Search This Blog

Monday, February 8, 2016

Pemandu kereta rentung kereta terbabas di Miri

ISNIN, 8 FEBRUARI 2016 @ 3:38 PM



Oleh Rudi Affendi Khalik bhnews@bh.com.my
PEMANDU rentung selepas keretanya terbabas lalu terbakar di Jalan Miri Bypass, di Miri, Sarawak, pagi tadi.

MIRI: Seorang pemandu kereta rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terbakar di Jalan Miri Bypass, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan proses bedah siasat sedang dilakukan di Hospital Miri.

"Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.46 pagi dan sebuah jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi dan tiba tiga minit kemudian.

"Api berjaya dikawal sekitar tiga minit kemudian menggunakan dua salur dari tangki jentera," katanya ketika dihubungi BH. Farhan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu mangsa rentung dan berjaya dikeluarkan dari kereta jenis Proton Saga jam 12.14 tengah hari

"Hasil semakan rekod juga mendapati pemilik kereta ialah Voon Jin Jang dari Jalan Riam, Miri, namun kita masih mengenal pasti identiti mangsa," katanya.

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/122433

Lelaki maut dibelasah sekumpulan lelaki

ISNIN, 8 FEBRUARI 2016 @ 3:24 PM





Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki ketika bersama adik iparnya mengunjungi sebuah pusat hiburan di Jalan Duta, di sini, awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata berlaku perselisihan faham antara mangsa N Asok, 31, dengan seorang lelaki yang dikenalinya di pusat hiburan berkenaan kira-kira jam pagi. Difahamkan, abang kepada lelaki itu kemudian meminta mangsa keluar daripada pusat hiburan terbabit bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku sebelum itu. "Ketika di luar, mangsa dibawa lari oleh suspek dan beberapa lelaki menaiki kereta Hyundai Sonata ke lokasi tidak diketahui sebelum menghantar mangsa ke sebuah restoran di Brickfields dalam keadaan tidak sedarkan diri serta cedera di kepala, muka dan telinga," katanya ketika dihubungi sebentar tadi. Munusamy berkata, adik ipar mangsa bersama rakannya kemudian membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan. "Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas mendapatkan rawatan," katanya. Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/122429

Gempa Taiwan: Dua diselamatkan 48 jam selepas terperangkap

ISNIN, 8 FEBRUARI 2016 @ 10:38 AM


ANGGOTA keselamatan meneruskan mencari mangsa yang masih terperangkap di dalam bangunan yang runtuh susulan gempa di Tainan. - Foto EPA


TAINAN: Seorang wanita dan lelaki berjaya dikeluarkan dalam keadaan masih bernyawa dari sisa runtuhan bangunan pangsapuri selepas terperangkap lebih 48 jam akibat gempa bumi yang melanda Taiwan, pagi Sabtu lalu. Setakat ini, angka kematian akibat gempa itu meningkat kepada 35 orang dengan lebih 100 lagi masih hilang. Gempa berlaku jam 4 pagi Sabtu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini dengan kebanyakan mangsa yang terkorban dari bangunan Wei-guan Golden Dragon yang runtuh. Anggota penyelamat masih bertungkus-lumus menjalankan kerja mencari mangsa yang masih hidup di bangunan 17 tingkat berkenaan di mana 117 orang dilapor masih hilang.


 KERAJAAN Taiwan dalam satu kenyataan berkata, 33 daripada 35 mangsa yang maut adalah dari bangunan Wei-guan yang runtuh manakala 117 lagi masih hilang. - Foto EPA


Wakil Rakyat kawasan itu, Wang Ting-yu, memberitahu pemberita bahawa wanita berkenaan, Tsao Wei-ling, ditemui terbaring di bawah suaminya yang sudah meninggal dunia. Anak lelaki mereka berusia dua tahun turut terbunuh dan ditemui terbaring berdekatan mereka. Seorang lagi mangsa terselamat dikenali sebagai Li Tsung-tian, demikian menurut Wang. Lelaki berkenaan dilaporkan masih sedarkan diri dan berbual dengan sempat anggota penyelamat. Ketika anggota penyelamat meneruskan kerja mencari, anggota keluarga dan waris mangsa terus berada di lokasi kejadian bagi menunggu sekiranya mangsa dibawa keluar. Lin Tong-meng berkata, dia menunggu di kawasan bagi memastikan anak dua saudaranya berusia 11 dan 12 tahun dapat dibawa keluar dengan selamat. "Saya datang dan kembali semula sejak semalam. Ayah dan emak kanak-kanak berkenaan diselamatkan sebaik gempa berlaku," katanya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/122352

Dua mayat, bangkai pesawat terhempas ditemui

DUNIA ISNIN, 8 FEBRUARI 2016 @ 2:44 PM




BOT penyelamat mencari bangkai dua pesawat kecil yang bertembung di udara dan terjunam ke dalam laut Los Angeles. - Foto AP

 LOS ANGELES: Pihak berkuasa Los Angeles menemui dua mayat dan bangkai salah satu pesawat ketika operasi mencari dua pesawat kecil yang bertembung di udara dekat selatan California. Polis Daerah Los Angeles, Kapten Jack Ewell, berkata mangsa dan bangkai pesawat ditemui 32 meter dari permukaan laut, kira-kira 3 kilometer dari Pelabuhan Los Angeles semalam. Katanya, penyiasat sedang mengenal pasti identiti mangsa menerusi bedah siasat. Operasi mencari besar-besaran dilancarkan sejak Jumaat lalu selepas pesawat yang dikendalikan seorang wanita berusia 72 tahun dikesan radar bertembung di udara dengan pesawat yang membawa lelaki berusia 61 dan 81 tahun dari San Pedro. Wanita itu dikenal pasti sebagai Mary Falstrom oleh suaminya. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/122411

Letupan Tianjin: 123 individu lagi bakal ditahan


Penduduk Tianjin yang terjejas mengadakan protes bagi menuntut pampasan daripada pihak berkuasa.
SHANGHAI-CHINA. Kerajaan China dilaporkan telah mengeluarkan laporan rasmi siasatan letupan gudang kimia di Tianjin, Ogos tahun lalu.
Difahamkan, letupan tersebut telah mengorbankan 165 nyawa, mencederakan 798 orang dan memusnahkan harta benda di sekelilingnya.
Siasatan  yang diketuai oleh majlis negeri mendapati lebih 11,300 tan bahan merbahaya dan mudah meletup disimpan secara haram di gudang tersebut.
Memetik laporan portal Shanghaiist.com, gudang itu dimiliki oleh sebuah syarikat logistic antarabangsa.
Jumlah bahan yang terbakar dan meletup pada malam tragedi itu termasuk lebih 1000 tan bahan kategori mudah meletup dan terbakar, 800 tan ammonium nitrat, 680 tan sodium sianida dan 290 tan kapas nitro.
[ARTIKEL BERKAITAN: Letupan Tianjin, 12 individu ditahan]
Para penyiasat membuat kesimpulan bahawa letupan kuat yang terjadi pada malam tragedi disebabkan oleh pembakaran spontan kapas nitro di dalam bekas yang tidak mempunyai agen pembasahan yang akan menghalang letupan.
Kapas nitro yang dinyalakan  di bawah suhu tinggi dan pembakaran api pada bahan kimia berbahaya, termasuk ammonium nitrat menyebabkan tercetusnya letupan.
Laporan itu menganggarkan bahawa letupan menyebabkan kerugian mencecah 6.87 bilion yuan (RM4.35 bilion).
Difahamkan lagi, tindakan undang-undang bukan hanya dikenakan terhadap syarikat logistik berkenaan, malah para penyiasat turut meminta tindakan diambil ke atas pelbagai pihak yang didakwa terlibat dengan insiden tersebut.
Meskipun 49 individu telah ditahan berhubung insiden itu setakat ini, pihak penyiasat juga mengatakan akan mengarahkan penahanan terhadap 123 individu lagi selepas ini.

Zimbabwe isytihar bencana akibat kemarau


Seorang rakyat Zimbabwe menunjukkan hasil pertaniannya yang rosak akibat kemarau. -Press TV
HARARE - ZIMBABWE. Presiden Zimbabwe, Robert Mugababe mengisytiharkan beberapa kawasan bandar di negara tersebut sebagai kawasan bencana akibat musim kemarau.
Menteri Kerajaan Tempatan, Saviour Kasukuwere dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu berkata, pihaknya menjangkakan masyarakat antarabangsa akan memberikan sumbangan makanan kepada rakyat Zimbabwe setelah pengisytiharan tersebut.
Menurutnya, 26 peratus daripada keseluruhan rakyat negara itu memerlukan bantuan makanan setelah beberapa petani di kawasan selatan Zimbabwe kematian lembu ternakan serta hasil pertanian akibat bencana itu.
“Kami menjangkakan taburan hujan bagi tahun 2015-2016 adalah di bawah paras normal di seluruh Zimbabwe dan hal ini berlaku disebabkan oleh fenomena El-Nino,” katanya.- Press TV

24 maut selepas minum minuman keras


Gambar hiasan
JOGJAKARTA - INDONESIA. Sekurang-kurangnya 24 orang disahkan meninggal dunia selepas meminum minuman keras buatan sendiri sejak beberapa hari lalu, lapor Reuters.
Manakala 20 lagi mangsa sedang dirawat di hospital.
Keadaan mangsa yang masih kritikal menyebabkan pihak berkuasa masih belum mendapat maklumat penuh untuk menjejaki keseluruhan insiden tersebut.
Dilaporkan, antara yang terkorban termasuk golongan mahasiswa.
Ekoran daripada kejadian terbabit, sepasang suami isteri yang merupakan pengusaha warung di sebuah kampung dalam wilayah Sayegan, Sleman dilaporkan ditahan pihak berkuasa.
Difahamkan, pasangan tersebut menjual arak buatan sendiri yang dipercayai mengandungi campuran etanol pada kadar 96 peratus.
Ketua Polis Sleman, Yulianto, seperti yang dilapor MetroTV. pihak polis mengesyaki ada kaitan antara semua mangsa walaupun mereka yang sakit dan maut didapati memperoleh minuman di tempat dan waktu yang berbeza.
“Polis telah menghantar sampel minuman keras yang dicampur bahan berbahaya itu ke makmal di Semarang untuk diuji,” katanya.
Kematian akibat mencuba minuman keras buatan sendiri bukan suatu yang asing di Indonesia, khususnya di kawasan luar bandar kerana orang kampung tidak mampu membeli arak berlesen.

Saman 154 pesalah trafik

Jempol: Sebanyak 154 saman dikeluarkan terhadap pesalah trafik pada Ops Khas Tahun Baru Cina 2016 dijalankan di Kilometer 1, Jalan Bandar Seri Jempol-Serting dan Kilometer 8, Jalan Bahau-Kemayan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi itu dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Serting.
“Ops dijalankan di dua lokasi berasingan bermula jam 8 malam semalam (kelmarin) hingga jam 1 pagi tadi (semalam). Kami memeriksa 170 kereta, 55 motosikal, 10 bas, lima lori dan 55 individu.
“Ops disertai 17 anggota polis dan 12 anggota JPJ. Hasilnya, 154 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada insurans serta cukai jalan dan lain-lain kesalahan,” katanya.
Noorzainy berkata, pada ops itu, pihaknya turut menemui sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Brickfields, Kuala Lumpur, pada Mei 2015.
Katanya, pemandu Proton Waja berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Kami turut menahan seorang lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain 20 individu yang didapati positif dadah,” katanya.
Beliau turut menasihati pengguna berhati-hati sepanjang musim perayaan.
“Antara jalan dikenal pasti berbahaya adalah Kilometer (KM) 10 hingga KM38 Jalan Bahau-Keratong, KM2 hingga KM38 Jalan Bahau-Kemayan dan KM13 hingga KM35 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:38 AM


ANGGOTA JPJ memeriksa kereta pada Ops Tahun Baru Cina di Kilometer 1, Jalan Bandar Seri Jempol-Serting.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113382#sthash.2YvC14d0.dpuf

'Senang-senang buat tuduhan'

Marang: Jurugambar bebas, Mohd Syahrin Abdul Aziz, 43, berasa amat kesal apabila ada sesetengah pihak menuduhnya sengaja melanggar harimau betina dalam kejadian di Kilometer 321.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Kerteh, pagi kelmarin.
“Saya memang tidak berniat langsung melanggar harimau itu kerana saya juga mempunyai rasa simpati. Kejadian kemalangan ini satu dalam sejuta,” katanya.
Menurutnya, hatinya tambah sedih apabila mendapati haiwan yang dilanggarnya itu adalah harimau betina bunting.
“Saya sedih apabila membaca akhbar dan pihak PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) mengesahkan harimau itu bunting dua ekor anak.
“Tuduhan segelintir pihak adalah tidak wajar kerana bukan niat saya untuk melanggarnya,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pusu 3 di sini, semalam.
Semalam, Pengarah PERHILITAN Terengganu Mohd Hasdi Husin mengesahkan haiwan terbabit bunting dua bulan apabila hasil bedah siasat dijalankan terhadapnya menemui dua janin harimau di dalam perutnya.
Harimau betina itu yang berusia 10 hingga 15 tahun turut disifatkan PERHILITAN sebagai ibu muda dengan beratnya dianggarkan 100 kilogram.
Haiwan itu mati selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu Mohd Syahrin dalam kejadian jam 1 pagi dipercayai ketika sedang melintas lebuh raya terbabit.
Ketika kejadian itu, Mohd Syahrin bersama isterinya, Masturawati Asari, 42, serta tiga anak mereka, Muhammad Adam Syafril, 16; Nur Sarah Aina, 13, dan Nur Ain Sofi, 10, dalam perjalanan dari Ampang pulang ke Kampung Pusu 3.
“Saya sendiri mengalirkan air mata selepas kejadian itu sebaik mendapati haiwan yang dilanggar itu adalah seekor harimau.
“Saya juga melarang apabila ada beberapa pengguna lebuh raya yang berhenti melihat kejadian itu mahu mengambil bangkai harimau terbabit kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:41 AM


Shahrin (kiri) membaca laporan akhbar berhubung berita kenderaan yang dipandunya merempuh harimau bunting di LPT2, dekat Kerteh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113388#sthash.HchT6y8U.dpuf

'Masih fobia'

Sabak Bernam: “Sehingga hari ini saya masih fobia dengan kejadian itu,” kata Syahmin Amira Roslan, 14, yang terbabit dalam kemalangan di Parit 16 Sungai Panjang hingga mengakibatkan kedua-dua kaki adiknya, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, putus dari paras lutut.
Syahmin Amira berkata, kejadian pada 18 Januari lalu itu berlaku di depan matanya dan sukar untuk dia melupakan peristiwa mengerikan itu.
Menurutnya, ketika ini dia takut untuk menunggang motosikal, malah setiap hari dihantar ke sekolah oleh bapa atau ibu saudaranya.
“Cukuplah dengan kejadian yang menyayat hati ini...sukar untuk saya melupakannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Parit 16 Sungai Panjang di sini, semalam.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap itu berkata, dia pasti teringat bagaimana kaki adiknya digilis lori setiap kali melalui kawasan berkenaan.
Namun katanya, dia perlu kuatkan semangat untuk menghilangkan rasa fobia yang masih membelenggu diri.
“Saya sebak setiap kali mengenangkan kemalangan itu dan lebih menyedihkan apabila kerap melalui lokasi kemalangan untuk pulang ke rumah di Kampung Belia 2,” katanya.
Dalam kemalangan itu, Syahmin Amira terseliuh pada kaki kirinya dan kini sembuh, malah dia juga sudah bersekolah sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia bersyukur kerana Ecah semakin sihat dan menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, di sekolah guru serta rakan Ecah kerap bertanyakan keadaannya, malah lebih 20 kad ucapan diterima yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Ecah.
“Ramai bertanyakan keadaan Ecah dan saya sendiri menerima banyak kad ucapan yang mendoakan supaya Ecah kuat semangat serta cepat sembuh,” katanya yang kerap melawat adik tirinya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:50 AM


ROSLAN di hadapan rumah yang dalam pembinaan di Parit 16, Sungai Panjang,Sungai Besar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113402#sthash.wFuZ0puZ.dpuf

Dadah RM10,000 dalam beg sandang

Johor Bahru: Seorang pengedar dadah ditahan di Pasar Borong Pandan di sini, selepas mencurigakan ketika terserempak dengan anggota polis yang meronda kawasan berkenaan, jam 8 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, ketika ditahan suspek membawa beg sandang coklat dan pemeriksaan menemui 15 peket kecil pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10,000.
“Suspek berumur 33 tahun. Dadah ditemui membabitkan heroin, syabu dan ketamin. Semua dadah itu seberat 223.52 gram.
“Dia mengedar dadah secara kecil-kecilan untuk pasaran di sekitar kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk siasatan lanjut.
“Suspek direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:24 AM


DADAH yang ditemui di dalam beg sandang suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113370#sthash.aguuhD3c.dpuf

Dua pemandu teksi positif dadah

Seremban: Dua pemandu teksi berusia 40-an antara 14 individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri pada Op Khas Kenderaan di Jalan Dato Muda Linggi di sini, semalam.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Rosilan Mat Sari berkata, semua individu terbabit positif ganja, morfin, methamphetamine dan benzo.
“Semua yang ditahan AADK itu berusia 20-an hingga 40-an,” katanya.
Menurut beliau, pada ops yang dijalankan bermula jam 8 malam kelmarin hingga jam 1 pagi semalam, 111 saman dan notis dikeluarkan terhadap penunggang motosikal serta pemandu kenderaan.
“Saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada cukai jalan serta lesen memandu. Kami turut menyita dua kereta dan lima motosikal.
“Op disertai 51 anggota JPJ negeri, 16 anggota Jabatan Imigresen dan lapan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.
Menurut Rosilan, Jabatan Imigresen menahan lima lelaki warga Indonesia, seorang warga India dan seorang warga Myanmar kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:39 AM


ANGGOTA JPJ memeriksa kenderaan pada Op Khas Kenderaan sempena Tahun Baru Cina, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113384#sthash.glGgfNja.dpuf

Wanita maut parah kepala

Raub: Seorang peniaga restoran maut sejurus kereta Perodua Kelisa dipandu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 358, Jalan Alternatif Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini, kelmarin.
Pada kejadian jam 8.30 pagi, mangsa, Maisarah Mohamad Taha, 59, berasal dari Jalan Tras, di sini, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar ini menghala ke Cheroh di sini.
Menurutnya, kereta mangsa bagaimanapun bertembung dengan sebuah kereta model Mercedes Benz dipandu seorang wanita berusia 28 tahun.
“Difahamkan kereta Mercedes-Benz itu cuba memotong kenderaan lain sebelum merempuh kereta mangsa.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan Perodua Kembara yang berada di belakang Perodua Kelisa itu tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dan menghubungi pihak berkuasa.
Katanya, Maisarah yang parah di kepala dan pemandu Mercedes-Benz itu yang cedera di tangan dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan.
“Maisarah disahkan meninggal dunia tidak lama selepas dirawat di hospital berkenaan.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam keterangan saksi kejadian bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:49 AM


PENIAGA restoran maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113400#sthash.3zUQGFcF.dpuf

Rentung dalam kereta rempuh pokok

Kota Tinggi: Mohd Azmi Ismail, 34, rentung di dalam kereta Toyota Camry dipandunya apabila kenderaan berkenaan terbakar selepas merempuh pokok di Jalan Pintasan Johor Bahru-Mersing di sini, jam 4.45 pagi semalam.
Mangsa memandu sendirian ke Johor Bahru.
Jurucakap bomba berkata, kejadian disedari pengguna jalan raya yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, jam 4.51 pagi.
“Sebuah jentera bersama tujuh anggota dikerah ke lokasi kejadian dan tiba jam pada jam 5.04 pagi.
“Kami dapati api marak dan sebaik dipadamkan beberapa minit kemudian, kami menemui mangsa dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu,” katanya.
Menurut jurucakap, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Siasatan mendapati mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok terbabit.
“Ia berlaku ketika hujan lebat dan lokasi kejadian adalah jalan lurus dua hala serta mempunyai garisan berkembar sebagai pembahagi jalan,” katanya.
Difahamkan, jenazah mangsa dituntut keluarga untuk dikebumikan di FELDA Sungai Mas di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:51 AM


KEADAAN kereta yang terbakar selepas rempuh pokok.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113404#sthash.Mw741LQf.dpuf

Paha berlipat atas perut

Dungun: “Kami terpaksa mengangkat mangsa lelaki berhati-hati memandangkan paha kanannya patah dan berlipat di atas perutnya. Dia ketika itu tidak sedarkan dan kepalanya berlumuran darah,” kata Mohd Adam Alwi, 45, saksi kejadian kemalangan maut di Kilometer 67, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Batu Tiong, di sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 11 pagi, Wan Mohd Khairuddin Wan Mohamed, 36, maut sejurus kereta Perodua Myvi dipandu adiknya dirempuh pacuan empat roda.
Adiknya, Saadiah Wan Mohamed, 20, dan ibunya, Salbiah Hussin, 56, yang duduk di sebelah penumpang depan parah dalam kejadian itu.
Mohd Adam berkata, dia minum di warung berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman perlanggaran.
“Saya bergegas keluar dari kedai dan mendapati dua kenderaan remuk. Saya lihat penumpang kereta Myvi meraung kesakitan selepas perutnya tertikam serpihan papan pemuka kenderaan,” katanya.
Menurutnya, dia bersama penduduk kampung berusaha mengeluarkan penumpang belakang kereta terlebih dahulu memandangkan keadaan mangsa kritikal.
“Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan mangsa meninggal dunia sebaik tiba mendapatkan rawatan di Hospital Dungun,” katanya.
Difahamkan, tiga beranak terbabit dari Taman Sungai Jeluk, Selangor dan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.
Kejadian berlaku apabila kereta Perodua Myvi terbabit bertembung pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 23 tahun dari Kuala Terengganu.
Rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan pacuan empat roda terbabit terbalik dalam keadaan keempat-empat tayarnya ke atas.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:52 AM


KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan jam 11 pagi semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113406#sthash.X890bPfT.dpuf

Rakan berkunjung isteri pun ghaib

Cheras: Sambutan Tahun Baru Cina kali ini hambar buat seorang suami berikutan isteri dan anak perempuan hilang secara ‘misteri’ sejak seminggu lalu.
Dalam kejadian Isnin lalu, wanita terbabit, Widayati, 32, dan anaknya, Choong Hui Ling, tujuh tahun dikatakan keluar bersama tiga rakan wanita berhampiran rumah mereka sebelum hilang tanpa berita.
Suaminya, Choong Pack Choon, 51, berkata, tiga rakan wanita isteri datang ke rumah mereka di Taman Putri Jaya di sini, dengan menaiki teksi sebelum mereka memberitahu mahu keluar makan di restoran berhampiran.
“Ketika kejadian hanya ibu dan kakak ipar saya di rumah. Mereka melihat isteri saya dan rakannya itu sangat mesra. Mereka langsung tidak mengesyaki apa-apa.
“Bagaimanapun kami mula curiga apabila Widayati tidak pulang ke rumah sehingga jam 6 petang. Saya cuba menghubungi telefon bimbit isteri namun gagal,” katanya.
Menurutnya, dia yakin isterinya tidak berniat melarikan diri berikutan wanita itu tidak membawa wang dan dokumen peribadi miliknya dan anak.
“Dia tidak pernah menunjukkan kelakuan pelik malahan isteri saya membuat persiapan untuk sambutan Tahun Baru Cina ini.
“Sehingga kini saya buntu memikirkan nasib isteri dan anak berikutan kami tidak pernah berdepan masalah rumah tangga,” katanya.
Menurutnya, pekerja restoran terbabit yang ditemui mendakwa melihat isteri dan anaknya menaiki teksi selepas menjamu selera.
Choong berkata, dia tidak mengenali rakan isterinya itu dan bimbang keselamatan anak serta isterinya itu.
Katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras dan berharap orang ramai yang mengenali atau ternampak isterinya dan anaknya supaya segera menghubunginya di talian 012-2787949 atau memaklumkan kepada polis.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:53 AM


WIDAYATI dan anak hilang sejak tujuh hari lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113408#sthash.E8E6giAa.dpuf

Lelaki India ditahan guna cop palsu

Bukit Kayu Hitam: Seorang lelaki warga India berusia 24 tahun ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (KIK) Bukit Kayu Hitam kerana memiliki cop keselamatan imigresen palsu pagi tadi.
Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Yusri Hashim berkata, lelaki itu ditahan ketika melalui pemeriksaan penumpang keluar pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, dia yang menaiki bas menuju ke negara jiran dikesan memiliki cop pas khas yang dikeluarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh pegawai imigresen bertugas.
"Lelaki ini dipercayai bekerja sebagai tukang kebun di Selangor sejak 2012 dan mendakwa tidak mengetahui tentang cop keselamatan terbabit kerana diuruskan majikannya.
"Lelaki ini akan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan, seorang lelaki warga Thailand berusia 22 tahun ditolak kemasukan ke negara ini.
Mohamad Yusri berkata, semakan ke atas pasport lelaki itu mendapati terdapat sekatan perjalanan memasuki negara dan dia diarahkan untuk melaporkan diri di pejabat imigresen berhampiran tetapi gagal berbuat demikian.
Menurutnya, pihaknya sudah mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (Notice of Refusal of Entry) ke atas lelaki berkenaan kerana dengan munasabah dipercayai imigran larangan mengikut Seksyen 8(3) akta sama.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 12:17 PM


LELAKI warga India ditahan kerana memiliki Cop keselamatan imigresen palsu. FOTO ihsan JIM Kedah
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113432#sthash.RmGNkmOI.dpuf

Lima jam bertarung nyawa

Yan: "Kami terpaksa bertarung nyawa hampir lima jam di tengah lautan selepas kayak yang dinaiki terbalik akibat dipukul ombak kuat,"
Begitu kata seorang peserta kayak wanita berusia 27 tahun yang enggan dikenali menceritakan detik cemas dialaminya selepas terkandas di tengah lautan kira-kira 4 Batu Nautika Barat Pantai Tanjung Dawai, Sungai Petani, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebanyak 11 kayak membabitkan 22 peserta dari Kelab Sukan Rekreasi Arus Deras sedang berkayak dari arah Pulau Bidan menuju ke Pantai Merdeka.
Namun tujuh kayak membabitkan seramai 14 peserta melalui detik cemas hampir lima jam selepas kayak yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak dan angin kuat.
Mereka bagaimanapun bernasib baik dan terselamat apabila sekumpulan bot nelayan yang melalui kawasan itu membantu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Mangsa yang enggan dikenali itu berkata, program mereka bermula sejak jam 9 pagi kelmarin dengan pembabitan seramai 22 orang peserta terdiri 14 lelaki dan lapan wanita membabitkan 11 kayak yang melakukan aktiviti berkayak dari Pantai Merdeka menuju ke Pulau Bidan untuk berkhemah dan bermalam di sana.
Menurutnya, selepas selesai aktiviti berkhemah, mereka kemudian kembali berkayak untuk pulang ke Pantai Merdeka sekaligus menamatkan ekspedisi kayak itu
"Kami mula bertolak balik dari Pulau Bidan pada jam 10 pagi dan ketika itu kami sudah menyedari keadaan angin kuat namun tetap meneruskan perjalanan kerana menganggap keadaan itu hanya sementara," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Yan, malam tadi.
Katanya, sebaik sahaja sejam berkayak dan tiba di tengah lautan, dia bersama seorang lagi pasangan kayak melihat beberapa buah kayak yang berada di hadapan mereka terbalik akibat dipukul ombak.
"Kami cuba menghampiri mereka namun keadaan ombak yang sangat kuat menyebabkan kayak kami juga dipenuhi air sebelum terbalik seperti rakan lain.
"Saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya lalui ketika itu kerana ia berlaku dalam sekelip mata.
"Saya tidak pandai berenang dan hanya mampu bergantung kepada jaket keselamatan selain turut berpaut pada sampan kayak kami," katanya.
Seorang lagi mangsa lelaki yang enggan dikenali berusia 36 tahun dari Pulau Pinang berkata, mereka yang agak ketinggalan di belakang kemudiannya tidak berani meneruskan perjalanan sebaik sahaja melihat beberapa buah kayak rakan terbalik.
"Kami tergamam melihat kayak rakan yang lain terbalik lalu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan sehingga diselamatkan bot Ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 4 petang.
Katanya, bot ronda APMM yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian terus ke lokasi itu dan menyelamatkan 14 peserta sementara enam lagi diselamatkan bot nelayan serta dua mangsa diselamatkan bot urus setia program.
"Mereka kemudian dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Dawai sebelum dikejarkan ke Hospital Yan untuk diberi rawatan," katanya.
Ahmad Kamal berkata, APMM pangkalan Kuala Kedah serius dalam usaha menyelamatkan nyawa di laut.
“Justeru saya menasihatkan orang ramai supaya merujuk nasihat daripada Jabatan Meteorologi sekiranya ingin melakukan sebarang kegiatan di laut.
Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu menambahkan risiko berlakunya kemalangan di laut.
Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian 24 jam MERS 999 dan pusat operasi Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah di talian 04-7621810.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 2:12 PM


Foto Ihsan JPAM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113458#sthash.lME33WO0.dpuf

Maut tak sempat potong

Jempol: Akibat gagal memotong kenderaan dihadapan, seorang lelaki terbunuh selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta di laluan bertentangan di Kilometer 7, Jalan Bahau-Rompin, berhampiran Kuil Ladang Senama, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 8 malam, mangsa, J Thomas, 35 menunggang motosikal EX5 dari Pekan Bahau menuju ke rumahnya di Taman Seri Rompin, di sini.
Katanya, dalam perjalanan itu, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta dipandu perlahan namun gagal menyebabkannya memasuki laluan bertentangan.
"Disebabkan itu, motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta di laluan berbeza yang ketika itu dipandu dari Rompin menuju ke Bahau," katanya.
Noorzainy berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak sejauh 30 meter di atas jalan dan parah di bahagian kepala serta badan.
"Lelaki itu yang juga penganggur maut di lokasi kejadian. Pemandu kereta jenis Fiat itu pula sekadar cedera ringan," katanya.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Jempol, di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 12:35 PM


FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113436#sthash.nLicio6v.dpuf

Kedai perabot hangus

Sungai Petani: Sebuah kedai perabot di Taman Ria, Sungai Petani, di sini, musnah 100 peratus selepas terbakar jam 6.40 pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Nur Hafizah Mohd Lokman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 pagi dan tiba tujuh minit kemudian.
Menurutnya, seorang pegawai dan 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Tikam Batu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba pihak bomba mendapati sebuah kedai perabot berkeluasan 80 X 50 kaki persegi sedang terbakar.
“Kita juga memadamkan kebakaran menggunakan sumber air daripada tiga pili bomba berhampiran lokasi itu,” katanya.
Nur Hafizah berkata, api dapat dikawal pada jam 7.10 pagi dan padam keseluruhannya tidak lama kemudian.
“Tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 1:07 PM


KEDAI perabot yang terbakar musnah 100 peratus. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113442#sthash.k3UfHqMi.dpuf