Search This Blog

Tuesday, March 29, 2016

Video pengantin bergaduh jadi viral


Video pergaduhan pengantin yang dimuat naik di Facebook Kosmo! Online menjadi viral dengan dikunjungi lebih dua juta pengunjung.


KUALA LUMPUR – Kisah dua keluarga pengantin bergaduh di Masjid Jamek Al-Khadijiah di Pantai Dalam pada Sabtu lalu dan dimuat naik ke laman Facebook Kosmo! Online telah menarik minat kira-kira 2.5 juta pengguna laman sosial ini.
Sejak ia dimuat naik kira-kira pukul 10.30 pagi semalam hingga pukul 10 malam tadi, video berdurasi tiga minit itu telah dikongsi lebih 23,000 pengguna, 61,000 ‘Like’ manakala lebih 40,000 pengguna telah meninggalkan pelbagai komen mengenai kejadian tersebut.
Seorang pengguna yang dikenali sebagai Nick Mohd. Hafeez berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian itu tetapi merasakan ibu bapa pihak perempuan yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
“Bagi saya, ini bukan salah perempuan bukan salah lelaki tapi salah ibu bapa perempuan,” katanya dalam komen itu.
Srikandi Feeza Rasa pula dalam komennya menyatakan, dia sedih dengan pergaduhan tersebut kerana kejadian berlaku dalam kawasan masjid.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz44F8ym5mI 
Hakcipta terpelihara 

Ketua kewangan raja dadah Mexico ditangkap


GUZMAN


BANDAR RAYA MEXICO – Pihak berkuasa berjaya menangkap seorang lelaki dikenal pasti sebagai ketua pengurus kewangan di belakang empayar raja dadah, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman yang dikatakan terbabit dalam ke­giatan menggubah sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) wang sejak 10 tahun lalu, lapor polis persekutuan Mexico kelmarin.
“Sekumpulan anggota polis persekutuan elit dan tentera Me­xico telah menangkap Juan Manuel Alvarez Inzunza yang juga dikenali sebagai ‘El Rey Midas’ (Raja Midas) di negeri Oaxaca,” kata polis dalam satu kenyataan akhbar.
Menurut pasukan penyiasat, suspek berusia 34 tahun itu menguruskan sebilangan syarikat termasuk pusat pengurup wang dengan penggubahan wang antara AS$300 juta (RM1.2 bilion) hingga AS$400 juta (RM1.6 bilion) setiap tahun bagi pihak kartel Sinaloa pimpinan Guzman.
Alvarez Inzunza beroperasi di negeri Sinaloa dan Jalisco tetapi dia berada di negeri Oaxaca untuk bercuti ketika ditangkap.
Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan satu arahan untuk menahan Alvarez Inzunza supaya dia boleh dieks­tradisi ke Amerika Syarikat atas permintaan sebuah mahkamah persekutuan di Washington.
Operasi penggubahan wang haram Alvarez Inzunza melangkaui sempadan Mexico hingga ke Colombia, Panama dan AS, jelas pihak berkuasa.
Kartel Sinaloa dianggap sebagai salah seorang anggota kumpulan dadah pa­ling berkuasa di Mexico dan dipimpin Guzman yang ditangkap semula pada Janua­ri lalu selepas dua kali berjaya melarikan diri dari dua buah penjara kawalan ketat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz44F8DogFE 
Hakcipta terpelihara 

BMW 320i hangus dijilat api



Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta BMW 320i di Jalan Permas Barat, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU – Seorang ejen insurans wanita mengalami kerugian kira-kira RM200,000 apabila kereta mewah jenis BMW 320i yang dipandunya tiba-tiba terbakar selepas enjin berasap di Jalan Permas Barat, Bandar Baru Permas Jaya di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, pemilik kereta, Ong Waini, 47, bersama keraninya sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada BMW terbabit selepas terhidu bau hangit sebelum api muncul daripada bahagian enjin.
Menurut Waini, sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan pulang dari Seri Alam, Pasir Gudang dekat sini menuju ke Permas Jaya selepas selesai berjumpa pelanggan.
“Ketika memandu, saya terhidu bau hangit dan asap namun saya menyangka bau itu datangnya dari kawasan sekeliling. Bagaimanapun, tiba-tiba ada pengguna jalan raya lain memberitahu ternampak asap keluar daripada enjin kereta saya.
“Saya kemudian terus memberhentikan kereta dan keluar bersama kerani untuk menyelamatkan diri,” cerita­nya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz44F7rg0W7 
Hakcipta terpelihara 

Maut kereta Viva rempuh lori balak


BEGINILAH keadaan lori balak yang terbalik selepas dirempuh kereta Perodua Viva (kiri) dinaiki tiga beranak di Kilometer 48, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Paloh 1, Gua Musang kelmarin.


GUA MUSANG – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut bersama ibu dan bapanya selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang membawa muatan kayu balak di Kilometer 48, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Paloh 1, di sini kelmarin.
Dalam nahas kira-kira pukul 6.45 petang itu, bayi ber­kenaan, Muhd. Firas Ziyad yang berada dalam pangkuan ibunya, Faizah Mohd. Nor, 28, maut di tempat kejadian selepas me­ngalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
Bapanya, Mohamad Zahiruddin Hadi, 24, yang mengalami kecederaan pada kepala pula meninggal dunia pukul 8.30 pagi semalam selepas menerima rawatan kecemasan lebih 12 jam di Hospital Gua Musang di sini.
Pemandu lori balak terbabit, Arifin Mohamad Noor, 49, bagaimanapun hanya mengalami patah tangan.
Faizah yang berasal dari Felda Perasu merupakan kakitangan Pejabat Felda Wilayah Gua Musang manakala suaminya yang berasal dari Felda Chiku 7 adalah anggota Polis Bantuan Felda di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz44F7O7M9d 
Hakcipta terpelihara 

3,000 kes buli di sekolah


HULU SELANGOR 27 Mac - Kes buli di sekolah seluruh negara tahun lalu berkurangan kepada kira-kira 3,000 kes berbanding kira-kira 4,000 yang dicatat pada 2014, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.
P. Kamalanathan
Beliau berkata, penurunan itu hasil pelbagai usaha pencegahan yang dilakukan banyak pihak antaranya sekolah, ibu bapa serta Kementerian Pendidikan sendiri.
“Penurunan itu suatu petanda baik dalam usaha kita memerangi gejala buli di sekolah dan kalau boleh kita mahu sifarkan kes buli di sekolah.
“Bagaimanapun, kementerian belum berpuas hati dan menganggap perkara itu masih serius,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kalumpang di Hulu Bernam dekat sini hari ini.
Selain itu, Kamalanathan yang juga Anggota Parlimen Hulu Selangor turut melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan kes buli terbaharu yang menyaksikan seorang pelajar dipaksa menggunting lidah sendiri di Klang, Selangor.
“Saya kecewa, sedih dan amat terkejut sebab tidak pernah dengar tahap sampai sebegitu kes buli dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Khamis lepas seorang murid tahun dua dikatakan dipaksa menggunting lidahnya sendiri akibat dibuli beberapa pelajar tahun tiga di tandas sebuah sekolah di Klang.
Mengulas lanjut, Kamalanthan berkata, tindakan sewajarnya ke atas pelajar terbabit dalam kes buli itu hanya akan diambil selepas laporan siasatan polis diperoleh.
“Pelajar yang terlibat harus disemak isu disiplin dan latar belakang mereka selain melihat faktor persekitaran serta pengaruh rakan sebaya sebelum sesuatu tindakan dilakukan,” katanya. 
– BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/3-000-kes-buli-di-sekolah-1.205607#sthash.moWxwJlV.dpuf

‘Saya hanya pertahankan keluarga’


KUALA LUMPUR 28 Mac – Pergaduhan melibatkan kedua-dua keluarga pengantin yang tersebar dan menjadi viral di Internet adalah semata-mata untuk mempertahankan keluarga.
Pengantin perempuan, Nurul Hasnani Yazit, 21, berkata, keluarganya hanya bertindak daripada diserang oleh keluarga pengantin lelaki.
Menurutnya, dia tidak menyangka perkara itu me­nimpa keluarganya apatah lagi video bertumbuk antara bakal suami dan keluarga yang berdurasi tiga minit mula tersebar dan menjadi viral di laman sosial.
“Terus terang saya sedih dengan apa yang berlaku, kawan-kawan juga ada bertanyakan kepada saya tentang kejadian itu kerana ia sudah tersebar.
“Saya tidak mahu cakap me­ngenainya dan rasa kami tidak akan berhubung semula lepas ni,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di PPR Kampung Limau di sini hari ini.
Dia mengulas tentang pergaduhan yang berlaku melibatkan keluarganya di Masjid Al-Khadijiah, Pantai Dalam di sini kelmarin.
Bagaimanapun, dia yang mesra dipanggil ‘Nani’ memilih untuk mengurungkan diri di dalam bilik dan ketika ditemui, raut wajahnya jelas menunjukkan kesedihan.
Semalam, akhbar melaporkan hasrat sepasang bakal pengantin untuk melangsungkan perkahwinan musnah didakwa gara-gara wang hantaran tidak cukup sehingga menimbulkan salah faham dan mencetuskan pergaduhan antara kedua belah keluarga.
Bakal pengantin lelaki yang be­kerja sebagai pengawal keselamatan dikatakan gagal menyediakan wang hantaran RM15,000 seperti yang dijanjikan dan dipersetujui semasa sesi merisik pada Januari lalu.
Dalam pada itu, seorang wanita yang mendakwa keluarga kepada pihak perempuan dengan nama ‘Wanie Azwani’ turut memuat naik penjelasan daripada imam masjid berkenaan menerusi statusnya di laman Facebook.
Memetik kenyataan itu, punca pergaduhan dikatakan bukan disebabkan wang hantaran tidak cukup tetapi isu perjanjian yang gagal ditunaikan, selain pihak lelaki didakwa bercakap secara kurang sopan apabila ditanya mengenai baki wang hantaran tersebut.
Dalam pada itu, bapa Nurul Hasnani, Yazit Hasshim, 48, ketika ditemui berkata, dia enggan me­ngulas lanjut mengenai kes tersebut dan me­nyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
“Saya tidak mahu salahkan sesiapa, orang boleh bercakap apa saja tetapi biarlah kebenaran yang menentukan. Berdiam bukan bermakna saya salah atau mengalah.
“Pasti ada hikmah dengan apa yang berlaku ini, apa pun saya hanya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, ibu saudara pihak lelaki yang enggan dikenali berkata, dia tidak me­nyangka pemberian wang hantaran dijadikan isu sehingga pernikahan anak saudaranya terbatal.
“Saya mengenali Nurul Hasnani, dia pernah datang ke rumah sebelum ini. Saya masih terkejut dengan apa yang terjadi kerana hal seperti ini tidak pernah berlaku dalam keluarga kami.
“Perkara sebegini seharusnya diselesaikan dengan cara baik, bukan dengan emosi,” ujarnya.
Sementara itu, bakal pengantin lelaki masih gagal dihubungi kerana menurut ibu saudaranya itu, tele­fon bimbit milik anak saudaranya rosak akibat pergaduhan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/8216-saya-hanya-pertahankan-keluarga-8217-1.205984#sthash.ef9FJlX3.dpuf