Search This Blog

Monday, March 28, 2016

Tatmadaw mahu kekal


28 MAC 2016

Tatmadaw mahu kekal

 Tatmadaw mahu kekal Aung Hlaing melakukan pemeriksaan kawalan kehormat ketika sambutan Hari Angkatan Tentera di Naypyidaw, semalam.
NAYPYIDAW - MYANMAR.  Ketua Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw), semalam menegaskan terhadap keperluan mengekalkan kuasa politik terhadap mereka, beberapa hari sebelum kerajaan baharu bakal mengambil alih tampuk pemerintahan buat pertama kali dalam tempoh 56 tahun.

Jeneral Min Aung Hlaing mengeluarkan kenyataan itu, ketika sambutan Hari Angkatan Tentera di ibu negara dan beliau turut percaya tentera berfungsi sebagai kuasa penyatuan tunggal dan pelindung kepada Perlembagaan.

"Tatmadaw perlu hadir sebagai tonggak utama dalam politik negara ini," tegasnya.

Difahamkan, Myanmar mula dipimpin junta tentera selepas rampasan kuasa pada 1962, namun ia membuka ruang kepada penubuhan kerajaan separa awam pada 2011 sebagai persediaan untuk pilihan raya umum pada November lalu.  

Beliau turut mempertahankan kandungan Perlembagaan dengan menyatakan ia telah digubal oleh hasil usaha diselaraskan golongan intelektual, pakar daripada pelbagai bidang dan wakil kaum serta disahkan oleh referendum di seluruh negara.  

Perlembagaan 2008 itu memperuntukkan kuasa politik meluas kepada tentera.

Satu perempat daripada kerusi Parlimen yang dikhaskan untuk pegawai tentera telah memberikan mereka kuasa veto terhadap perubahan kandungan piagam dan ketua tentera kekal mengawal tiga kementerian utama. - Reuters

Empat kenderaan musnah terbakar

Melaka: Empat daripada tujuh kenderaan yang sedia untuk disembur cat baharu dalam bengkel mengecat kenderaan di Malim Jaya, di sini, musnah dalam kebakaran, petang semalam.
Dalam kejadian 6.45 petang itu, kereta Nissan Livina, Nissan Sentra, Proton Wira dan Hyundai Atos musnah dalam kejadian yang turut memusnahkan bahagian pejabat sebuah bengkel mengecat itu, di sini.
Bagaimanapun, tindakan pantas bomba yang menerima panggilan pada 6.51 petang itu berjaya menyelamatkan tiga lagi kenderaan, selepas mengawal kebakaran daripada merebak ke premis bersebelahan dan belakang.
Difahamkan, ketika kejadian, bengkel mengecat terbabit sudah ditutup operasi pada 6.15 petang.
Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Negeri (Bahagian Operasi) Kamarulzaman Mohd Din berkata, bomba 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Jalan Kubu, Ayer Keroh, Padang Temu dan Tangga Batu ke lokasi kejadian.
"Api marak ketika anggota bomba tiba dan tindakan pantas dapat mengawal kebakaran kurang daripada 10 minit.
"Kita turut mendapatkan bantuan dari dua Pasukan Perubatan Kecemasan Khas (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan Ayer Keroh bagi kerja menyelamat," katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan oleh unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 3:35 PM




Antara kenderaan yang terbakar. FOTO Zuhairi Zuber

Tiga Termasuk Ahli Perniagaan Ditahan Bantu Siasatan Kes Tembak Di Sepang


Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 6:20 PM
Anggota unit forensik polis memeriksa sebuah kereta yang terlibat dalam kes tembakan di persimpangan bulatan Chesterfield Jumaat malam. - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Polis menahan tiga individu termasuk seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pengawal peribadi ditembak dua lelaki, berhampiran pekan Chaterfield, Pusat Komersial KLIA di Sepang Jumaat lalu
Menurut jurucakap polis, ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 30an-hingga 40-an itu ditahan di tiga buah rumah di Skudai, Johor oleh pasukan khas pada 2 pagi Sabtu.
Katanya, pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut, bagaimanapun tidak membuat sebarang rampasan dalam serbuan itu.
"Kesemua direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Yusof ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, pengawal peribadi terbabit yang dikenali sebagai Hazrat dilapor sedang memandu kereta jenis Mercedes Benz apabila kenderaannya dihalang dan dua lelaki melepaskan beberapa das tembakan pada kereta tersebut.
Mangsa didapati parah pada belakang bahu kanan akibat terkena tembakan yang dilepaskan dari arah hadapan dan cermin sisi sebelah tempat duduk penumpang hadapan.
Dia kini dilaporkan stabil. - BERNAMA

33 Kereta, Sebuah Motosikal Berkuasa Tinggi Musnah Terbakar


Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 5:50 PM
Sebanyak 33 kereta dan sebuah motosikal berkuasa tinggi musnah terbakar di tempat parkir bawah Kondominum Villa Mas, Jalan Sierramas Barat, dekat Sungai Buloh, dalam kejadian kira-kira pukul 5.31 pagi Ahad. - fotoBERNAMA

SUNGAI BULOH: Sebanyak 33 buah kenderaan dan sebuah motosikal berkuasa tinggi musnah dalam kebakaran di kawasan meletak kenderaan di Kondominum Villamas, Jalan Sierramas Barat, di sini, awal pagi Ahad.
Penguasa Kanan Bomba Satu Zon Shah Alam Yusri Basri berkata pihak bomba tiba di tempat kejadian pada 5.43 pagi dan kebakaran hanya dapat dipadamkan sepenuhnya pada 7.57 pagi.
"Pihak kami (bomba) menghadapi kesukaran untuk mengawal kebakaran yang semakin marak apabila kawasan di dalam kondominium itu tiada bekalan air di pili bomba selain tiada sistem pengudaraan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata operasi memadam kebakaran itu melibatkan 27 anggota dan pegawai serta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Damansara, Selayang dan Shah Alam.
Yusri berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, manakala siasatan awal mendapati kejadian itu tidak berunsurkan perbuatan khianat, namun punca sebenar kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu seorang pemilik kenderaan terbabit, Datuk Mohammad Faizal Harun, 42, berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada 5.30 pagi.
"Saya baru sampai sini semalam, bersama isteri dan tiga anak saya. Memang dah jadi rutin, setiap hujung minggu kami akan luangkan masa di sebuah unit rumah yang saya beli di sini," katanya.
Dua buah kereta miliknya iaitu BMW dan Nissan Grand Livina turut musnah terbakar.
Seorang lagi pemilik kenderaan terbabit, Tony Ang, 70, berkata beliau mengalami kerugiannya hampir RM500,000 apabila dua buah kereta miliknya jenis Suzuki Vitara dan Porsche musnah terbakar.
"Ketika kejadian, saya dan isteri sedang tidur dan tiba-tiba tersedar sekitar jam 5.30 pagi tadi kerana alat pendingin hawa tidak berfungsi dan berbau asap.
"Saya pun turun ke bawah dan mendapati berlaku kebakaran di basement," katanya yang tinggal di kondominium itu bersama isterinya sejak lima tahun lepas. - BERNAMA 

Reman Lelaki Bunuh Isteri Disambung Seminggu


Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 9:25 PM


JOHOR BARU: Perintah tahanan reman seorang lelaki, yang ditahan kerana menikam dan mengelar isterinya sehingga mati di sebuah kampung di Kangkar Tebrau pada Ahad lepas, dilanjutkan sehingga 3 April ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata reman sebelum ini berakhir hari ini dan polis perlu melanjutkannya supaya suspek boleh membantu siasatan.

"Polis telah memohon kepada mahkamah agar perintah reman suspek dilanjutkan lagi selama seminggu bermula pada Isnin," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 2.26 petang itu, suspek yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit, dipercayai mengelar leher isterinya menggunakan pisau sebelum menikam belakang mangsa beberapa kali menggunakan gunting.

Menurut polis sebelum kejadian, beberapa jiran mendengar pergaduhan dari rumah mangsa namun, tidak diendahkan mereka.

Mayat mangsa yang tertiarap di atas lantai kemudian ditemui oleh anak sulungnya yang pulang dari sekolah.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku selepas suspek terdengar bisikan halus supaya membunuh isterinya. - BERNAMA

Wanita Maut, Rakan Lelaki Parah Motosikal Langgar Treler


Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 10:44 PM

 
KANGAR: Seorang wanita maut manakala rakan lelakinya parah setelah motosikal yang mereka naiki melanggar bahagian belakang lori treler yang diletakkan di kiri bahu jalan di Kilometer 3.8 Jalan Kangar-Alor Setar, Seriab di sini, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 pagi itu, Nurul Nasihah Abd Ghani, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Mohd Fitri Jasni, 19, kritikal.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Mohd Fitri agak laju sehingga menyebabkannya merempuh bahagian tepi sebelah kiri belakang lori treler itu.

"Berdasarkan siasatan, mangsa dipercayai cuba melakukan brek kecemasan dari jarak 10 meter sebelum merempuh belakang treler berkenaan menyebabkan mangsa terperosok ke bawah kenderaan itu manakala pembonceng wanita maut di tempat kejadian.

"Mangsa wanita dibawa ke bilik mayat untuk bedah siasat manakala rakan lelakinya masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar," katanya.

Wari berkata pemilik lori treler berkenaan sudah dipanggil untuk membantu siasatan kerana melakukan kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan. - BERNAMA

Jumpa mayat adik dalam longkang

Jasin: Mayat lelaki warga Indonesia ditemui terbaring dengan kesan kecederaan teruk di seluruh badan dalam longkang di tepi jalan di Kampung Paya Panglong, Serkam, di sini, awal pagi tadi.
Mayat lelaki berusia awal 40-an itu ditemui berseluar dalam dan memakai baju T oleh abangnya kira-kira 2 pagi tadi, selepas mangsa dikatakan tidak kelihatan sejak 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, berdasarkan kesan kecederaan, mangsa dipercayai dibunuh.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 7:51 PM


TEMPAT tidur mangsa di asrama pekerja. Mangsa tidak kelihatan sejak petang semalam. FOTO Zairee Mohd Yasak
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125791#sthash.p3UCquVS.dpuf

Lemas terjatuh sungai

Jitra: Lelaki dipercayai menghidap sawan ditemui lemas selepas terjatuh ketika memancing di Sungai Korok, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 27 tahun dipercayai terjatuh pada 8.15 malam sebelum orang ramai yang berada di kawasan itu menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Suffian Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.33 malam dan tiba di lokasi kejadian 8.46 malam.
Katanya, sebuah jentera bersama sebuah bot dan kenderaan utiliti bersama enam anggota serta lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba di lokasi.
"Mereka kemudian membuat pencarian di permukaan air dan selaman di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
"Mayat mangsa ditemui pada 9.32 malam ini di kawasan berhampiran dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya, operasi turut dibantu empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kubang Pasu, seorang anggota polis dan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Korok.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 10:58 PM


PASUKAN penyelamat menaikkan mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125800#sthash.VrOu368A.dpuf

Budak lemas, dua selamat

Seremban: Kanak-kanak lelaki lemas manakala dua lagi sepupunya berjaya diselamatkan orang ramai ketika mandi kolam di taman tema di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa Mohamad Thaqif Nur Iqbal Mohd Hizzuad, 5, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), 4.30 petang tadi.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 3.40 petang apabila mangsa dan dua sepupunya yang berusia lima tahun masuk ke kolam dewasa sebelum mereka disedari lemas oleh keluarga dan orang ramai.
"Ketiga-tiga kanak-kanak terbabit diselamatkan sebelum keluarga segera membawa mereka ke HTJ untuk rawatan.
"Bagaimanapun, selepas setengah jam dirawat, Mohamad Thaqif disahkan meninggal dunia manakala dua lagi mangsa dilaporkan stabil dan masih dirawat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, bapa mangsa yang juga anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dimaklumkan mengenai kejadian oleh kakaknya sebelum bergegas ke hospital berkenaan.
Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian 6.30 petang tadi dan mayat mangsa diserahkan ke Unit Forensik HTJ untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 11:34 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125805#sthash.PLf6OCu4.dpuf

Penyamun tampar muka kebas duit di kaunter [METROTV]

Seremban: Seorang lelaki berpura-pura mengeluarkan wang daripada dompet untuk membeli barang sebelum menyamun seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Taman Permai, Fasa 3, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian 10.50 malam itu, lelaki bertopi keledar memasuki premis berkenaan dan berlakon mahu membeli barang dengan mengeluarkan dompetnya ketika berada di kaunter.

Sumber berkata, suspek bagaimanapun mengarahkan pekerja wanita berusia 20 tahun itu membuka mesin juruwang dan menyerahkan wang.
“Mangsa enggan menuruti arahan itu menyebabkan suspek menampar muka mangsa dan membaling botol air.
“Mangsa yang ketakutan akur dan membuka mesin juruwang berkenaan sebelum suspek melarikan RM159. Suspek disyaki melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang menunggu di luar premis dengan menaiki motosikal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, polis menerima laporan kejadian dan giat mengesan kedua-dua suspek berusia 27 dan 28 tahun berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:14 AM


RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek menyamun mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125887#sthash.kda8x5bk.dpuf

Parah ditetak depan pasar

Georgetown: Lelaki parah ditetak di hadapan pasar Batu Lanchang di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa, 48, didatangi oleh dua lelaki yang tidak dikenali sebelum menetak mangsa.
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Sasikala berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan daripada mangsa.
"Saya melihat mangsa sudah dalam keadaan terbaring dan mendapati dua orang lelaki melarikan diri menggunakan kereta," katanya.
Mangsa yang cedera di kaki dan tangan dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 10:34 PM


MANGSA cedera di kaki dan tangan. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125798#sthash.zfQBHD2e.dpuf

Tiga tikaman maut

Papar: Lelaki ditemui mati dengan tiga kesan tikaman di dalam keretanya dipercayai dibunuh di tepi jalan di Kilometer 47 Jalan Kimanis-Keningau dekat sini, pagi tadi.
Mangsa, Chan Ibba Aminulhassan, 38, beralamat di Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu, ditemui orang awam yang mengatakan seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia berada di dalam kereta, 10.43 pagi.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Geogre Abd Rakman berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di kerusi pemandu dengan kesan luka dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam.
"Terdapat tiga kesan tikaman iaitu pada bahagian hadapan dada, rusuk kiri dan perut.
"Berdasarkan siasatan awal kejadian ini berlaku bermotifkan dendam," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun katanya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 11:49 PM


LOKASI kejadian mangsa ditemui di dalam kereta dengan kesan tikaman. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125807#sthash.kujDWhST.dpuf

Janda kena cekup berkhalwat



SEBAHAGIAN daripada pasangan yang ditahan Bahagian Penguat kuasa JAIM kerana berkhalwat dengan pasangan masing-masing di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang, Melaka semalam.


MELAKA – Seorang janda dua anak antara empat ditahan bersama pasangannya kerana berkhalwat oleh Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang di sini dalam satu operasi bersepadu di sini semalam.
Semasa diserbu pukul 2 pagi itu, janda yang berasal dari Johor tersebut mengaku baru sahaja mengambil kekasihnya pulang dari tempat kerja dan memberi alasan tidak larat untuk pulang lalu menyewa bilik hotel.
Ketua Pegawai Bahagian Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, janda tersebut turut mendakwa sudah bertunang dan merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat ini.
“Wanita berkenaan yang berusia 31 tahun mengakui berstatus janda dan mempunyai dua orang anak manakala pasangannya berusia 25 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Rahimin berkata, selain pasangan terbabit, tiga lagi pasangan berusia antara 22 hingga 50 tahun turut ditahan dalam pemeriksaan membabitkan tiga buah hotel di sekitar Kampung Morten dan Gajah Behrang.
Katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.
“Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Rahimin berkata, selain menahan pasangan khalwat, JAIM turut mengeluarkan saman kepada dua lelaki Muslim yang meminum arak di premis pusat hiburan semasa serbuan dijalankan di Taman Melaka Raya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz449Gq2IMM 
Hakcipta terpelihara 

Dua terkorban, satu parah kereta dinaiki terbabas



KEADAAN kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa yang maut dan parah selepas terbabit dalam kemalangan di Sungai Burung, Kuala Selangor semalam.


KUALA SELANGOR – Dua maut manakala seorang cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan di Parit 3, Sungai Burung di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.55 pagi itu, pemandu kereta yang dikenali sebagai Muhammad Faez, 24, dan penumpang hadapan, Abdul Hamid Supangat, 25, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.
Penumpang belakang kereta ber­kenaan, Muhammad Hakimi Saharodin, 21, pula cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, ketika kejadian, kereta berkenaan dari arah Teluk Intan menghala ke Klang.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh batu konkrit milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) di bahu jalan.
“Kemalangan itu turut mengakibatkan kereta itu terbakar sebahagian dan berjaya dipadamkan oleh pihak bomba. Kereta mangsa juga remuk di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz449FVFKa6 
Hakcipta terpelihara 

Hasrat berkahwin tidak kesampaian



Keadaan motosikal ditunggang Abdullah selepas bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Ketengah Jaya - Felda Kerteh 2, Dungun semalam


DUNGUN – Hasrat seorang pekerja kilang kelapa sawit untuk menamatkan zaman bujang bersama gadis pilihannya tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Jalan Ketengah Jaya-Felda Kerteh 2 di sini semalam.
Insiden kira-kira pukul 3 petang itu berlaku sewaktu mang­sa, Abdullah Hasan, 32, yang menunggang motosikal sport jenis KTM RC dalam perjalanan pulang ke kuarters kediamannya di Felda Kerteh Enam dekat sini untuk makan tengah hari.
Motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sewaktu melalui kawasan berselekoh sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di lokasi kejadian.
Impak pelanggaran itu me­ngakibatkan mangsa tercampak ke bahu jalan kira-kira lima meter dari motosikalnya. Abdullah dilaporkan mengalami kecederaan serius di kepala dan maut di lokasi kejadian.
Bapa saudaranya, Ismail Ariffin, 50, berkata, kali ter­akhir dia bertemu dengan mangsa adalah pada Rabu minggu lepas, Abdullah ada menyatakan hasrat mahu menamatkan zaman bujangnya.
Katanya, anak saudaranya itu juga ingin pulang ke kampungnya di Permaisuri, Besut untuk berbincang bersama ibunya terma­suk menetapkan tarikh perkahwinan.
“Dia sudah bertunang lebih kurang setahun lalu dengan seorang gadis di tempat kerjanya di kilang kelapa sawit, Ketengah Jaya.
“Bagaimanapun, hasratnya untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian apabila ajal terlebih dahulu menjemputnya,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz449FIjVmW 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak setahun antara dua mati dalam kemalangan berasingan di Perak


Nanih


IPOH – Seorang kanak-kanak ber­usia setahun enam bulan antara dua yang maut dalam dua kemalangan berasingan melibatkan motosikal di Kampar dan Sungai Siput semalam dan kelmarin.
Dalam kemalangan pertama kira-kira pukul 8.15 malam kelmarin itu, kanak-kanak terbabit, Nurul Mya Zulaikha Muhammad Zulhilmi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa bersama ibunya yang berusia 22 tahun dalam perjalanan ke pekan Sungai Siput dari rumah mereka di Kampung Jaya Setia menaiki motosikal Honda EX5.
“Apabila sampai di tempat kejadian, wanita itu telah terlanggar seekor lembu sedang melintas jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, mayat mang­sa dan ibunya yang cedera ringan dihantar ke Hospital Sungai Siput.
Dalam kemalangan kedua yang berlaku pada pukul 7.20 pagi semalam, mangsa, Nanih Usman, 21, meninggal dunia apabila motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang rakannya terbabas ke bahu jalan di Kilometer 306.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di Kampar.
Rakannya, Nur Izzwan Musa, 19, pula parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Koong Soon berkata, mangsa dan rakannya itu dalam perjalanan ke Ipoh dari Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz449F1TMvW 
Hakcipta terpelihara 

Dua lelaki maut kemalangan


MAYAT salah seorang mangsa kemalangan dimasukkan ke dalam beg plastik di Kilometer 85 Lebuh Raya Utara -Selatan, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI – Dua lelaki maut dalam kemalangan yang melibatkan dua buah motosikal dan seorang pejalan kaki di Kilometer 85 Lebuh Raya Utara -Selatan arah selatan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal, Muhammad Nur Zamani Shah Zulkifli, 21, dan seorang pejalan kaki berusia lingkungan 40-an yang masih belum dapat dikenali pasti identitinya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa berkata, sebelum kejadian, mangsa dan seorang rakannya dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Sungai Petani dengan menunggang motosikal secara berasingan.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mang­sa telah merempuh seorang pejalan kaki di laluan kecemasan lebuh raya berkenaan.
“Akibat pertembungan itu, mangsa dan pejalan kaki berkenaan tercampak ke kiri dan kanan lebuh raya dan rakan mangsa yang menunggang motosikal di belakang gagal mengelak mangsa lalu melanggarnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah Md. Zukir, mang­sa dan pejalan kaki terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya pula mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim Shah di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz449EpziDM 
Hakcipta terpelihara 

Pengantin kena tumbuk duit hantaran tak cukup


Pengantin perempuan menarik tudung seorang wanita dipercayai ahli keluarga pengantin lelaki dalam pergaduhan di Masjid Jamek Al-Khadijiah kelmarin.


KUALA LUMPUR – Hasrat seorang pengawal keselamatan untuk melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya punah selepas dia ditumbuk oleh ahli keluarga wanita terbabit dalam satu kejadian di Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa ditumbuk selepas mahu beredar dari masjid tersebut kerana tidak dibenarkan meneruskan majlis akad nikah gara-gara tidak menyediakan wang hantaran mencukupi sebanyak RM15,000.
Menurut sumber, ahli keluarga mangsa sebelum ini sudah bersetuju untuk membayar jumlah hantaran RM15,000 ketika mereka datang merisik pada Januari lalu.
“Ketika merisik, pihak lelaki meminta untuk membayar sebanyak RM7,500 sebagai wang hantaran, namun pihak pe­rempuan meminta sejumlah RM15,000.
“Pengantin lelaki yang bersetuju de­ngan jumlah itu, namun meminta supaya wang hantaran tersebut dibayar secara ansuran iaitu sebanyak RM10,000 sebelum majlis perkahwinan dan baki lagi RM5,000 dibayar selepas majlis,” katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, pengantin lelaki berusia 27 tahun itu hanya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan.
Pengawal keselamatan itu dikatakan sudah bercinta dengan kekasihnya yang berusia 21 tahun sejak tiga tahun lalu.
Menurut sumber itu lagi, pengantin lelaki sudah membayar RM10,000 secara ansuran sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung, bagaimanapun pihak pe­ngantin perempuan tidak membenarkan akad nikah diteruskan selagi mangsa tidak membayar baki RM5,000.
“Tidak bersetuju dengan permintaan itu, pengantin lelaki bersama keluar­ganya memutuskan untuk meninggalkan majlis akad nikah sebelum dia ditumbuk oleh seorang ahli keluarga pengantin perempuan,” ujarnya.
Kata sumber itu, keadaan di pekara­ngan masjid kemudian bertukar kecoh apabila berlaku aksi memaki hamun dan pergelutan antara ahli keluarga kedua-dua pengantin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz449ESBHhw 
Hakcipta terpelihara