Search This Blog

Thursday, March 17, 2016

Remaja 16 tahun ditahan pecah masuk rumah

MOHD TAHA YAACOB

 17 MAC 2016
Remaja 16 tahun ditahan pecah masuk rumah

 Har menunjukkan jeriji besi tingkap rumah abangnya di Kampung Padang Luas yang dipercayai diumpil dengan besi kuku kambing.

 KAMPUNG PADANG LUAS - Seorang tukang cat kereta tidak menyangka seorang remaja yang berperwatakan baik selepas ditangkap, rupa-rupanya kaki pecah rumah di sekitar kampung berkenaan.
Lelaki tersebut yang mahu dikenali sebagai Har, 53, berkata, dia dan penduduk lain memberkas remaja berusia 16 tahun itu selepas suspek memecah masuk rumah abangnya di belakang Masjid Padang Luas, kira-kira jam 10.30 malam, Isnin lalu.
Menurutnya, dia terserempak dengan suspek ketika pergi ke rumah abangnya (bersebelahan rumah) untuk menutup suis wifi kerana mereka sekeluarga meninggalkan rumah tiga hari sebelum itu untuk bercuti di Kuala Lumpur.
“Anak lelaki, 10, masuk ke dalam rumah untuk menutup suis. Saya pula menunggu di luar sebelum dikejutkan dengan jeritan anak saya.
“Saya bergegas masuk ke dalam rumah dan melihat kelibat seorang lelaki menerpa, lalu menendang bahu saya dan melompat pagar untuk melarikan diri ke arah dewan orang ramai di hadapan rumah,” katanya.
Menurut Har, ketika dia mengejar suspek, isterinya yang berada di rumah menjerit apabila melihat dua lagi suspek keluar melalui dapur rumah untuk melarikan diri.
Katanya, dengan bantuan jiran, suspek pertama yang belajar di sebuah kolej teknikal di Bachok, Kelantan diberkas di dalam dewan tersebut.
“Sebaik melarikan diri, suspek masuk ke dalam dewan dan merampas raket badminton daripada seorang kanak-kanak bagi mengaburi mata penduduk yang sedang mencarinya.
"Selepas ditangkap, suspek mengaku memasuki rumah itu bersama dua rakan yang masih belajar, termasuk seorang pelajar tingkatan dua di sekolah menengah berhampiran," katanya.
Har berkata, melihat wajah dan percakapan suspek, dia tidak menyangka suspek kerap melakukan pecah rumah di sekitar kampung berkenaan.
Menurutnya, difahamkan suspek terlibat dengan 11 kes pecah rumah di kampung berkenaan dan beberapa kampung berhampiran.
"Suspek yang tinggal di kawasan berdekatan ditahan polis, sementara dua rakannya dikenal pasti penduduk tinggal kira-kira 1 kilometer dari tempat kejadian.
"Suspek bersama rakannya sempat menggeledah sebuah bilik sebelum dikejutkan anak saya yang masuk ke dalam rumah untuk menutup suis wifi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah mengesahkan kejadian dan suspek ditahan reman untuk membantu siasatan.
Menurutnya, polis turut merampas satu besi kuku kambing dipercayai digunakan suspek untuk mengumpil jeriji tingkap dapur rumah berkenaan.
“Polis mengenal pasti dua rakan suspek dan usaha menangkap mereka sedang dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah," katanya.

Dua tauke kecil dadah dicekup

Dua tauke kecil dadah dicekup
R Supramaniam
NURULAINI MOHAMED ALI

FELDA GEDANGSA - Dua pengedar termasuk sembilan penagih dadah berjaya dicekup Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor dalam Op Sarang di ladang kelapa sawit di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, serbuan dibuat di felda berkenaan bermula jam 4 pagi dan berakhir jam 12 tengah malam.
“Seramai tiga pegawai dan 32 anggota kita turun padang bagi menyerbu port penagihan.
“Dalam operasi berkenaan kita berjaya rampas dadah jenis heroin seberat 157.64 gram, syabu 0.70 gram dan heroin seberat 157.27 gram dalam rampasan berasingan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah berjaya dicekup di bawah Langkah Pencegahan Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1985.
“Satu lagi tangkapan turut dibuat melibatkan seorang lagi pengedar di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya lagi, sembilan penagih turut berjaya dicekup dalam operasi berkenaan.
“Pihak kami mahu beri peringatan kepada semua operasi ini akan diadakan secara berterusan bagi memastikan Hulu Selangor bebas dari dadah. Orang ramai yang punya maklumat juga disaran beri maklumat terus kepada polis bagi membantu kami menyiasat dan membongkar kegiatan terbabit,” tegasnya.

Pencuri kereta tak dapat lari

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai terbabit dengan jenayah curi kereta ditahan polis berdekatan restoran di Jalan Mata Ayer Tiga off Jalan Genting Kelang, Setapak, dekat sini, kelmarin selepas dikejar kereta peronda (MPV) dari Jalan Gombak.
Sebelum kejadian jam 9.50 malam, suspek berusia 38 tahun yang memandu Proton Wira dipercayai kenderaan curi mula dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Batu Tiga, Jalan Gombak berhadapan Sekolah Menengah Chong Hwa.
Berikutan itu, anggota MPV cuba mengejar kenderaan dinaiki suspek untuk pemeriksaan lanjut, namun ia memecut laju hingga memasuki arah lorong belakang restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ketika memasuki lorong berkenaan, kereta yang dinaiki dua suspek itu dipercayai rosak dan tidak dapat bergerak.
Menurutnya, difahamkan, kereta berkenaan mengalami masalah gear menyebabkan dua MPV polis berjaya mengepungnya.
“Kedua-dua suspek pada mulanya cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka berjaya ditangkap,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, kenderaan dinaiki suspek mula dikesan MPV ketika melalui Batu Tiga Jalan Gombak berhadapan Sekolah Menengah Chong Hwa dalam keadaan mencurigakan dan apabila polis cuba menahan, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut dengan memandu secara berbahaya.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan dipandu suspek berusia 38 tahun itu kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Pudu,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk curi kenderaan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:15 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/123334#sthash.OOtQ90KX.dpuf

8 suspek dalang jual darjah kebesaran palsu ditahan

RABU, 16 MAC 2016 @ 11:45 AM



Oleh Balqis Jazimah Zahari bhnews@bh.com.my



IPOH: Polis sudah menahan lapan individu termasuk seorang dipercayai dalang utama dalam sindiket penjualan dan pemberian darjah kebesaran palsu di negeri ini sejak 16 Februari lalu mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.  

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi, berkata semua suspek berusia lingkungan umur 35 hingga 63 tahun itu ditahan di beberapa negeri antaranya Perak, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam Ops Anugerah yang dijalankan polis Perak dengan kerjasama Bukit Aman.

  Beliau berkata, semua yang ditahan direman mengikut Seksyen 4(2) POCA 1959 dan sedang menunggu Lembaga Pencegahan Jenayah bersidang.

 "Dalang utama sindiket ini juga sudah berjaya ditahan dan polis masih mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan ini.

 "Ops Anugerah ini dijalankan bagi menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan polis akan membuat kenyataan lanjut mengenai tangkapan ini dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis (PRP) di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini, sebentar tadi.

 Semalam, Sultan Nazrin dalam titahnya menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit kegiatan menjual dan menganugerahkan darjah kebesaran palsu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134185

Suami isteri didakwa edar dadah

KHAMIS, 17 MAC 2016 @ 12:18 PM
Oleh Nahar Tajri nahar@bh.com.my

 JITRA: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 247 kilogram, awal bulan ini.

Abdul Rahman Mohd Zain, 55, dan isterinya seorang warga Thailand, Sophaporn Saengsiri, 44, dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 Mac lalu, di alamat Jalan Teja 8/1, Taman Teja Changlun, Kubang Pasu. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam J Shamsher Shing, ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu kepada Abdul Rahman, dan bahasa Thailand kepada Sophaporn.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, J Savinder Singh, di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Jun depan sementara menunggu hasil laporan Jabatan Kimia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134497

Lelaki Amerika ditikam penyamun

Kuala Lumpur: Padah menikam seorang lelaki warga Amerika ketika menyamun, seorang lelaki tempatan berjaya ditahan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam kejadian kejar-mengejar di Jalan Pinang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, seorang lelaki warga asing yang berjalan dari Pasar Seni untuk pulang ke hotelnya diserang suspek dari arah belakang.
Zainol (tengah) menunjukkan pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa warga Amerika. FOTO Nabihah Kamal
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, suspek berusia 33 tahun itu menikam bahagian belakang badan mangsa sebelum meminta menyerahkan wang.
"Mangsa yang enggan menyerahkan wang terus menolak suspek ke bahu jalan. Pihak polis yang terlihat pergelutan itu terus mengejar suspek sejauh 300 meter dan berjaya menahan lelaki itu.
"Hasil pemeriksaan menjumpai pisau dan suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kesalahan merusuh," katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi, petang tadi.
Susulan itu, suspek direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.
Sementara itu, lelaki warga Amerika yang cedera akibat insiden itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 3:46 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/123463#sthash.MgHOQfnG.dpuf

Suspek curi lembu 'rentung' maut

Jertih: Seorang daripada suspek kes curi lembu 'rentung' yang ditahan polis di Kampung Bukit Kenak, dekat sini, disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Besut, 2.10 petang semalam.
KEADAAN kereta jenis Nissan Cefiro dipercayai terbabas dan terbakar bersama seekor lembu di dalamnya di Kampung Bukit Kenak, dekat sini, awal pagi semalam. FOTO Mohammad Ishak
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa berumur 48 tahun dari Machang, Kelantan, meninggal dunia dipercayai akibat cedera dalaman selepas terbabit kemalangan yang menyebabkan kereta dinaikinya terbakar sekali gus mengakibatkan lembu dibawa dalam kenderaan itu rentung.
"Hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa yang dilakukan oleh Unit Bedah Siasat dari Hospital Kuala Lumpur, dijangka diketahui Sabtu ini," katanya hari ini.
Dalam kejadian 4 pagi semalam, mangsa ditahan polis ditempat kejadian kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.
Seorang lagi suspek sempat melarikan diri manakala seekor lembu yang berada dalam kereta berkenaan rentung apabila kereta jenis Nissan Cefiro dinaiki hangus terbakar selepas terbabit kemalangan di Kampung Bukit Kenak.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 3:28 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/123461#sthash.ooC0jAjn.dpuf

Suspek curi lembu meninggal dunia

17 MAC 2016

Seekor lembu betina ditemui mati di dalam kereta yang hangus terbakar di tapak pasar malam Bukit Kenak, Jertih. - Foto Sinar Harian

 BESUT – Salah seorang daripada suspek yang disyaki mencuri seekor lembu betina yang rentung dalam kereta di Kampung Bukit Kenak, Jerteh di sini semalam meninggal dunia.
Suspek yang berumur 48 tahun dan berasal dari Kelantan itu meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Besut, dipercayai tercedera setelah kereta yang dinaikinya bersama lembu dan seorang lagi suspek terbabas dan terbakar di tepi Jalan Kuala Terengganu-Jerteh setelah diekori anggota peronda polis.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dua lelaki putih mata, lembu dilarikan rentung]
Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika mengesahkan kematian lelaki itu memberitahu bahawa suspek meninggal dunia kira-kira jam 2.10 petang semalam.
Beliau yang enggan mengulas lebih lanjut memberitahu punca kematian masih disiasat dan laporan mengenainya akan diketahui selewat-lewatnya Sabtu ini.
Dalam kejadian yang berlaku awal pagi semalam mangsa bersama seorang suspek lain yang masih bebas telah dikesan oleh anggota Peronda MPV sedang membawa seekor lembu dalam sebuah kereta jenis Nisan Cefiro di kawasan Jabi dekat Jerteh kira-kira jam 3.40 pagi.
Suspek kemudiannya diekori oleh anggota peronda berkenaan tetapi setelah menyedari mereka diekori, suspek telah memecut kereta ke arah Jerteh sebelum terbabas dan terbakar di sebelah kanan jalan dekat di Kampung Bukit Kenak dan pihak bomba terpaksa dipanggil untuk memadam kebakaran.
Bagaimanapun lelaki itu berjaya ditahan oleh polis manakala seorang lagi suspek yang dipercayai pemandu kenderaan itu berjaya meloloskan diri. - Bernama

SPRM bongkar kes tuntutan palsu


Penolong pengarah didakwa hari ini

KUALA LUMPUR 16 Mac - Seorang penolong pengarah wanita di Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini esok atas pertuduhan rasuah berkaitan satu kes tuntutan palsu yang dibongkar oleh pasukan Op Tiris.
Ahmad Khusairi Yahaya
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.
Menurut beliau, pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Satu tuntutan bernilai RM7,500 dibuat oleh suspek pada 2012 berkaitan kerja-kerja mengendalikan perkhidmatan menguruskan bengkel kerja pengurusan aktiviti kejurulatihan pusat kokurikulum oleh sebuah syarikat.
“Namun, kerja-kerja itu sebenarnya tidak dilaksanakan oleh kontraktor terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas isu berkaitan, Ahmad Khusairi memberitahu, jika sebelum ini masyarakat hanya menumpukan kepada kes-kes yang melibatkan penguatkuasaan sahaja, kes-kes melibatkan perolehan tidak kira kerajaan ataupun swasta jauh lebih serius dan besar jumlahnya.
“Oleh itu, setiap ketua jabatan perlu memberi perhatian supaya ketirisan seperti ini tidak terus menerus menjadi masalah dalam organisasi.
“Meskipun kita mempunyai polisi yang baik berhubung peraturan dan tatacara kewangan, tanpa pengawasan dan pemantauan rapi ia boleh dimanipulasi oleh pegawai yang tidak berintegriti,” ujarnya.
Ahmad Khusairi menambah, satu pasukan khas di bawah unit pemeriksaan dan perundingan turut ditubuhkan bagi mengkaji semua kes berkaitan Op Tiris bagi mengenal pasti punca dan kelemahan sehingga membuka ruang dan peluang rasuah.
“Setakat ini, kita dapati terdapat perkembangan positif dalam Op Tiris apabila ada beberapa agensi kerajaan sudah mula meminta kerjasama SPRM untuk membantu melihat sistem perolehan mereka,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sprm-bongkar-kes-tuntutan-palsu-1.201427#sthash.IJk4LQtI.dpuf

Akaun RM2.6j dibeku, 10 kenderaan disita

Reman dua suspek disambung, dua lagi dibebaskan


KUALA LUMPUR 15 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur hari ini membekukan akaun bank bernilai RM2.6 juta milik tiga daripada empat suspek yang ditahan dalam Op Tiris bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang dana kebajikan untuk pesakit kronik dan miskin bernilai lebih RM20 juta.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berkenaan ialah bekas pegawai kanan kerajaan yang merupakan penasihat dana kebajikan dan dua pengarah syarikat.
Ujarnya, SPRM Kuala Lumpur turut menyita 10 kende­raan milik suspek dan syarikat berkaitan.
Bagaimanapun katanya, tempoh reman dua suspek iaitu bekas pegawai kanan kerajaan dan seorang pengarah jabatan disambung selama sehari bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“Tahanan reman dua suspek terbabit dilanjutkan sehingga esok. Dua lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan empat individu termasuk seorang wanita bergelar Datuk ditahan SPRM Kuala Lumpur semalam melalui Op Tiris yang dilancarkan sejak 1 Mac lalu kerana dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana kebajikan yang sepatutnya disalurkan terhadap pesakit kronik dan miskin berjumlah lebih RM20 juta.
Kesemua suspek itu terdiri daripada seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan, dua pe­ngarah syarikat dan seorang bekas pegawai kanan kerajaan yang juga penasihat kepada sebuah dana kebajikan yang dipercayai menjadi perancang utama dalam kegiatan terbabit.
Mereka ditahan kira-kira pukul 3 pagi di kediaman masing-ma­sing itu berusia antara 50 tahun hingga 59 tahun.
Suspek didakwa terlibat dalam penyelewengan itu bagi membolehkan beberapa syarikat peruncitan yang beroperasi di lebih 40 premis kerajaan seluruh negara dipilih tanpa melalui proses tender yang sah kerana suspek utama mempunyai kuasa dalam pemilihan syarikat.
Individu-individu terbabit te­lah mengaut keuntungan tiga peratus daripada lima peratus melalui dana kebajikan yang sepatutnya disalurkan oleh syarikat itu bagi membantu ribuan pesakit kronik dan miskin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/akaun-rm2-6j-dibeku-10-kenderaan-disita-1.201106#sthash.rA7VziPi.dpuf

Guru al-Quran 
dakwa ditipu

Suspek dipercayai larikan RM48,000


ABDUL KADIR ABDULLAH menunjukkan laporan polis dan gambar seorang
ABDUL KADIR ABDULLAH menunjukkan laporan polis dan gambar seorang lelaki yang didakwa melakukan penipuan dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Aizzul A. Majid
KUALA LUMPUR 16 Mac - Seorang guru mengaji mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM48,000 dalam penerbitan buku tajwid al-Quran apabila rakan perniagaannya bertindak melarikan wang tersebut dan tidak dapat dikesan sehingga kini walaupun laporan polis telah dibuat.
Abdul Kadir Abdullah, 62, yang tinggal di Tanjung Karang berkata, dia mengenali suspek yang berusia 59 tahun pada 2009 apabila ingin menjalankan urusan percetakan buku.
Katanya, pada tahun 2014, dia menjalankan urusan percetakan buku tajwid al-Quran sebanyak 30,000 buah naskhah dengan kos perbelanjaan RM48,000 dan hanya perlu membayar keseluruhan apabila bukunya siap dicetak.
“Apabila dia mengatakan semua buku sudah siap dicetak, maka saya pun membayar bayaran itu namun kemudian mendapati dia hanya mencetak 20,000 buah naskhah.
“Suspek juga sebelum ini meminjam wang saya sebanyak RM30,000 dengan alasan mahu menyelesaikan urusan jual beli rumahnya dan berjanji ingin membayar balik dalam tempoh tiga bulan, tetapi dia terus hilang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Abdul Kadir, suspek merupakan pengurus sebuah syarikat percetakan yang menjalankan perniagaan percetakan tetapi mendaftarkan syarikat berkenaan atas nama adik kandungnya sendiri.
“Kali terakhir dia dikesan ialah di Indonesia dan telah berkahwin dengan warga tempatan di sana serta saya dapat tahu dia menjalankan perniagaannya sendiri.
“Saya bersama beberapa orang lain yang juga mendakwa menjadi mangsa penipuan pernah pergi ke syarikat miliknya tetapi sudah lama tutup dan dia juga dilihat berpindah randah di sekitar negara sebelum menetap di Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan, Pengurusan Strategik Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Ryzal Shahrim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis untuk menyelesaikan kes Abdul Kadir dan mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap suspek.
“Abdul Kadir membuat satu laporan polis pada 2014, namun tidak ada sebarang tindakan yang dibuat sehingga kini oleh pihak berkuasa dan bulan Februari lalu, dia berjumpa pihak polis untuk membuka kertas siasatannya semula.
“Kami memandang isu ini sebagai suatu yang serius dan LPKPM akan membawa perkara tersebut ke jawatankuasa timbang tara sebelum diserahkan sepenuhnya kepada pihak mahkamah,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/guru-al-quran-8232-dakwa-ditipu-1.201324#sthash.HmFPTsX3.dpuf

Op Noda: 100 wanita tawar seks diberkas


Tawar khidmat seks di premis hiburan, pusat urutSubhead

KUALA LUMPUR 16 Mac - Sebanyak 100 wa­nita warga a­sing dari lima buah negara yang dipercayai menawarkan khidmat seks diberkas dalam Op Noda di beberapa premis hiburan dan pusat urut di sekitar ibu negara bermula semalam hingga pagi ini.
Khairi Ahrasa
Ketua Penolong Pe­ngarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kesemua wanita yang ditahan terdiri daripada 66 warga Vietnam, tujuh Indonesia, manakala selebihnya adalah warga Thailand, Filipina serta China yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut.
Beliau berkata, turut ditahan dalam operasi berkenaan adalah 14 individu dengan empat daripada mereka adalah wanita yang bekerja dan menjadi penjaga di premis berkenaan.
“Dalam serbuan itu juga kita merampas wang tunai sebanyak RM6,755, peralatan me­ngurut, telefon bimbit, pil pencegah kehamilan, 336 keping kondom, dua set walkie talkie, peralatan hiburan dan karaoke,” katanya di sini hari ini.
Ujar Khairi, berdasarkan siasatan pihaknya, kesemua premis yang menjalankan aktiviti hiburan dan urut itu turut menyediakan perkhidmatan seks dengan bayaran RM150 dan sebahagiannya tidak mempunyai lesen perniagaan.
Jelasnya, kesemua hasil rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Sentul dan Brickfields untuk siasatan lanjut.
“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 kerana tidak mempunyai dokumen, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen iaitu menyalahgunakan pas lawatan dan Seksyen 55(B) kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah.
“Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selain Seksyen 372 A dan B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti persundalan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/op-noda-100-wanita-tawar-seks-diberkas-1.201344#sthash.Z0AhJUef.dpuf

Wanita rugi RM30,000, diugut rogol


KUALA LUMPUR 16 Mac – Seorang wanita kerugian RM30,000 apabila kediamannya di Taman Teratai Mewah, Setapak, di sini dimasuki dua lelaki yang bersenjatakan pistol elektrik semalam.
Mohd. Roy Suhaimi
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, dua lelaki tersebut memasuki rumah berkenaan dan kebetulan mang­sa yang berusia 48 tahun serta empat orang cucunya berada di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supe­rintenden Mohd. Roy Suhaimi Sarif berkata, perompak tersebut mengacukan pistol elektrik kepada mang­sa dan mengarahkan wanita itu masuk ke sebuah bilik sebelum tangannya diikat.
Menurutnya, suspek turut mengarahkan keempat-empat cucu mangsa memandang ke arah lain sementara mereka menggeledah rumah tersebut.
“Suami mangsa berusia 54 tahun yang bekerja sebagai arkitek tiada di rumah ketika kejadian.
“Suspek telah melarikan wang tunai RM4,000 dan pelbagai barangan termasuk 10 utas rantai emas, tujuh bentuk cincin, dua kad kredit, dua iPad dan telefon bimbit yang kesemuanya bernilai hampir RM30,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Roy Suhaimi, rakaman percakapan mangsa belum diambil kerana mangsa yang turut diugut akan dirogol masih trauma dengan kejadian yang berlaku.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/wanita-rugi-rm30-000-diugut-rogol-1.201346#sthash.QEasLS2X.dpuf

Suami isteri didakwa edar kanabis

Jitra: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar kanabis seberat 247.126 kilogram (kg) di Taman Teja, Changlun, Kubang Pasu pada 5 Mac lalu.
PASANGAN suami isteri yang didakwa, hari ini. FOTO Amran Hamid
Tertuduh lelaki Abd Rahman Mohd Zain, 55, manakala pasangannya warga Thailand Sopharon Saengsiri, 44, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan serentak jurubahasa dalam bahasa Melayu dan Thailand di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan kedua-dua tertuduh pada 5 Mac 2016 jam 9.30 pagi di No 42A Jalan Teja 8/1, Taman Teja, Changlun, Kubang Pasu telah mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 247.126 kg.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Savinder Singh dan mahkamah menetapkan 5 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 2:09 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/123457#sthash.VRGs38Rs.dpuf