Search This Blog

Saturday, March 19, 2016

Hutang lama punca pergaduhan

 Hutang lama punca pergaduhan
Polis mengawal di lokasi kejadian.
MUHAMMAD AFHAM RAMLI

BANTING - Perbincangan tentang permasalahan hutang lama membawa kepada insiden pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Sultan Alam Shah berhadapan stesen minyak, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Zailan Tasir berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada jam 12.10 tengah malam tadi bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awam di tempat kejadian, punca pergaduhan disebabkan masalah hutang lama.
"Dua pihak sedang berbincang dan ingin menyelesaikan masalah, tiba-tiba datang sekumpulan lelaki telah masuk campur.
"Perkara itu kemudian telah menimbulkan kekecohan sehingga melibatkan pergaduhan," katanya.
Beliau berkata, sebuah kereta jenis Proton Wira telah dirosakkan.
Katanya, siasatan dapati kereta tersebut adalah milik lelaki yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Mengulas tentang individu yang terlibat, polis akan jalankan siasatan termasuklah memburu individu-individu yang terlibat dalam kekecohan tersebut.
Selain itu, Zailan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kononnya pergaduhan itu mempunyai kaitan tentang perkauman.
"Polis memandang serius perkara ini dan tindakan boleh diambil kepada mana-mana individu yang memutar-belit tentang kejadian tersebut," katanya.

Tiga tabung masjid dikopak

WARTAWAN SINAR HARIAN

Tiga tabung masjid dikopak

 Rakaman CCTV mendapati dua individu disyaki melakukan kegiatan jenayah ini.


 KEPALA BATAS - Kariah Masjid Jamek Pongsu Seribu gempar apabila tiga tabung milik masjid itu dikopak oleh dua penjenayah dalam satu kejadian lewat petang kelmarin.
Pengerusi masjid, Abdul Razak Awang, 63, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang.
"Kehilangan disedari siak yang datang ke masjid kira-kira jam 6.45 petang. Sampai-sampai masjid, dia lihat tiga tabung sudah dikopak dan duit turut hilang.
"Dua tabung diletakkan dalam masjid, satu lagi diletakkan di kawasan ruang legar," katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah dapat mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini.
"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mendapati terdapat sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki dan perempuan.
"Laporan polis dah dibuat malam kelmarin. Saya harap mereka yang bertanggungjawab dapat dikenakan hukuman setimpal," katanya.
Abdul Razak berkata, pihaknya kesal dengan perbuatan ini.
"Duit dalam tiga-tiga tabung itu tak dikutip sejak dua minggu lalu, sekarang dah hilang dicuri pula," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komissioner Azmi Adam berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Buat masa ini, siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat sedang dijalankan berdasarkan rakaman CCTV di masjid itu.
“Pihak polis juga berharap agar pihak pengurusan masjid lebih berwaspada dan peka terhadap keselamatan agar perkara ini tidak lagi berulang di masa hadapan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pegawai kanan kerajaan ditahan seleweng dana RM100j

FAIRUS MOHD

Pegawai kanan kerajaan ditahan seleweng dana RM100j

 Antara barangan berjenama dan barang kemas milik pegawai kanan kerajaan berkenaan yang disita.

PUTRAJAYA – Seorang Setiausaha Bahagian di sebuah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 17 Mac lalu selepas disyaki terlibat dalam sindiket menyeleweng dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, lapan lagi suspek ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor.
Menurutnya, pegawai kerajaan berkenaan disyaki menjadi 'mastermind' yang mengarahkan salah sebuah agensi kementerian itu membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor bagi tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.
“Pegawai kanan yang berusia 56 tahun itu telah mula berkhidmat dengan kementerian tersebut sejak 1998 dan dilantik sebagai setiausaha bahagian kira-kira lapan tahun lalu.
“Hasil siasatan awal, kegiatan sindiket ini telah berlaku sejak 2010 sehingga sekarang dan SPRM tidak menolak kemungkinan kegiatan penyelewengan itu telah berlaku beberapa tahun sebelum itu,” katanya dalam satu sidang media, di sini.
Beliau berkata, pegawai kanan tersebut menerima habuan daripada pihak kontraktor antaranya rumah, kereta mewah, pembayaran insuran dan unit amanah bernilai jutaan ringgit selain penggunaan kemudahan kad kredit supplementary serta pengubahsuaian rumah.
“Suspek juga didapati hidup terlalu mewah sehingga mampu membeli jam tangan dan beg tangan berjenama, pakaian serta barangan kemas yang ada diantaranya bernilai RM600, 000 selain kerap ke luar negara menggunakan penerbangan kelas pertama.
“Anggaran suapan yang diterimanya adalah mencecah RM20 juta dan SPRM telah bertindak menyita sejumlah 69 akaun bernilai RM8.33 juta, selain membekukan semua aset-aset miliknya bagi memberi laluan kepada siasatan yang dijalankan. Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula 18 Mac,” katanya.
Azam berkata, SPRM akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya terdapat pihak lain yang turut terlibat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ujarnya lagi, SPRM akan memanggil saksi-saksi terutamanya dari kementerian terbabit untuk membantu siasatan lanjut yang kini giat dijalankan selain melihat sistem dan prosedur kementerian terbabit yang menyebabkan ketirisan dana merugikan kerajaan.
Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kertas siasatan yang dibuka SPRM terhadap isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan pembelian rumah jenis banglo pada harga rendah dari harga pasaran serta isu berkaitan penjualan tanah di negeri itu.
“Buat masa ini SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang diterima pihak kami, sebarang perkembangan akan diberitahu kelak,” katanya.

Diserbu leka berjudi

Seremban: Lapan individu termasuk dua wanita yang sedang leka berjudi di dua premis perjudian di Seremban Jaya, di sini, ditahan pihak berkuasa dalam Ops Judi, malam tadi.
Mereka berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam operasi bermula jam 11 malam yang dijalankan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dengan kerjasama polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Pengarah Jabatan Undang-undang dan Penguatkuasaan MPN Syamsul Amri Ismail berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya yang mendapati masih ada pusat hiburan keluarga dan pusat siber yang baru beroperasi meskipun lesen perniagaan berkenaan sudah tidak dikeluarkan sejak tahun lalu.
ANTARA pelanggan yang ditahan untuk disoal siasat ketika bermain permainan judi talian di Seremban Jaya. FOTO Hazreen Mohamad
"Kita menyerbu dua premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian. Salah satunya berselindung di sebalik kafe dan sebuah lagi premis adalah pusat siber. Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua premis berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen.
"Kita akan mengenakan tindakan terhadap pengusaha premis dan mengeluarkan notis kepada pemilik premis berkenaan. Dalam operasi itu, polis turut menahan empat penjaga premis untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Hiburan Pihak Berkuasa Tempatan dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 10:47 AM

Wang AS$81 juta lesap


.
AFP - DEGUITO mengangkat sumpah sebelum menjawab soalan panel penyiasat Senat Filipina di Manila pada Selasa lepas

DHAKA – Gabenor bank pusat Bangladesh, Atiur Rahman dan dua timbalannya meletak jawatan berhubung kehilangan AS$81 juta (RM328.43 juta) wang milik institusi kewangan itu dalam satu rompakan siber yang disifatkan terbesar dalam sejarah dunia.
Beberapa penggodam memin­dahkan wang itu antara 4 dan 5 Februari lalu semasa cuti hujung minggu yang jatuh pada hari Jumaat di Bangladesh. Bank itu ditutup pada hari berkenaan.
Mereka memindahkan wang tunai itu menerusi transaksi elektronik daripada akaun bank berkenaan di Bank Rizab Persekutuan New York, Amerika Syarikat ke beberapa akaun di cawangan Rizal Commercial Banking Corp (RCBC) di Manila, Filipina.
Menurut beberapa laporan, kumpulan penggodam itu menceroboh sistem komputer bank pusat Bangladesh untuk mencuri data bagi me­lakukan pemindahan wang.
Mereka kemudian menghujani Bank Rizab Persekutuan New York dengan hampir 36 arahan untuk memindahkan wang daripada akaun bank pusat Bangladesh kepada beberapa entiti di Filipina dan Sri Lanka.
Empat permintaan bagi memin­dahkan wang kira-kira AS$81 juta berjaya tetapi arahan kelima melibatkan transaksi AS$20 juta (RM80.85 juta) kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sri Lanka disekat selepas penggodam-penggodam itu tersilap mengeja nama NGO tersebut, Shalika Foundation sebagai Shalika Fandation.
Kesilapan itu menyebabkan bank laluan transaksi itu, Deutsche Bank menghubungi bank pusat Bangladesh yang bertindak menghentikan pemindahan wang itu.
Siasatan polis mendapati masalah mesin pencetak dan perisian menyebabkan bank pusat Bangladesh mengambil masa hampir empat hari untuk menghantar permintaan rasmi kepada bank-bank di seluruh dunia supaya menghentikan pemindahan wang itu.
Kumpulan penggodam itu pada awalnya cuba mencuri AS$1 bilion (RM4.04 bilion) simpanan antarabangsa milik bank pusat Bangladesh tetapi hanya berjaya melarikan AS$81 juta.
Wang tersebut dipindahkan ke akaun milik seorang ahli perniagaan berketurunan Cina di Filipina, William So Go. Dia kemudian didakwa memindahkan wang itu ke dalam akaun beberapa kasino di Filipina untuk proses pengubahan wang haram.
Peguam ahli perniagaan itu bagaimanapun memberitahu bahawa tandatangan anak guamnya telah ditiru bagi mengeluarkan wang tersebut.
Akaun ahli perniagaan berkenaan kini dibekukan pihak berkuasa Filipina.
Kelmarin pengurus cawangan RCBC di Manila, Maia Deguito memberitahu panel siasatan Senat bahawa dia memindahkan wang AS$81 juta itu ke beberapa akaun berlainan kerana bimbang nyawa­nya mela­yang. Bank pusat Bangladesh mempunyai rizab luar negara berjumlah berpuluh-puluh bilion AS. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz43JkO8qDy 
Hakcipta terpelihara