Search This Blog

Thursday, January 21, 2016

Tiga maut dalam kemalangan di Georgetown


GEORGETOWN - Tiga maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan Perodua Myvi di Jalan Tetembok Masjid Negeri, di sini awal pagi ini.
Mereka yang maut dalam kemalangan pukul 3.15 pagi itu ialah pemandu kereta Perodua Myvi Muhammad Syaril Azzim Mohd Sabuki, 25, dan penumpang hadapan kereta itu, Nurfaizneey Kamaruzzaman, 25, serta pemandu Mitshubishi Triton Tai Lai Keat, 38.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata  kenderaan pacuan empat roda dari Jalan Masjid Negeri menghala ke Jambatan Pulau Pinang itu dilapor hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
"Kenderaan itu merempuh kereta Perodua Myvi dan rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu dan dua lagi penumpang tersepit dan kedua-dua kenderaan remuk teruk," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Muhammad Syaril Azzim, yang merupakan anak anggota polis, dan rakan wanitanya mati di tempat kejadian manakala Tai mati ketika dalam perjalanan ke hospital.
Seorang lagi penumpang Perodua Myvi Mohamad Ezzudin Abdul Wahab, 21, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor kritikal, katanya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu  tampil membantu siasatan.
Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Jalan Perak berkata pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan dua mayat yang tersepit dalam kereta Perodua Myvi itu. - Bernama

Berlari 30 meter selepas ditikam


Lokasi mangsa ditikam selepas didatangi empat lelaki.
Dalam kejadian, kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, K Kishen,16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Bijaya Setia di Jalan Kuala Ketil di sini, didatangi empat lelaki yang menaiki dua motosikal ketika berjalan bersendirian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, mangsa dipercayai dihalang empat lelaki berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menikam dada mangsa dengan senjata tajam.
Menurutnya, selepas ditikam mangsa berlari sejauh lebih 30 meter dan rebah tidak sedarkan diri di hadapan sebuah pasar raya.
"Orang ramai yang melihat keadaan mangsa terus menghubungi ambulans dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
"Namun ketika dalam perjalanan, mangsa disahkan maut," katanya.
Md Zukir berkata, susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun direman pagi semalam, sehingga 26 Januari ini untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, ketika tinjauan Sinar Harian di pekarangan HSAH, keluarga mangsa didapati tidak dapat menerima kejadian menimpa anak mereka kerana mangsa seorang pendiam dan tidak pernah terlibat atau mengadu bergaduh dengan sesiapa.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 8 malam, Kishen ada meminta izin ibunya untuk pergi ke sebuah siber kafe yang selalu disinggahinya.
Menurutnya, namun kira-kira jam 9.30 malam, ibunya menerima panggilan memaklumkan anaknya dikejarkan ke hospital kerana ditikam lelaki tidak dikenali.
“Difahamkan, dalam perjalanan itu, Kishen sempat menyebut nama seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu,” katanya.

Lori ubat nyamuk terbakar


Salah sebuah lori yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan dua mangsa cedera.

IPOH - Dua lori masing-masing membawa muatan lingkaran ubat nyamuk dan buah musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kilometer 283.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, lewat malam kelmarin.
Kejadian berlaku sekitar jam 12.45 malam itu pada awalnya hanyalah kemalangan selepas lori jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan buah-buahan sedang dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang dari Padang Besar,
Perlis mengalami masalah brek dan perlahan-lahan berhenti di lorong kecemasan.
Selang lima minit kemudian, sebuah lori jenis Hino E yang membawa muatan lingkaran nyamuk dari arah belakang melanggar bahagian kanan lori muatan buah terbabit menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terlajak ke hadapan sebelum terbakar.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang mengesahkan kejadian berkata, akibat kejadian itu, dua mangsa yang merupakan kelindan kedua-dua lori terbabit mengalami kecederaan.
“Mangsa yang terlibat seorang lelaki berusia 25 tahun berasal dari Jitra manakala seorang lagi mangsa berusia 22 tahun dari Kuala Nerang, Kedah.
“Pihak Bomba dan Penyelamat turut membantu memadam kebakaran manakala kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memaklumkan, pihaknya menerima panggilan 12.55 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerah ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihak bomba dan penyelamat menggunakan aliran air bersumberkan tangki jentera dan jentera Prime Mover untuk memadam kebakaran.
“Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan operasi tamat kira-kira jam 6.06 pagi semalam,”  katanya
.

Kes kehilangan dua beradik jadi viral


Maklumat mengenai kehilangan dua beradik ini yang menjadi viral selepas tersebar di laman sosial.
PORT DICKSON - Kes kehilangan seorang remaja lembam berumur 15 tahun dan adiknya 12 tahun dari Kampung Bagan Pinang menjadi viral di laman sosial sejak malam, kelmarin.
Dalam mesej yang diviralkan itu, dua beradik dikenali sebagai Nuraziera serta Nuraziela dipercayai lari dari rumah sekitar jam 2 hingga 5 pagi dan ia disedari bapa mereka kira-kira jam 5 pagi.
Sumber terdekat keluarga memberitahu, ini adalah kali kedua adik-beradik tersebut lari dari rumah.
Menurutnya, kali pertama berlaku pada pertengahan 2014 dan berjaya ditemui kira-kira tiga hari kemudian di sekitar daerah ini.
“Nuraziela kini sedang berada di tahun enam, sementara kakaknya Nuraziera juga seorang OKU (orang kurang upaya), lembam dah tak sekolah sejak setahun lalu.
“Usaha menghubungi dua beradik ini gagal kerana panggilan telefon yang dibuat tak dijawab.
“Kami sekeluarga yakin dua beradik ini tak lari jauh dan masih berada di sekitar Port Dickson,” katanya.
Sehingga jam 6 petang semalam laporan polis masih belum dibuat oleh keluarga mangsa.

Tukang urut cari ‘duit lebih’


Komputer dan barangan dicuri suspek yang berjaya ditemui semula selepas polis menahan dua lelaki.
SUBANG JAYA – Berkemungkinan tidak cukup dengan pendapatan diperoleh sebagai tukang urut, seorang lelaki sanggup memecah masuk pejabat serta syarikat berhampiran tempat kerjanya bagi mencari pendapatan sampingan.
Dalam kes pertama, suspek dipercayai memecah masuk sebuah pusat gimnasium di SS15/8 sebelum kejadian disedari pengurus syarikat yang ingin memulakan operasi perniagaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa mendapati beberapa peralatan pejabat termasuk penyedut hampagas hilang dari tempat simpanan kira-kira jam 8.30 pagi, Isnin lalu.
Pengurus berusia 31 tahun itu kemudian meneliti rakaman CCTV dan mendapati seorang lelaki membawa lari peralatan terbabit sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.
Pada hari sama, suspek kemudian dipercayai menuju ke sebuah syarikat logistik dan melarikan dua monitor, enam unit pemprosesan pusat (CPU) serta empat cakera keras (hard disk).
Yahaya berkata, eksekutif berusia 38 tahun yang bekerja di syarikat itu mengetahui kejadian selepas dimaklumkan pekerjanya dan syarikat tersebut kerugian hampir RM10,000.
Beliau berkata, hasil rakaman CCTV polis berjaya menahan suspek berusia 29 tahun di tempat kerjanya di sebuah pusat urut di Jalan SS15 sehari selepas kejadian.
Katanya, suspek mengaku mencuri dan menjual barangan tersebut di sebuah kedai membeli serta menjual barangan terpakai di Sunway Mentari.
"Seorang pekerja kedai tersebut berusia 30 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine juga mengakui menjual sebahagian barang kepada lelaki Pakistan dan warga India masing- masing berusia 38 dan 33 tahun di sebuah kompleks beli-belah di Subang Jaya," katanya.
Yahaya berkata, polis berjaya menemui semula tiga hard disk, enam CPU, dua monitor dan peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah.
“Kita percaya suspek yang bergerak bersendirian ini terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar Subang Jaya, setakat ini polis berjaya selesaikan dua kes,” katanya kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Penunggang maut diseret bas


Mangsa maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah bas

SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan sebuah bas di Jalan Subang berdekatan lampu isyarat Pangsapuri Brunsfield di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Mohamad Adam Alip, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
“Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja melalui Jalan Subang dan apabila sampai di lampu isyarat Pangsapuri Brunsfield, mangsa dipercayai dilanggar, digesel dan diseret sebuah bas yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.
Shafien berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, untuk dibedah siasat.
“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Kita juga sedang meneliti rakaman CCTV di sekitar tempat kejadian bagi membantu siasatan, katanya
.

Suami isteri cedera bergelut dengan tiga penyamun


Gambar hiasan

JENGKA - Sepasang suami isteri di Felda Jengka 13 mengalami kecederaan luka di dahi dan  tangan selepas bergelut dengan tiga penyamun bersenjatakan parang, kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Shanmugan a/l Masila Money, 76, bersama isteri, Kamala a/p Thamai Samy, 67,  didatangi tiga lelaki bertopeng ketika pasangan itu berada di dalam rumah.
Suspek memasuki rumah  melalui pintu hadapan yang tidak ditutup.
Berlaku pergelutan di dengan suspek dan  menyebabkan peneroka terbabit luka bahagian dahi serta tapak tangan kiri disyaki terkena parang.
Manakala si isteri mengalami luka kecil di jari tangan dan lengan kiri.
Kedua-dua mangsa diikat tangan sebelum suspek bertindak menggeledah di dalam rumah dan mengambil barangan berharga.
Tiga penyamun keluar melalui pintu sama dengan membawa lari sejumlah wang, barangan kemas, buku bank dan dokumen penting.
Selepas suspek melarikan diri, mangsa berjaya melepaskan ikatan tangan lalu meminta pertolongan jiran dan seterusnya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Jengka.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka pada jam 11.30 malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan
.

Warga emas cedera disamun tiga lelaki


Kes jenayah

MARAN - Sepasang suami isteri warga emas cedera setelah bergelut dengan tiga penyamun bersenjatakan parang apabila rumah mereka di Felda Jengka 13 diceroboh masuk dalam kejadian samun, malam semalam.
Dalam kejadian pada 7.30 malam itu ketika, M. Shanmugan, 76 dan isteri T. Kamala, 67 sedang berehat sebelum tiba-tiba tiga suspek bersenjatakan parang menerjah masuk melalui pintu depan yang tidak berkunci.
Perompak difahamkan telah meminta mangsa untuk menyerahkan semua barangan kemas, namun pasangan warga emas itu enggan menyebabkan berlaku pergelutan sehingga mencederakan kedua-dua mangsa.
Mangsa kemudian diikat sebelum suspek bertindak mengeledah dan melarikan sejumlah barangan kemas serta wang tunai.
Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan ikatan dengan pertolongan jiran tidak lama selepas kejadian dan membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian. - Bernam
a

Terkejut lihat golok atas katil


Othman menunjukkan keadaan tingkap nako yang bengkok dipercayai digunakan pencuri untuk masuk ke dalam rumahnya.
Othman berkata, dia menyedari rumahnya dimasuki pencuri sebaik sahaja pulang dari masjid kira-kira jam 6 petang dan melihat pintu pagar rumahnya dalam keadaan terbuka.
Bagaimanapun katanya, pintu utama rumah masih dalam keadaan berkunci dan selepas dia memasuki bilik tidurnya, didapati empat pintu almari dalam keadaan terbuka, manakala dompet mengandungi tunai RM200 yang berada di dalam almari itu lesap.
Menurut bapa enam anak itu, disebabkan khuatir pencuri masih ada dalam rumah, dia segera keluar dan menghubungi anak kelimanya, Arief Fadhillah, 26, yang bekerja di Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Kemaman di Chukai supaya balik cepat.
Katanya, anaknya itu tiba setengah jam kemudian dan mereka menemui sebilah golok di atas katil anaknya itu.
“Sebuah telefon pintar jenis Samsung milik anak dianggarkan bernilai RM800 dan duit dalam tabungnya sekitar RM200 turut hilang.
“Melihat tempat pencuri itu masuk...melalui tingkap nako bilik anak bongsu, kami percaya pencuri itu cuma berbadan kecil dan mungkin masih remaja. Cuma 'target' nak curi duit atau barang mudah dibawa dan dijual sebab komputer riba atas katil anak tidak diusik, malah motosikal Yamaha Lagenda yang ada di garaj pun selamat walaupun kunci motosikal ada di ruang tamu,” katanya.
Rumah itu cuma dihuni Othman tiga beranak dan secara kebetulan pada hari kejadian, dia dan anaknya keluar bekerja, sementara isteri yang kurang sihat telah ke rumah anak perempuan mereka.
Berikutan kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Chukai pada jam 2 petang kelmarin.
Menurut Othman lagi, dia bercadang memasang jeriji di semua pintu dan tingkap rumah bagi mengelakkan kejadian sama berulang memandangkan kawasan rumahnya itu sunyi ketika waktu bekerja.
“Selain itu, pihak polis juga diharap kerap lakukan rondaan di kawasan ini kerana kehadiran mereka sekurang-kurangnya dapat menggerunkan penjenayah,” katanya.

2 didakwa edar dadah


Muhammad Nazri (kiri) dan Mohd Fadhil keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara.
KOTA BHARU – Dua lelaki dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mengedar 72 gram dadah, 7 Januari lalu.
Muhammad Nazri Mohd Zin, 38, dan Mohd Fadhil Ruslan, 26, didakwa mengedar 598 pil dadah jenis metamphetamine di sebuah rumah di Taman SP Machang Ketereh, di sini, pada jam 11.10 pagi, tarikh itu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka, namun tiada pengakuan direkodkan pada prosiding itu.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohamad Firdaous Mohamed Idris kemudian memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan susulan tuduhan serius yang dihadapinya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mac depan, sementara mereka akan ditahan di Penjara Pengkalan Chepa, di sini.
Bertindak atas maklumat, rumah didiami mereka diserbu sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, sebelum pemeriksaan lanjut menjumpai kesemua dadah berkenaan.
Mereka diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan@Jaohari.

Rompak bersenjata parang ketika waktu solat Jumaat


Hakim (kanan) dan Mohd Shahrul Azuri dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa bagi menjalani hukuman yang diputuskan.

KOTA BHARU - Padah buat dua sahabat yang merompak seorang peniaga kedai makan ketika orang lain sedang bersolat Jumaat, mereka masing-masing dihukum penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.
Hakim, Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Hakim Mohamad, 26, dan Mohd Shahrul Azuri Abdullah, 28, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah.
Mereka didakwa merompak dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap, Nora Bueraheng dengan mengambil beg tangan yang mengandungi barang kemas, wang tunai RM700, telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi milik mangsa.
Kesalahan itu dilakukannya di  kedai nombor empat , depan TNB kawasan Mel Lundang, di sini, pada jam 1.30 petang, 3 Julai 2015.
Pada kejadian lalu, mereka datang bersama seorang lagi rakan yang menunggu di dalam kereta jenis Perodua Viva dan berhenti di hadapan kedai makan mangsa yang berusia 30-an itu.
Mereka kemudian meluru masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengacukan parang ke leher mangsa serta ibu mangsa sebelum merampas beg tangan mengandungi pelbagai barangan berharga. Kerugian dianggarkan bernilai RM30,000
.

Polis melambung dilanggar tokan


Penduduk membantu polis mengangkat kereta viva dinaiki dua lelaki dipercayai tokan yang melanggar motosikal URB polis di Taman Bertam Indah, hari ini.

MELAKA – Seorang anggota polis dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) cedera apabila dirinya melambung selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dinaiki dua lelaki dipercayai tokan di Taman Bertam Indah, Bertam Ulu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, anggota polis berusia 30-an itu dirempuh ketika cuba menghalang laluan kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki dua lelaki berusia 30-an termasuk seorang daripadanya dipercayai anggota tentera.
Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 44, berkata, kejadian berlaku di depan matanya yang sedang memandu kereta menghala  rumah adik iparnya terletak di taman perumahan tersebut.
“Saya yang datang dari Krubong nak tumpang buang air di rumah adik ipar, masa lalu depan deretan rumah kedai saya nampak dua motosikal ditunggang anggota polis dan sebuah kereta peronda mengejar dan menghalang kereta viva.
“Kereta tu laju terus langgar motosikal polis di depannya menyebabkan anggota melambung dan jatuh atas jalan. Seorang anggota peronda juga cedera di mulut sebab ditumbuk salah seorang suspek yang cuba larikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Halim berkata, kereta peronda polis itu dilihatnya mengejar kereta viva terbabit ketika dia sedang menurunkan isterinya di sebuah gerai makan berhampiran sebelum memandu ke rumah adik iparnya.
“Masa berhenti tepi jalan turunkan isteri, saya dengar bunyi siren kereta polis dan saya ingat polis kejar saya. Tapi lepas tu saya nampak polis ikut kereta viva dinaiki dua lelaki masuk ke taman perumahan adik ipar.
“Sebelum kereta langgar polis URB, saya juga nampak peniaga kuih berhampiran deretan rumah kedai mencampakkan meja kayu ke arah kereta tersebut namun sempat dielak pemandunya, katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan terdapat dua bungkusan berisi beberapa paket dadah disyaki syabu ditemui di dalam kereta berwarna putih tersebut.
Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi memberitahu maklum dengan kejadian tersebut namun kenyataan rasmi akan dibuatnya petang ini
.

Pejalan kaki putus kaki digilis kereta



IPOH - Seorang pejalan kaki putus pergelangan kaki kiri akibat digilis sebuah kereta di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Kampar di sini pagi tadi.
Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohammad Fauzi Abd Aziz berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.58 pagi ketika mangsa yang berumur lingkungan 40-an dikatakan sedang berjalan di situ.
Mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, kereta Proton Iswara yang menggilis mangsa kemudiannya bertembung pula dengan sebuah kereta lain menyebabkan pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara itu yang kedua-duanya berumur 21 tahun tersepit di dalam kereta berkenaan. -Bernam
a

Guru bantah saiz kelas lebih 40 pelajar


Guru membuat protes semasa 'cuti sakit' di Detroit, Amerika Syarikat. - Foto The Wall Street Journal

DETROIT - AMERIKA SYARIKAT. Sekumpulan guru dari beberapa sekolah di Detroit mengumumkan 'cuti sakit' sebagai tanda bantahan terhadap lambakan pelajar, kekurangan guru dan masalah kewangan yang melanda sekolah-sekolah awam di Chicago dan Detroit.
Menurut laporan The Wall Street Journal, protes yang diadakan serentak dengan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Detroit semalam juga menyuarakan isu-isu penting lain di sekolah.
Peserta protes menggesa supaya penggubal undang-undang Republikan di Illinois mengambil alih Chicago dan Detroit kerana menghadapi tekanan kewangan.
"Sekolah di Detroit perlukan transformasi. Secara ringkasnya, tidak semua pelajar di Detroit menerima pelajaran yang sepatutnya diberikan kepada mereka," kata gabenor Michigan, Rick Snyder.
Selain dari Chicago dan Detroit, negeri lain seperti Philadelphia dan Atlantic City juga menghadapi masalah kewangan walaupun ekonomi AS dan kutipan cukai di peringkat negeri berkembang dengan baik.
Di Detroit, para guru mengkritik pengurus kecemasan, Darnell Earley yang dilantik Rick sebelum ini kerana gagal menyelesaikan masalah yang timbul.
Darnell sebelum ini berjanji akan 'memperbetulkan keadaan secepat mungkin' walaupun pada dasarnya tidak mempunyai sebarang dana untuk memperbaiki bangunan-bangunan sekolah.
Protes pada Rabu menyaksikan hampir 100 sekolah ditutup di Detroit

Potong 'anu': Suspek akui masih sayang suami


Gambar hiasan

JEMPOL - Wanita yang memotong kemaluan suaminya dalam kejadian awal pagi semalam mengakui masih menyayangi suaminya itu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal turut mendapati terdapat kesan lebam di badan suspek.
"Suspek yang berumur 51 tahun masih ditahan reman bermula Rabu sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan terhadap kes ini.
"Manakala keadaan mangsa stabil dan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur tetapi alat sulitnya belum diketahui berfungsi ataupun sebaliknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita berang dengan perangai suaminya yang selalu mendesak melakukan hubungan seks secara kasar nekad memotong kemaluan lelaki itu ketika sedang tidur.
[ARTIKEL BERKAITAN: Potong 'anu' suami, berang diajak 'bersama' cara kasar]
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi tadi, mangsa yang berusia 44 tahun merupakan seorang warga negara Pakistan mengalami pendarahan selepas kemaluannya dipotong dengan mata pisau cukur
.

Mayat pelajar hanyut ditemui

 KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 5:25 PM
ANGGOTA bomba mengangkat mayat remaja yang ditemui lemas kira-kira 15 meter dari Kunci Air Buang Sungai Sireh di sini, pada jam 4.37 petang tadi. - Foto ihsan bomba
TANJONG KARANG: Seorang remaja yang hilang dalam insiden pelajar hanyut pagi semalam, ditemui lemas kira-kira 15 meter dari Kunci Air Buang Sungai Sireh di sini, pada jam 4.37 petang tadi.
Mayat mangsa yang pada mulanya disangkakan buah kelapa, timbul di kawasan berdekatan dengan pokok kelapa di tengah-tengah terusan berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk proses bedah siasat.

Misi cari 12 anggota marin dihentikan


PASUKAN keselamatan ketika menjalankan misi pencarian 12 anggota marin yang dilaporkan hilang dekat Pulau Oahu, Hawaii, kelmarin. - Foto Reuters
KANEOHE BAY, Hawaii: Misi mencari 12 anggota marin yang dilaporkan hilang sejak dua helikopter tentera bertembung dekat Pulau Oahu, Hawaii minggu lalu dihentikan.
"Keputusan diambil untuk menghentikan operasi mencari. Usaha untuk menemui mangsa yang terselamat amat sukar memandangkan kesan kedalaman nahas itu.
"Saya tahu saya bagi pihak seluruh anggota Pengawal Pantai ingin memberitahu bahawa ingatan dan doa kami untuk skuadron helikopter marin dan terutama ahli keluarga dan orang tersayang yang hilang," kata Pemangku Komander Pengawal Pantai, Kapten Jim Jenkins. - Reuters

7 rumah hangus, 30 penduduk hilang tempat tinggal



Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Tujuh rumah hangus mengakibatkan 30 penghuni hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Gudon, dekat Menggatal di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi itu, kebanyakan penghuni rumah papan berkenaan tiada di rumah kerana keluar bekerja mengakibatkan sebahagian besar mangsa tidak sempat menyelamatkan dokumen serta barangan berharga.
Bagaimanapun, tindakan pantas bomba mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan lebih 20 rumah daripada turut musnah.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Penduduk, Hailil Abdul Hanu, 22, berkata ketika kejadian dia berada di rumah sendirian sebelum terjaga sebaik terasa haba panas serta terdengar jeritan dari luar rumah.
"Sebaik membuka pintu, saya terkejut apabila melihat kepulan asap dari rumah jiran semakin menghampiri kediaman saya menyebabkan saya lari menyelamatkan diri tanpa sempat membawa dokumen penting serta barangan berharga," katanya.
Seorang lagi mangsa, Basir Abdullah, 31, berkata ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana dia keluar bekerja sebagai pemandu bas, manakala ibu saudara serta isterinya mempunyai urusan di luar.
"Saya dapat tahu rumah terbakar apabila terima panggilan daripada jiran. Ketika itu saya bawa penumpang di Putatan dan bergegas pulang namun sebaik tiba, rumah sudah hangus terbakar," katanya yang belum tahu di mana akan tinggal selepas ini.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Afendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.11 pagi sebelum menghantar 45 anggota bersama lima jentera daripada Balai Bomba Penyelamat Lintas dan Kota Kinabalu.
"Sebaik tiba, empat rumah sudah terbakar sepenuhnya dan bomba segera mengawal kebakaran untuk mengelak api terus merebak ke rumah berdekatan," katanya sambil menambah punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Kasanova iras pelakon Hindustan perdaya wanita



Oleh Ziauddin Sharuddin

SEREMBAN: Ketampanan seorang lelaki seperti pelakon Hindustan memudahkannya memperdayakan tiga wanita sehingga bukan sahaja menyerahkan wang dan kereta, malah tubuh mereka.
Mangsa yang berumur antara 20-an hingga 30-an, mengenali kasanova terbabit melalui aplikasi media sosial, Bee Talk, sejak beberapa bulan lalu.
Tertarik dengan ketampanan wajah lelaki itu, mangsa menyerahkan wang tunai, termasuk yang dimasukkan dalam akaunnya dan bertemu sehingga melakukan perhubungan seks.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata semua mangsa yang tidak mengenali antara satu sama lain, mengenali kasanova berusia 20-an yang bekerja sebagai juruteknik di kawasan Lembah Klang melalui aplikasi itu.
Katanya, perkenalan biasa berubah menjadi rapat sehingga mangsa bertemu kasanova itu dan gambar dalam keadaan mengaibkan ketika pertemuan itu digunakan sebagai senjata untuk mengugut mangsa supaya menyerahkan wang.
"Semua mangsa kerugian wang tunai antara RM3,000 hingga RM4,000 manakala seorang mangsa sanggup menyerahkan sebuah keretanya," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, polis menahan seorang rakan kasanova itu di Kuala Lumpur pada 13 Januari lalu kerana menjadi rakan subahat dengan mengambil wang dan kereta daripada mangsa, manakala kasanova itu ditangkap di sebuah hotel di sini pada 16 Januari lalu.
"Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras mangsa dan Seksyen 377(c) kanun yang sama kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan," katanya.
Muhamad Zaki berkata, siasatan polis juga mendapati kasanova terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dalam perbuatan memeras dan merogol.
Sehubungan itu, beliau menasihat wanita supaya berhati-hati, terutama apabila berkenalan menggunakan media sosial dan tidak memberi peluang kepada sesiapa untuk melakukan ugutan dengan cara membenarkan gambar diri diambil dalam keadaan mengaibkan.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada mangsa lain yang diperdayakan oleh kasanova itu, tetapi malu untuk membuat laporan polis.

Bauksit: 4 direman termasuk seorang Datuk


Oleh Irwan Shafrizan Ismaili


PEGAWAI SPRM membawa individu ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapat perintah tahanan reman kes bauksit. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PUTRAJAYA: Empat individu termasuk seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah perlombongan bauksit di Pahang.
Perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Eric Lau pagi tadi.
Selain Datuk yang juga bekas pegawai kanan sebuah agensi kerajaan itu, turut direman seorang wanita yang juga pekerja sebuah syarikat perlombongan, seorang peguam dan seorang penjawat awam yang juga pegawai kanan di Jabatan Mineral dan Geosains Pahang.
Difahamkan semua suspek berusia antara 34 hingga 42 tahun itu ditahan semalam. Ahli perniagaan itu ditahan di Kuala Lumpur manakala tiga lagi ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini ketika hadir memberi keterangan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu berkaitan perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.
Dua daripada suspek iaitu Datuk terbabit dan juga peguam diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.
PEGAWAI SPRM membawa individu ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapat perintah tahanan reman kes bauksit. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Gempa 6.4 magnitud gegar barat laut China

 KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 3:38 PM


BEIJING: Gempa bumi 6.4 magnitud menggegarkan wilayah pedalaman barat laut China awal pagi tadi, merosakkan berpuluh kediaman tetapi tidak menyebabkan kehilangan jiwa. Agensi berita rasmi, Xinhua berkata gempa pada jam 1.13 pagi itu berpusat di kawasan tidak berpenduduk kira-kira 33 kilometer dari daerah Menyuan di wilayah Qinghai. Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat yang mencatatkan gempa dengan kekuatan 5.9 magnitud menyatakan ia berlaku pada kedalaman 10 kilometer di pinggir barat Banjaran Tibet. Xinhua memetik pegawai tempatan sebagai berkata gempa bumi itu menyebabkan keretakan di lebih 20 rumah dan kerosakan di lebih 30 yang lain. Pihak berkuasa sudah menghantar 700 khemah ke kawasan ini. "Gegaran berlangsung selama satu hingga dua minit...berserta bunyi gegaran," lapor agensi yang memetik seorang penduduk Menyuan. Gegaran turut dirasai di ibu kota wilayah Xining. - AP  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116657

1,200 orang dipindah akibat letupan gunung berapi

RABU, 20 JANUARI 2016 @ 6:37 PM


PENDUDUK dipindahkan dari rumah mereka berikutan letupan gunung berapi di timur Indonesia yang memuntahkan debu dan gas toksik ke udara. - Foto AFP


KUPANG: Sekurang-kurangnya 1,200 orang terpaksa dipindahkan dari rumah mereka berikutan letupan gunung berapi di timur Indonesia yang memuntahkan debu dan gas toksik ke udara. Pegawai berkata, beribu-ribu topeng muka diedarkan kepada penduduk kampung di sekitar Gunung Egon di timur Pulau Flores ketika asap berbahaya dari gunung berapi itu semakin tebal. Semua penduduk berada lingkungan tiga kilometer dari gunung berapi itu diarahkan berpindah dan jalan raya turut ditutup. Pihak berkuasa berkata, mereka sudah bersedia mengendalikan pemindahan besar-besaran jika keadaan semakin buruk. "Kami dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia berpindah pada bila-bila masa,' kata pegawai pengurusan bencana , Silvanus Tobi. -AFP.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116349

Jutawan India bersalah bunuh pengawal keselamatan


MOHAMMAD Nisham, (tengah) didapati bersalah akibat membunuh. - Foto BBC
NEW DELHI: Mahkamah India pada Rabu mendapati seorang jutawan bersalah kerana membunuh pengawal keselamatan menggunakan kenderaan SUV akibat lambat membuka pagar, kata peguam pendakwaan.
Mohammad Nisham, 39, ditahan Januari lalu selepas menghimpit pengawal itu ke dinding menggunakan Hummer kerana lambat membuka pintu pagar di kompleks pangsapurinya di selatan negeri Kerala.
Akibatnya Chandarabose, 50, cedera parah dan meninggal dunia di hospital.
"Perbicaraan itu pendek dan mahkamah mendapati tertuduh, Nisham, bersalah kerana membunuh. Kami mahukan hukuman maksimum iaitu hukuman mati," kata Pendakwa raya Udaya Bhanu.
Hukuman akan dijatuhkan hari ini.
Mahkamah difahamkan Nisham mengejar pengawal itu hingga ke dalam kompleks dengan Hummer dan menghimpitnya ke dinding sebelum keluar dan memukulnya dengan batang besi.
Jutawan beedis (rokok tradisional India), perhotelan dan barang kemas itu sebelum ini pernah didakwa kerana membenarkan anak lelaki berusia sembilan tahun memandu Ferrari pada 2013. Beliau dilaporkan cukup meminati kereta mewah dan memiliki banyak kenderaan berkenaan. - AGENSI

Terkandas tiga jam di tiang lampu

Johor Bahru: Dua pekerja kontraktor diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas terkandas lebih tiga jam pada tiang lampu setinggi 40 meter ketika melakukan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di stadium universiti di Skudai di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, dua pekerja berusia 22 dan 23 tahun itu terkandas dan hanya diturunkan dengan selamat pada 4.55 pagi.
Jurucakap pasukan bomba dan penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.43 pagi dan seorang pegawai dengan kekuatan lapan anggota bomba tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
"Kita dimaklumkan bahawa gear pada peralatan yang digunakan mangsa rosak dan mereka tidak berani untuk turun menggunakan brek secara manual.
"Bagaimanapun, apabila kita meletakkan beg angin untuk memastikan mangsa selamat, mangsa yakin untuk turun perlahan-perlahan sebelum diselamatkan pada 4.55 pagi," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 9:38 AM


PEKERJA diturunkan selepas beg angin diletakkan. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108993#sthash.lEyOtHkd.dpuf

Mangsa gempa diselubungi salji

Kathmandu: Penduduk berhampiran pusat gempa bumi besar di Nepal tahun lalu kini berdepan salji tebal yang semakin menyukarkan kehidupan mereka yang masih tinggal di dalam pondok serta tempat perlindungan sementara.
Pentadbir kerajaan, Dipendra Poudel berkata, salji setebal 60 sentimeter meliputi perkampungan di Gorkha, utara Nepal, yang menyukarkan helikopter sampai ke situ.
Katanya, ramai penduduk masih tinggal di dalam khemah di kawasan terbabit dan proses penghantaran barangan dijangka mengambil beberapa hari kerana perlu berjalan di laluan yang tiada jalan raya yang elok.
Setakat ini, katanya, tiada laporan orang meninggal dunia atau sakit teruk.
Pusat gempa bumi 25 April tahun lalu itu yang membunuh hampir 9,000 terletak berhampiran Gorkha, kira-kira 160 kilometer ke barat laut Kathmandu.
Kerajaan berjaya menghantar bantuan kecemasan seperti makanan, khemah dan pakaian ke beberapa perkampungan menggunakan helikopter minggu lalu ketika cuaca buruk reda sedikit.
Penderma asing menjanjikan AS$4.1 bilion (RM17 bilion) untuk proses pembaikpulihan, namun hanya sejumlah kecil wang itu berjaya sampai ke Nepal disebabkan proses pelantikan Pihak Berkuasa Pembaipulihan Kebangsaan yang mengambil masa beberapa bulan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:37 AM


SEORANG budak lelaki menjilat ais di depan kediaman sementara keluarganya di Laprak, Gorkha.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108982#sthash.PQJ31WE1.dpuf

Lemas dalam sungai

Johor Bahru: Lelaki berusia 34 tahun ditemui lemas dalam kejadian di Sungai Layang-Layang di Renggam, Kluang, petang tadi.
Sumber bomba berkata, dua jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 4.38 petang.
"Setibanya anggota ke lokasi kejadian pada 4.54 petang didapati seorang lelaki lemas di dalam sungai di kawasan terbabit.
"Mangsa yang dikenal pasti sebagai P B Balamurukan, 34, itu dijumpai orang awam," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 10:34 PM


Anggota paramedik memeriksa mayat yang ditemui Sungai Layang-Layang di Renggam, Kluang, petang tadi. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108822#sthash.x5egk8KM.dpuf

Ditahan paksa serah wang

Putrajaya: Dua geng tarik kenderaan ditahan polis Isnin lalu sebelum direman sehingga Jumaat ini selepas mengugut suami isteri supaya menyerahkan wang tunai RM2,500 bagi mengelak kenderaan mereka ditarik dalam kejadian Presint 5, di sini, 11 Januari lalu.
Kejadian berlaku pada 2.30 petang ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah untuk menjemput anak dengan menaiki MPV Toyota Estima.
Mereka diekori sebuah kereta sebelum ditahan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, dua dari lima lelaki keluar dari kereta itu untuk mengugut mereka.
"Geng tarik kenderaan itu meminta mangsa menyerahkan kenderaan mereka kerana mendakwa mempunyai tunggakan bank selama 11 bulan. Pada masa sama suspek memaksa menyerah wang jika tidak mahu kenderaan ditarik.
"Mangsa yang menyedari mempunyai tunggakan ansuran kenderaan menyerahkan wang sebanyak RM700, tetapi suspek tidak berpuas hati dan meminta sebanyak RM2,500. Mereka beredar dari kawasan itu selepas menerima wang yang diminta, "katanya.
Menurutnya, polis menahan dua suspek itu di rumah mereka pada Isnin lalu di Dengkil.
"Suspek direman selama empat sehingga Jumaat ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 1:33 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108835#sthash.bkHaHAOG.dpuf