Search This Blog

Thursday, February 11, 2016

2 pengebom wanita bunuh 58 orang di Nigeria

MAIDUGURI, Nigeria: Dua pengebom bunuh diri wanita meletupkan diri mereka di kem pelarian timur laut Nigeria menyebabkan sekurang-kurangnya 58 orang terkorban, kelmarin.
Pegawai Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Borno berkata, kira-kira 78 cedera dalam kejadian itu, yang berlaku di kem dihuni kira-kira 50,000 orang yang diusir kumpulan militan Boko Haram.
Beliau berkata, 51 mayat dikebumikan, semalam di Dikwa, lokasi pembunuhan beramai-ramai terletak kira-kira 85 kilometer di timur laut Maiduguri.
Sementara itu, pekerja kesihatan berkata, lima mayat dibawa ke hospital utama di Maiduguri.
Sementara itu, pengebom wanita ketiga ditahan dan memberikan maklumat kepada pegawai berkaitan mengenai rancangan pengeboman lain, yang membantu mereka meningkatkan keselamatan di kem berkenaan.
Pemberontakan militan Boko Haram selama enam tahun menyebabkan kira-kira 20,000 orang terkorban, manakala 2.5 juta kehilangan tempat tinggal dan menetap di merata sempadan Nigeria. - AP
DUA pengebom bunuh diri wanita meletupkan diri mereka di kem pelarian timur laut Nigeria menyebabkan sekurang-kurangnya 58 orang terkorban. - Foto EPA

Tipu Agrobank: Mahkamah kekal pembebasan pembantu kedai

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 3:41 PM




KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan pembebasan seorang pembantu kedai runcit atas pertuduhan menipu Agrobank berhubung dokumen permohonan pinjaman bank itu sebanyak RM75,000, tiga tahun lalu.

 Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan terhadap Ahmad Kamal Zulkifly, 31, selepas menolak rayuan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini, pada 12 Oktober 2015, yang melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu.

Mohamad Shariff dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan Ahmad Kamal selaku responden mempunyai niat untuk menipu Agrobank di akhir kes pembelaan.

Hakim itu berkata mahkamah juga bersetuju dengan Mahkamah Sesyen bahawa tertuduh kedua dalam kes ini iaitu Redzuan Abdul Azis telah menggunakan Ahmad Kamal sebagai mangsa untuk mengemukakan dokumen palsu.

 "Ini terbukti apabila Redzuan yang didakwa bersama dengan Ahmad Kamal telah menukar pengakuan kepada bersalah ketika mereka dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan," kata Mohamad Shariff sambil menambah Redzuan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan atas kesalahan itu.

Mohamad Shariff berkata Mahkamah Sesyen juga telah membuat penilaian peribadi terhadap Ahmad Kamal sepanjang perbicaraan dan berpendapat beliau seorang yang jujur, lurus dan boleh dipercayai serta mendapati tingkah laku fizikal Ahmad Kamal dianggap tidak berapa cerdik dan boleh dipergunakan. Katanya, sepanjang perbicaraan itu juga Mahkamah Sesyen telah melihat perwatakan Ahmad Kamal dan yakin beliau adalah seorang yang lembab pemikiran dan tidak boleh berfikir sama ada perkara yang dilakukannya betul atau salah di sisi undang-undang.

"Hasil laporan perubatan juga mendapati Ahmad Kamal mengalami masalah pemikiran yang dikenal pasti sebagai 'slow thinker'," kata hakim itu.

 Mohamad Shariff berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan Ahmad Kamal mempunyai niat dan mempunyai pakatan bersama Redzuan untuk merancang menipu pihak bank bagi mendapatkan pinjaman sebanyak RM75,000.

 "Mahkamah juga mendapati dokumen yang diserahkan kepada bank untuk pinjaman disediakan oleh tertuduh kedua (Redzuan) tanpa penglibatan responden (Ahmad Kamal)," kata hakim itu.

Mohamad Shariff berkata Ahmad Kamal, yang memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen memaklumkan bahawa dia membuat pinjaman itu bagi memulakan perniagaan kedai dobi dan tidak pernah meminta Redzuan menyediakan sebarang dokumen untuk tujuan pinjaman sebaliknya memintanya menguruskan pinjaman sahaja.

Ahmad Kamal, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding diwakili peguam Ben George. Mengikut pertuduhan, Ahmad Kamal dan Redzuan didakwa bersama-sama memperdayakan pihak Agrobank menerusi Zamakhsyari Omar sehingga mempercayai bahawa dokumen permohonan pinjaman jenis Agro Cash-i yang dikemukakan adalah tulen.

Perbuatan itu mendorong pihak bank menyerahkan wang sebanyak RM75,000 ke dalam akaun Ahmad Kamal yang mana pihak bank tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Agrobank Cawangan Bandar Tasik Selatan, Cheras pada 1 tengah hari, 5 Februari 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123380

Remaja hilang ditemui lemas dalam sawah

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 5:14 PM
Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

PASIR MAS: Mayat remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang semalam, ditemui lemas oleh penduduk kampung dalam sawah padi di Kampung Teliar, Bunut Suss, di sini kira-kira jam 2 petang tadi.
Mayat Mohamad Dan Danish Zulkifli kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas oleh anggota bomba, keluarga dan penduduk kampung untuk bedah siasat.
Mayat mangsa ditemui selepas hampir 24 jam pencarian di sekitar Kampung Teliar termasuk tali air berdekatan padi sawah.
Sebelum kejadian kira-kira 10.30 pagi semalam, Mohamad Dan Danish bersama datuknya, Sulaiman Latiff, 70 berjalan kaki dari rumahnya ke sawah sejauh satu kilometer untuk menebas.
IBU mangsa, Zarini Sulaiman menunjukkan lokasi mayat anaknya, Mohamad Dan Danish Zulkifli yang ditemui dalam sawah padi di Kampung Teliar, Bunut Suss, di Pasir Mas, petang tadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Namun, selepas berehat, didapati mangsa turut mempunyai penyakit sawan sejak berumur empat tahun tiba-tiba hilang berhampiran tali air di kawasan sawah padi itu.
Bapa saudaranya, Che Ali Cek kob, 33, ketika dihubungi, bersyukur mayat anak saudaranya berjaya ditemui selepas hampir 100 penduduk termasuk anggota bomba dan polis berusaha mencari.
"Alhamdulillah, akhirnya tanda tanya kehilangan Danish terjawab apabila ditemui dalam sawah padi. Jenazah Danish akan ditanam di Tanah Perkuburan Islam Bunut Susu malam ini," katanya.

Remaja lemas selepas mandi pantai bersama rakan


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

DUNGUN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui lemas selepas mandi bersama dua rakannya di pantai di Sura Hujung di sini, pada 1 tengah hari tadi.
MAYAT Mohd Firdaus Sulong, 17, ditemui terdampar kira-kira 100 meter dari tempat dia dilaporkan lemas di Pantai Sura Hujung, Dungun, jam 3 petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Mayat Mohd Firdaus Sulong, dari Kampung Sura Tengah, di sini, ditemui terdampar di pantai itu selepas lebih dua jam anggota Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari.
Mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Sebelum kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sura Hujung itu, mangsa bersama dua rakannya dikatakan mandi di pantai berkenaan sebelum lemas.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mahyuddin Mohamad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 1.34 tengah hari.
Beliau berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sebaik sampai di lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui jam 3 petang.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Alat khas kesan pesalah lalu lintas, pemilik saman tertunggak

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 4:04 PM

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan alat pengesan khas nombor pendaftaran kenderaan automatik bagi mengesan pesalah lalu lintas dan mereka yang mempunyai saman tertunggak, termasuk kenderaan negara jiran.
Projek perintis dilaksanakan di negeri ini dengan meletakkan tiga alat itu di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
KETUA Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata peralatan mudah alih itu juga akan digunakan dalam operasi trafik bagi mengesan pesalah lalu lintas, terutama yang mempunyai saman tertunggak.
"Selain itu, buat pertama kali juga polis akan guna sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih bagi memudahkan saman lalu lintas dikeluarkan. Menerusi proses manual sebelum ini, polis ambil masa 15 hingga 20 minit untuk menahan kereta dan mengeluarkan saman.
"Menerusi peralatan baharu, proses itu hanya ambil kira-kira beberapa minit, selain saman yang dicetak di lokasi juga mempunyai maklumat lengkap pesalah, termasuk nombor pendaftaran kenderaan sebagai bukti pemandu melakukan kesalahan," katanya.

17 kaki judi ditahan di Bercham


Oleh Farah Suhaidah Othman

IPOH: Tujuh belas kaki judi berusia 50 hingga 79 tahun ditahan dalam serbuan polis di premis sebuah persatuan penduduk di Kampung Bercham, di sini petang semalam.

Mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira jam 5.45 petang itu, termasuk tiga wanita serta dua yang tidak Mykad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, sebentar tadi memaklumkan, semua kaki judi berkenaan cuba melarikan diri menerusi bilik belakang selepas menyedari serbuan berkenaan, namun gagal.
"Polis merampas wang tunai RM2,240 serta 32 batu pakau berwarna hitam dan tiga dadu. Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Tayar 20 kenderaan di Brinchang dibocorkan


Oleh Farah Suhaidah Othman


CAMERON HIGHLANDS: Tayar 20 kenderaan yang diparkir di sekitar pekan Brinchang di sini dibocorkan oleh sekumpulan individu awal pagi tadi.  
Dalam kejadian jam 3 hingga 5 pagi itu, semua tayar berkenaan dipercayai dibocorkan menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin, berkata siasatan awal berdasarkan keterangan saksi mendapati tayar semua kenderaan itu dibocorkan oleh sekumpulan lelaki.  
Katanya, semua kenderaan itu dipercayai diparkir dalam keadaan menghalang laluan jalan dan tempat letak kenderaan di kawasan itu.  
"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis sudah menerima sebanyak 11 laporan daripada pemilik sehingga jam 3 petang tadi.  
"Rondaan cegah jenayah dijalankan polis sekitar jam 2 pagi tadi tidak mengesan sebarang aktiviti jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Polis Kedah tahan 8 lelaki, rampas 4 pistol, 1 senapang angin

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 3:55 PM
JITRA: Polis Kedah merampas empat pucuk pistol dan peluru serta selaras senapang angin dalam dua serbuan di Jalan Kangar-Kodiang dan Kampung Paya Ked Long, Changlun semalam dan hari ini.
KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya (dua dari kiri) menunjukkan empat pucuk pistol dan peluru serta selaras senapang angin yang dirampas dalam dua serbuan di Jalan Kangar-Kodiang dan Kampung Paya Ked Long, Changlun semalam dan hari ini. -Foto BERNAMA
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata dalam serbuan awal pagi semalam dan awal pagi tadi, polis Kubang Pasu menahan lapan lelaki tempatan berumur antara 18 dan 43 tahun dan merampas dadah seberat 2097 gram bernilai RM2,150.
Beliau berkata, serbuan pertama dibuat pada 12.30 pagi semalam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Kangar-Kodiang dan menahan empat lelaki berumur antara 25 hingga 43 tahun.
Hasil pemeriksaan menemui tiga pucuk pistol dan 19 butir peluru serta sembilan paket dadah jenis heroin seberat 5.33 gram dan syabu seberat 14.41 gram dalam beg sandang seorang daripada suspek.
"Suspek berusia 43 tahun itu mendakwa dadah itu untuk kegunaan dirinya Kita dapati suspek yang memiliki pistol itu memiliki rekod jenayah lampau kes cubaan bunuh dan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini.
Zamri berkata, pihaknya percaya pistol separa automatik itu diperoleh dari negara jiran, Thailand dan pihaknya sedang menyiasat tujuan suspek memiliki pistol berkenaan.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati dua lagi suspek memiliki rekod jenayah berkaitan dadah manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
Beliau berkata, keempat-empat suspek itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 16 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 39A(1) dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Zamri berkata, dalam serbuan 3.10 pagi ini di tepi jalan Kampung Paya Ladang Ked Long, Changlun, polis menahan empat lelaki berumur antara 18 dan 39 tahun yang dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol tidak berjenama dengan tujuh butir peluru 9mm yang diselitkan pada belakang pinggang seorang suspek dan dadah jenis syabu seberat 1.5gram," katanya.
Polis turut merampas selaras senapang angin jenama Super Model 737 CAL 177 yang disimpan dalam sebuah beg berwarna hitam.
"Seorang daripada suspek mendakwa dadah itu untuk kegunaannya sendiri dan senapang angin itu digunakan untuk memburu burung," katanya.
Tiga suspek itu memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek tidak memiliki rekod lampau.
Beliau berkata, keempat-empat suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 17 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- BERNAMA

Geng Ijan ditahan jual barang curi, pecah rumah

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 3:46 PM

 Oleh Mohd Shukor Amin bhnews@bh.com.my


KETUA Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa menunjukkan hasil rampasan dalam serbuan di hotel berkenaan. - Foto Mohd Shukor Amin

 SABAK BERNAM: Taktik sepasang suami isteri menginap di hotel sejak Julai lalu bagi mengaburi kegiatan jenayah mereka menjual barang curi hasil jenayah pecah rumah di sekitar daerah ini, terbongkar selepas bilik sewa mereka diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, pada sidang media hari ini, berkata lelaki berusia 32 tahun dan isterinya berusia 27 tahun, ditahan kira-kira jam 1 pagi pada 2 Februari lalu bersama dua adik suspek lelaki, masing-masing berusia 15 dan 20 tahun yang juga berada di hotel berkenaan.

 "Polis merampas 10 telefon bimbit, empat utas rantai emas dan satu kad ATM daripada mereka. Siasatan mendapati mereka yang dikenali sebagai Geng Ijan menjual hasil curi yang diperoleh daripada seorang penjenayah yang amat dikehendaki polis," katanya.

Nor Azmi berkata, remaja lelaki bawah umur yang ditahan turut dipercayai melakukan pecah rumah bersendirian dan hasilnya diserahkan kepada dua abang dan kakak iparnya itu.

"Polis turut menahan seorang lagi suspek berusia 35 tahun selepas lelaki itu menerima telefon bimbit curi daripada remaja berkenaan.

Selepas itu, seorang suspek utama yang terbabit dalam kes pecah rumah sejak Julai 2015 hingga Januari lalu pula ditahan. "Kegiatan pecah rumah didalangi suspek utama berusia 42 tahun yang turut mempunyai tiga rekod penyalahgunaan dadah dan mencederakan orang.

Polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah rumah dengan penahanan enam suspek berkenaan yang mengakibatkan kerugian RM45,000," katanya. Katanya, semua suspek ditahan reman dua minggu untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123383

Beku akaun bank bekas presiden

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 11:00 AM




 Bekas Presiden San Salvador, Mauricio Funes


SAN SALVADOR: Mahkamah Agung El Salvador mengarahkan akaun bank bekas Presiden, Mauricio Funes, yang menjalani perbicaraan kes menambah kekayaan secara haram, dibekukan kerana tidak pasti sumber wang sebanyak AS$700,000 (RM2.8 juta).

Mahkamah juga berkata, ia mungkin mengarahkan 'langkah pencegahan' terhadap hartanah dan aset lain milik Funes, yang memegang jawatan di antara 2009 dan 2014.

Funes membantah kes awam yang dibuka terhadapnya dan berkata, dia mempunyai dokumen membuktikan wang serta aset miliknya adalah daripada sumber yang sah.

Beliau menafikan dakwaan mengambil rasuah ketika berkuasa, malah menjelaskan menjadi mangsa `dendam politik' kerana tindakannya mendedahkan penyelewengan ketika kerajaan konservatif yang diwarisinya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123271

Keluarga mangsa MH17 tulis surat kepada Putin


MOSCOW: Moscow menyerahkan data radar dan data lain mengenai nahas MH17 kepada Belanda tetapi semua itu diabaikan, kata pegawai penerbangan awam Russia sebagai maklum balas kepada surat daripada ahli keluarga mangsa warga Belanda kepada Presiden Vladimir Putin.
PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto REUTERS
Timbalan Ketua Rosaviatsia, Oleg Storchevoy, agensi yang mewakili Russia dalam penyiasatan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17, secara peribadi memberi penjelasan kepada waris mangsa menerusi surat yang panjang lebar.
"Saya ingin menekankan Russia amat komited untuk mencari punca sebenar nahas dan secara konsisten melaksanakan segala-galanya bagi mencari kebenaran, ketika siasatan teknikal dijalankan sehingga siasatan selesai," katanya.
Beliau berkata, waris mangsa mahukan jawapan siapa yang bertanggungjawab menembak pesawat itu dan tidak berpuas hati dengan usaha Belanda, yang disifatkan sebagai lambat.
"Berikutan itu, waris mangsa beralih kepada pemimpin pelbagai negara, termasuk Russia.
Mereka menghantar surat kepada Putin pada 22 Januari, meminta data awal dariapada radar dan satelit, yang mereka sifatkan sebagai amat penting.
"Kami tidak menetapkan sebarang syarat atau sekatan berkaitan penggunaan lanjut dan pendedahan data radar, rekod perbualan telefon dan data lain yang kami serahkan kepada Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) seperti yang diminta," katanya.
Beliau menjelaskan, semua data itu masih disimpan oleh kerajaan Russia dan bersedia mengemukakannya kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan jika diperlukan.
Storchevoy berkata, walaupun pihak berkuasa Russia tidak terbabit dalam mengawal pesawat itu, mereka akan menjadi ahli de-facto siasatan berkenaan susulan maklumat unik yang diperoleh daripada radar di Rostov-on-Don, sebuah bandar di Russia tidak jauh dari sempadan Ukraine.
"Ingin saya tekankan bahawa Russia mendedahkan semua data satelit yang ada dengan segera selepas nahas," katanya.
Timbalan Ketua Rosaviatsia itu menjelaskan, data pada radar Russia adalah satu-satunya data yang diperoleh penyiasat Belanda, memandangkan stesen radar Ukraine (tanpa sebab yang jelas) tidak berfungsi pada 17 Julai.
Malah, pihak berkuasa Ukraine juga tidak mempunyai sebarang sistem sokongan untuk mengekalkan keselamatan penerbangan dalam zon ketenteraan.
Bagaimanapun, bukti itu nampaknya tidak dinyatakan dalam laporan akhir DSB pada Oktober lalu. - Agensi

30 hingga 50 maut, banduan merusuh di Mexico


MONTEREY: Sekurang-kurangnya 30 maut dalam insiden rusuhan penjara sebelum awal pagi hari ini di bandar utara Mexico, ketika media tempatan melaporkan kepulan asap dilihat keluar dari bangunan penjara itu.
Polis rusuhan dan ambulans turut dikerahkan ke penjara Topo Chico ketika keluarga banduan berang cuba memasuki kemudahan itu dengan membaling batu ke arah pintu pagar penjara terbabit.
Stesen televisyen, Televisa melaporkan, 30 maut sementara stesen televisyen, Milenio melaporkan 50 mangsa termasuk banduan dan kakitangan penjara, maut dalam rusuhan itu.
Mileno TV dan akhbar Reforma melaporkan, rusuhan itu meletus selepas banduan cuba melarikan diri.
Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi membabitkan angka korban.
Jurucakap pasukan keselamatan awam negara Nuevo Leon, Antonio Arguello berkata, rusuhan itu meletus sekitar tengah malam semalam.
"Pihak berkuasa membentuk kawalan keselamatan dan tiada siapa terlepas. Segalanya berjaya dikawal jam 1.30 pagi. Kami tidak dapat menyatakan berapa ramai yang maut sehingga perkhidmatan forensik memberi laporan dan pihak berkuasa selesai membuat kiraan," kata Arguello. - AFP

Keluarga mangsa MH17 tulis surat kepada Putin



PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto REUTERS
MOSCOW: Moscow menyerahkan data radar dan data lain mengenai nahas MH17 kepada Belanda tetapi semua itu diabaikan, kata pegawai penerbangan awam Russia sebagai maklum balas kepada surat daripada ahli keluarga mangsa warga Belanda kepada Presiden Vladimir Putin.
Timbalan Ketua Rosaviatsia, Oleg Storchevoy, agensi yang mewakili Russia dalam penyiasatan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17, secara peribadi memberi penjelasan kepada waris mangsa menerusi surat yang panjang lebar.
"Saya ingin menekankan Russia amat komited untuk mencari punca sebenar nahas dan secara konsisten melaksanakan segala-galanya bagi mencari kebenaran, ketika siasatan teknikal dijalankan sehingga siasatan selesai," katanya.
Beliau berkata, waris mangsa mahukan jawapan siapa yang bertanggungjawab menembak pesawat itu dan tidak berpuas hati dengan usaha Belanda, yang disifatkan sebagai lambat.
"Berikutan itu, waris mangsa beralih kepada pemimpin pelbagai negara, termasuk Russia.
Mereka menghantar surat kepada Putin pada 22 Januari, meminta data awal dariapada radar dan satelit, yang mereka sifatkan sebagai amat penting.
"Kami tidak menetapkan sebarang syarat atau sekatan berkaitan penggunaan lanjut dan pendedahan data radar, rekod perbualan telefon dan data lain yang kami serahkan kepada Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) seperti yang diminta," katanya.
Beliau menjelaskan, semua data itu masih disimpan oleh kerajaan Russia dan bersedia mengemukakannya kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan jika diperlukan.
Storchevoy berkata, walaupun pihak berkuasa Russia tidak terbabit dalam mengawal pesawat itu, mereka akan menjadi ahli de-facto siasatan berkenaan susulan maklumat unik yang diperoleh daripada radar di Rostov-on-Don, sebuah bandar di Russia tidak jauh dari sempadan Ukraine.
"Ingin saya tekankan bahawa Russia mendedahkan semua data satelit yang ada dengan segera selepas nahas," katanya.
Timbalan Ketua Rosaviatsia itu menjelaskan, data pada radar Russia adalah satu-satunya data yang diperoleh penyiasat Belanda, memandangkan stesen radar Ukraine (tanpa sebab yang jelas) tidak berfungsi pada 17 Julai.
Malah, pihak berkuasa Ukraine juga tidak mempunyai sebarang sistem sokongan untuk mengekalkan keselamatan penerbangan dalam zon ketenteraan.
Bagaimanapun, bukti itu nampaknya tidak dinyatakan dalam laporan akhir DSB pada Oktober lalu. - Agensi

Bas langgar trak tentera, 15 maut

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 12:16 PM





 CONAKRY: Sekurang-kurangnya 15 orang maut dan berpuluh lagi cedera apabila sebuah bas penumpang merempuh trak tentera di tenggara Guinea.

Bas itu terbalik di Bofossou, wilayah Macenta, kira-kira 700 kilometer dari ibu negara Conakry.

Ketua Wilayah Macenta, Kemo Pascal Dembadouno, berkata berdasarkan penemuan awal, kemalangan berlaku disebabkan pemandu memandu laju dan sistem brek kurang baik.

 Beliau berkata, kemalangan berlaku pada awal pagi ketika jarak penglihatan terlalu rendah dan trak tentera itu cuba untuk mencari tempat parkir. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123296

124 buaya sesak nafas dalam trak

MEXICO CITY: Lebih 120 buaya mati akibat sesak nafas dan berhimpit antara satu sama lain ketika dibawa menyeberangi Mexico dalam sebuah trak.
Pejabat pendakwa alam sekitar berkata, 124 reptilia itu adalah antara 350 buaya jenis Morelet dari ladang lain, Cocodrilos Mexicanos, terletak di barat laut pantai Pasifik, negeri Sinaloa.

Berikutan kejadian itu, syarikat hidupan liar, Cocodrilos Exoticos, yang berpusat di pantai negeri Quintana Roo, boleh didenda antara AS$193 (RM793) dan AS$193,000 (RM793,336). - AFP

Pengusaha pasir haram cuba rasuah pegawai SPRM

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 6:19 PM

Oleh Zanariah Abd Mutalib






LOKASI yang dipercayai kegiatan perlombongan pasir haram, berhampiran Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di Putrajaya. - Foto ihsan SPRM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua lelaki kerana cuba memberi rasuah kepada pegawai SPRM yang menyerbu kawasan dipercayai lokasi kegiatan perlombongan pasir haram, berhampiran Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan, berkata serbuan yang dibuat dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan Putrajaya itu turut menyita empat jentera pengorek yang digunakan untuk mengorek pasir di kawasan yang sudah beroperasi sejak 2013.
Azam berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat orang awam sejak seminggu lalu yang mendakwa terdapat aktiviti perlombongan pasir haram di kawasan Putrajaya, di mana pengusaha haram memberi rasuah kepada pihak penguat kuasa bagi melindungi kegiatan haram mereka.
Semasa serbuan dijalankan, dua individu berusia lingkungan 30-an dan 50-an telah bertindak memberi suapan lebih kurang RM2,500 kepada pegawai SPRM.
"Wang suapan itu bertujuan (SPRM) tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan haram mereka dan melepaskan lori pasir yang digunakan bagi membawa keluar pasir dari kawasan itu.
"Kedua-dua individu itu disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah kepada pejawat awam," katanya.
Azam berkata, dianggarkan kira-kira 21 hektar kawasan di situ terbabit dalam aktiviti haram dan siasatan awal mendapati kegiatan itu juga dikatakan dilindungi oleh kumpulan samseng upahan bagi mengugut penguat kuasa, terutama pegawai dan anggota PTG yang cuba untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Helikopter terhempas, 3 tentera laut Greece hilang

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 3:50 PM





ATHENS: Tiga tentera laut Greece dilapor hilang selepas helikopter mereka terhempas di Laut Aegean ketika menjalani latihan hari ini, lapor Agensi Berita Athens.


Anggota penyelamat menemui bangkai pesawat selepas insiden dekat Pulau Leros tetapi dua juruterbang dan seorang jurutera pesawat itu masih belum ditemui.

ANA berkata, sebuah kapal tentera laut yang terbabit dalam latihan itu sedang menjalankan operasi mencari pesawat dan anggota tentera itu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123385

Gajah mengamuk, 100 rumah rosak

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 4:20 PM


SEEKOR gajah naik minyak di sebuah bandar dekat Siliguri lalu memijak kereta, motosikal dan menyebabkan kira-kira 100 buah rumah rosak semalam. - Foto AFP


SILIGURI: Seekor gajah naik minyak di sebuah bandar dekat sini lalu memijak kereta, motosikal dan menyebabkan kira-kira 100 buah rumah rosak semalam.

Sebelum itu, haiwan berkenaan dikesan memasuki kawasan perumahan di barat Bengal sehingga mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk di situ.

 Menurut Hindustan Times, gajah itu dilihat muncul dari kawasan hutan Baikkunthapur pada kira-kira jam 6 pagi.

 Gajah itu kemudian memijak kereta dan motosikal ketika mengamuk di jalan raya. Media India melaporkan 100 rumah mengalami kerosakan.

Sementara itu, pihak berkuasa dipanggil bagi menangani krisis haiwan itu sebelum polis menembaknya dengan ubat penenang.

 Tidak dapat dipastikan sama ada sesiapa yang mengalami kecederaan susulan kejadian berkenaan. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123400

Lelaki maut kereta bertembung bas ekspres

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 10:50 AM


Oleh Faizul Azlan Razak bhkt@bh.com.my Keadaan kereta
 PROTON Wira Aeroback mangsa yang remuk teruk selepas bertembung dengan bas ekspres di Jalan Kuala Berang berhampiran Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, awal pagi ini.

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung bas ekspres di Jalan Kuala Berang di Kampung Pengadang Baru, di sini, awal pagi tadi.

Mohd Zulhilmi Mohamad Nor, 26, dari Kampung Gelugor Kedai yang memandu PROTON Wira Aeroback, dilaporkan mati di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduknya dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu.

 Bas ekspres berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Padang Midin menghala pusat bandar ini. Punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, sepasukan enam anggota bomba dihantar ke tempat kejadian untuk mengeluarkan Mohd Zulhilmi yang tersepit sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
 Keadaan kereta PROTON Wira Aeroback mangsa yang remuk teruk selepas bertembung dengan bas ekspres di Jalan Kuala Berang berhampiran Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, awal pagi ini.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123265

2 pengebom wanita bunuh 58 orang di Nigeria

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 7:56 AM


MAIDUGURI, Nigeria: Dua pengebom bunuh diri wanita meletupkan diri mereka di kem pelarian timur laut Nigeria menyebabkan sekurang-kurangnya 58 orang terkorban, kelmarin.
Pegawai Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Borno berkata, kira-kira 78 cedera dalam kejadian itu, yang berlaku di kem dihuni kira-kira 50,000 orang yang diusir kumpulan militan Boko Haram.
Beliau berkata, 51 mayat dikebumikan, semalam di Dikwa, lokasi pembunuhan beramai-ramai terletak kira-kira 85 kilometer di timur laut Maiduguri.
Sementara itu, pekerja kesihatan berkata, lima mayat dibawa ke hospital utama di Maiduguri.
Sementara itu, pengebom wanita ketiga ditahan dan memberikan maklumat kepada pegawai berkaitan mengenai rancangan pengeboman lain, yang membantu mereka meningkatkan keselamatan di kem berkenaan.
Pemberontakan militan Boko Haram selama enam tahun menyebabkan kira-kira 20,000 orang terkorban, manakala 2.5 juta kehilangan tempat tinggal dan menetap di merata sempadan Nigeria. - AP


DUA pengebom bunuh diri wanita meletupkan diri mereka di kem pelarian timur laut Nigeria menyebabkan sekurang-kurangnya 58 orang terkorban. - Foto EPA

Paru-paru paus dipenuhi lumpur

EMASA KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 6:47 PM

 Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

KAKITANGAN Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan Jabatan Veterinar Johor melakukan bedah siasat ke atas bangkai ikan paus di jeti Pejabat Perikanan Batu Pahat. - Foto BERNAMA


BATU PAHAT: Bedah siasat awal terhadap bangkai paus yang ditemui mati di muara Sungai Sarang Buaya, Semerah, kelmarin mendapati saluran pernafasan terutama bahagian paru-paru mamalia itu dipenuhi lumpur.

Penemuan lumpur dalam jumlah yang besar pada paru-paru haiwan seberat 15,000 kilogram itu mendedahkan antara punca kematian paus jantan dewasa daripada spesies Sei atau nama saintifiknya Balaenoptera Borealis yang pada awalnya terdampar di Pantai Rambah di Pontian, Isnin lalu.

Pengarah Perikanan Johor, Munir Mohd Nawi, berkata selepas beberapa jam bedah siasat dilakukan, pihaknya mendapati terdapat sisa lumpur memenuhi hampir keseluruhan saluran pernafasan termasuk bahagian paru-paru mamalia berkenaan.

"Kita percaya saluran pernafasan paus ini dimasuki lumpur ketika berada di perairan Pontian sejak Isnin lalu. Pakar serta penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) juga yakin sisa lumpur berkenaan menyebabkan paus ini hilang keseimbangan untuk berenang, sekali gus terpaksa menuju ke arah darat di muara Sungai Sarang Buaya.

 "Selepas ini pakar FRI akan melakukan ujian histopatologi bagi mengesan sebarang penyakit atau kecederaan dalaman paus ini pula yang dijangka mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga minggu," katanya selepas memantau proses bedah siasat awal di jeti Pejabat Perikanan Daerah Batu Pahat, hari ini.

Munir berkata, ujian terhadap tisu ikan paus itu pula akan dilakukan di makmal FRI bagi mengenal pasti faktor lain yang mungkin menyebabkan paus itu mati.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123447

Laporan penemuan juruterbang MH370 worldnewsdailyreport.com palsu

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 6:32 PM

Oleh Mohd Hamizar Hamid dan Mohd Iskandar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Laporan sebuah portal berita kononnya juruterbang pesawat MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu ditemui selamat di Taiwan, adalah palsu.

Berdasarkan penelitian, wujud keraguan fakta dalam berita oleh worldnewsdailyreport.com kononnya Kapten Zaharie Ahmad Shah ditemui penduduk kampung di tebing Sungai Tangshui, Isnin lalu.
Ini kerana portal itu menggunakan gambar Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran sebagai Dr Syed Boon Sulong yang kononnya kini merawat juruterbang berusia 53 tahun itu.
Gambar Dr Jeyaindran yang disiarkan portal itu dipercayai diambil daripada sebuah portal berita tempatan bertarikh 11 Oktober tahun lalu.
Pesakit terbaring di katil hospital yang didakwa sebagai Zaharie pula adalah warga Myanmar dikenali sebagai Aung Myo Oo yang dirawat di ibu negara pada 3 Jun 2013.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi menyifatkan laporan disiarkan portal berita itu sebagai tidak benar.
"Pembohong," katanya ringkas.
GAMBAR Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran yang didakwa worldnewsdailyreport.com sebagai Dr Syed Boon Sulong.
Pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines Bhd (MAB) dengan nombor penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan ke Beijing, China.

Dua Lelaki Indonesia Mengaku Tak Bersalah Jual Batu Delima Palsu


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 2:16 PM
Dua tukang rumah warga Indonesia, Salim, 36, (depan) dan Ajiswar, 44, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Khamis, atas pertuduhan menipu 15 individu dengan menjual batu delima palsu yang melibatkan kerugian bernilai RM291,900. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi di sekitar Kluang dan Simpang Renggam antara 2012 hingga awal tahun ini.

KLUANG: Dua lelaki rakyat Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu 15 individu dengan menjual batu delima palsu yang melibatkan keseluruhan kerugian bernilai RM291,900 antara 2012 dan awal tahun ini.
Salim, 36, dan Ajiswar, 44, bersama-sama dituduh memperdaya kesemua individu itu dengan menawarkan sebiji batu delima tulen sedangkan diketahui batu delima ditawarkan itu adalah palsu sehingga mendorong mangsa mempercayai dan menyerahkan wang antara RM400 hingga RM75,000.
Kedua-dua mereka yang berasal dari Tanjung Pinang, Indonesia, dan merupakan tukang rumah, didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di sekitar kawasan bandar ini dan Simpang Renggam, di sini, antara November 2012 dan 18 Januari tahun ini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan kedua-duanya yang memiliki pasport sah, diikat jamin.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merupakan orang dikehendaki polis sejak 2012.-- Bernama

Tukang Urut Hadapi Tuduhan Bunuh Teman Lelaki


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 2:36 PM
Tukang Urut Ng Choon Wah, 53, dihadapkan di Mahkamah Majistret Khamis, atas pertuduhan membunuh teman lelakinya Ng Chin Hock, 52, di sebuah rumah 28 Januari lepas. Majistret menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat, cap jari dan kimia.

KLUANG: Seorang wanita tukang urut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh teman lelakinya di sebuah rumah di sini hujung bulan lepas.
Ng Choon Wah, 53, bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas dituduh membunuh Ng Chin Hock, 52, di sebuah rumah di Jalan Kelicap, Taman Bahagia di sini, kira-kira 12.30 tengah malam, 28 Januari lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Choon Wah mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama

Penyelia Didenda RM2,000 Curi Telefon Di Masjid


Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2016 7:23 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia tapak pembinaan dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit dari poket belakang seluar rakannya, yang hendak memulakan solat subuh di masjid.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Syaifol Nizam Zainol Abidin, 39, selepas dia mengaku bersalah mencuri telefon bimbit jenama Samsung milik Mohd Sharin Bakar, 35, seorang pengawal keselamatan, daripada poket seluar yang dipakai mangsa.

Bagaimanapun kejadian itu tidak disedari mangsa.

Syaifol Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid Negara di sini pada 5.30 pagi, 1 Februari lepas dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, selepas beberapa hari mangsa yang mengesyaki tertuduh mencuri telefon bimbitnya meminta tertuduh mengembalikan semula telefonnya, tetapi rakannya itu mendakwa telefon itu telah dijual dengan harga RM430.

Mohd Sharin kemudiannya membawa tertuduh ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Ketika rayuan, Syaifol Nizam yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menjaga ibunya yang sudah tua.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu.