Search This Blog

Saturday, February 13, 2016

Mayat lelaki disyaki dibunuh ditemui dalam semak


Oleh Safeek Affendy Razali


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan semak di tapak pembinaan Presint 12, berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara, Putrajaya, pagi tadi.
Mangsa ditemui oleh seorang kontraktor Telekom Malaysia (TM) yang sedang membuat pemeriksaan untuk mendapatkan laluan kabel di kawasan berkenaan pada jam 10 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata ketika bertugas, saksi terhidu sesuatu yang busuk sebelum mencari lokasi bau berkenaan.
"Dia kemudian menemui bungkusan plastik hitam dalam kawasan parit kecil dan terlihat gigi dan rahang manusia sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati satu mayat lelaki dewasa tanpa memakai baju ditemui dalam kedudukan bersila," katanya ketika dihubungi BH semalam.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal polis di tempat kejadian, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan di lokasi berkenaan.
"Keadaan mangsa ketika ditemui berseluar pendek dengan kakinya diikat dengan tali nilon merah terus ke leher.
"Mayatnya dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya.
Setakat ini pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa terbabit dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
MAYAT seorang lelaki ditemui di kawasan semak tapak pembinaan di Presint 12, berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara, Putrajaya, pagi tadi.
Saksi kejadian ini diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL ditalian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Pengusaha perabot lemas mandi di Pantai Batu Buruk



Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

OMBAK besar di Pantai Batu Buruk berikutan angin kencang yang melanda kawasan Pantai Timur. - Foto Mohd Syafiq Ambak
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki ditemui lemas, manakala rakan wanitanya kritikal selepas mandi di Pantai Batu Buruk di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu kira-kira jam 6 petang, mangsa Neow Hack Wan, 40, dari Johor Baharu, datang bercuti di bandar raya ini bersama seorang anak perempuan dikenali sebagai Jasmine, 14, dan tiga rakannya sejak tengah hari semalam.
Mangsa seorang pengusaha perabot dikatakan mandi di pantai berkenaan bersama dua rakannya petang tadi, sebelum lemas akibat ditarik ombak besar.
Pegawai Bomba Kanan, Badrul Hisham Mamat, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 6.28 petang sebelum sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian.
"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, mayat mangsa sudah ditemui orang awam, manakala rakan wanitanya diselamatkan dengan bantuan orang awam. Seorang lagi rakan lelaki mereka berjaya menyelamatkan diri.
"Rakan wanita mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan kritikal," katanya.

Pelajar maut kemalangan motosikal

SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 10:30 AM

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


BAHAU: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 2, Jalan Bahau-Juasseh, berhampiran Taman Sornam, malam tadi.
Kejadian jam 9.10 malam itu menyebabkan Mohamad Amer Hasif Zulkefly, 17, dari Kampung Padang Lalang di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa yang menunggang sendirian dari arah Bahau untuk pulang ke rumahnya, dipercayai terlanggar sebuah kereta yang sedang membelok ke satu simpang.
Katanya, rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan, manakala kereta berkenaan terbabas sebelum melanggar sebuah lagi kereta yang diparkir di tepi jalan.
"Pemandu kereta berusia 59 tahun itu parah di muka, manakala isterinya berusia 51 tahun hanya cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah," katanya.

Noorzainy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penari remaja antara 6 ditahan positif dadah



Oleh Norizzah Baharudin

MELAKA: Seorang penari perempuan sebuah pusat tarian seni antara enam yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah dalam satu operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), Bukit Baru, di sini, malam tadi.
Sebelum ditahan, remaja berusia 19 tahun itu cuba memberi helah gagal membuang air kecil ketika diminta menjalani pemeriksaan air kencing sebelum hasil ujian akhirnya mendapati dia positif dadah jenis syabu.
Ops Khas Motosikal itu disertai 129 anggota pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), PUSPAKOM, Jabatan Pendaftaran negeri (JPN) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Zainudin Abdullah, berkata dalam operasi bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu, semua yang ditahan berusia antara 19 tahun hingga 50-an.
"Sepanjang operasi bersepadu ini, seramai 50 individu ditahan menjalani saringan ujian air kencing sebelum enam didapati positif dadah," katanya ketika ditemui dalam operasi itu.
Terdahulu, Zainudin berkata, dalam operasi berasingan pada 2 dan 6 Februari lalu, seramai 111 individu ditahan selepas positif pelbagai jenis dadah daripada 1,037 individu yang menjalani ujian saringan air kencing di seluruh negara.
"AADK turut melaksanakan Ops Terminal di 24 terminal bas di seluruh negara dan lima daripada 2,471 pemandu bas didapati positif dadah jenis syabu, ganja dan morfin.
"Pemandu bas dari Melaka, Perak dan Perlis itu diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (R&P) 1983," katanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan, berkata 751 kenderaan diperiksa pada Ops Khas Motosikal berkenaan dan 168 individu diambil tindakan, manakala 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan lesen kenderaan.
"Antara kesalahan termasuk 36 kes tiada lesen kenderaan memandu (LKM), 26 kes mengikut nombor pendaftaran, lapan kes tamat lesen memandu, tujuh kes tidak pamer P, dua kes membabitkan cermin gelap dan kesalahan lain," katanya.

Jangan kaitkan JPJ dengan kematian peniaga - Pengarah


PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pulau Pinang, Noorul Habib Abdul Guduse. - Foto Amir Irsyad Omar.
BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan mereka dengan kematian seorang ahli perniagaan di Georgetown kelmarin.
Pengarahnya, Noorul Habib Abdul Guduse, berkata pihaknya sedang meneliti dakwaan yang mengaitkan JPJ dengan kematian Syed Amen Jaizul Abidin berikutan satu kejadian di bangunan JPJ Batu Uban, Gelugor yang menjadi viral di media sosial penghujung tahun lepas.
"Pegawai kami sedang meneliti semua bukti termasuk rakaman sidang akhbar yang dibuat oleh sebuah organisasi bukan kerajaan yang menuduh JPJ terlibat dengan kematian Syed Amen.
"Satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi membersihkan nama JPJ serta kami mahu pihak yang tidak bertanggungjawab ini berhenti daripada menabur fitnah terhadap kami," katanya kepada pemberita pada Ops Tahun Baharu Cina di sini malam tadi.
Syed Amen, 46, maut selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi pada 3.30 pagi kelmarin.
- BERNAMA

4 maut, 2 parah nahas 2 kenderaan



Oleh Nik Sukry Ramli

ROMPIN: Empat termasuk tiga sekeluarga, maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 138.8 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Cenderawasih, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.45 pagi itu, mangsa, Foo Kam Long, 45, bersama isterinya, Salamiah Ating, 33, yang menaiki Perodua Kancil maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala anak mereka, Foo Wei Quan,10, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.
Selain itu, turut maut dalam kemalangan itu ialah penumpang hadapan Proton Saga BLM, Muhamad Sharil Sabri, 23, dari Kubang Batang Cabang 4, Tumpat, Kelantan.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata dua mangsa parah adalah anak Kam Long, Foo Weng Ee, 8, dan pemandu Proton Saga, Mohamad Zareqh Emeer Mohd Zainudin, 23.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 3, Perkampungan Orang Asli, Jalan Sabak dari arah Kuantan.  
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Mohamad Zareqh Emeer yang datang dari arah Segamat menghala ke Kuantan dipercayai memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Kam Long.
"Akibat pertembungan itu, Kam Long, Salamiah serta Muhamad Sharil maut di tempat kejadian, manakala Wei Quan yang berada di tempat duduk belakang sempat dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital itu," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. 
Beliau berkata, orang ramai yang kebetulan melalui jalan itu cuba membantu mangsa, namun berdepan kesukaran kerana mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing.
Katanya, mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah yang tiba di lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu. 
"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku di jalan berselekoh dan kita tidak menolak kemungkinan kereta Proton Saga BLM terbabas terlebih dulu sebelum bertembung dengan Perodua Kancil dinaiki empat beranak itu.
"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Polis siasat video suami pukul isteri di tepi jalan

RAKAMAN video lelaki memukul isterinya yang dirakam oleh seorang saksi di tepi jalan berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam, semalam.
SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 5:07 PM

Oleh Mohamed Farid Noh

BATU PAHAT: Polis sedang menyiasat kes seorang lelaki memukul wanita menggunakan kasut yang didakwa berlaku di tepi jalan berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam, dekat sini, petang semalam yang rakaman videonya tersebar di media sosial. 
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki terbabit yang dipercayai suami kepada wanita berkenaan bukan saja bertindak memukul isterinya itu di bahagian badan menggunakan kasut, malah menendang wanita malang itu.
Dalam video berdurasi satu minit itu, lelaki berkenaan turut memukul seorang remaja perempuan yang dipercayai anak pasangan berkenaan sambil wanita itu memeluk erat mangsa bagi melindunginya daripada turut dipukul.
Perbuatan kejam lelaki berkenaan berjaya dirakam pengguna jalan raya dan rakaman berkenaan kini tersebar di media sosial dengan kebanyakan pengguna internet mengecam perbuatan lelaki itu.
Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakannya memukul wanita dan remaja perempuan berkenaan bukan saja tidak berhati perut, malah seolah-olah mahu mengaibkan mangsa kerana dilakukan di khalayak ramai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata pihaknya masih belum menerima laporan daripada mana-mana individu berhubung kes berkenaan dan meminta saksi kejadian  tampil membuat laporan.
"Kita meminta orang ramai yang berada di lokasi kejadian dan menyaksikan insiden berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Kereta ibu dilarikan, kanak-kanak sempat keluar



Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan bernasib baik apabila sempat keluar dari kereta ibunya yang dilarikan seorang lelaki di hadapan sebuah pusat asuhan di Taman Meru Perdana, di sini, petang semalam.
LELAKI yang cuba mengejar suspek cedera selepas jatuh motorsikal akibat dihimpit. - Foto ihsan FB Komuniti Meru Perdana
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, ibu mangsa berusia 38 tahun dikatakan ke pusat asuhan itu untuk mengambil anak bongsunya, manakala anak sulungnya itu yang berusia sembilan tahun ditinggalkan di bahagian tempat duduk belakang keretanya.
Sumber berkata, ibu kanak-kanak itu meninggalkan kereta berkenaan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.
"Ketika wanita berkenaan pergi mengambil anak bongsunya, tiba-tiba anak sulung berlari ke arahnya yang berada di hadapan pintu pusat asuhan berkenaan iaitu kira-kira 40 meter dari lokasi kereta diletakkan.
"Anak sulungnya itu menjerit mengatakan ada orang masuk ke dalam kereta dan terus membawa lari kereta itu," katanya.
Sumber itu berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM82,000 apabila keretanya dilarikan.
KERETA Honda Accord yang dilarikan. - Foto ihsan FB Komuniti Meru Perdana
Katanya, seorang penduduk taman berkenaan yang menyaksikan kejadian itu turut cedera apabila terjatuh daripada motosikal akibat dihimpit suspek ketika mangsa cuba mengejar suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Virus Zika mungkin berlindung daripada sistem imun - Pakar



CHICAGO: Virus Zika berkemungkinan bersembunyi dalam bahagian tubuh yang terlindung daripada sistem imun, menjadikan ia sukar dilawan dan memanjangkan rangka masa yang membolehkan ia dipindahkan, kata pakar Amerika Syarikat.
Penyelidik melaporkan virus Zika boleh dikesan dalam air mani selama 62 hari jika seseorang itu dijangkiti, menambah kepada bukti kehadiran virus itu dalam tisu otak janin, uri dan cecair amnion.
Kerja mereka adalah sebahagian usaha antarabangsa memahami risiko dikaitkan dengan Zika, virus bawaan nyamuk yang menular pantas yang ada kaitan dengan ribuan kes kecacatan kelahiran di Brazil.
"Sehingga kini, kami tahu ia adalah dalam darah untuk jangka waktu terhad, dalam masa sehingga 10 hari. Kami tahu sekarang, melalui pengalaman, ia boleh dilihat dalam air mani. Kami tidak pasti selepas jangkitan disembuhkan, di mana ia berada.
"Semua ini perlu diteliti dengan rapi dalam sejarah semula jadi dan kajian kawalan kes," kata Pengarah Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Dr Anthony Fauci.
Fauci berkata, kehadiran Zika dalam tubuh mengingatkan kepada penemuan ketika penularan Ebola pada 2014. Pada beberapa pesakit, virus maut itu kekal berada dalam air mani dan cecair mata selama beberapa bulan. - Reuters

5.5 juta penduduk dunia mati akibat pencemaran udara

WASHINGTON: Pencemaran udara membunuh lebih 5.5 juta penduduk seluruh dunia setiap tahun, dengan separuh daripada kematian dicatatkan di China dan India, kata penyelidik.
Profesor Michael Brauer dari Sekolah Kependudukan dan Kesihatan Awam Universiti British Columbia di Vancouver, Kanada, berkata bilangan kematian pramatang akan terus meningkat kecuali langkah agresif menangani pencemaran diambil
"Pencemaran udara adalah faktor risiko keempat tertinggi bagi kematian seluruh dunia dan mendahului faktor risiko bagi penyakit," katanya pada seminar Persatuan Kemajuan Sains Amerika Syarikat di Washington.
China dan India mencakupi 55 peratus kematian seluruh dunia setiap tahun disebabkan pencemaran udara.
Kira-kira 1.6 juta penduduk maut akibat pencemaran udara di China pada 2013 dan India menyaksikan 1.4 juta kematian disebabkan punca sama.
Menurut kajian Bebanan Penyakit Global yang dilakukan Institut Kesihatan Metrik, pencemaran udara berada di belakang tekanan darah tinggi, gaya pemakanan dan tabiat merokok sebagai faktor risiko keempat paling buruk bagi kematian di seluruh dunia,
"Mengurangkan pencemaran udara adalah cari paling berkesan memperbaiki kesihatan penduduk," kata Brauer. - AGENSI

Lelaki Florida mengaku salah ancam bom masjid

DUNIA SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 11:03 AM



MIAMI: Seorang lelaki Florida mengaku bersalah melakukan jenayah benci kerana mengancam mengebom dua masjid dan menembak jemaah selepas serangan maut di Paris November lalu.

Martin Alan Schnitzler, 43, dari Seminole, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan menghalang umat Islam mengamalkan kepercayaan mereka, kata Peguam Amerika Syarikat, A Lee Bentley.

Schnitzler mengaku bersalah di hadapan majistret Julie Sneed di Tampa. Defendan berhadapan hukuman penjara 20 tahun tetapi berkemungkinan diberi tempoh kurang berikutan garis panduan persekutuan.

Beliau kekal bebas sementara menantikan tarikh jatuh hukuman yang belum ditetapkan.

Schnitzler mengaku meninggalkan mesej bersuara kepada Persatuan Islam St Petersburg dan Persatuan Islam Pinellas pada 13 November 2015, mengancam jemaah. Kedua-dua mesej merujuk kepada serangan Paris, yang berlaku pada hari sama dan mengorbankan 130 orang.

Schnitzler mengaku ancaman dicetuskan serangan berkenaan. Dalam satu mesej, beliau mengancam 'menghantar militia ke salah satu masjid dan membaling bom api dan menembak sesiapa saja yang kelihatan di kepala.' - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123985

Remaja Britain dikatakan godam akaun CIA, FBI

SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 10:11 AM




WASHINGTON: Polis Britain menahan seorang remaja atas dakwaan menggodam komputer, ketika laporan media menyebut beliau disyaki menceroboh akaun peribadi pegawai perisik tertinggi Amerika Syarikat.

Laporan itu susulan siri serangan oleh penggodam dengan nama skrin 'Cracka' yang menyasarkan pegawai tinggi di Agensi Perisikan Pusat (CIA), Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Keselamatan Dalam Negeri, Rumah Putih dan agensi persekutuan lain.

 Jurucakap polis Britain berkata, pihak berkuasa menahan remaja lelaki 16 tahun itu di East Midlands Selasa lalu atas dakwaan termasuk disyaki "bersubahat menggodam bahan komputer" dan "bersubahat melakukan tindakan dengan niat menjejaskan".

Beliau tidak mengaitkan penangkapan itu dengan pencerobohan komputer, tetapi siaran berita termasuk CNN dan laman web Vice Media, Motherboard, menyatakan suspek dikaitkan dengan siasatan pencerobohan komputer pegawai Amerika.

Bulan lalu, pegawai Amerika Syarikat mendedahkan akaun online peribadi ketua perisik kebangsaan Amerika, James Clapper, diceroboh, beberapa bulan selepas pengarah CIA, John Brennan, berhadapan masalah sama. - AFP


Stealing online information

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123967

Sasar padam tiga kelompok api

Baling: Kebakaran kira-kira empat hektar hutan di puncak Gunung Baling, dekat sini, sejak Khamis lalu, berkurangan apabila hujan lebat, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Nazri Zakaria, berkata pihaknya menggunakan khidmat helikopter Agusta AW 139 untuk operasi pemadaman hari ini.
Beliau berkata, 40 anggota bomba termasuk 13 ahli Pasukan Khas Unit Udara dan penduduk kampung memulakan operasi pada kira-kira 8 pagi ini.
“Biarpun api dah kurang kerana hujan lebat kira-kira 30 minit, ada beberapa kawasan dipercayai tidak terkena air. Oleh itu, Agusta AW 139 digunakan untuk mengangkut air.
“Kita menjangkakan api dapat dipadam sepenuhnya hari ini dengan sumber air yang mencukupi," katanya.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran, semalam, pasukannya menggunakan pesawat Bombadier CL415 dan Agusta milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, pesawat itu melakukan enam siraman 36,000 liter air dengan sumber diambil di Tasik Beris, Sik selain di Pantai Merdeka, Sungai Petani.
"Kita akan memadam tiga kelompok api yang masih terbakar di puncak gunung sehingga keadaan pulih kerana gunung berkenaan adalah hutan simpan yang perlu dipelihara," katanya.
Kebakaran di puncak Gunung Baling pada ketinggian 400 meter dipercayai berpunca daripada kecuaian pendaki yang melakukan pembakaran sampah sehingga merebak.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling Dzohir Md Zain, berkata Gunung Baling ditutup kepada pendaki buat sementara waktu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 12:54 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114707#sthash.EM2azD2d.dpuf

Tiga tahun `jual' istana

Shah Alam: Polis berkas dua lelaki dipercayai anggota sindiket yang menawarkan keahlian palsu Istana Diraja Selangor.
FOTO Intan Nur Eliana Zakaria
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin, berkata modus operandi sindiket adalah memperdayakan mangsa menjadi ahli Istana Selangor dengan bayaran RM10,000 hingga RM20,000.
Menurutnya, setiap daripada mereka akan dibekalkan dengan kad ahli istana berwarna putih dan kuning, surat kuning istana, satu set lambang istana dan set pelekat kenderaan istana.
"Satu laporan polis diterima yang mendakwa wujud kenderaan mirip kenderaan pasukan keselamatan iaitu pengiring istana.
“Berikutan itu, kenderaan itu ditahan di hotel terkemuka di Sri Kembangan, 5 Februari lalu.
"Antara yang dijumpai ketika suspek ditahan adalah pelbagai kad dan surat daripada istana serta komputer riba," katanya pada sidang media, hari ini.
Mohd Sakri berkata, siasatan lanjut terhadap pemandu berusia 27 tahun itu membawa kepada penahanan majikannya berusia 53 tahun dan mereka dipercayai beroperasi sejak 2013.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 419 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 11:52 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114699#sthash.mMN3DLxh.dpuf

Mayat dibungkus plastik hitam

Putrajaya: Mayat lelaki dipercayai dibunuh ditemui dalam bungkusan plastik hitam di kawasan semak berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara, dekat sini pagi tadi.
Mayat itu ditemui kontraktor Telekom Malaysia (TM) kira-kira 10 pagi ketika membuat pemeriksaan untuk mendapatkan laluan kabel telekom di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketika menjalankan tugas, lelaki terbabit terhidu bau busuk, sebelum mencari lokasi bau berkenaan.
"Dia kemudian menemui satu bungkusan plastik hitam dalam parit kecil di kawasan terbabit, selain ternampak rahang dan gigi mayat.
"Selepas memastikan bungkusan berkenaan adalah mayat manusia, pengadu terus menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya,"katanya ketika dihubungi di sini.
Rosly berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki dewasa dan ketika ditemui mangsa tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek.
"Mangsa dipercayai dibunuh, namun identiti mangsa belum dapat dikenal pasti memandangkan kulit badan dan kepala mangsa hanya tinggal tengkorak.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 7:51 PM


Mayat yang ditemui di kawasan semak berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara, Putrajaya, pagi tadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114518#sthash.lYjz4ZFh.dpuf

Lima pemandu dicekup

Johor Bahru: Lima pemandu ditahan kerana positif dadah dalam sekatan jalan raya di Tol Skudai, di sini, malam tadi.
Dalam operasi diketuai Pegawai Penguat Kuasa Lebuhraya Zon Selatan Bukit Aman, Asisten Superintenden Huzaili Yaakob, 54 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan.
Katanya, lima ditahan positif dadah itu terdiri tiga pemandu lori dan dua pemandu kenderaan persendirian.
"Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Dalam operasi ini kita melakukan pemeriksaan terhadap 40 buah bas, 32 lori dan 40 kereta," katanya.
Operasi dibantu 57 anggota Cawangan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Bantuan.
Operasi tiga jam bermula kira-kira 9 malam.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 12:24 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114705#sthash.eexp3QU8.dpuf

Cuba syabu sejak usia 15 tahun

Kajang: Wanita berusia 23 tahun ditahan bersama rakan lelakinya berusia 20-an ketika menghisap syabu di hotel bajet di Taming Jaya, di sini, pagi tadi.
Mereka ditahan dalam Ops Bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang membabitkan 219 anggota bersama Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Perbandaran Kajang.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Sahira itu berkata, dia baru sehari dibebaskan dari lokap Balai Dang Wangi atas kesalahan yang sama.
Katanya, dia ketagih syabu sehingga menghadapi masalah kewangan dan terpaksa menangguhkan pengajiannya di kolej swasta.
"Saya sudah mula mencuba 'barang' (syabu) sejak usia 15 tahun lagi kerana perasaan ingin mencuba dan terpengaruh rakan di sekolah.
"Tak sangka ia menjadi detik permulaan hitam hidup saya dan sehingga kini saya masih menagih dan sudah tujuh kali saya ditahan polis," katanya.
Susulan itu, dia bersama rakannya itu dibawa ke Balai Polis Taming Jaya untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, pemuda berusia 20-an ditahan selepas polis menemui ganja di poket seluarnya ketika membuat pemerikasaan di rumahnya di flat di Taman Taming Jaya.
Operator kilang itu mendakwa ganja yang ditemui itu bukan miliknya sebelum hasil ujian air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah.
Dia mengaku mengambil ganja sejak setahun lalu dan sanggup mengeluarkan RM100 seminggu untuk membeli ganja.
Susulan itu, dia turut dibawa ke Balai Polis Taming Jaya untuk tindakan lanjut.
Selain warga tempatan, warga asing turut ditahan dalam operasi berkenaan kerana beberapa kesalahan, antaranya tiada dokumen perjalanan yang sah dan positif dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan di kawasan sekitar Taming Jaya berikutan pelbagai aduan dan kes yang diterima membabitkan jenayah pecah rumah, ragut, curi kabel, dadah dan warga asing.
"Operasi yang dijalankan ini sebagai inisiatif untuk membendung jenayah di kawasan 'hotspot' jenayah.
"Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak dan pelan yang terancang, kita komited serta optimis dalam menjalankan operasi dari semasa ke semasa untuk menjamin keselamatan masyarakat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 9:04 PM

Antara suspek kes dadah yang ditahan. FOTO Nabihah Kamal
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114536#sthash.VU8kTwxj.dpuf

Denda RM4,000 ugut sebar gambar bogel

Kuala Lumpur: Seorang penganggur yang memeras ugut untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shazarul Ikhmal Rospisham, 20, selepas dia mengaku bersalah terhadap dakwaan memeras ugut mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pelayan restoran dengan menghantar gambar bogel gadis itu bagi mendapatkan wang.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Tun Razak di sini, pada 12 tengah malam, 10 Januari lalu, dan dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda dan sebatan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan pemerasan tidak bermoral itu mendatangkan trauma kepada mangsa.
Peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh, memohon hukuman penjara tidak dikenakan dengan alasan anak guamnya akan melanjutkan pengajian dalam jurusan automotif di sebuah kolej swasta serta menyesal dan insaf dengan perbuatannya.
Mengikut fakta kes, mangsa menerima 20 keping gambar bogelnya daripada tertuduh melalui aplikasi Wechat.
Tertuduh kemudian meminta RM200 bagi setiap keping gambar dan mengugut akan menyebarkan gambar bogel itu jika permintaannya tidak dituruti.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 8:17 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114530#sthash.aUr8D53M.dpuf

Lemas di Pantai Batu Burok [METROTV]

Kuala Terengganu: Lelaki ditemui lemas, manakala rakan wanitanya kritikal selepas mandi di Pantai Batu Burok, di sini, petang tadi.
Lelaki yang ditemui lemas di Pantai Batu Burok, petang tadi. FOTO Imran Makhzan
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku apabila mangsa, Neow Hack Wan, 40, dikatakan mandi di pantai berkenaan bersama dua rakannya sebelum lemas akibat ditarik ombak besar.
Mendiang, seorang pengusaha kedai perabot dan berasal dari Johor Bahru, datang bercuti di bandar raya ini bersama anak perempuannya, Jasmine, 14, dan tiga rakannya sejak tengah hari semalam.
Pegawai Bomba Kanan II Badrul Hisham Mamat, dari Balai Bomba Kuala Terengganu berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 6.30 petang tadi.
“Berikutan itu, sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu ke tempat kejadian.
"Bagaimanapun, sejurus tiba, mayat mangsa ditemui orang ramai sementara rakan wanitanya diselamatkan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lewat petang tadi.
Menurutnya, seorang lagi rakan lelaki mereka berjaya menyelamatkan diri.
“Wanita terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan difahamkan dalam keadaan kritikal," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 9:52 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114544#sthash.ys6ntigx.dpuf