Search This Blog

Monday, February 1, 2016

Pelajar Uniten, ayah maut kereta bertembung kenderaan lain


Keadaan kenderaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan - Segamat berhampiran Ladang Dara Teh.

MUADZAM SHAH - Seorang pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Muadzam Shah meninggal dunia bersama bapanya selepas kenderaan yang dinaiki bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan – Segamat berhampiran Ladang Dara Teh sekitar jam 11.15 pagi, hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Haziq Janudin, 23, iaitu pemandu dan bapanya, Janudin Sukardi, 55, di kerusi penumpang depan dalam perjalanan menuju ke Uniten Kampus Muadzam Shah untuk pulang ke universiti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, kedua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas bertembung dengan sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dinaiki mangsa dari arah Segamat, Johor menghala ke arah Kuantan dipercayai dalam keadaan cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal lalu bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Penolong Penguasa Bomba, Aslam Hakim Abdullah, berkata, pemandu kereta Proton Wira tersepit dan mengalami kesukaran untuk mengeluarkannya.
“Ketika tiba di lokasi kejadian anggota mendapati kedua mangsa yang menaiki kereta Proton Wira telah meninggal dunia. Penumpang dikeluarkan terlebih dahulu manakala pemandu yang tersepit mengalami kesukaran untuk dikeluarkan.
“Anggota bomba yang terlibat terpaksa memotong bahagian tertentu dan akhirnya berjaya mengeluarkan mangsa. Kedua mangsa diserah kepada pihak polis dan operasi selesai sekitar jam 12.09 tengahari,” katanya.
Dalam pada itu, seorang rakan kepada Muhammad Haziq, Abdul Hadi Ngah, 23, yang dihubungi mengesahkan mangsa merupakan pelajar Uniten Kampus Muadzam Shah dan dalam perjalanan pulang ke universiti bersama bapanya.
Menurut Hadi, rakannya itu merupakan pelajar tahun tiga Ijazah Pentedbiran dan pulang ke univerisiti untuk menduduki peperiksaan
.

Wanita tersepit diperguna ah long


Mangsa menunjukkan perbualan SMS antaranya dengan peguam ah long.

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja mengenakan cas bayaran berlipat ganda, seorang pembantu gerai kini berada dalam dilema selepas mendakwa diperguna ah long yang mengarahkannya untuk membayar ratusan ribu ringgit.
Mangsa seorang wanita dikenali Sook, 42, berkata, dalam kejadian Mei tahun lalu, dia telah meminjam daripada ah long yang juga merupakan kenalan teman lelakinya sejumlah wang sebanyak RM80,000 untuk tujuan perniagaan.
Menurutnya, sebagai cagaran, dia telah mencagar kedai miliknya selain berjanji akan membayar faedah bulanan sebanyak RM8,000.
“Ketika itu, tanpa mengetahui lebih lanjut tentang kandungan surat terbabit, saya telah menandatangani beberapa surat cagaran di sebuah pejabat peguam. Saya telah diarah menandatangani sahaja surat terbabit dengan disaksikan teman lelaki saya, peguam, kerani dan ah long tersebut.
“Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, seorang lelaki menghubungi saya dan meminta untuk membawa teman lelaki saya berjumpa dengannya di sebuah apartmen,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menceritakan detik tersebut, Sook berkata, waktu itu dia telah dikasari dan dipaksa untuk menandatangani sekali lagi borang kosong dan jika bantah, kedainya akan dijual.
Lebih memeranjatkan, selepas menandatangani borang berkenaan, dia diberitahu bahawa dirinya telah berhutang sekali lagi sebanyak RM290,000 serta merupakan penjamin kepada teman lelakinya itu.
Bimbang keadaan semakin sulit, Sook terus ke pejabat peguam untuk mendapatkan semua salinan surat, namun yang diterimanya hanyalah surat pemindahan hak milik.
“Pada Disember lalu, satu laporan polis telah dibuat. Apatah lagi selepas anak lelaki saya berusia 18 tahun yang tidak tahu menahu tentang perkara ini juga turut diugut,” katanya.
Ibu tunggal itu juga melantik seorang peguam lain untuk mendapatkan semula surat dan dokumen yang ditandatanganinya selain ingin membayar RM80,000 yang dipinjamnya pada awal dahulu.
“Namun, selepas mendapat surat balas daripada peguam mereka pada 14 Januari lalu, memberitahu saya juga merupakan peminjam kali kedua iaitu RM290,000, walhal ah long itu mendakwa saya hanya penjamin kepada teman lelaki saya.
“Jadi di sini saya tidak tahu kenapa...mungkin juga saya ditipu teman lelaki? Selain itu, timbul tentang kecelaruan pada borang yang disain selain peguam mereka yang tanpa sebarang penjelasan memperguna saya untuk menipu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa ketika dihubungi berkata, dalam kes sebegini, siasatan akan dijalankan dan pihaknya akan meneliti dokumen dan penerangan sama ada kes berkenaan terdapat unsur jenayah, penipuan atau tidak.
Menurutnya, sekiranya didapati bersalah, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemberi pinjaman terbabit atas kesalahan yang dilakukan apatah lagi jika mendapati mereka beroperasi tanpa lesen yang sah.
“Kita pandang serius perkara berkenaan yang boleh disiasat mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 selain boleh dibawa ke pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya
.

Gempa kuat gegar Rusia


Gegaran berkekuatan 5 magnitud turut dirasai di Petropavlovsk-Kamchatsky di barat laut Rusia.
MOSCOW - RUSIA . Gempa bumi kuat berkekuatan 7 magnitud menggegar timur Rusia, semalam.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata gempa berlaku pada kedalaman 153 kilometer (km), kira-kira 92 km di timur laut bandar Yelizovo.
Tiada risiko tsunami dikeluarkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik.
Sementara itu, Kementerian Kecemasan di Petropavlovsky-Kamchatsky menyatakan tiada kerosakan atau kehilangan jiwa dilaporkan di wilayah terbabit.
“Penduduk di sekitar kawasan terbabit dapat merasakan gegaran pada kekuatan 5.0 magnitud.
“Maklumat awal setakat ini mendapati gempa bumi itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kematian,” menurut kenyataan itu.
Akademi Sains Rusia menerusi laman web menyatakan gegaran pertama itu disusuli gegaran kedua dengan kekuatan 5.2 magnitud. - Reuters

Rakyat Perancis bantah lanjut perintah darurat




AFP - SEBUAH medan di Paris dipenuhi penunjuk perasaan kelmarin yang membantah rancangan kerajaan untuk melanjutkan tempoh perintah darurat.


PARIS - Beribu-ribu orang berarak di jalan raya di Paris dan beberapa bandar lain kelmarin untuk membantah cadangan melanjutkan perintah darurat yang dikuatkuasakan di bandar raya itu susulan serangan pengganas di Paris pada November lalu.
Mereka yang melaungkan slogan seperti ‘darurat hanya untuk negara polis’ membantah langkah itu kerana menyekat hak asasi manusia.
Polis menganggarkan sekitar 5,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu sementara pihak penganjur memberitahu, protes itu disertai 20,000 orang.
Mereka membanjiri jalan raya di lebih 12 bandar lain di Perancis termasuk Toulouse dalam perarakan itu yang dianjurkan oleh beberapa kesatuan sekerja, pertubuhan hak asasi manusia dan kumpulan penentang lain.
Parlimen Perancis dijangka bersidang dalam masa beberapa hari lagi untuk membahaskan usul itu ketika Presiden Francois Hollande cuba mendapatkan kelulusan Parlimen untuk melanjutkan tempoh darurat tiga bulan yang tamat pada 26 Februari ini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3yrsdYzbs 
Hakcipta terpelihara 

Virus Zika dikesan di Indonesia



AFP - SEEKOR nyamuk Aedes hinggap di atas kulit manusia di sebuah makmal di Colombia pada 25 Januari lalu.


JAKARTA – Virus Zika berada di wilayah Jambi, Indonesia sejak sekurang-kurangnya dari 2015, kata seorang penyelidik menurut laporan akhbar Jakarta Post kelmarin.
Timbalan Pengarah Institut Bio­logi Molekular Eijkman, Herawati Sudoyo sebagai berkata, kuman itu ditemui pada 2015 semasa wabak demam denggi yang melanda Jambi antara Disember 2014 hingga April 2015.
“Penemuan virus itu dibuat semasa wabak demam denggi meletus di Jambi. Kami diarahkan untuk memeriksa sampel darah 103 pesakit. Kami menemui virus Zika dalam sampel darah seorang pesakit itu,” kata Herawati.
Menurutnya, virus Zika dipercayai menular dari Afrika ke Asia. Sehingga kini, Brazil merupakan negara paling teruk terjejas akibat penularan virus itu.
Agensi berita Associated Press (AP) sebelum ini melaporkan bahawa virus Zika merebak seperti api yang marak di Benua Amerika yang antara lain didorong oleh kemiskinan, iklim panas lembap dan bila­ngan nyamuk Aedes yang banyak. Nya­muk itu juga menyebarkan demam denggi.
Seorang lagi saintis Institut Eijkman, Frilasita Yudhaputri berkata, pesakit di Jambi itu tidak pernah berkunjung ke luar negara sekali gus membayangkan kes tersebut merupakan jangkitan tempatan.
“Penemuan ini dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Indonesia dan disiarkan dalam sebuah jurnal antarabangsa,” katanya.
Frilasita percaya virus Zika itu me­nular di Jambi bersama demam denggi. Justeru, katanya, pemerintah perlu bersiap-sedia tentang kemungkinan virus itu untuk terus menular.
“Cara terbaik untuk menghalang penularan virus ini adalah de­ngan membunuh nyamuk (Aedes)” tegasnya.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3yrsJWSD9 
Hakcipta terpelihara 

Bapa, anak temui ajal kereta bertembung MPV


BEGINILAH keadaan kereta Proton Wira dipandu Muhammad Haziq selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah semalam.


MUADZAM SHAH – Dua beranak maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Ladang Dara Teh di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa, pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Haziq Janudin, 23, dan bapanya, Janudin Sukardi, 55, dikatakan dalam perjalanan menuju ke Uniten Kampus Muadzam Shah dekat sini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supertendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dipandu Haziq dari arah Segamat, Johor menghala ke arah Kuantan cuba memotong kenderaan di hadapan, namun gagal sebelum bertembung de­ngan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Nissan Grand Livina dari arah bertentangan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3yrmvt9XQ 
Hakcipta terpelihara 

Pengusaha bas terlibat pukul penumpang disoal siasat esok


KUALA LUMPUR 31 Jan. – Pengusaha bas ekspres yang terlibat dalam kes memukul penumpang semasa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka diarahkan menghadiri temu duga siasatan, esok.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan memaklumkan, sesi itu adalah untuk memperjelaskan fakta-fakta dan mengumpul maklumat tambahan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Kata SPAD, pihaknya akan berkongsi maklumat berkaitan pemandu dan pengusaha terlibat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas serta pantas dapat diambil terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab itu.
“Suruhanjaya berperanan sebagai badan kawal selia dan pelesenan kepada bas ekspres manakala PDRM menguatkuasakan aspek undang-undang jenayah,” katanya.
Kenyataan itu bertujuan mengulas rakaman video berdurasi 1 minit 3 saat yang memaparkan aksi seorang lelaki yang dipercayai pemandu bas ekspres memukul penumpang kerana mereka telah tidur di kerusi rehatnya seperti tersebar di media sosial.
Mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara keagamaan sempena Thaipusam di Pulau Pinang, telah dipukul beberapa kali dengan selipar malah ditampar serta ditendang oleh pemandu bas terbabit.
Tegas SPAD, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan telah berhubung dengan penumpang terlibat bagi merekodkan kenyataannya.
“Kami rasa kesal atas pengalaman buruk yang telah dialami oleh penumpang tersebut. Malah, SPAD juga telah menggesa penumpang tersebut membuat laporan polis dan susulan itu, laporan telah dibuat pada 28 Januari lalu di Balai Polis Melaka Tengah,” jelasnya.
Dalam pada itu, SPAD menggesa orang ramai yang pernah mengalami pengalaman sedemikian untuk tampil membuat aduan menerusi e-mel aduan@spad.gov.my atau menghubungi talian hotline di 1-800-88-7723 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
SPAD berkata, dengan maklumat yang tepat, pemandu yang tidak bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan tindakan dapat diambil dengan pantas.
“Justeru, SPAD memerlukan butiran seperti nama penuh pengadu, nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, lokasi, masa dan tarikh kejadian,” katanya.
Menurut kenyataan itu, bahan bukti tambahan seperti rakaman audio atau video atau maklumat yang membolehkan SPAD menghubungi saksi-saksi akan meningkatkan keupayaan pihaknya untuk bertindak terhadap pemandu.
“Suruhanjaya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pengusaha bas ekspres supaya terus memantau dengan teliti dan mendisiplinkan pemandu sekiranya terdapat salah laku,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengusaha-bas-terlibat-pukul-penumpang-disoal-siasat-esok-1.185510#sthash.4ZLkbeNF.dpuf

Kes tetak makin menjadi-jadi


Wan ABDUL AZIZ WAN HAMZAH (kiri) menunjukkan gambar suspek jenayah
WAN ABDUL AZIZ WAN HAMZAH (kiri) menunjukkan gambar suspek jenayah kekerasan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 31 Jan. - Polis bimbang dengan peningkatan kes jenayah kekerasan khususnya tetak menggunakan parang di negeri ini apabila dalam bulan ini sahaja, sebanyak sembilan kes seumpama yang mengakibatkan mangsa cedera parah dilaporkan berlaku.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah menegaskan, kebanyakan kes berlaku di daerah Besut, bermotifkan dendam dan pertelagahan soal dadah.
Bercakap dalam sidang akhbar di sini hari ini, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perlakuan itu dan akan tetap memastikan mereka yang terbabit tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi), Superintenden Chan Kuang Yu dan Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat negeri, Asisten Superintenden (ASP) Mohamad Kamil Abdul Jalil.
Dalam masa sama, katanya, polis sedang memburu 14 lelaki kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes menggunakan parang termasuk seorang suspek yang dikenali sebagai Hisham Tara yang menetak seorang anggota polis dalam kejadian di Besut tahun lalu.
Mereka terdiri daripada Mohd. Fazri Mat Hassan atau nama panggilan Jeri yang berasal dari Alor Serdang, Zainuri Mat Salleh (Kampung Gong Pasir), Wan Abdul Hisham Wan Abdullah atau Hisham Tara (Kampung Seberang Pintasan), Mohd. Amir Che Ya (Kampung Alor Teratai) dan Mohd. Sharol Fazry Mat Nawi (Kampung Darau).
Selain itu, suspek yang dicari ialah Mohd. Khairil Hazlinor Zainal Abidin (Kampung Alor Peroi), Madzlan Hasan (Kampung Tempanis), Shahrizal Erme Mustafa (Felda Selasih), Azmi Said (Kampung Pengkalan Nyireh), Mohd. Hariz Zaif Mohd. Zanua (Kampung Apal), Lizal Che Ismail (Kampung Gertak Seratus), Ismail Mustafa (Kampung Alor Teratai), Wan Muhammad Wan Deraman (Kampung Pondok Gaal,
Kelantan) dan Harmizi Othman atau Mizi kancil (Kampung Jerung, Marang).
“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun dan kebanyakannya berasal dari Besut. Mereka disyaki terlibat dalam 14 kes jenayah kekerasan dan tetak dari tahun 2013 hingga 2016.
“Daripada jumlah itu, 13 kes berlaku di Besut manakala satu kes di Marang dan seramai 10 mangsa mengalami cedera parah akibat ditetak,” katanya.
Wan Abdul Aziz berkata, siasatan polis mendapati kesemua suspek terbabit mempunyai rekod jenayah dan kes-kes berkenaan berlaku bermotifkan dendam selain berkaitan dadah.
“Kita ingin tegaskan di sini bahawa polis tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang bertindak kejam terhadap mangsa seolah-olah negara kita sudah tidak ada undang-undang. Kita akan pastikan mereka ini akan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua individu terbabit supaya segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menelefon ASP Mohamad Kamil 019-5191964.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kes-tetak-makin-menjadi-jadi-1.185523#sthash.uCiZoUiY.dpuf

Peragut ‘dibelasah’ orang ramai


Seorang lelaki cedera dibelasah orang ramai kerana disyaki meragut
Seorang lelaki cedera dibelasah orang ramai kerana disyaki meragut beg seorang mangsa di hadapan Pasar Semenyih, Kajang, Selangor, semalam. IHSAN PEMBACA
KAJANG 31 Jan. – Bukan sahaja ditangkap malah dia juga dibiarkan keseorangan dan kemudian ‘dikerjakan’ oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Itu nasib yang diterima oleh seorang lelaki berusia 38 tahun selepas dibelasah oleh orang ramai dalam kejadian ragut di hadapan Pasar Semenyih di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi, suspek bersama rakannya menunggang motosikal sebelum meragut beg tangan milik seorang wanita yang dalam perjalanan ke pasar itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Willey Richard memberitahu, anak mangsa yang melihat kejadian itu kemudiannya mengejar suspek dengan bantuan orang ramai sebelum penunggang motosikal terbabit ditahan.
“Bagaimanapun seorang lagi rakan suspek sempat melarikan diri dan membiarkan rakannya dibelasah oleh orang ramai di situ,” katanya di sini.
Jelas Willey, polis merampas sebuah motosikal Suzuki TXR 150 yang digunakan oleh suspek ketika melakukan perbuatan itu.
Katanya, suspek yang ditahan kemudiannya dihantar ke Hospital Kajang dekat sini untuk menerima rawatan manakala seorang lagi rakannya kini sedang dijejaki pihak polis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/peragut-8216-dibelasah-8217-orang-ramai-1.185526#sthash.ajgtuqVf.dpuf

Warga emas maut dalam keadaan bersujud


GUA MUSANG 31 Jan. – Seorang warga emas ditemukan maut dalam keadaan bersujud oleh orang ramai dipercayai menjadi mangsa langgar lari dalam kejadian di simpang Felda Perasu di sini, semalam.
Mayat Arifin Che Long yang ditemukan penduduk dalam keadaan bersujud di Simpang Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan, kelmarin. Facebook
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Arifin Che Long, 74, dikatakan dalam perjalanan pulang dari kebun kelapa sawit miliknya di Felda Perasu dengan menunggang motosikal Honda EX5.
Mayat Arifin yang juga peneroka Felda Chiku 1 itu ditemukan tidak jauh dari lokasi kejadian.
Isteri mang-sa, Che Zaharah Awang Kecil, 65, berkata, dia terkejut selepas menerima berita suaminya maut dalam keadaan bersujud.
“Orang kampung yang baru pulang dari kebun ternampak motosikal suami berada di dalam semak sebelum ternampak arwah berlumuran darah dan sudah tidak ber-nyawa.
“Kebiasaannya arwah akan ke kebun pada pukul 10 pagi dan pulang ke rumah sebelum pukul 1 petang. Suami akan pulang selepas dia meninjau tanaman dan bersiap-siap untuk menunaikan solat di surau berhampiran rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal, terdapat kesan kerosakan di bahagian belakang motosikal mangsa dipercayai dilanggar oleh kenderaan lain.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.
“Setakat ini, kami masih belum menerima laporan mengenai kejadian berkenaan. Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.
“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pe-ngangkutan Jalan 1987,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/warga-emas-maut-dalam-keadaan-bersujud-1.185497#sthash.2JtgNc8H.dpuf

Zika: 2,116 wanita hamil dijangkiti


Kakitangan kesihatan menyembur bahan kimia bagi menghapuskan nyamuk
Kakitangan kesihatan menyembur bahan kimia bagi menghapuskan nyamuk aedes yang mengakibatkan penyebaran virus Zika di Cucuta, Colombia, kelmarin. AFP
BOGOTA 31 Jan. – Kira-kira 2,116 wanita mengandung di negara ini dijangkiti virus Zika, ketika penyebaran virus yang dipercayai menyebabkan kerosakan otak kepada bayi baru lahir itu meningkat.
Institut Kesihatan Nasional me­laporkan, kes berkenaan adalah sebahagian daripada 20,297 kes jangkitan Zika yang dicatat di Colombia setakat ini.
Laporan itu yang disiarkan di buletin institut tersebut menjadikan Colombia negara kedua paling teruk terjejas akibat virus itu selepas Brazil dikesan menjadi pusat penyebaran epidemik terbabit.
Jelas institut tersebut, sejumlah 1,050 kes jangkitan Zika di Colombia disahkan menerusi ujian makmal, ujian klinikal (17,115), dan kes disyaki Zika (2,132).
Wanita juga muncul golongan paling banyak dijangkiti Zika di negara ini apabila mencatat sebanyak 63.6 peratus kes.
Kerajaan Colombia menjangkakan, lebih 600,000 akan dijangkiti virus Zika tahun ini, manakala lebih 500 kes kelahiran microcephaly diramal berlaku.
Kesan virus bawaan nyamuk aedes itu tidak membahayakan nyawa, tetapi dipercayai mempu­nyai kaitan dengan peningkatan kes microcephaly, keadaan di mana bayi dilahirkan dengan kepala dan otak kecil.
Microchephaly adalah penyakit tidak boleh dirawat dan boleh menyebabkan kesan kekal kepada perkembangan pergerakan dan kognitif kanak-kanak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu ini memberi amaran, virus berkenaan tersebar meluas di benua Amerika dengan tiga hingga empat juta kes dijangka dilaporkan tahun ini. – AFP
infografik
1. Virus Zika
Penyebaran kali pertama virus bawaan nyamuk yang boleh menyebabkan kerosakan saraf kini dilaporkan di Amerika Latin dan Caribbean
2. Kes aktif sejak 9 bulan lalu
27 negara merekodkan penyebaran peringkat tempatan
Sejak 19 Januari lalu
Kes import dilaporkan
3. Kes pertama di tanah besar Amerika Latin pada Mei 2015
4. - Penyebaran oleh nyamuk aedes aegypti
- Penyebaran antara manusia tidak dapat dibuktikan
- Kes penyebaran melalui hubungan seksual sedang disiasat
5. Pertama kali dikesan pada seekor monyet di Uganda pada 1947
6. Sebelum 2015 berlaku di Afrika, Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik
7. Kebanyakan mereka yang dijangkiti Zika hanya menunjukkan simptom seperti selsema dalam tempoh yang pendek
Biasanya sembuh dalam tempoh seminggu
70-80 peratus kes tidak disedari
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/zika-2-116-wanita-hamil-dijangkiti-1.185570#sthash.KKaSe1bG.dpuf