Search This Blog

Wednesday, January 27, 2016

Rayu bekas suami pulangkan anak


Norhayati menunjukkan perintah mahkamah dan gambar dua anaknya.

BANDAR KUALA KANGSAR - Seorang kakitangan kerajaan merayu agar dua anaknya yang dipercayai berada bersama suaminya dipulangkan semula.
Norhayati Yusoff, 30, berkata, dia sedih apabila terpaksa berpisah dengan dua anak kandungnya, Nur Adni Sofia, 6, dan Nur Adlina, 3, sedangkan dia mempunyai hak untuk menjaga mereka.
Menurutnya, dia buntu memikirkan nasib anak-anaknya dan sudah berhabis ratusan ringgit mencari mereka sehingga ke merata-rata tempat.
"Dah sebulan lebih saya cari mereka. Anak bongsu saya diambil bekas suami pada 16 Disember tahun lalu.
"Sekarang saya tak tahu dekat mana mereka berada. Saya pernah pergi ke Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan, tapi sampai sekarang tak jumpa," katanya.
Norhayati berkata, kedua-dua anaknya itu sepatutnya berada di bawah jagaannya selepas berpisah dengan bekas suami.
"Sekarang dua-dua ada dengan bekas suami. Saya ada surat mahkamah. Jadi saya rayu bekas suami pulangkan mereka. Biar saya yang jaga kedua-duanya," katanya.
Katanya, dia terkilan dengan sikap bekas suaminya yang bertindak sedemikian sedangkan mereka boleh menyelesaikan perkara itu secara baik.
"Saya pernah viralkan kehilangan anak saya ini di laman sosial tapi bekas suami marah menyebabkan dia memotong rambut anak sulung kami.
"Lepas itu saya padam status di laman sosial sebab bimbang keselamatan anak," katanya.
Tambahnya, dia tidak teragak-agak membawa perkara ini ke peringkat lebih serius sekiranya bekas suami masih berdegil.
"Perintah mahkamah dah ada. Kalau dia masih degil, saya akan bertindak lebih keras. Saya sebenarnya lebih suka selesaikan dengan cara baik.
"Sekarang saya harap kalau ada orang nampak anak-anak saya, mereka boleh hubungi di talian 019-4378424,” katanya
.

Bapa biar anak memandu sambil pegang pistol


Rakaman video yang menunjukkan kanak-kanak memandu kereta

RIYADH - ARAB SAUDI . Polis Saudi menahan seorang lelaki tempatan selepas sebuah video  rakam yang menunjukkan dia membiarkan anaknya yang berusia tujuh tahun memandu kereta dan memegang pistol.
Rakaman tersebut mula tersebar di media sosial mendorong polis menjalankan siasatan dan memburu lelaki berkenaan.
Lelaki berkenaan dikenalpasti dan ditahan di ibu negara Riyadh pada Isnin.
Akhbar berkata, dalam rakaman tersebut kanak-kanak berkenaan dilihat memandu kereta dan memegang pistol sementara bapanya berada di sebelahnya dan mengalakkanya menggunakan senjata.
Akhbar Sabq yang dipetik Emirates 24/7 berkata, polis bertindak memburu lelaki berkenaan selepas netizen melahirkan rasa marah dengan tindakan lelaki berkenaan yang turut dikatakan memuatnaik rakaman itu
.

Bayi dibuang atas bumbung


Foto viral yang menunjukkan bayi yang dibuang atas bumbung .

SICHUAN - CHINA. Beberapa foto yang memaparkan seorang bayi yang baru dilahirkan dibuang di atas bumbung tempat letak basikal di sini telah mengundang kritikan netizen yang menganggap ibu bayi berkenaan tidak berhati perut dan kejam.
Menurut laporan NetEase, bayi berkenaan ditemui di atas bumbung tempat letak basikal di Huangyuan Road, bandar Jiangyou, wilayah Shincuan.
Penduduk setempat yang menemui bayi berkenaan berkata, dia pada mulanya menyangka ia hanyalah anak patung, namun selepas diteliti, ia sebenarnya adalah bayi yang baru dilahirkan.
Sementara itu, polis tempatan sedang menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut.
Sejak beberapa foto berkenaan viral di media sosial di China, netizen meluahkan rasa terkejut  dan marah dengan tindakan ibu bayi berkenaan.
Pelayar @tony820323 menulis, "melihat kepada senario ini saya benar-benar mahu menangis, menyedihkan. Badan kecil itu berbaring terdapat dalam kesejukan. Walaupun anda tidak mahu, sekurang-kurangnya tinggalkan dia di hospital.
@xsjj22 menulis, "wanita itu pada dasarnya telah kehilangan semua keupayaan untuk menjadi ibu yang baik.
"

Dituduh menyamar polis trafik


Rahiman (kanan) dan Zainul Rizal dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah menyamar sebagai anggota polis trafik di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan menjalankan tugas me­ngiringi kenderaan awal bulan ini.
Pengawal peribadi, Rahiman Ghazali, 39, dan peniaga pasar malam, Zainul Rizal Zaini, 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasi­ngan di hadapan Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris.
Berdasarkan pertuduhan, Rahiman dan Zainul Rizal didakwa menyamar sebagai anggota polis de­ngan berpakaian dan menggunakan motosikal jenis Honda CBX750 menyerupai anggota polis trafik serta menjalankan tugas mengiring di Jalan Raja Chulan menghala ke Jalan Tun Razak di sini pada pukul 7 petang, 5 Januari lepas.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3yPir9Hs8 
Hakcipta terpelihara 

Dua sahabat dijel tujuh tahun


MOHD. FIRDZARUL (kiri) dan Mohd. Shahrul (kanan) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan memiliki harta curi di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Gara-gara memiliki harta curi bernilai RM25,000 milik seorang guru pada bulan Mei tahun lalu, dua sahabat baik menerima padah apabila dihukum penjara selama tujuh tahun di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Mohd. Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd. Firdzarul Zulkifli, 25, dan Mohd. Shahrul Rasyid Ismail, 24, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan serentak tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, Mohd. Firdzarul dan Mohd. Shahrul didakwa memiliki harta curi termasuk dua komputer riba, satu gelang emas dan satu bentuk cincin serta beberapa barang berjenama lain milik Balkish Abdul Latif, 38, di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Limau Purut, Rantau Panjang antara pukul 8.35 pagi hingga 10 pagi, pada 31 Mei tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3yPigBdJp 
Hakcipta terpelihara 

Pemandu lori kena jel 18 tahun




Arman dibawa keluar oleh seorang anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang pemandu lori yang dituduh menyebabkan kematian seorang bayi berusia 10 bulan yang juga merupakan anak saudaranya, dua tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman, menjatuhkan hukuman itu kepada Arman Tarlin, 34, selepas bapa kepada dua orang anak itu mengaku bersalah menyebabkan kematian bayi tersebut.
Hukuman itu berkuat kuasa mulai dari tarikh tertuduh ditangkap pada 17 Disember 2013.
Abdul Halim sebelum menjatuhkan hukuman tersebut turut menegur tindakan kejam tertuduh kerana sebagai bapa saudara, dia tidak seharusnya berkelakukan sedemikian.
“Saya anggap kes ini serius. Pukulan apa yang kamu lakukan terhadap bayi itu dengan niat sebagai pengajaran, tidak boleh diterima akal. Walaupun (mangsa) bukan anak kamu, kita ada fikiran dan gunakan kewarasan.
“Bayi berusia 10 bulan, apa yang boleh harapkan. Jangan marah kepada yang lain, lepaskan (kemarahan) kepada yang lain. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3yPiLKojj 
Hakcipta terpelihara 

Ombak besar landa penduduk




SEORANG penduduk memindahkan barang selepas kediamannya dibadai angin kencang dan ombak hingga menyebabkan dapur rumahnya rosak di Kampung Tanjung Gelam, Tepoh, Kuala Nerus semalam.


KUALA TERENGGANU – Seramai 37 mangsa daripada sembilan keluarga yang menetap di kawasan tepi pantai di daerah Kuala Nerus terpaksa dipindahkan ekoran kejadian ombak besar dan angin kencang malam semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Leftenan Muda Ahmad Kamal Hakim berkata, seramai lapan keluarga terjejas dari Kampung Tanjung manakala sebuah keluarga dari Kampung Tengah Mengambang Telipot.
Katanya, kesemua mangsa telah berpindah ke rumah ahli keluarga dan saudara berdekatan selepas kediaman mereka dibadai ombak.
“Setakat pukul 11.15 pagi (semalam), tiga buah rumah di Kampung Tanjung Gelam dan sebuah kediaman di Kampung Tengah Mengambang Telipot telah dipukul ombak.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3yPhEHrrc 
Hakcipta terpelihara 

13 PATI mati lemas di laut




Sebanyak 13 mayat warga Indonesia yang ditemui terdampar di Pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar di Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia memasuki negara ini melalui laluan haram berakhir dengan 13 orang mati lemas selepas bot dinaiki karam di perairan Pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar dekat sini semalam.
Kesemua 13 mayat PATI dewasa iaitu sembilan wanita dan empat lelaki ditemui terdampar berhampiran bot pancung yang karam di sekitar pantai pada pukul 8.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, pihaknya percaya, sebelum kejadian, bot pancung tersebut disyaki dinaiki kira-kira 35 penumpang berdasarkan kapasitinya.
Menurut beliau, pasukan mencari meneruskan operasi mengesan mangsa-mangsa lain yang nasib mereka tidak diketahui.
“Sehingga petang ini (semalam), 13 mayat ditemui terdampar di Pantai Sungai Tengah terdiri daripada sembilan mayat wanita dan empat mayat lelaki,” kata beliau di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3yPfyDpdY 
Hakcipta terpelihara 

Brazil kerah 200,000 askar perangi nyamuk pembawa virus Zika



AFP - SEORANG wanita hamil, Angelica Prato (kanan) yang dijangkiti virus Zika melakukan pemeriksaan di Hospital Universiti Erasmo Meoz di Cucuta, Colombia kelmarin.


BRASILIA – Kerajaan Brazil mengerahkan lebih 200,000 askar untuk melakukan lawatan rumah ke rumah bagi memerangi nyamuk Aedes yang membawa virus Zika, demikian menurut satu laporan kelmarin.
Virus itu menjangkiti bayi dalam kandungan sehingga menyebabkan kecacatan otak yang dikenali sebagai mikrosefali.
Akhbar O Globo melaporkan Menteri Kesihatan, Marcelo Castro berkata, anggota tentera itu akan melawat kediaman di seluruh Brazil mengagihkan risalah serta memberi nasihat kepada orang ramai.
Castro berkata, kerajaan juga akan mengagihkan penyembur aerosol kepada sekurang-kurangnya 400,000 wanita hamil yang menerima bantuan kebajikan.
Peningkatan kes kecacatan otak dalam kalangan bayi baru lahir di Amerika Latin terutamanya Brazil sejak beberapa bulan lalu mendorong Amerika Syarikat dan beberapa negara lain memberi amaran kepada wanita hamil agar tidak berkunjung ke rantau itu.
Virus Zika tidak berjangkit sesama manusia. Pesakit simptom menyerupai selesema yang akan hilang dalam tempoh kira-kira seminggu.
Namun, virus Zika amat berbahaya apabila menjangkiti wanita hamil dan janin mereka.
Brazil merekodkan se–kurang-kurangnya 3,893 kes mikrosefali sejak Oktober 2015 sekali gus melonjak berbanding purata 160 kes yang dicatat pada setiap tahun.
Selain virus Zika, nyamuk Aedes juga membawa virus demam denggi dan chikungunya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3yPfT3QoK 
Hakcipta terpelihara 

Sonar cari MH370 hilang


AGENSI - GAMBAR fail kapal Furgo Discovery yang bertanggungjawab dalam operasi mencari pesawat MH370.


CANBERRA – Peralatan sonar yang ditunda di belakang sebuah kapal mencari pesawat hilang penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi hilang selepas kabelnya terputus, kata pihak berkuasa semalam.
“Peralatan itu berlanggar dengan sebuah gunung berapi lumpur se­tinggi 2,200 meter dari dasar laut menyebabkan kabel mesin tersebut putus.
“Mesin sonar tersebut dan kabel sepanjang 4,500 meter terpisah dari kapal berkenaan dan kini berada di dasar laut,” jelas kenyataan pihak berkuasa Australia yang mengetuai usaha mencari tersebut, Agensi Pusat Koordinasi Bersama.
Tiada kakitangan yang cedera dalam kejadian itu dan agensi tersebut yakin akan mendapat kembali peralatan berkenaan pada satu masa kelak.
Kapal penunda Fugro Discovery kini dalam perjalanan pulang ke pelabuhan Freemantle di pantai barat Australia untuk mendapatkan kabel gantian.
Kapal itu dijangka tiba di pelabuhan berkenaan pada 30 Januari ini. Fugro Discovery mempunyai peralatan sonar tambahan yang sudah disediakan untuk operasi tersebut, jelas kenya­taan itu.
Pesawat kendalian syarikat Pener­bangan Malaysia itu berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan ke Beijing, China sebelum hilang sejam kemudian.
Usaha mencari bertumpu di selatan Lautan Hindi di mana perkiraan pakar menunjukkan tempat pesawat itu berkebarangkalian tinggi terhempas tetapi belum ada sebarang petunjuk ditemui di kawasan berkenaan setakat ini. – dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3yPfFFhCc 
Hakcipta terpelihara 

Gempa 7.1 magnitud landa Alaska




AP - GAMBAR menunjukkan keadaan di sebuah kedai di Semenanjung Kenai, Alaska selepas dilanda gempa bumi kelmarin.


ANCHORAGE, Alaska – Satu gempa bumi dengan kekuatan 7.1 magnitud melanda Alaska awal pagi kelmarin sehingga menyebabkan kegemparan kepada penduduk, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Pakar seismologi Alaska, Michael West memberitahu, gempa berkenaan merupakan yang terkuat di wilayah selatan tengah negeri itu dalam tempoh beberapa dekad ini.
“Gempa bumi kelmarin perlu diberi perhatian kerana sangat berdekatan dengan penempatan penduduk di Alaska,” ujar West dengan menambah gegaran sama bakal berterusan sepanjang minggu ini.
Gegaran turut dirasai sehingga ke kawasan Anchorage tetapi pihak polis Anchorage dan Valdez memberitahu, mereka tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kerosakan setakat ini.
Gempa bumi itu berlaku sekitar pukul 1.30 pagi waktu tempatan dan berpusat 85 kilome­ter di barat Anchor Point di Semenanjung Kenai iaitu kira-kira 257 kilometer dari barat daya Anchorage.
Salah seorang penduduk di Kenai, Vincent Nusunginya memberitahu, dia berada di dalam rumah ketika gempa bumi tersebut berlaku.
“Ia bermula dengan gegaran dan sama seperti gempa bumi biasa. Tetapi kemudian bertukar kuat dan terasa seperti terhuyung-hayang,” kata Nusunginya kepada akhbar tempatan, Peninsula Clarion.
Empat buah rumah terbakar di Kenai sejurus selepas gempa bumi apabila berlaku kebocoran gas.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran ini. Satu letupan besar berlaku dalam kebakaran kedua,” kata ketua bomba Kenai, Tony Prior. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3yPeniOzh 
Hakcipta terpelihara 

Israel lulus bina 153 rumah haram Yahudi di tanah Palestin


BAITULMUQADDIS – Kementerian Pertahanan Israel telah meluluskan rancangan membina 153 buah rumah peneroka haram Yahudi di Tebing Barat, kata jurucakap kumpulan pemerhati penempatan Israel, Peace Now kelmarin.
Hagit Ofran berkata, rancangan itu diluluskan pada minggu lalu dan melibatkan penempatan kecil di kawasan Ariel, utara Tebing Barat dan penempatan Yahudi Carmel di Hebron dan Gush Etzion.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan itu, perkembangan tersebut mengakhiri pembekuan pembinaan penempatan Yahudia di Tebing Barat yang berkuat kuasa selama 18 bulan.
Peace Now menyatakan pada 28 Disember lalu bahawa Israel sedang berusaha untuk memulihkan dan menangguhkan rancangan pembinaan penempatan Yahudi di kawasan perbalahan di Tebing Barat yang dikenali sebagai E1.
Berdasarkan data kerajaan Israel, kumpulan itu berkata, kementerian perumahan merancang membina 55,548 unit rumah di Tebing Barat melibatkan dua penempatan baharu selain lebih 8,300 rumah bakal dibina di E1.
“Kawasan penempatan Maale Adumim dan E1 merupakan kawasan paling sensitif dan berisiko menjejaskan rundingan damai Asia Barat bagi mencapai penyelesaian dua negara iaitu Palestin dan Israel.
“Justeru, apabila pemimpin Israel mahu membina rumah Yahudi di E1, masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya kerana ia boleh menjejaskan proses damai Israel-Palestin,” kata Peace Now.
Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah menentang kesemua rancangan pembinaan penempatan Israel dan menyuarakan kebimbangan mengenai pembinaan di E1.
Israel menawan Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis dalam Perang Enam Hari pada 1967. Setakat ini, terdapat kira-kira 380,000 penduduk Israel menetap di 135 buah penempatan di Tebing Barat manakala 200,000 lagi di timur Baitulmuqaddis.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3yPeMhgsR 
Hakcipta terpelihara 

Washington terus lumpuh


AFP - DERETAN kereta sewa di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, luar Washington dilitupi salji kelmarin.


WASHINGTON – Ibu kota Amerika Syarikat (AS), Washington memerlukan masa beberapa hari lagi untuk kembali normal selepas ribut salji menurunkan salji setebal lebih 60 sentimeter di Pantai Timur AS pada hujung minggu lalu sehingga menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar dan lebih 30 orang terbunuh.
Washington masih lumpuh dengan Kerajaan Persekutuan mengarahkan sekolah-sekolah di bandar raya ini dan sekitarnya ditutup kelmarin
Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser menggesa orang ramai agar tidak berada di luar rumah sementara pekerja-pekerja membersihkan salji dari jalan raya, laluan parkir dan kaki lima lebuh raya.
“Jalan-jalan raya masih berbahaya. Kami tahu bahawa kami memerlukan masa beberapa hari lagi untuk melakukan kerja pembersihan. Kami akan menangani salji sepanjang minggu ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 36 kematian berkaitan ribut salji termasuk kemalangan jalan raya dan serangan jantung semasa menyodok salji di Washington, Delaware, Kentucky, Maryland, New Jersey, New York, Carolina Utara, Carolina Selatan, Ohio, Tennessee dan Virginia.
Kematian itu termasuk seorang lelaki di Carolina Selatan ditembak mati semasa dia berlari untuk membantu seorang pemandu kenderaan yang terbabas. Pemandu itu kini dalam tahanan reman dan berdepan dakwaan membunuh kelmarin.
Ribut salji kali ini dianggarkan menyebabkan kerugian beberapa bilion dolar termasuk kerosakan pada bangunan dan kerugian akibat penutupan perniagaan, kata firma insurans, Aon Benfield kelmarin.
Sistem kereta api bawah tanah beroperasi secara terhad kelmarin dengan menawarkan perjalanan percuma untuk menggalakkan orang ramai menaiki kenderaan awam berbanding memandu. Beberapa pegawai berkata, hanya satu laluan kereta api bawah tanah kembali beroperasi semalam. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3yPdozfSC 
Hakcipta terpelihara 

Cuaca sejuk luar biasa di Bangkok




AFP - SEORANG penjual makanan dilihat memakai baju sejuk semasa dia menunggu pelanggannya di sebatang jalan raya di Bangkok, Thailand kelmarin.


BANGKOK – Warga kota Bangkok terpaksa menahan kesejukan yang menusuk hingga ke tulang berikutan cuaca sejuk luar biasa menyelubungi bahagian utara dan pusat bandar raya ini untuk dua malam berturut-turut dengan suhu dilaporkan semakin menurun.
Penduduk di ibu kota berdepan suhu dingin antara 13 hingga 16 darjah Celsius (°C) sejak dua malam lepas sehingga memaksa mereka memakai beberapa lapis pakaian untuk mengelak badan daripada menggigil.
Jabatan Meteorologi dalam kenyataan kepada media tempatan menasihati orang ramai agar bersiap sedia menghadapi cuaca lebih sejuk memandangkan suhu dijangka semakin menurun pada hari-hari berikutnya.
“Penurunan suhu sekitar 1 hingga 3°C akan berlaku dalam masa dua hari akan datang,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, suhu dingin yang dialami penduduk Bangkok ketika ini tidak melepasi rekod bacaan yang dicatatkan masing-masing pada 1975 dan 1999 apabila suhu di ibu negara itu menurun kepada 10°C dan 11.7°C.
– Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3yPcIeyo2 
Hakcipta terpelihara