Search This Blog

Sunday, March 27, 2016

Tuntut cerai kerana sebar gambar kahwin

Jakarta: Seorang anggota kumpulan dangdut Duo Serigala, Ovi Sovianti mahu menuntut cerai daripada suaminya selepas lelaki itu menyebarkan gambar perkahwinan mereka di Internet.
Ovi berkata, dia bertekad menuntut cerai daripada suaminya, Indra selepas lelaki itu mungkir janji dengan menyebarkan gambar pernikahan mereka.
Pasangan itu dilaporkan berkahwin pada 27 Jun 2014, tetapi gambar perkahwinan itu tersebar bulan lalu.
Katanya, dia mahu suaminya merahsiakan hubungan mereka kerana tidak mahu menjejaskan kariernya sebagai penyanyi.
“Ya, kerana gambar pernikahan itu saya mahu menuntut cerai,” kata Ovi.
Duo Serigala dianggotai Ovi dan Pamela Safitri dan kumpulan itu terkenal dengan goyang drible.
Sejak gambar berkenaan tersebar hubungannya dengan Indra renggang dan dia tidak dapat menerima tindakan suaminya itu.
“Dia (Indra) sendiri yang menyebarkan gambar perkahwinan kami sedangkan sebelum berkahwin dia berjanji untuk merahsiakan hubungan kami.
“Ini semua menunjukkan Indra tidak lagi menyokong karier saya dan saya bertekad mahu bercerai dengannya,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:31 AM


GAMBAR pernikahan Ovi dan Indra yang tersebar di Internet.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125537#sthash.SjrZ3vwr.dpuf

Pemandu Lori Maut Selepas Rempuh Pikap Di Lampu Isyarat


Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 2:06 PM

IPOH: Seorang pemandu lori berusia 46 tahun maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah pikap yang sedang berhenti di lampu isyarat berhampiran Caltex Kuala Dipang di Kampar.

Insiden yang berlaku pada pukul 4.20 pagi Ahad itu menyaksikan lori yang dipandu oleh Azhar Mohd Yunos sebuah Toyota Hilux rosak teruk.

Toyota Hilux itu sedang dalam perjalanan ke Tanjung Tualang untuk menghantar sayur-sayuran.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon, Azhar meninggal dunia di tapak kemalangan akibat kecederaan selepas lorinya hilang kawalan.

"Pemandu pikap itu tidak cedera. Cuaca baik pada masa itu. Kedua-dua kenderaan rosak teruk.

"Pikap itu berada di lampu isyarat berhampiran stesen minyak dan ketika itu lampu merah. Lori itu hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang pikap terbabit, "katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kematian.

Enam cedera, nahas 3 kenderaan di Lebuhraya Plus


SEREMBAN - Enam cedera manakala lapan lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan motosikal di Kilometer 258.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, awal pagi tadi.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Badroltamam Abd Aziz berkata mangsa yang cedera terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita.
"Pihak kami mendapat panggilan kecemasan pada pukul 5.15 pagi dan tiba enam minit kemudian di lokasi kejadian bersama-sama enam anggota.
"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini. - Bernama

Macau Scam: 112 warga China, Taiwan ditahan

SABTU, 26 MAC 2016 @ 6:47 PM



 Oleh Safeek Affendy Razali; Nor Azizah Mokhtar dan Meor Ahmad Nasriin Rizal bhnews@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Polis membongkar satu sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau 'Macau Scam' jaringan antarabangsa selepas menahan 112 warga China dan Taiwan dalam lima serbuan berasingan di seluruh negara, petang kelmarin.


Serbuan itu adalah hasil kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Polis Republik China, selepas mendapati sindiket berkenaan dipercayai terbabit dalam penipuan membabitkan puluhan jutaan ringgit.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Kamarudin Md Din, berkata sindiket ini dipercayai mensasarkan mangsa yang berada di luar negara khususnya di Taiwan dan China.

 "Modus operandi ialah dengan menyamar sebagai wakil bank dan menghubungi mangsa di luar negara memaklumkan mengenai pembayaran bil kad kredit atau pinjaman tertunggak yang perlu dijelaskan segera walaupun mangsa tidak pernah membuat sebarang urusan perbankan seperti didakwa.


 "Namun, kerana percaya dengan sistem perbualan yang sama dengan situasi di bank, mangsa yang terpedaya membuat pembayaran kepada akuan diarahkan bagi mengelak semua wang daripada akuan simpanan mereka lesap selepas diyakinkan oleh sindiket yang turut menyamar sebagai polis," katanya ketika dihubungi hari ini.


SERBUAN dibuat ke atas sebuah banglo mewah tiga tingkat di Taman Melawati.


Katanya, dalam serbuan yang dilakukan serentak di lima unit kediaman mewah di Taman Melawati dan Taman Sri Ukay (Selangor); Seremban (Negeri Sembilan); Bayan Lepas (Pulau Pinang) dan Horizon Hill, Nusajaya (Johor) polis turut menahan dua lelaki rakyat tempatan.

 "Semasa serbuan dibuat ke atas sebuah banglo mewah tiga tingkat di Taman Melawati, sebahagian suspek didapati sedang diajar cara-cara berkomunikasi dengan mangsa yang bakal menjadi sasaran mereka.


 "Malah situasi itu dilihat seperti dalam sebuah kelas selepas setiap meja ahli sindiket turut dilengkapi talian telefon," katanya.


Dalam serbuan berkenaan polis  turut merampas ratusan telefon dan kelengkapan komunikasi termasuk router, penghala berfungsi mengumpul data jaringan maklumat telekomunikasi mangsa dan gateaway (alat untuk memalsukan nombor sebenar pemanggil yang keluar pada skrin telefon mangsa. Kamarudin berkata, semua suspek turut disoal-siasat oleh pegawai Polis Republik China, bagi membolehkan mereka menjalankan siasatan susulan untuk mengesan suspek utama yang berada di luar negara.

 "Secara kesimpulan sekiranya membabitkan mangsa di Malaysia, sindiket akan beroperasi dari luar negara sama ada China, Indonesia, Kemboja atau Taiwan bagi mengelak aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa sesebuah negara yang menerima laporan mangsa," katanya.

Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan dan suspek terdiri dari warga China akan dihantar pulang ke negara asal untuk siasatan di sana.


Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter mengucapkan tahniah kepada JSJK Bukit Aman dan JSJK Pulau Pinang ekoran kejayaan menggempur operasi haram Macau Scam berkenaan.


OPERASI Macau Scam yang membabitkan warga China dan Taiwan di Taman Melawati. - Foto Hafiz Sohaimi  
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/137579

Doktor keluarkan 27 paket heroin dalam perut

Doktor keluarkan 27 paket heroin dalam perut

26 MAC 2016

 Miguel Rodriguez menelan 27 paket heroin dalam usaha menyeludup dadah ke Amerika Syarikat dari Republik Dominican

MASSACHUSETTS - AMERIKA SYARIKAT. Pakar bedah di sebuah hospital Massachusetts berjaya mengeluarkan 27 paket heroin daripada seorang lelaki yang didakwa menelannya untuk diseludup ke Amerika Syarikat.
Memetik laporan The Salem News, Miguel Rodriguez, 51, dari Lynn, menghadapi tuduhan mengedar dadah.
Polis berkata, mereka percaya paket tersebut pecah selepas Rodriguez pulang dari lawatan ke Republik Dominika.
"Lelaki berkenaan dikejarkan ke Pusat Perubatan North Shore kerana mengalami simptom dos berlebihan," kata jurucakap polis.
Akhbar melaporkan pakar bedah mengeluarkan paket dari perut, usus dan rektum lelaki itu dalam satu pembedahan kecemasan pada Selasa.
Peguam mewakili Rodriguez tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut.
Rodriguez bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pramugari ‘keldai’ dadah dihantar semula ke California


AP - GAMBAR yang didedahkan oleh polis Lapangan Terbang Los Angeles menunjukkan kokain yang dirampas daripada beg seorang pramugari penerbangan JetBlue baru-baru ini.


NEW YORK – Seorang pramugari syarikat penerbangan JetBlue yang ditahan kerana menyeludup sebuah beg berisi dadah jenis kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles akan dihantar semula ke California untuk pertuduhan.
Hakim Andrew Birotte Jr. di Los Angeles mengeluarkan perintah itu pada Khamis lalu selepas pendakwa raya membuat rayuan terhadap keputusan juri yang membebaskan Marsha Gay Reynolds dengan ikat jamin AS$500,000 (RM2.01 juta).
Reynolds yang merupakan bekas ratu cantik Jamaica dan atlet balapan Universiti New York. Dia menyerah diri di sini pada Rabu lalu selepas melarikan diri selepas menyedari kegiatannya itu terbongkar.
Pihak berkuasa berkata, mereka menemui 32 kilogram kokain dalam bagasi milik wanita itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles dan dia sempat melarikan diri selepas itu.
Birotte juga memutuskan Reynolds akan kekal ditahan oleh pihak berkuasa sehingga pendengaran kesnya pada 7 April ini di Los Angeles. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz443Sj3cvM 
Hakcipta terpelihara 

Belgium belum keluarkan identiti mangsa serangan bom


AFP - IMEJ menunjukkan orang ramai berkumpul bagi memberi penghormatan kepada mangsa serangan bom di dataran Place de la Bourse, Brussels kelmarin.


BRUSSELS – Beberapa negara telah mengesah warga negara mereka antara 31 mangsa yang terbunuh dalam serangan bom di Brussels baru-baru ini.
Mereka dikenal pasti sebagai warga negara Maghribi, Peru, China dan Amerika Syarikat (AS) termasuk negara jiran, Pe­rancis dan Belanda.
Pihak berkuasa Belgium bagaimanapun belum mengeluarkan identiti mangsa-mangsa terbabit secara terperinci.
Pada masa kini, sekurang-kurangnya dua warga AS dan beberapa lagi dilaporkan hilang dalam serangan terbabit, kata beberapa orang pegawai AS.
Sascha dan Alexander Pinczowski, dua beradik dari Belanda yang menetap di New York dikatakan sedang dalam perjalanan untuk menaiki pesawat apabila dua pengebom berani mati menyerang lapangan terbang Brussels pada pagi Selasa lalu.
Alexander sedang bercakap dengan ibunya sebelum panggilan menerusi telefon itu tiba-tiba terputus akibat letupan, kata bekas duta AS ke Denmark, James Cain yang juga merupakan bapa kepada tunang Alexander.
Tiga lagi rakyat Belanda turut terbunuh dalam serangan ber­kenaan. Media tempatan mela­porkan mangsa ketiga yang dikenali sebagai Elita Weah, 41, sedang dalam perjalanan menghadiri pengebumian bapa tirinya di AS.
Sementara itu, pengatur cara komputer dari Britain, David Dixon, 51, yang merupakan penduduk Brussels telah menghantar mesej teks kepada ibu saudaranya bagi menyakinkannya bahawa dia selamat selepas serangan di lapangan terbang.
Bagaimanapun, dia hilang dan media melaporkan mangsa dilihat di kawasan stesen kereta api metro apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya kira-kira sejam selepas serangan di lapangan terbang itu.
London dalam pada itu berkata, tujuh rakyat Britain yang lain ce­dera, tiga daripada mereka masih berada di hospital adalah antara kira-kira 300 orang yang cedera dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Islamic State (IS). – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz443S6pSMf 
Hakcipta terpelihara 

50 pengikut ajaran Millah Abraham berada di Sabah


Awang Sahari (dua kanan) memeriksa barisan pada Sambutan Hari Polis ke 209 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah semalam.


KOTA KINABALU – Seramai 50 pengikut termasuk keluarga mereka daripada kumpulan ajaran sesat Millah Abraham dikenal pasti berada di negeri ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer, maklumat diperolehi mendapati kesemua pengikut itu terdiri daripada golongan semiprofesional dan belia.
“Memang terdapat kumpulan ini di Sabah dengan dikesan berada di perkampungan daerah Tuaran, Sandakan, Tawau dan sebilangan kecilnya di Kota Kinabalu.
“Mereka ini ada berasal dari Semenanjung dan sebahagiannya dari Sabah turut terbabit,” katanya pada sidang akhbar selepas perbarisan Hari Peringatan Polis ke-209 di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman, Datuk Awaludin Jadid mendedahkan kumpulan Millah Abraham dikesan membeli tanah termasuk di Tuaran bagi dijadikan markas operasi mereka.
Pembelian tanah itu adalah salah satu usaha untuk me­nubuhkan sebuah pemerintahan Islam atau Daulah Islamiah di rantau ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz443RXyilL 
Hakcipta terpelihara 

Pengawal peribadi cedera ditembak penjenayah


Mangsa cedera pada bahu selepas terkena tembakan dalam kejadian pekan Chaterfield, Pusat Komersial KLIA kelmarin.


SHAH ALAM – Polis Selangor sedang menyiasat motif sebenar kejadian seorang pengawal peribadi ditembak dua lelaki, berhampiran pekan Chaterfield, Pusat Komersial Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan motif kejadian itu me­rangkumi pelbagai aspek dan pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan.
“Mangsa juga tidak dapat memberi sebarang maklumat kerana masih dirawat selain berada dalam keadaan terkejut akibat kejadian malam kelmarin.
“Kita perlu memastikan keadaan
mangsa betul-betul stabil dan selamat, baru kita akan mengambil keterangan lanjut daripada mangsa,” katanya.
Dalam kejadian 8.45 malam itu, pe­ngawal peribadi kepada ahli perniagaan cedera parah selepas ditembak dua lelaki yang menaiki kereta berasingan di bulatan berhampiran pekan Chaterfield.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz443RJeexA 
Hakcipta terpelihara 

Pasangan kekasih curi duit tabung masjid diberkas


SEBERANG PERAI – Kegiatan licik sepasang kekasih yang mencuri wang tabung di 15 buah masjid sekitar daerah ini berakhir apabila mereka ditahan polis awal pagi semalam.
Pasangan remaja itu, ditahan di sebuah hotel bajet di Kampung Gajah, Butterworth selepas polis melakukan siasatan melalui kamera televisyen litar tertutup (CCTV) selepas mereka melakukan perbuatan sama di Masjid Pajak Song, Kepala Batas di sini petang kelmarin.
Ketika ditahan pada pukul 2.15 pagi, pasangan itu berada di bawah pengaruh dadah dan hasil ujian air kencing kemudiannya mendapati mereka positif dadah jenis syabu.
Suspek lelaki berumur 21 tahun berasal dari Kedah manakala suspek perempuan berumur 24 tahun dan berasal dari Johor.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pasangan tersebut melakukan kegiatan itu dengan membuat pemerhatian di kawasan masjid yang dipilih sebelum keduanya memasuki masjid untuk memecah tabung.
“Mereka menaiki motosikal dan membawa peralatan memecah tabung seperti spanar, penukul serta dawai dan hanya memasuki masjid selepas mendapati tiada sesiapa di situ.
“Kejadian itu hanya disedari oleh jemaah yang datang untuk mengerjakan solat sebelum bertindak melaporkan kepada polis,” katanya semasa ditemui pada majlis Shell bersama Polis Diraja Malaysia di stesyen mi­nyak Shell Mak Mandin di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz443R01zfR 
Hakcipta terpelihara 

Terkorban semasa ke tempat kerja


KEADAAN van pekerja yang remuk setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan lori pasir di Jalan Seelong dekat Kulai semalam.


KULAI – Enam pekerja sebuah kilang elektronik maut setelah van pekerja yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pasir dalam satu kemalangan di sebatang selekoh di Jalan Seelong berdekatan Kampung Seelong Jaya dekat sini semalam.
Turut terkorban dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu ialah pemandu van berkenaan.
Difahamkan, enam mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Mereka ialah pemandu van iaitu R. Shanmugam, 26, manakala pekerja kilang ialah Lumie Deyo, 30; Julasri Jahual, 26; Nurhakim Bassal, 25; Rafidah Zul, 27 dan Florina Tihong, 24.
Seorang lagi mangsa, Norsaila Mohd Nor, 32, pula me­ninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai di sini.
Pekerja kilang yang terselamat, Victoria Iring, 21, pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, manakala pemandu lori, Abdul Rosni Awang, 41, yang cedera ringan kini dirawat di HTSMTI,
Difahamkan, van jenis To­yota Hiace itu yang mengambil penumpangnya di sekitar Taman Rinting, Masai dalam perjalanan untuk menghantar kesemua mangsa bekerja di kilang VS Elektronik di Taman Perindustrian Senai yang terletak kira-kira 6 kilometer dari lokasi kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz443QjSwij 
Hakcipta terpelihara 

Buli: Murid tahun dua dipaksa potong lidah


ZULKIFLI SAINUDDIN  |  27 Mac 2016 1:01 AM





KLANG 26 Mac - Dalam satu kejadian buli yang disifatkan paling tragis pernah berlaku, seorang murid tahun dua, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, dipaksa memotong lidahnya sendiri di sebuah sekolah rendah di sini.
Dia mendakwa dipaksa berbuat demikian oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama ketika waktu rehat.
Menurut Muhammad Alif Shukran, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang Khamis lalu semasa dia ke tandas berseorangan.
Ketika hendak keluar dari tandas, dia ditahan oleh murid-murid tersebut yang memaksanya menggunting lidah sendiri.
‘‘Saya terpaksa mengikut arahan mereka kerana takut ditumbuk,’’ katanya ketika ditemui di rumah­nya di Bukit Tinggi di sini hari ini.
Dalam keadaan berlumuran darah dan menangis kerana kesakitan, Muhammad Alif Shukran kembali ke kelas manakala kesemua murid berkenaan melarikan diri.
Bagaimanapun, jelasnya, dia tidak dapat mengecam murid yang memaksanya melakukan perbuat­an tersebut kerana kesemua mereka memakai topeng kertas.
Muhammad Alif Shukran mendakwa, dia sebelum ini sering­ dibuli termasuk ditumbuk oleh murid-murid lain.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Nurhuda Ibrahim, 29, berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 6 petang sebelum bergegas ke sekolah.
Dia kemudiannya menghantar Muhammad Alif Shukran mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Katanya, akibat kejadian itu, lidah anaknya putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.
“Doktor bagaimanapun mengesahkan ia tidak memberi kesan apa-apa kerana hanya sebahagian kecil yang terpotong tetapi bahagian yang terpotong itu tidak akan tumbuh semula.
“Keadaan anak saya kini juga telah stabil dan dia tidak takut ke sekolah. Dia hanya boleh makan makanan yang lembut dan minum menggunakan penyedut,” jelasnya.
Siti Nurhuda mendakwa, sebelum ini dia telah memaklumkan kepada pihak sekolah yang anaknya sering dibuli, tetapi tiada tindakan diambil sehinggalah kejadian ini berlaku.
‘‘Sebelum ini, saya pernah ke sekolah dan berjumpa beberapa murid yang membuli anak saya selepas mendapati mata anak saya lebam,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti murid yang terlibat serta punca kejadian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/buli-murid-tahun-dua-dipaksa-potong-lidah-1.205139#sthash.Dlk8CM9m.dpuf

77 warga asing terlibat Macau Scam


KUALA LUMPUR 26 Mac – Seramai 77 warga asing ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman semalam selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan Macau Scam di negara ini.
Mortadza Nazarene
Pengarahnya, Datuk Seri Mortadza Nazarene memberitahu, serbuan dilakukan di Taman Melawati Indah, Kuala Lumpur; Ampang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan selepas pihaknya berjaya mengesan lokasi yang dijadikan pusat kegiatan penipuan panggilan telefon.
Katanya, walaupun menjadikan Malaysia sebagai pusat, namun sasaran utama sindiket berkenaan adalah rakyat Taiwan dan China.
“Kita berjaya menahan 40 warga Taiwan, 36 warga China dan seorang rakyat tempatan di tiga lokasi berasingan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mortadza, semasa serbuan dijalankan kesemua premis sedang beroperasi dan dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter rasminya mengucapkan syabas kepada jabatan tersebut atas kejayaan yang dilakukan.
“Syabas JSJK @PDRMsia BAman serbu tiga lokasi di Seremban,Taman Ukay dan Melawati Ampang tangkap 77 orang warga China/Taiwan terlibat Macau Scam . #GoPDRMGo,” katanya.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, tindakan ahli sindiket Macau Scam yang didalangi 15 warga asing berselindung di sebalik sebuah banglo di kawasan sebuah perumahan mewah di Iskandar Puteri, di sini tumpas apabila diserbu polis semalam.
Dalam serbuan kira-kira pada 8 malam itu, suspek yang terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita dipercayai terdiri daripada warganegara China dan Taiwan itu sedang sibuk menjalankan kegiatan jenayah mereka di banglo ber­kenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mah Khye Beng berkata, siasatan awal hasil serbuan Op Pelican itu juga, katanya, mendapati sindiket tersebut disyaki menyewa kediaman mewah sebagai pusat panggilan (call centre) bertujuan memperdaya mangsa kumpulan berkenaan yang terdiri daripada warganegara asing.
“Bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan polis, kita menyerbu kediaman mewah itu dan menahan 15 warga asing terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan Macau Scam.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa modem pelbagai jenama, tujuh komputer riba, 41 telefon bimbit dan 10 buah ‘router’ dipercayai digunakan suspek menjalankan aktiviti mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/77-warga-asing-terlibat-macau-scam-1.205111#sthash.8GUccCjy.dpuf

Pegawai tentera AS beri maklumat pada kontraktor Malaysia dipenjara

Leonard Francis

Leonard Francis
LOS ANGELES 26 Mac – Seorang pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat (AS) dihukum penjara selama 46 bulan dan denda sebanyak AS$70,000 (RM281,398) atas kesalahan memberi maklumat sulit kepada seorang kontraktor Malaysia sebagai tukaran kepada pelacur dan hadiah mewah.
Kapten Daniel Dusek, 49 turut diperintah membayar balik sebanyak AS$30,000 (RM120,599) kepada pihak anggota tentera laut dalam skandal rasuah terbesar membabitkan pasukan tersebut.
“Mahkamah tidak boleh membayangkan dalam kedudukan kamu sebagai anggota tentera laut AS sanggup menjual maklumat itu untuk memperoleh bilik hotel, hiburan dan perkhidmatan pelacur,” kata Hakim Janis Sammartino dalam penghakimannya di Mahkamah San Diego, California, kelmarin.
Dusek yang mengaku bersalah pada Januari 2015 atas tuduhan bersubahat melakukan rasuah merupakan antara beberapa pegawai tentera laut yang masih bertugas dan bersara yang didakwa terlibat dalam skandal membabitkan berjuta-juta dolar.
Ketika itu Dusek berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk Armada ke-7 AS.
Individu utama skandal tersebut, seorang kontraktor, Leonard Francis juga mengaku bersalah pada tahun lalu dalam kes berkenaan.
Dia mengaku syarikatnya yang beribu pejabat di Singapura, Glenn Defense Marine Asia (GDMA) yang menyediakan perkhidmatan pelabuhan, sering menyediakan makanan, minuman keras, penginapan hotel mewah dan hadiah-hadiah lain bagi memastikan kapal-kapal tentera laut AS berhenti di pelabuhan di tempat GDMA beroperasi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Dusek pernah mengaturkan agar kapal pembawa pesawat, USS Abraham Lincoln supaya berhenti di Pelabuhan Kelang, Malaysia, sebuah pelabuhan terminal yang dimiliki Francis.
Menurut para pegawai, kunjungan ke pelabuhan itu pada 2010 menelan kos kira-kira AS$1.6 juta (RM6.4 juta) kepada AS.  AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pegawai-tentera-as-beri-maklumat-pada-kontraktor-malaysia-dipenjara-1.205093#sthash.jnMpK34O.dpuf