XPppfRTl.dpuf

Keadaan jenazah hibakan bapa Nurul Syahira


ISHAK SULONG sugul ketika menunggu jenazah anaknya, Nurul Syahira yang  dibedah siasat di bilik maya

ISHAK SULONG sugul ketika menunggu jenazah anaknya, Nurul Syahira yang dibedah siasat di bilik mayat HSB di Alor Setar, semalam selepas dipercayai mati akibat didera kenalan lelakinya.
ALOR SETAR 31 Mac - Ketika mula dikerumuni wartawan di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Ishak Sulong, 46, yang merupakan bapa kepada mangsa dera, Nurul Syahira Ishak, 21, yang maut di Taman Gemilang, Jitra semalam kelihatan cukup tenang.
Setiap soalan dijawab secara teratur, sehinggalah salah seorang daripada wartawan bertanyakan mengenai keadaan jenazah Nurul Syahira yang ditatapnya kira-kira pukul 8 pagi ini.
Bapa kepada dua anak itu tiba-tiba terdiam. Bibirnya dikemam sambil mata tertutup rapat sementara air matanya dilihat mengalir.
“Tak boleh ungkap dengan kata-kata. Sedih sangat, memang sedih sangat. Tak sangka langsung jadi begitu,” katanya dalam nada tersekat-sekat.
Kesedihannya itu tidak sukar untuk difahami kerana keadaan arwah difahamkan berada dalam keadaan yang cukup tragik.
Menurut majikannya yang sentiasa berada di sisi Ishak, Datuk Shamsubahrin Ismail, Ishak memaklumkan keadaan anaknya berbeza sama sekali seperti yang pernah dilihat sebelum ini.
“Saya diberitahu jenazahnya kelihatan kurus, rambut dipotong pendek, ada kesan luka di telinga seolah-olah terkena benda tajam selain lebam-lebam di muka dan beberapa bahagian badan,” katanya.
Terdahulu Ishak memberitahu, anaknya itu menghilangkan diri secara tiba-tiba dari rumahnya di Ampang, Selangor pada pertengahan Februari lalu.
“Kali terakhir saya bertemunya pada 16 Februari lalu. Sebagai bapa sudah tentu saya risau dan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengesan kedudukannya.
“Akhirnya kira-kira dua minggu lalu, anak sulung daripada dua beradik itu mengaku menerusi panggilan telefon yang dia berada di Kedah. Itu pun setelah didesak, namun kami tidak tahu lokasi tepat di mana dia berada,” katanya.
Menurutnya, beliau diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anak gadisnya itu setelah menerima panggilan daripada anggota polis kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Saya kenal suspek kerana dia pernah bekerja sebagai pemandu teksi dengan syarikat yang sama di mana saya bekerja kini kira-kira empat tahun lalu.
“Bagaimanapun atas sebab tertentu, dia dibuang kerja. Saya tidak pasti bagaimana anak saya kembali berhubung dengannya sehingga boleh terjadi begini,” katanya.
Tambahnya, jenazah Nurul Syahira akan dikebumikan di kampungnya iaitu di Kampung Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan malam ini juga.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/keadaan-jenazah-hibakan-bapa-nurul-syahira-1.207282#sthash.BHksfBfh.dpuf

Lelaki ditemukan mati dikelar


BATU PAHAT 1 April - Seorang pengawal keselamatan ditemukan mati dalam keadaan tangan terikat di sebuah kebun kelapa sawit, Jalan Muar-Yong Peng di sini petang semalam.
Mayat lelaki berusia 33 tahun yang lengkap berpakaian kerja itu ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 6.30 petang.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kelar di leher mangsa serta lebam di bahagian perut.
“Siasatan awal juga mendapati lelaki terbabit adalah individu sama yang dilaporkan hilang awal pagi kelmarin oleh isterinya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-ditemukan-mati-dikelar-1.207330#sthash.DWIzCPl7.dpuf

Suami isteri direman tujuh hari


Seorang ejen insurans dan isterinya direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan
Seorang ejen insurans dan isterinya direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes kematian gadis berusia 21 tahun yang dipercayai didera di Taman Gemilang, Jitra, Kubang Pasu, kelmarin.
KUBANG PASU 31 Mac – Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang gadis, Nurul Syahira Ishak, 21, yang dipercayai didera di Taman Gemilang, Jitra, dekat sini semalam.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli terhadap lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans serta isterinya yang merupakan seorang doktor perubatan di Hospital Jitra berumur 28 tahun.
Difahamkan suspek yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan pesakit mental yang sedang menjalani rawatan dan mengambil ubat khas.
Akhbar hari ini melaporkan Nurul Syahira maut dalam keadaan menyedihkan dipercayai akibat didera kenalan lelakinya yang juga bapa kepada seorang anak berusia enam bulan setelah tinggal bersama keluarga tersebut sejak Februari lalu.
Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri di dalam bilik utama di tingkat dua rumah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jitra dengan menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang.
Sementara itu, pasangan suami isteri tersebut dilihat memakai pakaian lokap ketika berada di mahkamah dengan doktor wanita berkenaan dibenarkan mendukung bayi lelaki pasangan terbabit yang berusia enam bulan.
Sebelum prosiding bermula, wanita berkenaan turut dibenarkan untuk berada di satu ruang dalam bangunan mahkamah bagi menyusukan bayinya yang kelihatan merengek.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail ketika dihubungi memaklumkan, pihak polis sudah pun mendapatkan keterangan berhubung hasil bedah siasat yang dilakukan Pakar Forensik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pagi ini.
“Laporan lengkap forensik bagaimanapun akan dikemukakan kemudian. Untuk tidak mengganggu siasatan polis, kami menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat sebarang kenyataan berhubung kes ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suami-isteri-direman-tujuh-hari-1.207193#sthash.15uElLh5.dpuf