Search This Blog

Friday, February 12, 2016

Kontraktor Lepas, Bebas Daripada Tuduhan Edar Dadah


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 4:43 PM

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor hari ini terlepas daripada hukuman gantung mandatori selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah seberat 934 gram, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Mohd Nizam Syed Kamil, 34, di akhir kes pendakwaan.
Ab Karim ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati tertuduh tidak mempunyai kawalan dan jagaan terhadap barang kes yang ditemui kerana rumah dan bilik yang didudukinya boleh diakses oleh orang lain yang tinggal berhampiran dengan rumah tertuduh selain dua unit telefon bimbit yang ditemui dan dirampas oleh pihak polis dalam rumah berkenaan juga tidak disiasat.
"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapi tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.
Tertuduh yang diwakili peguam Hasnal Redzua Merican kelihatan tenang sebaik mahkamah memberikan keputusan.
Syed Mohd Nizam dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 934 gram di sebuah rumah di No 28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Dang Wangi, pada 5 petang, 24 Jun 2014 dan didakwa mengikut Sesyen 39B(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail telah mengemukakan sebanyak lima saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 5 hingga 8 Januari lepas.-- Bernama

Pemandu Teksi Kes Bunuh Najadi Dibebaskan


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 12:41 PM
Hussain Ahmad Najadi
Hussain Ahmad Najadi.

PUTRAJAYA: Pemandu teksi yang didakwa membawa suspek pembunuh pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi, dibebaskan.
Keputusan tersebut dibuat selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Chew Siang Chee terhadap sabitan dan hukumannya pada Jumaat.
Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara.
Md Raus berkata mahkamah bersetuju dengan pembelaan bahawa pertuduhan tersebut tidak dapat dibuktikan.

Jho Low Terpaksa Jual Tiga Lukisan Dengan Harga Lebih Rendah


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 4:19 PM
Low Taek Jho.

NEW YORK: Ahli perniagaan dari Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang pernah menjadi tumpuan susulan kehidupan mewahnya dan hubungan politiknya dengan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekali lagi menimbulkan gosip dalam dunia seni.
Sejak 3 Februari lalu, Jho Low dikatakan telah menjual hasil karya Claude Monet, Pablo Picasso dan Jean-Michel Basquiat, menurut tiga individu yang mengetahui perkara itu.
Kesemua karya tersebut dijual pada harga AS$54 juta (RM225 juta), iaitu jauh lebih rendah berbanding harga sebenar.
Kerugian yang dialami sekurang-kurangnya bersamaan nilai pembelian dua keping lukisan berkenaan.
Lukisan itu yang dikonsain oleh Low antara karya seni yang dilelong pada acara lelongan Sotheby di London bulan ini.
Ketiga-tiga lukisan tersebut dicagarkan sebagai sebahagian daripada cagaran untuk pinjaman sebanyak AS$100 juta (RM416 juta) daripada perkhidmatan Kewangan Sotheby.
Dua individu yang mendedahkan perkara tersebut bagaimanapun meminta untuk tidak dinamakan kerana maklumat itu sulit.
Pada tahun lalu, Low dikaitkan dengan skandal 1MDB yang mendapat perhatian seluruh dunia.

49 Banduan Maut Akibat Rusuhan Di Penjara Topo Chico


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 10:26 AM

MONTEREY: Pergaduhan menggunakan senjata tajam dan kayu antara dua kumpulan banduan yang bersaing di penjara di bandar utara Mexico ini setakat ini telah meragut 49 nyawa.
Kejadian pada awal pagi itu turut menyebabkan bilik simpanan bekalan di bangunan penjara itu terbakar.
Gabenor Daerah Nuevo Leon, Jaime Rodriguez berkata, 12 yang lain dilaporkan cedera dalam kejadian di Penjara Topo Chico itu.
Susulan itu, polis rusuhan dan ambulans turut dikerahkan ke penjara itu, manakala keluarga banduan berkumpul di luar bangunan untuk mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu.

Bagaimanapun, keluarga banduan itu semakin berang apabila pihak berkuasa penjara masih enggan memaklumkan perkembangan terkini insiden itu, menyebabkan ada yang bertindak membaling batu ke pintu pagar penjara.


Kata Rodriguez, punca kejadian masih disiasat, bagaimanapun ada beberapa banduan yang pernah menjalani hukuman lebih sekali di situ menggunakan nama berbeza.

"Pergaduhan bermula sekitar tengah malam dan ia berlarutan sehingga 40 minit  apabila dua kumpulan banduan itu menyalakan api di kawasan simpanan bekalan," katanya.

Katanya, salah satu kumpulan banduan diketuai kartel dadah Zetas, Juan Pedro Zaldivar Rarias yang juga dikenali sebagai Z-27.

Manakala, kumpulan pesaingnya pula diketuai Jorge Ivan Hernandez Cantu yang juga anggota kartel dadah Gulf.

Bagaimanapun, kedua-duanya bukan antara banduan yang terkorban dalam pergaduhan itu.

Syed Amen Tahu Ada Orang Nak Dia Mati - Isteri


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 10:14 AM
Masita, isteri kepada Syed Amen tidak dapat menahan sebak.

GEORGE TOWN: Pemilik restoran nasi kandar, Syed Amen Jainul Abdin sering memberitahu isterinya bahawa beliau pernah diugut beberapa kali kerana lantang dalam mempertahankan hak kaum Melayu di Pulau Pinang.
Masita Abu Bakar, 46, berkata beliau hanya boleh menasihati suaminya supaya lebih berhati-hati.
"Sebaliknya, dia beritahu saya supaya lebih berdikari sekiranya sesuatu yang buruk menimpa dirinya," kata Masita ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, Khamis.
Masita berkata beliau akan mengambil alih perniagaan suaminya itu.
Pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata.
Adik Syed Amen, Abdul Kadir Jainul Abdin, 42, menyifatkan abangnya itu sebagai lelaki yang suka menghulurkan bantuan kepada rakan yang di dalam kesusahan.
"Dia akan cuba bantu kawan-kawan dan sanggup melakukan apa sahaja. Itu antara sebab mengapa dia sering dikelilingi musuh," katanya.
Abdul Kadir dimaklumkan bahawa kereta yang dipandu Syed Amen ketika dia diserang adalah milik seorang rakannya.
Sebelum insiden itu, Syed Amin berada di sebuah kelab di Jalan Datuk Keramat dengan beberapa rakannya.
Evhy Anggraeni, 24, berkata dia berada di kelab tersebut bersama suaminya, Syed Amen dan beberapa lagi rakan sehingga awal pagi.
"Kira-kira pukul 3.30 pagi, kami meninggalkan kelab itu. Syed Amen beritahu kami supaya balik dahulu manakala dia masih di kelab itu kerana mahu menjawab panggilan telefon.
"Kami balik secara berasingan. Dalam perjalanan balik ke Seberang Prai kami menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan bahawa Syed Amen ditembak," kata Evhy.
Jenazah Syed Amen dikebumikan di perkuburan Islam dekat Masjid Jamek Haji Abdul Rashid dekat Sungai Dua, Seberang Prai.
Kira-kira 100 ahli keluarga dan rakan turut hadir menunaikan solat jenazah di masjid tersebut sebelum upacara pengebumian.

Ugut Sebar Gambar Bogel Bekas Kekasih, Penganggur Didenda RM4,000

Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 5:15 PM

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penganggur memeras ugut untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya berakhir dengan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.
Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shazarul Ikhmal Rospisham, 20, selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan memeras ugut mangsa berusia 19 tahun itu, yang bekerja sebagai pelayan restoran, menghantar gambar bogel gadis itu bagi mendapatkan wang.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Tun Razak di sini pada 12.00 tengah malam, 10 Januari lepas dan didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda dan sebatan. 
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan pemerasan tidak bermoral itu mendatangkan trauma kepada mangsa. 
Peguam Zulkifli Awang yang mewakili Muhammad Shazarul Ikhmal, memohon supaya hukuman penjara tidak dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh akan melanjutkan pengajian dalam jurusan automotif di sebuah kolej swasta selain dia telah menyesal dan insaf dengan perbuatannya itu. 
Mengikut fakta kes, mangsa menerima 20 keping gambar bogelnya daripada tertuduh melalui aplikasi Wechat.
Tertuduh kemudian meminta wang sebanyak RM200 bagi setiap keping gambar dan mengugut akan menyebarkan gambar bogel itu sekiranya permintaannya tidak dituruti. -- Bernama

Anak Perempuan Kantoi 'Berasmara' Bersama Rakan Sekerja Ibu


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 2:42 PM
Gambar hiasan.

KAJANG: Seorang jururawat menemui anak perempuannya berusia 13 tahun sedang melakukan kegiatan sumbang di atas katil bersama rakan sekerjanya di Bandar Baru Bangi pada Rabu.
Tukang cuci hospital berusia 17 tahun itu yang bersembunyi di dalam selimut atas katil wanita tersebut, menawarkan diri untuk mengahwini anak perempuannya.
Sebaliknya, wanita itu bertindak mengheret lelaki tersebut ke balai polis berhampiran.
Ibu tunggal berusia 41 tahun itu pergi bekerja tetapi pulang semula pada pukul 10.30 pagi untuk mengambil barangnya yang tertinggal di rumah.
Polis berkata sebaik tiba di rumah dan masuk ke dalam bilik tidur, wanita itu terkejut apabila mendapati bilik tersebut dikunci.
"Dia mengetuk pintu itu selama 10 minit, bertanya kepada anak perempuannya yang tinggal bersendirian di dalam rumah itu untuk membuka pintu bilik tersebut.
"Selepas beberapa ketika, gadis itu membuka pintu. Ibunya berkata gadis itu tidak berpakaian," kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard.
Wanita tersebut kemudiannya menemui seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang bersembunyi di dalam selimut di atas katil.
Wanita itu kemudiannya mengamuk dan menengking remaja tersebut yang dikenalinya selama beberapa tahun.
Menurut remaja lelaki itu, dia dan anak perempuan wanita tersebut merupakan rakan sekolah dan bercinta selama kira-kira dua tahun.
Remaja lelaki itu turut mengaku melakukan hubungan seks dengan teman wanitanya setiap kali ketiadaan ibunya sejak November 2015.
"Remaja lelaki itu berkata dia akan bertanggungjawab terhadap tindakannya dan sanggup mengahwini anak perempuan wanita tersebut.
"Ibu remaja perempuan itu berfikir seharian mengenainya sebelum membuat keputusan untuk membawa remaja lelaki tersebut ke balai polis," kata Willey.

Polis Rampas Dadah, Tahan Tiga Lelaki Disyaki Pengedar Di Pedalaman Sarawak


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 11:10 AM

KUCHING: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan daripada etnik Kenyah yang disyaki pengedar dadah, selepas memeriksa sebuah kereta dalam rondaan mencegah jenayah di simpang Uma Belor, Sungai Asap, di daerah Belaga, lebih 750km dari sini, Khamis malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata antara yang dirampas satu laras senapang patah buatan sendiri, satu kelopak mengandungi 11 peluru jenis .22, dua peluru senapang patah, sebilah keris, 10 paket dipercayai syabu dan 27 straw juga dipercayai syabu.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berumur antara 32 hingga 40 tahun itu ditahan selepas dua anggota peronda unit MPV mengesan mereka dalam sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di simpang berkenaan pada 10 malam tadi.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau yang mengucapkan tahniah kepada dua anggota MPV yang membuat tangkapan itu berkata pasukan Bahagian Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen akan membuat siasatan susulan mengenai kes rampasan senjata dan peluru berkenaan.
Katanya polis percaya ketiga-tiga lelaki itu terbabit dalam kegiatan mengedar dadah ke kawasan pedalaman di Sarawak.-- Bernama

Abai 15 Panggilan, Pekerja Pusat Beli-Belah Terkejut Rumah Musnah Terbakar


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 11:57 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: "Saya tak sangka 15 panggilan telefon yang tidak dijawab adalah panggilan untuk memaklumkan rumah saya terbakar," demikian reaksi Noriza Ninggal, yang rumahnya terbakar dalam kejadian di Setapak di sini, petang Khamis.

Noriza, 50, yang bertugas di sebuah pusat membeli-belah di Wangsa Maju, berkata dia tidak dapat menjawab panggilan telefon itu kerana sibuk bekerja dan hanya menyedari kejadian tersebut dua jam selepas rumahnya terbakar kira-kira 4 petang tadi.

Kediaman Noriza di tingkat 14 Blok C Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Air Panas di Jalan Usahawan, Setapak, yang didiami sejak lapan tahun lepas, musnah sama sekali akibat kebakaran itu.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dia yang tinggal bersama suami dan tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan, berusia antara enam dan 23 tahun ketika ditemui pemberita, berkata kerugian yang dialami keluarganya dianggarkan RM20,000.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Boy, 24, berkata setelah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh isterinya, dia pergi ke rumah itu untuk cuba memadamkan kebakaran, namun api yang marak menyebabkan dia bersama 20 lagi jiran sukar berbuat demikian.

Katanya, dia dimaklumkan oleh kakaknya yang tinggal di sebelah rumah mangsa bahawa suami Noriza dan anak bongsunya yang berada di rumah ketika itu berjaya menyelamatkan diri.

"Suami mangsa yang panik akibat kejadian itu meminta bantuan kakak saya untuk menghubungi bomba sebelum beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bersama anak bongsunya kerana mengalami kecederaan ringan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Setapak Suki Annuar berkata sistem kebakaran di blok berkenaan yang gagal berfungsi menyukarkan bomba untuk memadamkan kebakaran.

"Bomba terpaksa menggunakan pili bomba terletak di bawah blok sebagai sumber utama mendapatkan air bagi operasi pemadaman. Mujur, jiran mangsa yang membantu memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba di lokasi, sedikit sebanyak membantu kami dalam operasi ini," katanya, sambil menambah api berjaya dipadam sepenuhnya pada 6 petang.

Suki berkata tujuh jentera dengan kekuatan 39 anggota dari balai bomba Setapak, Wangsa Maju, Sentul, Hang Tuah dan Cheras terlibat dalam operasi itu setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.21 petang, dan tiba di lokasi 14 minit kemudian.

Punca kebakaran dan kerugian sebenar masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, Pembantu Operasi Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shamsul Sharil berkata kesemua mangsa akan ditempatkan sementara di sebuah dewan berdekatan, sebelum diberi sebuah unit rumah baharu kelak.

Pemandu Maut Kenderaan Dipandu Langgar Pikap


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 11:06 AM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 27 tahun maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah pikap di daerah Lahad Datu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Affendy Ramin berkata Mohd Nazri Madin Sandakan, yang bersendirian di dalam kereta itu meninggal dunia serta-merta.

Beliau berkata pemandu trak dan empat penumpang lain cedera dalam kejadian pukul10.35 pagi semalam dan dihantar ke hospital berhampiran.

Affendy berkata lapan anggota bergegas ke tempat kejadian di Silam, kira-kira 24 km dari bandar Lahad Datu.

Beliau berkata anggota bomba tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 11 pagi dan berjaya mengeluarkan mayat Mohd Nazri dari bangkai keretanya.

Amin Beyond Pernah Diugut Kerana Pertahan Hak Melayu Pulau Pinang


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 7:30 PM

GEORGE TOWN: Ahli perniagaan Syed Amen Jainul Abidin, 46, yang maut ditembak di Jalan Datuk Keramat di sini awal pagi Khamis pernah diugut beberapa kali kerana lantang dalam mempertahankan hak kaum Melayu di Pulau Pinang.
Isteri mangsa Masita Abu Bakar, 46, berkata suaminya pernah memberitahunya mengenai perkara berkenaan dan berpesan agar mereka sekeluarga lebih berhati-hati.
"Arwah juga sering membantu rakan-rakannya yang dalam kesusahan dan biarpun ramai yang mengenalinya sebagai seorang yang cukup tegas tetapi hakikatnya hatinya mudah tersentuh jika melihat kesusahan orang lain," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini, Khamis.
Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Syed Amen maut selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya  selepas seorang lelaki melepaskan lima das tembakan ke arahnya.
Masita berkata mereka berkahwin sejak 10 tahun lepas dan masih belum dikurniakan cahaya mata kerana beliau mengalami keguguran beberapa kali termasuk yang terbaru pada minggu lepas.
"Saya sangat sedih dan memang sukar untuk menerima kenyataan ini, tapi saya reda dan pasrah kerana ini adalah ketentuan Allah.
"Saya harap pihak polis dapat menangkap orang yang menembak suami saya, secepat mungkin," katanya.
Syed Amen adalah antara aktivis yang aktif mempertahankan kampung dan gerai masyarakat Melayu yang diroboh pihak berkuasa tempatan.
Beliau pernah menerima Anugerah Ikon Bumiputera Pulau Pinang pada 2008.
Pada tahun 2014, kedai cuci kenderaan miliknya di Jalan Arraton di sini pernah dibakar pihak yang dipercayai tidak berpuas hati dengan arwah kerana sangat lantang mempertahankan nasib orang Melayu.
Sementara itu adik mangsa Abdul Kader, 42, berkata beliau dihubungi rakannya yang memaklumkan abangnya telah ditembak namun beliau tidak mempercayai dan meminta kawannya itu melihat mayat berkenaan bagi mengesahkan ia adalah abangnya.
"Saya benar-benar terkejut selepas mendapat berita ini dan memang langsung tidak percaya yang abang saya akan meninggalkan kami dalam keadaan begitu.
"Emak kami yang ketika ini berada di India sangat sedih dan dijangka balik ke Pulau Pinang esok," katanya.
Beliau berkata Syed Amen merupakan anak kedua daripada lima adik beradik  merupakan seorang yang suka menolong orang terutama rakan-rakan yang dalam kesusahan dan tidak mempedulikan ugutan yang dilakukan terhadapnya.
Jenazah Syed Amen dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Dua, Butterworth selepas solat Asar tadi.
Allahyarham seolah-olah sudah dapat merasakan tragedi yang bakal menimpanya kerana menerusi satu status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya di bawah nama 'Amen Beyond', beliau merujuk satu kejadian tembakan dan meramalkan perkara sama akan menimpanya.
Status itu dimuat naik pada 4 Dis tahun lalu yang melaluinya Syed Amen turut meluahkan beliau tidak takut dengan kemungkinan itu.

Ahli Perniagaan Mati Ditembak Baharu Dilepaskan Dengan Ikat Jamin


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 1:35 PM
Anggota polis meneliti kelongsong-kelongsong peluru yang bertaburan berhampiran kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun yang maut di tempat kejadian di Jalan Dato Keramat, awal pagi Khamis. Mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat dalam kereta yang dipandunya. Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi. Siasatan awal mendapati dua lelaki terlibat dalam kejadian itu dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa. -fotoBERNAMA

 
PETALING JAYA: Ahli perniagaan yang mati ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi di Pulau Pinang awal pagi Khamis baharu dibebaskan dengan ikat jamin kerana menuduh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlibat rasuah dengan videonya pernah tersebar di media sosial.

Video enam minit yang menjadi viral akhir tahun lalu menunjukkan Syed Amin Jainul Abidin, 46, berada di luar cawangan JPJ, tidak puas hati apabila tidak dapat  memperbaharui cukai jalan untuk keretanya walaupun  mendakwa semua dokumen sudah disediakan.

Syed Amin, yang menguruskan sebuah restoran nasi kandar dan pusat cuci kereta, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di George Town pada 31 Disember,dengan mengucapkan kata-kata kesat dan berkata “You all semua makan rasuah” kepada pegawai JPJ Asymal Mansur, 41, .

Kejadian didakwa berlaku di luar lobi cawangan JPJ Batu Uban di Gelugor kira-kira jam 4.45 petang pada 26 November.

Syed Amin, dari Jalan Tun Dr Awang Bayan Lepas, menjawab 'ya' apabila ditanya sama ada dia memahami pertuduhan terhadapnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Peguam Syed Amin, Rosli Ismail berkata anak guamnya memiliki beberapa buah kenderaan dan mendapati dia tidak dapat memperbaharui cukai jalannya.

"Saya kemudian menasihatkannya pergi ke JPJ untuk menyiasat mengapa cukai jalan kenderaannya  tidak dapat diperbaharui.

"Apabila dia pergi ke JPJ, pegawai di sana memberitahunya bahawa salah sebuah daripada kenderaan itu telah ditempah pada tahun 2013 di Baling, Kedah, dan kenderaan yang sama juga telah disita oleh JPJ pada tahun 2003," katanya.

Majistret L. Umma Devi membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Februari depan untuk sebutan semula kes penyerahan dokumen.

Syed Amin mati ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal di Jalan Datuk Keramat selepas diekori dua lelaki.

Beliau telah ditembak dua kali di kepala, dua kali di dada dan sekali di lengannya.

Syed Amin didakwa menerima beberapa ancaman bunuh sejak kebelakangan ini.

Pada 13 November  2014, salah sebuah keretanya telah dibakar di pusat cuci kereta selepas tengah malam.

Sepucuk pistol ditinggalkan dalam kenderaannya pada tahun 2012 dan dia mendakwa dua kali menerima ancaman di pusat cuci keretanya selepas kejadian itu.

Mangsa mendakwa ia dilakukan oleh pengedar dadah yang mahu menggunakan pusat cuci kereta itu sebagai pusat transit.

Lebih 300 Penumpang Selamat Lokomotif Terbakar Dekat Kamunting


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 11:45 PM

IPOH: Semua penumpang dan petugas tren Ekspres Rakyat 2, yang lokomotifnya terbakar semasa dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Butterworth, Pulau Pinang berada dalam keadaan selamat.

Lokomotif yang membawa sembilan gerabak itu terbakar di Kampung Kuala Tanjung, dekat Kamunting kira-kira 80 kilometer dari sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufik Abd Sattar mengesahkan perkara itu berdasarkan pemeriksaan ke atas lebih 300 penumpang serta pegawai Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di atas tren berkenaan.

Menurut Mohd Taufik pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 8.43 malam sebelum sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian yang turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.

"Semasa jentera tiba, kepala keretapi (lokomotif) itu telah 30 peratus terbakar dan kebakaran berjaya dikawal kurang daripada 30 minit, tapi semua penumpang selamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis malam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Mohd Noordin Kimi ketika dihubungi berkata semasa kejadian terdapat lima petugas syarikat termasuk dua pemandu di dalam tren itu.

Beliau berkata kecekapan dan kepantasan petugas KTMB yang memisahkan segera gerabak dengan lokomotif yang terbakar sekali gus mengelak daripada berlakunya perkara tidak diingini.

"Sebaik mereka sedar ada kebakaran pada bahagian lokomotif, pemandu terus berhenti dan pisahkan dengan gerabak untuk mengelak api daripada terus merebak," katanya.

Menurut Mohd Noordin semua penumpang akan meneruskan perjalanan ke Butterworth menggunakan tren yang sama selepas lokomotif gantian tiba dari mana-mana stesen di utara

Remaja Maut Tercampak Dari Kereta Akibat Memotong


Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 4:52 PM

KOTA TINGGI: Seorang remaja perempuan maut setelah tercampak keluar kira-kira 500 meter daripada kereta Perodua Kenari yang dipandunya di Km 14, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa Nor Indah Sari Mohamad Norizan, 21, memandu berseorangan dari arah Sungai Rengit menuju  Bandar Penawar apabila dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain namun  gagal menyebabkan keretanya terbabas ke arah bertentangan. 
"Kenderaan mangsa dilapor berpusing sebanyak tiga kali dan tersadai di tebing bukit timbunan tanah. Mangsa pula tercampak keluar sejauh 500 meter," katanya.
Kejadian berlaku kira-kira 7.40 malam.
Dalam kes lain, Rahmat berkata seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditahan di sebuah rumah kongsi di Ladang Foh Chong, dekat Jalan Kota Tinggi-Johor Baharu awal pagi Rabu lepas.
Mereka terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 35 hingga 42 yang bekerja di ladang tersebut sejak dua bulan lepas dan tidak memiliki  dokumen perjalanan sah.-- Bernama

30 hingga 50 maut, banduan merusuh di Mexico

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 10:00 PM


POLIS rusuhan dan ambulans dikerahkan ke penjara Topo Chico selepas insiden rusuhan penjara di bandar utara Mexico. - Foto AFP


MONTEREY: Sekurang-kurangnya 30 maut dalam insiden rusuhan penjara sebelum awal pagi hari ini di bandar utara Mexico, ketika media tempatan melaporkan kepulan asap dilihat keluar dari bangunan penjara itu.

Polis rusuhan dan ambulans turut dikerahkan ke penjara Topo Chico ketika keluarga banduan berang cuba memasuki kemudahan itu dengan membaling batu ke arah pintu pagar penjara terbabit.

Stesen televisyen, Televisa melaporkan, 30 maut sementara stesen televisyen, Milenio melaporkan 50 mangsa termasuk banduan dan kakitangan penjara, maut dalam rusuhan itu. Mileno TV dan akhbar Reforma melaporkan, rusuhan itu meletus selepas banduan cuba melarikan diri. Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi membabitkan angka korban. Jurucakap pasukan keselamatan awam negara Nuevo Leon, Antonio Arguello berkata, rusuhan itu meletus sekitar tengah malam semalam.

 "Pihak berkuasa membentuk kawalan keselamatan dan tiada siapa terlepas. Segalanya berjaya dikawal jam 1.30 pagi. Kami tidak dapat menyatakan berapa ramai yang maut sehingga perkhidmatan forensik memberi laporan dan pihak berkuasa selesai membuat kiraan," kata Arguello. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123484

38 motosikal musnah terbakar


Oleh Fatin Fazlina Yaacob

GEORGETOWN: Sebanyak 38 motosikal yang diletakkan di tingkat bawah sebuah blok rumah pangsa di Taman Jelutong, di sini, musnah terbakar, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu turut mengakibatkan sebuah bilik stor dan tiga kenderaan jenis Proton Saga, Toyota Camry dan Toyota Harrier rosak teruk.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 pagi sebelum dua jentera bersama 14 anggota tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit.
Sebahagian dari 38 buah motosikal yang musnah serta tiga kenderaan rosak teruk dalam kebakaran di Taman Jelutong, Georgetown, pagi ini. - Gambar ihsan Bomba
"Sebaik tiba, bomba mendapati sebahagian motosikal di tingkat bawah blok rumah pangsa berkenaan sedang terbakar dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke seluruh kawasan berkenaan. Kebakaran kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 6.50 pagi," katanya.
Ketika ini, pegawai forensik bomba sedang melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kejadian.

10,000 jenayah siber setiap tahun

Kuala Lumpur: Kadar jenayah siber sedang meningkat di negara ini dengan purata 10,000 kes dilaporkan setiap tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Dr Amirudin Abdul Wahab, ia membabitkan pelbagai jenayah dengan yang tertinggi membabitkan penipuan dalam talian dari aspek sistem teknikal dan selebihnya pencerobohan sistem maklumat sesebuah organisasi.
"Terdapat trend di peringkat antarabangsa menunjukkan jenayah siber boleh mengatasi jumlah jenayah tradisional dari segi jumlah kerugian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili CSM menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkaitan kerjasama dalam bidang Integrasi Pembuktian Siber di sini, hari ini. UTM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Wahid Omar.
Amirudin berkata, 420 kes jenayah siber berjaya diselesaikan tahun lalu, menggunakan khidmat pakar forensik digital CSM.
Katanya dalam menyelesaikan sesuatu kes, CSM mengumpul data penting bagi setiap kes disiasat.
Sementara itu, Wahid berkata kerjasama dengan CSM bagi membangunkan teknologi analisis data raya dan kepakaran infrastruktur siber sedia ada.
"CSM turut membiayai sejumlah RM2.28 juta untuk pembangunan projek dan latihan dengan membina makmal satelit di UTM kampus Kuala Lumpur bagi tujuan penyimpanan Data Besar dan Forensik Digital," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 9:34 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114241#sthash.Rq9N9Lsz.dpuf

Mengamuk dalam pejabat pendidikan

Riyadh: Enam terbunuh apabila seorang lelaki melepaskan tembakan dalam pejabat jabatan pendidikan di wilayah Jazan, selatan Arab Saudi, hari ini.
Stesen televisyen tempatan, Al-Ekhbariya, melaporkan menurut polis, lelaki berkenaan datang untuk berurusan di pejabat berkenaan manakala yang terbunuh ialah pekerja di pejabat itu.
Dua lagi mangsa cedera dalam kejadian itu manakala lelaki yang melepaskan tembakan sudah ditahan polis.
Setakat ini pihak berkuasa masih belum menyatakan motif serangan itu atau bagaimana ia berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 11:27 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114257#sthash.t7Tfd2ha.dpuf

Ketua tentera dibunuh

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dipercayai membunuh panglima tenteranya atas beberapa tuduhan, termasuk rasuah, kata pegawai Korea Selatan, semalam.
Jika benar, pembunuhan Ri Yong Gil - ketua kakitangan am tentera Korea Utara - adalah yang terbaru dalam beberapa siri pembunuhan, pembersihan dan penyingkiran yang dilakukan Kim sejak dia mula berkuasa pada hujung 2011.
Butiran mengenai kegiatan kerajaan Korea Utara amat sukar diperoleh pihak luar dan pegawai Korea Selatan menghadapi kesukaran menjejaki perkembangan di negara itu.
Seorang pegawai Korea Selatan menyifatkan pembunuhan Ri sebagai usaha Kim untuk mengukuhkan kuasanya.
Katanya, antara tuduhan dihadapi Ri sebelum dihukum mati ialah menyalahguna kuasa dan membentuk kelompok.
Pegawai itu tidak menyatakan bagaimana dia memperoleh maklumat itu dan juga enggan mendedahkan namanya kerana ia membabitkan risikan rahsia mengenai Korea Utara.
Ri - jeneral tentera yang memegang jawatan itu pada 2013 - dianggap antara pembantu paling dipercayai Kim kerana kerap menemaninya untuk memeriksa unit tentera dan kilang.
Spekulasi mengenai nasibnya tersebar apabila dia tidak dilihat di dua acara kebangsaan utama Korea Utara, iaitu mesyuarat pegawai kanan Parti Pekerja minggu lalu, selain perhimpunan menyambut pelancaran roket negara itu, minggu ini.
Khidmat risikan Korea Selatan berkata Julai lalu, 70 pegawai Korea Utara dihukum mati sejak pelantikan Kim - jauh menjangkaui jumlah awal pemerintahan ayahnya Kim Jong Il.
Sebelum pembunuhan Ri, pegawai kanan lain yang dihukum mati ialah Menteri Angkatan Tentera Hyon Yong Chol kerana dituduh tidak setia dan bapa saudara Kim sendiri, Jang Song Thaek atas tuduhan derhaka.
Pakar luar menganggap tindakan Kim itu menunjukkan kedudukannya belum cukup kukuh.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 7:50 AM


GAMBAR fail menunjukkan Kim bersama Ri ketika perarakan tentera sempena ulang tahun ke-70 Parti Pekerja tahun lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114305#sthash.M98H08n2.dpuf

Kena belasah tegur orang mabuk

Kajang: Seorang warga Bangladesh yang menegur sekumpulan lelaki warga Vietnam mabuk, dibelasah hingga cedera dalam kejadian di Semenyih, semalam.
Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa sedang tidur dan menegur kumpulan lelaki terbabit yang membuat kecoh di kawasan rumahnya.
Bagaimanapun, seorang daripada kumpulan lelaki itu berang sebelum mengambil kayu dan parang, lalu menyerang mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisiner Willey Richard berkata, berlaku pergaduhan antara mereka dan warga Bangladesh itu dibantu dua rakannya sebelum seorang pengawal keselamatan yang melihat kejadian menghubungi polis.
"Polis menahan lima warga Vietnam dua warga Bangladesh berusia 19 hingga 38 tahun yang terbabit dalam pergaduhan itu.
"Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Semenyih untuk disoal siasat dan direman selama tiga hari sehingga esok," katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk dirawat dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:44 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114234#sthash.kBPDwn85.dpuf