Search This Blog

Friday, January 22, 2016

Tak kesal potong tangan sendiri

Islamabad: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang memotong tangannya kerana menyangka dirinya kufur berkata, dia tidak menyesali perbuatannya itu.
Remaja itu memotong tangannya selepas imam yang memberi syarahan di sebuah masjid di wilayah Punjab menyuruh sesiapa yang tidak sayangkan Nabi Muhammad (SAW) supaya mengangkat tangan.
Remaja terbabit mengangkat tangan kerana tersilap faham soalan diajukan menyebabkannya dituduh kufur dan digesa bertaubat.
Kerana takut, remaja itu pulang dan memotong tangannya sendiri menggunakan sabit.
“Imam itu berkata, sesiapa yang tidak percayakan ajaran Rasulullah supaya mengangkat tangan. Saya tersilap mendengar soalan itu sebenarnya.
“Apabila dituduh kufur, saya pulang ke rumah, memotong tangan sendiri dan membawanya kepada imam itu di atas dulang.
“Namun saya tidak menyesal perbuatan itu kerana ia demi mempertahan Islam. Tidak sepatutnya saya rasa sakit atau sedih memotong tangan yang diangkat untuk menentang Rasulullah,” katanya kepada BBC.
Imam terbabit ditahan polis Pakistan atas tuduhan menghasut kebencian yang secara tidak langsung turut membahayakan nyawa mangsa yang dituduh kufur.
Kekufuran isu amat sensitif di Pakistan dengan orang ramai sering membunuh sesiapa dianggap menghina Islam. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 6:05 AM

BUDAK lelaki berkenaan (kanan) berkata, tindakannya itu untuk mempertahankan Islam.

Dua beranak rentung [METROTV]

Balik Pulau: Dua beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Nazri Zainal Abidin, 29, dan bayi perempuannya, Damia Auliah Salsabila, tiga bulan, maut selepas gagal menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Manakala lima ahli keluarga lain termasuk isteri mangsa sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah dua tingkat itu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Norashikin Md Isa berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 2.17 pagi dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.
"Api dapat dikawal pada 2.47 pagi dan mangsa pertama ditemui pada 2.50 pagi. Mangsa kedua ditemui pada 4.32 pagi selepas api dipadam sepenuhnya.
"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 8:17 AM


BAPA dan bayinya maut dalam kebakaran rumah dua tingkat. FOTO ihsan pembaca

Khazanah arwah suami

Shah Alam: “Saya paling mengharapkan antara 30 barang peribadi milik arwah yang dipulangkan ada Iphone, iPad selain jam tangan jenama G-Shock, namun tiada,” kata isteri juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Mariyam Yusoff, 48.
Menurut Mariyam, perasaan sebak dan sedih mula menyelubungi dirinya apabila pegawai Malaysia Airlines Berhad (MAB) datang ke rumahnya di sini, semalam untuk mengembalikan barangan peribadi milik arwah suaminya, Kapten Wan Amran Wan Hussin.
“Mereka datang jam 6 petang dengan membawa sebuah kotak coklat. Ia mengandungi 30 barangan arwah. Turut disertakan sehelai kertas yang tercatat isi kandungannya.
“Saya belum mahu membukanya (kotak), hanya meneliti kertas terbabit dan mengetahui tiada barangan yang paling ditunggu-tunggu kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui.
Mariyam berkata, antara barangan yang diterima ialah sapu tangan kecil, butang sayap penerbangan, seluar seragam hitam, kain pelikat, beberapa helai baju dan kad bank.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 7:05 AM

MARIYAM bersama anaknya Wan Yusof Irfan Wan Amran (kiri), melihat barang yang diserahkan oleh MAB.

Lori hantu mungkin wajib daftar, jalani pemeriksaan



Oleh Zanariah Abd Mutalib


LORI hantu yang berada di kawasan kuari berhampiran SMK Damai Perdana, Kajang. - Foto Nor Azizah Mokhtar
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap operasi lori hantu termasuk kemungkinan mendaftarkan semua kenderaan itu dan mewajibkan melalui pemeriksaan Puspakom.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata JPJ akan mengkaji semua prosedur operasi lori hantu dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.
"Kita perlu memberi perhatian serius dan mengambil tindakan terhadap semua lori hantu. Kita tidak mahu kejadian yang menyayat hati seperti berlaku terhadap dua pelajar baru-baru ini berulang," katanya selepas merasmikan pejabat JPJ Cawangan Putrajaya di sini, pagi ini.
Minggu lalu, dua pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Kajang, maut dirempuh sebuah lori hantu yang terbabas.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, orang ramai kini boleh memberi cadangan bagi menambah baik Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (KEJARA).
"Contohnya, orang ramai boleh memberi cadangan di mana kawasan sesuai untuk meletakkan kamera AES," katanya.

Hujan batu di Shah Alam



Oleh Khairul Azran Hussin


SHAH ALAM: Penduduk sekitar Bukit Jelutong, di sini, gempar apabila hujan batu melanda kawasan itu kira-kira 10 minit, petang ini.
Kejadian jam 4.30 petang itu mengundang panik dalam kalangan orang ramai apabila ada yang mengalihkan kenderaan bagi mengelakkan cermin pecah ditimpa hujan batu sebesar syiling 20 sen.
Hujan batu turut menarik perhatian ramai apabila ada yang mengutip serta mengambil gambar ketulan ais itu.
Kakitangan loji percetakan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita 2, di sini, turut teruja melihat fenomena itu.
Kakitangan NSTP, Norrasyidah Arshad, berkata ketika berada di kantin, beliau terdengar bunyi luar biasa sehingga menarik perhatiannya.
"Saya melihat ada pekerja mengutip ketulan air batu kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat fenomena alam yang jarang berlaku," katanya.


PENDUDUK sekitar Bukit Jelutong, di sini, gempar apabila hujan batu melanda kawasan itu kira-kira 10 minit.

Mendiang suami terlupa tinggalkan kata laluan iPad

JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 4:13 PM


 POLISI syarikat Apple memerlukan arahan mahkamah untuk mendapatkan semula kata laluan.


VICTORIA: Seorang wanita di Kanada terkejut apabila syarikat gergasi teknologi dunia memintanya menyediakan arahan mahkamah hanya untuk mendapatkan semula kata laluan gajet milik mendiang suaminya. Peggy Bush, 72, yang kematian suami, David akibat kanser paru-paru pada Ogos lalu, berdepan masalah dengan iPad milik suaminya yang tiba-tiba tidak berfungsi. Ia hanya dapat dihidupkan semula dengan kata laluan akaun Apple pemilik, satu-satunya perkara yang tidak diwariskan kepada Peggy. "Suami mewariskan semuanya kepada saya ..kereta, rumah, aset ..tapi dia terlupa meninggalkan kata laluan iPad," katanya. Walaupun sudah menyediakan salinan pembahagian harta pusaka dan surat kematian, polisi syarikat Apple tetap memerlukan arahan mahkamah.



PEGGY Bush dan David. - Foto CBC


 Bosan dengan kerenah Apple, Bush akhirnya membeli sebuah komputer riba baru (bukan Mac). Misi mendapatkan akses akaun Apple suaminya sia-sia hinggalah CBC 'Go Public' menghubungi syarikat itu bagi pihak Bush. Apple meminta maaf atas salah faham itu dan mula membantu menyelesaikan masalah Bush tanpa perintah mahkamah, lapor CBC minggu ini. "Kami tidak mahu orang lain melalui kerumitan yang sama. Kami berharap Apple dapat membangunkan dasar yang lebih mesra pengguna, terutamanya yang membabitkan kematian," kata anak Peggy, Donna kepada CBC. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/117004

Gempa bumi 6.6 magnitud gegar Mexico

JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 8:00 AM




MEXICO CITY: Gempa bumi kuat berukuran 6.6 magnitud menggegarkan pantai barat Mexico yang menghadap lautan Pasifik pada Khamis tetapi pihak berkuasa melaporkan tiada kecederaan atau kerosakan. Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berpusat kira-kira 215 kilometer barat daya bandar Tomatlan, wilayah Jalisco, pada kedalaman 10 kilometer. Agensi Perlindungan Awam Jalisco menerusi Twitter berkata, kesan gegaran dapat dirasai di beberapa daerah tetapi tiada laporan berkaitan orang awam cedera atau kerosakan bangunan. Sementara itu, Pusat Amaran Tusnami Pasifik, Jabatan Kajicuaca Kebangsaan Amerika Syarikat berkata, gempa itu tidak menyebabkan tsunami. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116872

Gempa 6.4 magnitud gegar barat laut China


BEIJING: Gempa bumi 6.4 magnitud menggegarkan wilayah pedalaman barat laut China awal pagi tadi, merosakkan berpuluh kediaman tetapi tidak menyebabkan kehilangan jiwa.
Agensi berita rasmi, Xinhua berkata gempa pada jam 1.13 pagi itu berpusat di kawasan tidak berpenduduk kira-kira 33 kilometer dari daerah Menyuan di wilayah Qinghai.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat yang mencatatkan gempa dengan kekuatan 5.9 magnitud menyatakan ia berlaku pada kedalaman 10 kilometer di pinggir barat Banjaran Tibet.
Xinhua memetik pegawai tempatan sebagai berkata gempa bumi itu menyebabkan keretakan di lebih 20 rumah dan kerosakan di lebih 30 yang lain. Pihak berkuasa sudah menghantar 700 khemah ke kawasan ini.
"Gegaran berlangsung selama satu hingga dua minit...berserta bunyi gegaran," lapor agensi yang memetik seorang penduduk Menyuan. Gegaran turut dirasai di ibu kota wilayah Xining. - AP

2,000 pelarian lintasi Macedonia ke Jerman, Austria

KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 11:40 PM
POLIS memeriksa kertas pendaftaran pelarian sebelum menyeberangi sempadan Greek-Macedonia. - Foto AP
IDOMENI: Selepas bermalam di sempadan Greek-Macedonia dalam suhu bawah takat beku, kira-kira 2,000 pelarian terutama dari Syria hari ini meneruskan perjalanan berliku mereka ke utara Eropah yang disekat sementara akibat penutupan sempadan di Skopje.
"Saya gembira masalah itu diselesaikan. Saya mahu pergi ke Jerman untuk menyambung pengajian," kata Imad, 19 tahun.
Imad dan kira-kira 1,200 pelarian konflik lain dari Syria, Iraq dan Afghanistan, menghabiskan waktu malam dalam khemah panas dikendalikan kumpulan bantuan.
Walaupun sempit dan menyesakkan dengan bau badan, khemah itu lebih selesa untuk tidur berbanding bas parkir, yang terpaksa diduduki kira-kira 600 pelarian lain akibat kekurangan tempat.
Macedonia minggu ini memutuskan untuk menutup sempadannya dengan Greece dan hanya membukanya semula hari ini untuk pelarian yang berhasrat meneruskan perjalanan ke Jerman atau Austria.
"Lintasan sempadan untuk pendatang berhampiran Gevgelija (bandar sempadan Macedonia) dibuka awal pagi ini, namun hanya pendatang yang mana kertas pendaftaran bahasa Greek menunjukkan destinasi akhir mereka sebagai Jerman atau Austria saja boleh melaluinya," kata seorang pegawai polis kanan di Skopje kepada AFP.
Polis Greek juga membantu dengan menambah perkataan "Jerman" atau "Austria" pada kertas pendaftaran pelarian. Menjelang tengah hari, kira-kira 400 pendatang sudah menyeberangi sempadan.
"Ia adalah prosedur sementara bagi mengurangkan tekanan ke atas kem, yang hanya boleh menempatkan 1,500 pendatang pada satu-satu masa," kata sumber polis Greek.
Kumpulan bantuan memberi amaran, sumber mereka sudah dilanjutkan ke peringkat maksimum, meningkatkan kebimbangan nasib keluarga dengan kanak-kanak kecil.
Kayu dibakar dalam tong di luar khemah dan bangku sudah diletakkan supaya pelarian tidak perlu duduk di atas tanah beku.
Ketua misi Doctors Without Borders (MSF) ke sempadan Greek, Antonis Rigas, berkata jika aliran itu berterusan, tiada peluang untuk menyediakan tempat.
"Ia menjadi amat sejuk pada waktu malam. Pada awal pagi, suhu adalah negatif tujuh darjah Celcius," katanya. - AFP

Jet F-16 AS terhempas di Arizona



JET F-16 Fighting Falcon
LOS ANGELES: Sebuah jet F-16 Fighting Falcon terhempas di barat laut Arizona pada Khamis, kata jurucakap Tentera Udara Amerika Syarikat.
Setakat ini, tiada maklumat mengenai nasib juruterbang selepas nahas dekat Bagdad wilayah Yavapai.
Pegawai berkata, lokasi nahas jet berkenaan dikenal pasti pada petang Khamis.
Katanya, lokasi nahas yang terpencil dan laluan berbatu mungkin menambah kesukaran untuk mencari juruterbang berkenaan.
Mengikut seorang pegawai, jet terbabit yang direka untuk 56th Fighter Wing di Pangkalan Tentera Udara Luke, terhempas kira-kira jam 8.45 pagi waktu tempatan.
Jurucakap Luke, Leftenan Pertama Tanya Wren berkata, punca nahas masih belum dipastikan dan tiada maklumat lain diperolehi.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Arizona, Quentin Mehr berkata, pihaknya menghantar anggota, sebuah helikopter penyelamat dan bahan letupan serta pasukan pengendali bahan berbahaya.
Pejabat Sherif Wilayah Yavapai turut menghantar sebuah helikopter ke tempat kejadian.
Bagdad terletak kira-kira 136 kilometer barat laut pangkalan berkenaan di Glendale.
56th Fighter Wing adalah pangkalan bagi 140 pesawat F-16s dan 24 skuadron, sayap pejuang terbesar dalam tentera udara. - Agensi

Lelaki putus kemaluan mahu ceraikan isteri

JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 12:27 AM

Oleh Safeek Affendy Razali


KESAN tompokan darah di pintu masuk rumah mangsa di Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan. - Foto AmranYahya
KUALA LUMPUR: Lelaki warga Pakistan yang kemaluannya putus dikerat isteri dengan pisau cukur,
mahu menceraikan isterinya itu apabila sembuh kelak.
Menceritakan kejadian terbabit, mangsa berusia 44 tahun yang berasal dari Peshawar, Pakistan itu langsung tidak menyangka wanita yang dikahwini sejak dua tahun lalu sanggup bertindak kemudian.
"Saya terjaga dari tidur selepas berasa sakit pada kemaluan dan melihat darah membuak. Saya panik tetapi isteri yang ada di situ hanya memerhatikan saya tanpa membantu," katanya ketika ditemui BH, lewat petang tadi.
Dalam keadaan kesakitan, mangsa menyedari kemaluannya terputus dan menelefon anak saudara yang membawanya ke balai polis.
"Polis menghantar saya ke hospital dan dimaklumkan akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan," katanya sambil menambah polis juga ke rumahnya bagi mengambil kemaluannya.
Beliau mendakwa isteri keduanya itu berkelakuan aneh beberapa hari sebelum kejadian kerana kurang bercakap dan tidak mahu tidur di dalam bilik.
"Dia kurang bercakap dengan saya dan sering mengelak. Dia juga tidak mahu tidur dalam bilik.
"Bila saya tanya, dia hanya mendiamkan diri. Pada malam itu, saya masuk ke bilik dan dia berada di luar sehinggalah saya tersedar akibat kesakitan," katanya yang bersyukur pembedahan penyambungan semula berjaya selepas 15 jam berada dalam bilik pembedahan.
Difahamkan, isteri pertama mangsa berada di kampung halamannya di Pakistan dan tidak dibawa ketika berhijrah ke negara ini pada 2004 dan menjalankan perniagaan untuk menyara hidup.
Dalam kejadian jam 1.40 pagi di sebuah rumah di Batu Kikir, Jempol, semalam, isteri mangsa yang berusia 51 tahun dikatakan memotong kemaluan suaminya ketika tidur kerana tidak tahan diperlakukan dengan kasar ketika hubungan seks.
Suspek ditahan dan direman sehingga 26 Januari ini.

Budak 4 tahun maut nahas tiga kenderaan

 JENAYAH JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 1:00 PM



 Oleh Amin Ridzuan Ishak aminridzuan@bh.com.my


KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan Cengkih Jalan Pintasan Kuantan di sini, pagi tadi. Dalam nahas jam 8.15 pagi, Muhammad Khairul Irfan Mohd Khairul Amry, yang duduk di sebelah pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Ketiga-ketiga pemandu kenderaan berkenaan turut cedera dan dirawat di hospital sama. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan dari arah Semambu menghala Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah terbabas sebelum masuk laluan bertentangan, lalu bertembung kenderaan dinaiki mangsa dan sebuah kereta lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Difahamkan, jenazah anak anggota polis Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu akan dikebumikan di Kampung Aur Telong, Bachok, Kelantan. SEORANG kanak-kanak berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan Cengkih Jalan Pintasan Kuantan. - Foto ihsan PDRM

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116973

7 pelajar perempuan bantu kes jumpa mayat janin

KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 8:44 PM





SETIU: Polis menahan tujuh pelajar perempuan sebuah kolej swasta, di sini bagi membantu siasatan kes penemuan mayat janin perempuan di dalam loji kumbahan kolej itu pada 12 Januari lalu. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata semua pelajar berusia antara 19 tahun dan 20 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada antara mereka yang baru melahirkan anak. "Polis mengambil sampel DNA semua pelajar untuk membantu siasatan bagi mengetahui ibu bayi itu, termasuk pihak yang melakukan pembuangan bayi itu," katanya. Rosli berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Latihan Pasukan Gerakan Am dan Perkhemahan Tahunan Ops Gempur Kelapan Kor Suksis Unisza di Peladang Setiu Resort, hari ini. Katanya, polis akan mencari petunjuk untuk mengesan suspek lain memandangkan mayat janin berkenaan ditemui ketika sebahagian besar pelajar kolej swasta itu pulang bercuti semester. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mayat janin perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui terapung di dalam loji kumbahan kira-kira 3.30 petang oleh seorang pekerja kontrak pembersihan. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116760

Budak 4 tahun maut nahas tiga kenderaan

JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 1:00 PM



Oleh Amin Ridzuan Ishak aminridzuan@bh.com.my

KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan Cengkih Jalan Pintasan Kuantan di sini, pagi tadi. Dalam nahas jam 8.15 pagi, Muhammad Khairul Irfan Mohd Khairul Amry, yang duduk di sebelah pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Ketiga-ketiga pemandu kenderaan berkenaan turut cedera dan dirawat di hospital sama. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan dari arah Semambu menghala Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah terbabas sebelum masuk laluan bertentangan, lalu bertembung kenderaan dinaiki mangsa dan sebuah kereta lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Difahamkan, jenazah anak anggota polis Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu akan dikebumikan di Kampung Aur Telong, Bachok, Kelantan. SEORANG kanak-kanak berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan Cengkih Jalan Pintasan Kuantan. - Foto ihsan PDRM

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116973

Sembilan ahli 'Geng Mata Besar' ditahan



Oleh Ifwan Tun Tuah

SEREMBAN: Polis menumpaskan kumpulan pecah rumah dan curi kenderaan dikenali 'Geng Mata Besar' dengan penahanan sembilan ahlinya dalam beberapa siri serbuan di sekitar negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf, berkata semua suspek berusia antara 31 hingga 52 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula hujung Disember lalu sehingga awal bulan ini.
"Kita menemui semula enam kereta yang dicuri kumpulan itu dari sekitar Negeri Sembilan dan Selangor yang dianggarkan bernilai RM400,000 dan masih memburu saki-baki anggota kumpulan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Modus operandi kumpulan itu adalah memecah masuk rumah mangsa dan mengambil kunci kenderaan sebelum melarikan kenderaan terbabit.

Polis bongkar kegiatan curi kenderaan di Lembah Klang

JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 4:50 PM

Oleh Norzamira Che Noh


KETUA Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat (dua dari kiri) bersama pegawai siasatan menunjukkan kenderaan yang dirampas dalam kes curi kenderaan di Sidang Media Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir
SHAH ALAM: Penahanan seorang lelaki warga Myanmar yang sedang menolak sebuah motosikal, dipercayai dicuri di Alam Impian pada Ahad lalu, membongkar kegiatan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, anggota polis yang sedang membuat rondaan, terserempak dengan lelaki berkenaan yang berkelakuan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata anggota polis berkenaan kemudian menahan lelaki terbabit untuk pemeriksaan dan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Soal siasat ke atas lelaki 29 tahun itu membawa kepada penemuan beberapa buah kenderaan curi di kawasan lapang di Padang Jawa.
"Siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah PROTON Saga, Nissan Sunny serta dan sebuah lori Daihatsu, dipercayai kenderaan curi bernilai RM70,000," katanya di sini, hari ini.
Shafien berkata, usaha mengesan saki-baki kumpulan curi kenderaan itu agak sukar kerana suspek enggan memberi kerjasama.
Suspek ditahan reman sehingga Isnin untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan.

Lelaki Pakistan jual pakaian seragam polis ditahan

JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 5:41 PM



Oleh Noor Hidayah Tanzizi bhnews@bh.com.my

 SERI MANJUNG: Lelaki warga Pakistan yang juga tukang jahit di sebuah kedai pakaian seragam, ditahan polis selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan permit membekalkan kelengkapan pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pekan Seri Manjung, di sini, petang semalam.   Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di premis majikannya selepas didapati menjalankan perniagaan membekal kelengkapan pakaian seragam PDRM secara tidak sah sejak lapan bulan lalu. Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah, berkata pihaknya merampas pelbagai lencana, pangkat dan beberapa kelengkapan pakaian seragam PDRM bernilai RM4,300.   "Polis sedang cuba mengesan majikan lelaki warga asing itu dan premis itu dipercayai menjalankan perniagaaan membekalkan kelengkapan pakaian seragam PDRM sejak lapan bulan lalu.  "Kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini, sebentar tadi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/117033

Pegawai kanan polis didakwa gagal isytihar komisyen

JUMAAT, 22 JANUARI 2016 @ 10:25 AM

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali





CHIN Wah (tengah) dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM bagi pendakwaan di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJKL), Datuk Ku Chin Wah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini atas dakwaan gagal mengisytiharkan perolehan komisyen berjumlah hampir RM1 juta tiga tahun lalu.
Chin Wah yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Dia yang kini bertugas sebagai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, didakwa gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Disember 2013 di mana gagal mengisytiharkan perolehan dari komisyen berjumlah RM961,500.
Tertuduh didakwa gagal membuat perisytiharan itu melalui surat akuan bersumpah bertarikh 8 Januari 2014.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 23 Disember 2013 dan Januari 2014 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Budiman Lutfi Mohamad, manakala Datuk Geethan Ram Vincent bertindak sebagai peguam bela.
Terdahulu, Muhammad Saifuddin menawarkan jaminan RM100,000 kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan jumlah yang tinggi.
Bagaimanapun, peguam bela memohon supaya jumlah itu dikurangkan dan mahkamah menetapkan jumlah yang munasabah.
Hakim kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 dan menetapkan sebutan kes pada 23 Februari ini.

Harimau Serang Penjaga Zoo Australia


Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2016 1:35 PM

SYDNEY: Seekor harimau menyerang seorang penjaga zoo di Australia pada Khamis.

Menurut jurucakap zoo, mangsa dilapaorkan mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kepala.

Lelaki berusia lingkungan 40an itu dirawat oleh pasukan paramedik di  Australia Zoo di Sunshine Coast, yang diasaskan oleh keluarga mendiang  'Pemburu Buaya' terkenal - Steve Irwin.

"Luka di kepala memang jelas kelihatan tapi tidak mengancam nyawa," kata jurucakap itu kepada AFP sambil menambah bahawa lelaki itu telah dibawa ke hospital berdekatan dalam keadaan yang stabil.

Zoo Australia mempunyai tujuh ekor harimau Sumatera dan tiga ekor harimau Bengal.

Personaliti TV popular, Steve Irwin yang dikenali ramai di seluruh dunia melalui siri dokumentari berkaitan hidupan liar, meninggal dunia pada 2006 akibat diserang seekor ikan pari di kawasan Great Barrier Reef.

Suami Potong Hidung Isteri


Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2016 9:41 AM
Reza Gul kini berada dalam keadaan stabil di hospital

KABUL: Seorang ibu muda melalui detik ngeri apabila hidungnya dipotong oleh suaminya dalam satu serangan fizikal.
Dalam kejadian pada Ahad, Reza Gul, 20, telah diserang oleh suaminya menggunakan sebilah pisau di sebuah kampung yang ditadbir oleh puak Taliban.
Pengarah Kesihatan Awam Wilayah Faryab, Dr Maroof Samar berkata, mangsa berada dalam kaedaan kritikal ketika dibawa ke hospital.
Sementara itu ibu mangsa, Zarghona memberitahu, Reza Gul sering dipukul dan menjadi mangsa deraan suaminya iaitu Muhammad Khan, 25 sejak lima tahun lalu mendirikan rumah tangga.
"Bila dia sanggup memotong hidung Reza Gul, saya rasa ingin cicang dia jika terjumpa," katanya dalam keadaan marah.

Wanita berlumuran darah mengaku bunuh teman lelaki


Sedutan video yang dimuatnaik ke laman Youtube semalam.

TEMIRTAU - KAZAKHSTAN. Seorang wanita ditahan polis dan bakal didakwa atas tuduhan membunuh selepas sebuah video pengakuan pembunuhan dimuatnaik ke Youtube, semalam.

Menurut laporan The Sun, wanita tersebut dirakam berdiri di tepi sebuah jalan di bandar Temirtau dengan pakaian berlumuran darah.

Dua orang awam yang menaiki sebuah kereta kemudian menghampiri wanita tersebut sambil merakam video.

Wanita tersebut kemudian memberitahu beliau 'sudah membunuh teman lelakinya' sambil menunjukkan tempat kejadian.

Wanita tersebut juga merayu supaya orang awam membawanya lari ke tempat yang selamat.

Jurucakap polis, Bakhytzhan Kudiyarov memberitahu wanita tersebut mengaku menikam teman lelakinya dengan sebuah pisau.

Wanita berumur 29 tahun berkenaan berhadapan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan
.

Bekas tahanan ISA kemuka pertuduhan disemak semula


Saksi: Yazid Sufaat ialah anggota JI Malaysia
Yazid Sufaat

KUALA LUMPUR - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat yang didakwa terbabit dalam kegiatan menggalakkan keganasan, akan mengemukakan surat representasi ke Pejabat Peguam Negara supaya pertuduhan terhadapnya disemak semula.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili, Yazid, 51, memaklumkan Hakim
Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin bahawa pihaknya akan mengemukakan surat representasi itu esok.
Katanya, ia dibuat berdasarkan keterangan saksi semasa sesi soal balas dalam perbicaraan kes Yazid berhubung pertuduhan dihadapinya bersama pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.
Yazid didakwa atas dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat menghasut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al Qaeda Malaysia manakala Muhammad Hilmi dituduh bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013 mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574).
Ia membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tiada bantahan daripada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jan ini bagi mengetahui perkembangan representasi itu. - Bernam
a

Polis tahan 'Datuk' jual darjah kebesaran Kedah



SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditahan Selasa lepas kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan penjualan darjah kebesaran negeri Kedah dengan harga RM71,200 pada 2014.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata lelaki warga tempatan berumur 33 tahun dan beralamat terakhir di Bandar Sungai Long, Kajang dekat sini, diberkas di sekitar Damansara.
"Suspek ditahan atas laporan seorang ahli perniagaan warga Bangladesh yang mendakwa beliau dan anaknya ditipu lelaki berkenaan yang berjanji mendapatkan gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk' masing-masing kepada mereka dengan jumlah bayaran tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata suspek menawarkan mangsa, 57, dan anak lelakinya, 28, untuk membeli gelaran darjah kebesaran Kedah itu setelah mereka berkenalan menerusi internet sekitar 2014 atas urusan jual beli sebuah kereta mewah.
Beliau berkata kegiatan yang dilakukan suspek antara 2014 dan 2015 itu turut menyebabkan mangsa kerugian RM164,200 kerana ditipu dalam urusan pembelian kereta mewah jenis BMW630i daripadanya.
Mohd Yusoff berkata perbuatan penipuan suspek itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM235,000 dan suspek kini direman untuk membantu siasatan kes itu. - Bernam
a

‘Kejam...cukup kejam’


Kesan libasan tali pinggang pada belakang badan kanak-kanak malang berkenaan. - Foto: ihsan Andrew

SEREMBAN - “Sampai sekarang saya teringat peristiwa tu. Kejam...cukup kejam,” demikian luah S Andrew, 45, tatkala mengimbau kembali adegan penderaan yang berlaku depan matanya sekitar jam 11.15 malam di Taman Sri Pulai, Sikamat, di sini, pada 30 Disember tahun lalu.
Katanya, hati mana tidak luluh apabila melihat si kecil baru berusia tiga tahun yang pastinya belum mengerti apa-apa tentang kehidupan, dipukul semahu-mahunya oleh bapa sendiri sehingga darah merah pekat mengalir membasahi diri.
"Pada malam kejadian, saya baru balik dari kedai makan. Masa tu, saya ternampak sebuah teksi diletakkan agak tersorok daripada pandangan orang ramai dalam keadaan cukup mencurigakan.
"Walaupun dah perasan kelibat teksi tu sejak tiga bulan lepas, tapi kali ini lain sikit perasaannya. Saya nampak kereta tu bergoyang-goyang macam berlaku sesuatu yang dahsyat,” katanya.
Disebabkan perasaan ingin tahu, Andrew kemudian mengambil keputusan untuk mendekati teksi jenis Proton Iswara berkenaan dari arah belakang.
“Saya parkir lebih kurang 10 meter dari teksi tu. Kemudian, saya menyelinap ke bahagian tepi dan intip ke dalam kereta.
“Berderau darah saya bila tengok seorang lelaki di kerusi pemandu sedang memukul belakang anaknya bertalu-talu guna tali pinggang. Bila budak tu hampir rebah, lelaki tu terajang pula mukanya,” katanya.
Barangkali sudah puas menyeksa kanak-kanak malang itu, katanya, si bapa kemudiannya merebahkan kerusi dan terus tidur.
“Saya tergamam, tak terkata apa melihatkan kezaliman yang berlaku depan mata. Hanya satu benda terlintas dalam fikiran saya, kena cepat hubungi polis.
“Tak lama kemudian, tiba seorang polis peronda wanita menunggang motosikal. Tanpa berlengah, saya ceritakan apa yang berlaku kepadanya,” katanya.
Menurut Andrew, anggota terbabit segera mengejutkan si bapa lantas memperkenalkan diri, sebelum memintanya menunjukkan kad pengenalan.
“Masa lelaki tu nak serahkan Mykad pada polis, saya cepat-cepat cabut kunci kereta. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga sebab saya nampak dia macam cuba nak larikan diri.
“Lelaki tu bengang dengan kehadiran polis. Dia siap marah lagi pada kami dan cakap ‘saya punya tangan, saya punya sukalah nak pukul!’,” katanya.
Kata Andrew, dia mengesyaki lelaki terbabit berada di bawah pengaruh gam berdasarkan cara lelaki itu berkomunikasi, termasuk penemuan beberapa tin gam dalam kenderaan terbabit.
“Saya difahamkan, anak-beranak tu berasal dari Rembau. Teksi tu tempat mereka berdua menumpang teduh sekarang. Dipercayai, si bapa selalu pukul anaknya untuk melepaskan geram selepas ditinggalkan isteri.
“Sebenarnya lebih kurang dua bulan lepas, saya pernah tanya si bapa mengenai kecederaan pada bahagian atas kening kiri anaknya. Tapi dia cuma jawab, anaknya terjatuh. Sekarang, misteri dah terungkai,” katanya.
Berdasarkan perkongsian maklumat daripada Andrew, difahamkan hampir dua minggu kanak-kanak itu tidak makan dan tidak bertukar lampin.
“Memang kasihan... tak tergambar penderitaan budak tu. Kalau tak silap saya, lebih kurang dua minggu dia dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar dan sekarang di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya mengakhiri bicara.
Atas keprihatinan ditonjolkan, pihak polis menganugerahkan sijil penghargaan kepada Andrew ketika perhimpunan pagi yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.  
Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, si bapa berusia 32 tahun telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

2.5 juta penduduk kebuluran


WFP turut mengagihkan makanan di sekolah selepas Republik Afrika Tengah kini berdepan krisis makanan meruncing.
BANGUI - AFRIKA . Program Makanan Sedunia (WFP) mendakwa 2.5 juta penduduk atau separuh daripada populasi di Republik Afrika Tengah kini berdepan kebuluran akibat krisis politik yang berlarutan selama tiga tahun di negara itu.
Timbalan Pengarahnya, Guy Adoua berkata, konflik keganasan agama itu telah memberi impak besar kepada penduduk dan kebanyakan daripada mereka terpaksa hidup dalam keadaan serba daif.
"Satu daripada enam penduduk di Bangui diancam masalah kekurangan makanan yang teruk hingga menyebabkan ada terpaksa menjual harta benda milik mereka. Situasi ini sememangnya membimbangkan kerana penduduk terutamanya kanak-kanak berisiko mengalami kekurangan zat makanan," katanya.
Menurutnya, agensi di bawah PBB terbabit telah menyediakan sokongan nutrisi kepada 400,000 penduduk sejak bulan lalu melalui pelbagai program termasuk pengagihan makanan ke kawasan terjejas teruk. - Press TV

Putin arah pembunuhan bekas agen KGB?


Vladimir Putin

LONDON - BRITAIN. Presiden Rusia, Vladimir Putin didakwa meluluskan satu operasi untuk membunuh bekas perisik FSB dan agen KGB, Alexander Litvinenko pada 2006.
Menurut laporan CNN, inkuiri dari United Kingdom (UK) mengatakan bekas hakim mahkamah tinggi, Robert Owen berkata beliau 'pasti' dua bekas kakitangan kerajaan Rusia telah meracun Alexander yang berumur 44 tahun pada waktu kejadian dengan bahan radioaktif polonium-210.
Dua bekas kakitangan kerajaan tersebut adalah Andrei Lugovoi yang juga merupakan bekas agen KGB dan FSB dan bekas pegawai tentera Rusia, Dmitri Kovtun.
"Operasi FSB tersebut mungkin telah diluluskan oleh Putin dan Nikolai Patrushev, iaitu ketua operasi FSB pada 2006," kata Robert Owen.
Balu Alexander, Marina yang ditemui wartawan di luar Mahkamah Tinggi di UK hari ini memberitahu bahawa maklumat terakhir Alexander mengenai penglibatan Putin dalam pembunuhan tersebut telah dibuktikan.
Marina juga menggesa Perdana Menteri Britain, David Cameron supaya mengusir semua agen Rusia dari London.
Duta Rusia di London bakal dipanggil untuk membincangkan inkuiri tersebut, manakala notis Interpol dan waran tahan kini disediakan untuk menahan suspek yang terlibat jika diperlukan.
Sementara itu, jurucakap Menteri Luar Rusia hari ini menafikan kematian Alexander bermotifkan politik.
"Kami kecewa kerana kes ini telah dipolitikkan dan telah mengkeruhkan hubungan dua hala diantara Rusia dan Britain," kata Maria Zakharova
.

Wanita berlumuran darah mengaku bunuh teman lelaki


Sedutan video yang dimuatnaik ke laman Youtube semalam.

TEMIRTAU - KAZAKHSTAN. Seorang wanita ditahan polis dan bakal didakwa atas tuduhan membunuh selepas sebuah video pengakuan pembunuhan dimuatnaik ke Youtube, semalam.

Menurut laporan The Sun, wanita tersebut dirakam berdiri di tepi sebuah jalan di bandar Temirtau dengan pakaian berlumuran darah.

Dua orang awam yang menaiki sebuah kereta kemudian menghampiri wanita tersebut sambil merakam video.

Wanita tersebut kemudian memberitahu beliau 'sudah membunuh teman lelakinya' sambil menunjukkan tempat kejadian.

Wanita tersebut juga merayu supaya orang awam membawanya lari ke tempat yang selamat.

Jurucakap polis, Bakhytzhan Kudiyarov memberitahu wanita tersebut mengaku menikam teman lelakinya dengan sebuah pisau.

Wanita berumur 29 tahun berkenaan berhadapan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan
.