Search This Blog

Friday, January 29, 2016

26 kereta mewah seludup disita




RAMLI (dua dari kiri) melihat sebahagian daripada 26 kenderaan mewah yang berjaya disita selepas Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia di Menara Kastam Johor, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menyita sebanyak 26 buah kenderaan mewah yang diseludup dari negara jiran hasil serbuan di beberapa lokasi simpanan kenderaan di sekitar bandar ini sejak minggu lepas.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Ramli Johari berkata, kenderaan yang ditaksirkan bernilai RM1.1 juta melibatkan cukai sebanyak RM1.8 juta itu dirampas hasil maklumat orang ramai dan cawangan risikan JKDM.
“Antara kenderaan mewah yang dirampas termasuk Toyota Alphards, Mercedez Benz Brabus, Toyota Lexus, Honda Integra, Mazda 5, Nissan Silvia selain motosikal berkuasa tinggi.
“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan itu telah dibatalkan pendaftaran di negara jiran (Singapura) sebelum dibawa masuk ke negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia di Menara Kastam Johor di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3ya1R2o5e 
Hakcipta terpelihara 

4 sahabat maut kemalangan




SUNGAI BULOH – Empat sahabat maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas sebelum merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 12.8 Lebuh Raya Guthrie berhampiran Stesen Penguat kuasa Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) Elmina Selatan di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 11.32 malam itu, Shariffudin Zailani, 21, Syawalnizam Azman, 21, Muhammad Habiibullah Ruslan, 20, dan Mohd. Zaki Yahya, 23, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada badan.
Malah, tiga buah motosikal Kawasaki RR yang ditunggang tiga penunggang bersama pembonceng, Shariffudin itu rosak teruk akibat kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Rozi Jidin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila ke­semua mangsa sedang berkonvoi dari arah Sungai Buloh menuju ke Shah Alam.
Katanya, dalam perjalanan itu kesemua mereka dikatakan berlumba sesama sendiri di lebuh raya berkenaan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah treler.
“Rempuhan yang kuat itu menyebabkan empat mangsa mening­gal dunia di tempat kejadian. Kita percaya kesemua mereka berlumba sehinggakan tidak dapat mengelak sebuah treler yang berada di hadapan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3ya1GUMyM 
Hakcipta terpelihara 

Serpihan pesawat ditemui di Besut




INILAH serpihan bangkai pesawat yang ditemui Zakaria di pantai Beting Lintang, Besut petang kelmarin.


BESUT – Penduduk Kampung Beting Lintang, dekat sini gempar dengan penemuan satu objek didakwa serpihan bangkai pesawat di pantai Beting Lintang dekat Kampung Raja di sini petang kelmarin.
Difahamkan serpihan bangkai pesawat itu dijumpai seorang tukang rumah ketika sedang berjalan di situ bersama anaknya.
Penemuan serpihan itu sekali gus menimbulkan spekulasi ia mungkin milik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu.
Lelaki yang menemui serpihan itu, Zakaria Muhammad, 26, ketika ditemui berkata, semasa menemui serpihan logam besar tersebut, tidak terlintas dalam fikirannya ia merupakan bangkai pesawat MH370 yang hilang dua tahun lepas.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3ya11h5zt 
Hakcipta terpelihara 

Mengaku potong kemaluan suami




Fatimah (kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH – Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencederakan suaminya dengan memotong kemaluan lelaki itu di Jempol, minggu lalu.
Fatimah Abdullah, 51, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh keputusan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan membenarkan ibu lima anak tersebut diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang dijamin oleh anak pe­rempuannya dilihat me­ngalirkan air mata selepas membuat pengakuan tersebut.
Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas warga Pakistan, Umar Rahman, 44, dengan menggunakan sebilah pisau yang kemungkinan menyebabkan kematian di sebuah rumah di Jalan Beringin 3, Batu Kikir dekat Jempol pada pukul 1.20 pagi, 20 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan jika didapati bersalah.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Kosmo! pada 21 Januari lalu melaporkan, seorang wanita yang sudah hilang sabar nekad memotong kemaluan suaminya selepas tidak tahan dengan sikapnya yang sering memaksa dia melakukan seks ganas.
Kejadian malang itu berlaku ketika mangsa sedang tidur. Ekoran kejadian itu, lelaki warga asing tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kikir di sini sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur bagi menyambung semula kemaluannya yang putus.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3ya0i2Ukv 
Hakcipta terpelihara 

Tekong gagal curi 4 tan minyak sawit mentah


TIGA anggota Maritim Malaysia memeriksa bot yang yang mengandungi
TIGA anggota Maritim Malaysia memeriksa bot yang yang mengandungi empat tan metrik minyak sawit mentah berhampiran Pantai Bandar Leila, Sandakan, Sabah, kelmarin. UTUSAN/ASSIM HASSAN
SANDAKAN 28 Jan. – Cubaan seorang tekong ‘mencuri’ kira-kira empat tan metrik minyak sawit mentah gagal apabila bot yang dinaiki ditahan pasukan keselamatan berhampiran Pantai Bandar Leila, di sini semalam.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Ma­ritim Sandakan, Kapten A. Razak Abd. Rahman berkata, penahanan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dibuat pihaknya selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara haram di kawasan perairan Bandar Ramai-Ramai.
Menurutnya, minyak sawit mentah yang mahu dicuri itu merupakan lebihan dan ditinggalkan di atas barge kapal tunda kira-kira 0.1 batu nautika dari Pantai Bandar Leila.
“Bertindak atas maklumat, bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kekuatan lima anggota bergegas ke kawasan tersebut serta mengesan sebuah bot pancung yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Seorang tekong bot melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Maritim Malaysia dan menemukan empat tan metrik minyak sawit mentah di atas bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah A. Razak, lebihan minyak sawit mentah itu tidak boleh dibawa keluar tanpa kebenaran bertulis tertakluk kepada Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.
Difahamkan, lebihan minyak sawit mentah yang dicuri itu akan dijual di pasaran dengan harga yang murah.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya merampas empat tan metrik minyak sawit mentah itu selain turut membawa bersama bot pancung yang digunakan individu terbabit ke jeti Maritim Malaysia Sandakan untuk siasatan lanjut.
“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung nilai rampasan minyak sawit mentah itu dan kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tekong-gagal-curi-4-tan-minyak-sawit-mentah-1.184489#sthash.igxDAD8X.dpuf

Sebuah keluarga berdepan detik cemas disamun empat lelaki


ERNEST JOHN (kanan) menunjukkan sesuatu kepada mangsa ketika meninjau
ERNEST JOHN (kanan) menunjukkan sesuatu kepada mangsa ketika meninjau lokasi kejadian samun di Kampung Semerah Padi, Kuching, semalam.
KUCHING 28 Jan. – Sebuah keluarga melalui detik-detik cemas apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki hingga kerugian kira-kira RM7,000 di Lorong Cenderawasih 6, Kampung Semerah Padi, Jalan Samariang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi kuat daripada pintu bilik utama tingkat atas rumah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Ernest John berkata, keempat-empat suspek dipercayai terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia dan seorang warga tempatan.
Katanya, kesemua suspek masuk ke bilik pasangan suami isteri itu dengan masing-masing memegang sebilah pisau, sebatang pemutar skru, sebatang kayu serta sebilah parang.
“Salah seorang suspek mengacukan pisau ke arah isteri mangsa lalu meragut rantai dan gelang emas yang dipakainya.
“Kemudian pasangan suami isteri dan tiga anaknya diikat menggunakan kabel serta kain sebelum menggeledah rumah untuk mencari barangan berharga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, Ernest memberitahu, suspek mengambil wang tunai kira-kira RM1,500, lima buah telefon bimbit iaitu sebuah jenama Lenovo, Samsung (2) dan Oppo (1) serta beg kerja isteri yang mengandungi resit dan wang tunai RM67 sebelum melarikan diri.
“Kesemua mangsa yang tiada mengalami sebarang kecederaan, tidak menghubungi pihak polis sejurus kejadian kerana dalam keadaan trauma dan hanya membuat laporan pada pukul 8.50 pagi tadi.
“Susulan kejadian, polis sudah melakukan pemeriksaan di rumah mangsa dan usaha memburu kesemua suspek masih diteruskan,” tegasnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sebuah-keluarga-berdepan-detik-cemas-disamun-empat-lelaki-1.184491#sthash.TBhYySuy.dpuf

Sindiket seludup 26 kereta mewah, wanita Singapura ditahan


Ramli Johari (dua dari kiri) melihat antara kereta mewah terpakai
Ramli Johari (dua dari kiri) melihat antara kereta mewah terpakai dipercayai diseludup dari Singapura yang dirampas oleh pihak kastam di Johor Bahru, Johor, semalam. UTUSAN/Ishak Rahmad
JOHOR BAHRU 28 Jan. – Seorang wanita rakyat Singapura yang disyaki antara dalang sindiket penyeludupan kenderaan mewah terpakai dari republik itu ditahan dan sebanyak 26 kereta bernilai RM2.9 juta termasuk cukai dirampas.
Difahamkan, semasa serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Laguna di sini, wanita terbabit tinggal berseorangan manakala suaminya merupakan rakyat negara ini tidak berada di rumah dan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini giat memburu lelaki berkenaan.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Ramli Johari berkata, wanita berusia dalam lingkungan 20-an, ditahan Rabu lepas di sebuah rumah di kawasan perumahan itu pukul 3 petang dan pelbagai jenis kereta ditemukan di kawasan sekitar taman tersebut.
Menurutnya, kegiatan kes penyeludupan kereta mewah dari negara jiran itu berjaya dibongkar hasil risikan yang dibuat pihaknya selain maklumat diterima daripada orang awam berhubung lambakan kereta Singapura di kawasan berkenaan.
“Antara kenderaan yang disita ialah Toyota Alphard, Mercedes-Benz Brabus, Toyota Lexus, Honda Integra, Toyota Estima dan Toyota Lexus,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-34 peringkat Johor, di sini hari ini.
Tambahnya, tiga daripada 26 kenderaan yang disita itu ditemukan di rumah berkenaan manakala selebihnya di kawasan sekitar.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai jenis yang dirampas termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi itu dipercayai diseludup dari negara jiran, ditaksirkan bernilai RM1.1 juta dan melibatkan cukai sebanyak RM1.8 juta.
Ramli memberitahu, siasatan awal juga mendapati, kesemua kenderaan itu telah dibatalkan pendaftarannya di Singapura sebelum dibawa masuk ke negara ini untuk dijual di pasaran tempatan dengan harga lebih murah berbanding kereta import yang sah.
“Pihak kami sedang giat menjalankan siasatan termasuk mencari saki-baki ahli sindiket terbabit selain menyiasat sejauh mana kegiatan itu sudah beroperasi,” katanya yang menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya de­ngan penjualan kereta murah,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-seludup-26-kereta-mewah-wanita-singapura-ditahan-1.184547#sthash.XEe50hmG.dpuf

Pengawal mati dibakar hidup-hidup


Dipercayai berpunca daripada berebut kawasan

KLANG 28 Jan. - Sekumpulan lelaki tergamak membakar hidup-hidup seorang pengawal keselamatan yang sedang tidur di dalam pondok di tapak pembinaan di Jalan Astana, Bukit Raja di sini, Isnin lalu.
HOSEN RIDOY
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berusia 51 tahun disimbah dengan petrol di seluruh badannya oleh kumpulan berkenaan sebelum dinyalakan api.
Mangsa yang melecur lebih 90 peratus badannya kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini namun meninggal dunia selepas 12 jam dirawat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, seorang lagi pe­ngawal keselamatan berusia 40-an cedera pada mata dipercayai di­sembur dengan penyembur lada.
“Motif kejadian dipercayai akibat perasaan tidak puas hati serta berebut kawasan, namun kami masih menyiasat motif sebenar suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Kapar, di sini hari ini.
Susulan kejadian, tambah beliau, pihaknya menahan lima lelaki berusia antara 27 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kita juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengawal-mati-dibakar-hidup-hidup-1.184556#sthash.meDPkXEm.dpuf

Pensyarah ditahan seleweng RM14 juta


ALOR SETAR 28 Jan. - Seorang pensyarah sebuah universiti awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan penyelewengan tuntutan peruntukan bagi menjalankan program berjumlah kira-kira RM14 juta.
SEORANGpensyarah sebuah universiti awam ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dengan penyelewengan tuntutan peruntukan bagi menjalankan program berjumlah kira-kira RM14 juta di Alor Setar, Kedah, semalam.
Menurut sumber SPRM, wanita berusia 46 tahun bergelar Prof. Madya itu ditahan ketika hadir ke Pejabat SPRM negeri, Bangunan Persekutuan kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Beliau berkata, kesalahan itu disyaki dilakukan ketika pensyarah berkenaan yang berasal dari Perlis, memegang jawatan sebagai Pengarah sebuah pusat di universiti ber­kenaan antara 2012 hingga 2015.
“Kementerian Pendidikan Ting­gi memberikan dana RM16.39 juta kepada sebuah pusat di universiti berkenaan untuk menjalankan program pemba­ngunan kerjaya pelajar bagi kluster pemborongan peruncitan, hos­pitaliti dan pelancongan serta per­­khidmatan kewangan.
“Setakat ini kira-kira RM14 juta sudah pun dituntut bagi menjalankan lebih 300 program di universiti-universiti di seluruh tanah air. Namun siasatan awal SPRM hanya menemukan jejak kepada perbelanjaan wang berjumlah RM500,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pensyarah tersebut direman selama enam hari bermula hari ini setelah perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim kira-kira pukul 9.30 pagi.
Mengulas lanjut, sumber berkata, pensyarah tersebut disyaki menya­lahgunakan dana menerusi perancangan yang dibuat bersama syarikat pembekal kursus milik kroninya.
“Kira-kira 10 syarikat dipercayai terbabit dalam perancangan itu. Siasatan awal mendapati, pembayaran kepada syarikat terlibat diluluskan sedangkan tidak ada kursus yang dijalankan bagi melayakkan bayaran itu dibuat,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pensyarah-ditahan-seleweng-rm14-juta-1.184651#sthash.Yk8wtQBA.dpuf

Cuaca sejuk cetus kebimbangan


Diramal berlanjutan sehingga bulan depan
29 Januari 2016 1:19 AM



BEIJING 28 Jan. - Cuaca sejuk melampau yang melanda beberapa negara di rantau Asia dan ribut salji di Amerika Syarikat (AS) terus mencetuskan kebimbangan terhadap kesan fenomena luar biasa itu yang diramal berlanjutan sehingga bulan depan.
Setakat ini, portal berita ABC melaporkan, sekurang-kurang­nya 50 kematian dicatatkan di AS, manakala angka korban akibat cuaca sejuk di Thailand meningkat kepada 14 orang seperti dilaporkan portal Echo Netdaily.
Di Vietnam, hampir 800 haiwan ternakan terutamanya lembu mati selepas cuaca sejuk melampau melanda kawasan utara negara itu dan kawasan tanaman sayuran seluas 3,000 hektar turut terjejas akibat perubahan suhu.
Sementara itu, di China, rangkaian stesen tempatan CCTV men­yiarkan rakaman sebuah bangunan penempatan yang beku di bahagian luar dan dalam ekoran penurunan suhu serendah -11 darjah Celcius.
Kejadian luar biasa tersebut berlaku di wilayah Jiangsu dipercayai berpunca akibat air yang keluar daripada saluran paip pecah, membeku menjadi ais di sepanjang laluan tangga bangunan berkenaan.
Namun laporan itu menyebut, penduduk di wilayah Jilin turut mengalami nasib sama apabila air di dalam saluran paip membeku menyebabkan mereka terputus bekalan air bersih.
Jabatan meteorologi negara itu meramalkan cuaca yang lebih sejuk dijangka berterusan pada minggu depan dengan dan kerajaan China menasihati rakyatnya supaya kerap memasak air dan membalut saluran paip dengan tuala panas bagi mengelakkan pembekuan berlaku.
Antara negara Asia yang terjejas akibat cuaca sejuk termasuk ­Taiwan, Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan, yang menyaksikan jumlah kematian keseluruhan melebihi 100 orang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cuaca-sejuk-cetus-kebimbangan-1.184615#sthash.MTjdCkwM.dpuf

34 butir peluru senapang angin tertanam di muka


29 Januari 2016 1:18 AM

BEIJING 28 Jan. – Seorang remaja pe­rempuan di tengah China nyaris buta apabila sebanyak 34 butir peluru senapang angin terbenam di bahagian mukanya selepas ditembak oleh sepupunya menggunakan raifal angin yang diperbuat daripada plastik, dalam satu kejadian baru-baru ini.
Qian Qian, 13, dari bandar Wuhan ditembak sepupu lelakinya yang baru berusia tujuh tahun dalam kejadian pada 8 Januari lalu selepas kanak-kanak berkenaan menyangka senjata plastik itu adalah permainan dan tidak berbahaya.
People’s Daily Online yang dipetik Mail Online melaporkan, sejurus ditembak, Qian Qian terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital tempatan dan doktor berjaya mengeluarkan sebanyak 10 butir peluru berkenaan.
Namun, doktor kemudiannya merujuk kes Qian Qian ke Hospital Universiti Stomatological Wuhan dengan pakar bedah di pusat perubatan berkenaan mengeluarkan baki 24 biji peluru dengan bantuan alat imbasan tiga dimensi (3D).
Pakar bedah mengambil masa selama lima jam sebelum berjaya mengeluarkan semua baki peluru yang berukuran diameter tiga milimeter setiap satu pada dagu dan pipi remaja itu.
Sementara itu, seorang doktor yang terlibat dalam pembedahan tersebut, Li Zhifu berkata, Qian Qian bernasib baik apabila semua peluru itu berkumpul pada bahagian kiri mukanya.
“Jika pistol itu disasarkan sedikit tinggi, sudah pasti Qian Qian kehilangan penglihatannya,’’ kata Zhifu.
Meskipun kecederaan Qian Qian tidak mengancam nyawa, dia berisiko buta kerana beberapa butir peluru tersebut mengenai bahagian lesung mata yang terlalu hampir dengan ­deria penglihatannya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/34-butir-peluru-senapang-angin-tertanam-di-muka-1.184609#sthash.71gK0F6n.dpuf

Didakwa sebab rampas telefon anak


Lelaki bagaimanapun bebas tuduhan

TEXAS 28 Jan. - Sebuah mahkamah di daerah ini membebaskan seorang bapa setelah mendapati lelaki itu tidak bersalah atas tuduhan mencuri telefon bimbit milik anak perempuannya yang dikatakan diambil bertujuan untuk mendi­diknya, tiga tahun lalu.
Mahkamah berkenaan memutuskan demikian terhadap Ronald Jackson, 36, selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk meneruskan kes itu.
Jackson mengambil telefon jenis iPhone itu daripada anak­nya yang berusia 15 tahun setelah terlihat sistem pesanan ringkas (SMS) anaknya yang disifatkan biadab tentang seorang wanita pada September 2013.
“Saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang bapa kepada anak iaitu memberi pengajaran jika mereka melakukan kesalahan,’’ katanya yang dipetik oleh Mail Online.
Kejadian kecurian itu telah dilaporkan kepada pihak polis oleh ibu remaja berkenaan, Michelle Steppe yang pernah menjadi teman wanita Jackson, namun Jackson enggan menyerahkan telefon itu kepada pihak berkuasa tersebut.
Steppe yang mempunyai kekasih bertugas sebagai pegawai polis di Grand Prairie menegaskan, dia yang telah membeli te­lefon tersebut untuk anaknya dan tiada siapa boleh mengambilnya walaupun orang itu adalah ba­panya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/didakwa-sebab-rampas-telefon-anak-1.184602#sthash.TW3y7WHv.dpuf