Search This Blog

Wednesday, January 20, 2016

Warga Sweden didakwa putar belit maklumat China



PETER Dahlin. -Foto AFP
BEIJING: Kerajaan China mendakwa seorang warga Sweden menjalankan aktiviti kumpulan hak kemanusiaan tidak berlesen, dengan memutarbelit maklumat dan mempengaruhi orang ramai supaya mencampuri hal sensitif negara.
Beijing mengesahkan awal bulan ini pihak berkuasa menahan Peter Dahlin, 35, pengasas bersama Chinese Urgent Action Working Group yang disyaki membahayakan keselamatan negara.
Polis China dan pihak berkuasa keselamatan dalam satu kenyataan berkata, mereka menumpaskan organisasi haram yang menaja aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Kenyataan itu diumumkan menerusi Agensi berita rasmi Xinhua, lewat semalam.
Kedutaan Sweden di Beijing pula berkata, pihaknya terus memberi kerjasama berhubung isu itu dan diplomatnya sudah berjumpa Dahlin Sabtu lalu.
"Beliau dalam keadaan baik," kata ketua diplomasi awam Kedutaan Sweden, di Beijing, Gabriella Augustsson, dalam e-mel.
Xinhua berkata, Dahlin dan rakan lain menjalankan operasi dikenali "China emergency rights aid group" yang tidak didaftarkan dan menerima dana dari luar negara yang tidak diisytiharkan bagi menjalankan aktiviti haram itu. - REUTERS

1,200 orang dipindah akibat letupan gunung berapi


PENDUDUK dipindahkan dari rumah mereka berikutan letupan gunung berapi di timur Indonesia yang memuntahkan debu dan gas toksik ke udara. - Foto AFP
KUPANG: Sekurang-kurangnya 1,200 orang terpaksa dipindahkan dari rumah mereka berikutan letupan gunung berapi di timur Indonesia yang memuntahkan debu dan gas toksik ke udara.
Pegawai berkata, beribu-ribu topeng muka diedarkan kepada penduduk kampung di sekitar Gunung Egon di timur Pulau Flores ketika asap berbahaya dari gunung berapi itu semakin tebal.
Semua penduduk berada lingkungan tiga kilometer dari gunung berapi itu diarahkan berpindah dan jalan raya turut ditutup.
Pihak berkuasa berkata, mereka sudah bersedia mengendalikan pemindahan besar-besaran jika keadaan semakin buruk.
"Kami dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia berpindah pada bila-bila masa,' kata pegawai pengurusan bencana , Silvanus Tobi. -AFP.

Dua beranak didakwa berniaga tanpa lesen

Georgetown: Dua beranak warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen Georgetown, hari ini terhadap tuduhan menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen.
Vera Theresa, 31, dan ibunya, Ng Siong Tjhoeen, 58, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 11.30 pagi pada 10 Mei 2013 di PT Spring Island Agency Sdn. Bhd., Jalan Mcalister di sini.
Kedua-dua mereka dituduh di mahkamah berasingan.
Hakim Zaharah Hussain dan Ibrahim Osman masing-masing menetapkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan tertuduh perlu menyerahkan pasport.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Anthony Kulairaj Kulasingam.
Kedua-dua hakim menetapkan 18 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 2:38 PM


VERA (kanan) bersama ibunya Ng (kiri) didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen. FOTO Zulaikha Zainuzman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108743#sthash.AKgLsJxp.dpuf

Polis buru remaja lolos

Pekan: Lelaki 19 tahun yang ditahan di Ibu Pejabat Daerah Pekan, bertindak melarikan diri dalam keadaan bergari.
Suspek yang berasal dari Yan, Kedah melarikan diri menerusi pintu hadapan IPD dan menuju ke kawasan gelap di belakang bangunan itu, pada 7.30 malam semalam.
Sumber berkata, suspek sebelum itu ditahan di perkarangan Hospital Pekan, pada kira-kira 7 petang, selepas menerima aduan daripada pegawal keselamatan hospital berikutan kelakuan yang mencurigakan.
Katanya, anggota polis yang menahan suspek kemudian menyerahkannya ke IPD untuk diambil keterangan dan suspek turut digari.
“Selepas keterangannya diambil, suspek terus bangun dan melarikan diri ke arah kawasan belakang yang gelap. Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan, malah sekatan jalan raya turut diadakan," katanya, di sini, hari ini.
Difahamkan, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 3:10 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108751#sthash.Hj1IvPKX.dpuf

Bon berkelakuan baik dua tahun

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan pelakon dan model sambilan, Persana Shanna Avril Sollunda, 33, yang didakwa melakukan perbuatan lucah di tempat awam dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebentar tadi.
Majistret Nur 'Aminahtul Mardiah Md Nor, mengenakan hukuman itu terhadap Persana selepas wanita itu yang sebelum ini tidak mengaku bersalah atas perbuatannya, menukar pengakuannya.
Selain itu mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu Persana perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali sebulan dan perlu menjalani ujian air kencing.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Petaling, jam 2.07 petang, 23 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 3:14 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108755#sthash.Fjnh03rC.dpuf

Mangsa ragut selamatkan diri selepas kemalangan [METROTV]

Dalam kejadian 7.30 pagi tadi, mereka dipercayai terus melarikan diri sebaik sahaja kereta Proton Iriz berkenaan terbabas.
Kejadian itu juga turut menyebabkan dua lelaki cedera selepas kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki terbalik ketika cuba mengelak merempuh Proton Iriz itu.
Difahamkan, sebelum itu, dua lelaki berkenaan dipercayai meragut wanita itu berhampiran lokasi kejadian sebelum memaksanya menaiki kenderaan terbabit.
Bagaimanapun kereta yang dipandu mereka terbabas lalu merempuh dinding konkrit di hadapan pusat beli-belah berkenaan.
Selepas itu, kedua-dua suspek melarikan diri manakala wanita itu bergegas melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai kenderaan curi.
"Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sepasukan polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 1:21 PM


KEADAAN kereta rosak teruk selepas merempuh dinding konkrit di hadapan Kompleks Suria Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108729#sthash.Qmm8kmK0.dpuf

Pensyarah, pelajar ditembak tanpa belas kasihan

Peshawar, Pakistan: Sekurang-kurangnya 21 terbunuh dalam serangan militan terhadap Universiti Bacha Khan, Charsadda, 50 kilometer dari Peshawar selepas tentera menyerbu masuk bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai pensyarah dan pelajar dalam konflik kira-kira tiga jam itu.
Namun jumlah sebenar korban tidak dapat dipastikan kerana pihak berkuasa memberi angka berbeza manakala ada agensi berita melaporkan jumlahnya melebihi 30 orang, termasuk pelajar perempuan dengan 50 lagi cedera.
Polis, tentera dan pasukan khas melancarkan serangan dari darat dan udara selepas penyerang menyerbu masuk dan melepaskan tembakan dalam kelas serta asrama pelajar.
Ketua Polis Peshawar, Saeed Wazir, berkata: “Jumlah korban serangan pengganas meningkat kepada 21 orang.
“Ramai pelajar yang mati, ditembak di sebuah asrama pelajar lelaki.”
Menurutnya operasi sudah berakhir dan pasukan keselamatan sudah memastikan kawasan kampus selamat.
Menurut polis, militan terbabit menggunakan kabus tebal musim sejuk untuk memanjat tembok universiti sebelum memasuki bangunan dan melepaskan tembakan ke arah pelajar dan pensyarah dalam kelas dan asrama.
Jurucakap tentera Mejar Jeneral Asim Bajwa berkata melalui Twitter, empat penyerang ditembak mati termasuk dua pengganas ditembak mati di atas bumbung bangunan oleh penembak tepat.
Pelajar menceritakan mengenai seorang pensyarah dikenali sebagai yang melawan penyerang dengan menembak balas bagi melindungi pelajarnya.
Pelajar geologi, Zahoor Ahmed, berkata pensyarah kimia itu memegang pistol sambil mengarahkan pelajar supaya jangan keluar.
“Saya nampak dia kena tembak. Saya nampak dua penyerang melepaskan tembakan. Saya berjaya melepaskan diri,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 4:29 PM

Tentera Pakistan berkumpul di luar kampus Universiti Bacha Khan selepas operasi menamatkan pembunuhan beramai-ramai pensyarah dan pelajar oleh militan selesai. - Foto REUTERS
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108775#sthash.QSU7mQKv.dpuf

Denda RM14,000 hina Sultan

Hakim Balqis Aini Mohd Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Hafzan Romli, 46, dan turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda itu.
Muhamad Hafzan didakwa secara sedar membuat kenyataan jelik itu dengan menggunakan nama Rashidah Rijal di Facebook dengan niat mahu menyakiti hati orang lain.
Rashidah adalah bekas tunang tertuduh dan seorang anggota polis.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan Facebook di rumah di Pangsapuri Putra Damai, 11, Putrajaya pada 4 petang, 6 Jun 2015.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan, jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 4:08 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108769#sthash.aef4Udjn.dpuf

Pekebun didakwa miliki buku Syiah

Kluang: Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini kerana memiliki buku mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah pada Disember dua tahun lalu.
Tertuduh, Hairudin Abdullah, 47, yang berasal dari Senggarang, Batu Pahat didakwa memiliki buku bertajuk 'Kebangkitan Asyura Dalam Ucapan Dan Perutusan Imam Khomeini' karya Ayatullah Ruhullah Musamal Khomeini yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah dalam kereta di hadapan restoran di Jalan 1/1, Taman Sri Impian di sini, kira-kira 6 pagi, 3 Disember 2014.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Noorul Badariah Abdul Majid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Syarie Syazwan Mohd Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 3:41 PM


TERTUDUH mangaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108760#sthash.OPyU2Cpx.dpuf

Ditemui mati dalam bilik tidur

Kuala Lumpur: Seorang pembantu akauntan lelaki berusia 25 tahun ditemui mati dipercayai membunuh diri dengan menghidu gas memasak dalam kejadian di rumahnya di Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, mangsa ditemui mati di bilik tidurnya oleh ibunya berusia 61 tahun sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, ketika ditemui, mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan kepalanya berbungkus plastik hitam dan disambungkan saluran getah ke tong gas kecil.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal bersama ibunya selepas kematian bapanya beberapa tahun lalu dipercayai bertindak membunuh diri disebabkan mengalami tekanan hidup.
"Tiada kecederaan pada tubuh mangsa dan mayat mangsa sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat,"katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 5:20 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108785#sthash.zygGP6TY.dpuf

Dua polis tidak mengaku rasuah

Balik Pulau: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan menerima rasuah daripada orang awam.
Tertuduh, Koperal Mohd Yusni Abu Kassim, 37, dan Lans Koperal Rashid Abdul Razak, 28, didakwa menerima suapan sebagai balasan untuk melindungi orang awam terbabit daripada diambil tindakan bagi kesalahan lampaunya.
Dalam kes berlainan, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada anggota polis bagi mengelak daripada tuduhan kesalahan seks luar tabii.
Semua tertuduh, iaitu Mohd Yusni, Rashid dan Ng Siang Gim, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz, tadi.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Amin Yaacob, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 3:59 PM


TERTUDUH diiringi ke kamar Mahkamah Sesyen Balik Pulau. FOTO Ramdzan MAsiam
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108765#sthash.27aL8Nab.dpuf

Pil kuda RM250,000 dan pistol dirampas

Tanah Merah: Polis Kelantan merampas 12,528 biji pil kuda bernilai lebih RM250,000 dalam dua operasi berasingan di Rantau Panjang dan Tumpat, kelmarin.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
" Dalam operasi di Rantau Panjang kita menahan seorang penjual burger berusia 36 tahun yamg menunggang motosikal.
"Pemeriksaan lanjut, polis menemui satu beg plastik yang mengandungi 11,980 biji pil kuda," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) Bukit Bunga di sini, hari ini..
Menurutnya, dalam operasi kedua di Tumpat pada 10 malam, polis membuat pemeriksaan di kereta jenis Proton Satria yang mencurigakan.
"Apabila dihampiri suspek di dalam kereta melarikan diri ke arah semak berhampiran.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 548 biji pil kuda bernilai RM10,960," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata pihaknya turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver dan enam peluru hidup yang sembunyikan plastik hitam di Kok Keli, Tumpat.
Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 4:49 PM


Mazlan bersama pegawainya menunjukkan pistol dan pil kuda yang dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108781#sthash.8P8nBGFu.dpuf

Maut dilanggar, diseret bas

Shah Alam: Lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebelum diseret bas di Jalan Subang, dekat sini berdekatan lampu isyarat pangsapuri Brunsfield kira-kira 7 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Mohammad Adam, 24, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa dilanggar ketika tiba di lampu isyarat itu sebelum diseret bas yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.
"Polis menyeru orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) APJ1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 4:48 PM


MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108779#sthash.hl8zq7gT.dpuf

Pengawal didakwa rogol anak tiri

Kota Bharu: Pengawal keselamatan sekolah berusia 51 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol anak tirinya, dua tahun lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun di rumah di Pasir Puteh, masing-masing pada 12.30 tengah malam sekitar November 2013 dan 12 tengah malam Disember 2013.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seskyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta 10 sebatan.
Tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Mohamed. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Siti Hajar Alias yang memohon tarikh sebutan semula untuk laporan kimia dan perubatan mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 4:26 PM



TERTUDUH menghadapi pertuduhan merogol anak tirinya. FOTO Syamsi Suhaimi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108771#sthash.GN1r8P2q.dpuf

65 kenderaan klon disita tahun lalu

Shah Alam: ENam puluh lima kenderaan klon disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam operasi bersepadu yang dijalankan sepanjang tahun lalu.
Operasi yang dijalankan di sekitar Selangor terutama di kawasan Lembah Klang itu turut menyita 26 kenderaan klon pada awal tahun ini sehingga semalam.
Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib berkata, kenderaan klon yang disita kebanyakannya adalah kenderaan mewah yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Katanya, kenderaan klon terbabit mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap berikutan harganya yang jauh lebih murah berbanding harga asal.
"Hasil siasatan mendapati kenderaan terbabit diseludup tanpa dokumen sah sebelum diklon menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang sudah didaftarkan.
"Nombor pendaftaran yang digunakan, adakalanya masih aktif dan sah di jalan raya.
"Malah ada yang turut menggunakan nombor pendaftaran yang sudah dilupuskan oleh pemilik asal," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, individu yang didapati memiliki atau menggunakan kenderaan klon boleh didakwa mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nazli berkata, JPJ Selangor juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kenderaan klon di negara ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 4:03 PM


ANTARA kenderaan klon yang disita. FOTO Faiz Anuar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108767#sthash.V13Mcgb9.dpuf

Sindiket dadah terbesar di Lembah Klang tumpas

Shah Alam: Polis Selangor menumpaskan sindiket dadah terbesar di Lembah Klang selepas merampas dadah jenis syabu, pil kuda, ecstacy dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta di Ampang, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, rampasan itu dibuat susulan penahanan lima lelaki berusia 34 hingga 53 tahun di tepi Jalan Ampang, kira-kira 2.30 petang.
Katanya, polis kemudian melakukan serbuan dan merampas syabu seberat 3.03 kilogram(kg), pil kuda (110,050), ecstacy (52,900 biji) dan ketamin (724 gram).
"Dengan rampasan ini, polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran terbesar di Lembah Klang.
"Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Januari ini untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 5:10 PM


AMRAN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108783#sthash.s7SLUBZj.dpuf

Dua remaja lemas di terusan

Tanjong Karang: Dua remaja berusia 14 tahun lemas ketika mandi di terusan berhampiran Sungai Tengi,di sini, pagi tadi.
Mangsa, Mohammad Akmal Munawir ditemui kira-kira 11.45 pagi dan Mohammad Hafiz Arbain pula ditemui 11.52 pagi manakala rakannya Raja Mohd Haziq Raja Hasrizal menyelamatkan diri dengan bergayut pada pokok kelapa.
Difahamkan, mangsa dan rakannya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa dan mandi di terusan itu untuk menyejukkan badan.
Penolong Pengarah Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 pagi apabila mangsa dan lapan lagi rakannya bermandi di terusan itu.
"Tidak lama selepas itu, tiga daripada mereka hanyut namun seorang berjaya menyelamatkan diri kerana bergayut pada pokok kelapa yang berada di tengah terusan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 2:25 PM

AHLI keluarga tidak dapat menahan sedih ketika melihat mangsa lemas. FOTO Suzaini Sulaiman

Kemaluan putus dipotong isteri

Jempol: Seorang isteri nekad memotong kemaluan suami warga Pakistan menggunakan pisau cukur hingga putus selepas tidak tahan mengikut kehendak lelaki itu yang sering meminta melakukan aksi ganas di rumah di Batu Kikir, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun mengalami pendarahan teruk sebelum bergegas ke Balai Polis Batu Kikir bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di rumahnya.
"Wanita itu secara perlahan-lahan menanggalkan seluar suaminya, lalu memotong kemaluan menggunakan pisau cukur menyebabkan lelaki itu meraung kesakitan.
"Suaminya bekerja sebagai peniaga melarikan diri ke Balai Polis Batu Kikir, kira-kira 1.55 pagi.
"Anggota polis terkejut dengan kedatangan mangsa dalam keadaan berlumuran darah segera menghantarnya ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan.
"Bahagian kemaluan yang dipotong tertinggal di rumah juga diambil untuk dibawa ke hospital bagi proses penyambungan semua," katanya
Katanya, mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan setakat ini, keadaannya dilaporkan stabil.
"Polis menahan isteri mangsa dan menemui pisau cukur yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 12:22 PM

Datuk Seri 'dalang' judi

Ampang: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengesan sebanyak 20 premis judi haram beroperasi di daerah ini yang dipercayai didalangi individu bergelar ‘Datuk Seri’.
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan orang ramai yang tampil ke pejabat JMM bagi menyalurkan maklumat berhubung kegiatan jenayah itu.
Katanya, JMM turut membuat risikan terhadap lokasi dilaporkan itu bagi memastikan kesahihannya sebelum membuat aduan kepada pihak berkuasa.
“Kita lihat premis judi tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Bila polis ambil tindakan, mereka (pengusaha premis) tutup kedai tetapi beroperasi semula tidak lama kemudian.
“Kali ini kita mengesan sebanyak 20 lokasi premis perjudian haram di daerah Ampang hasil aduan diterima orang ramai dan pemantauan dilakukan JMM.
“Malah, hasil risikan dilakukan, kami turut mengesan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi pemilik perniagaan mesin slot judi haram ini,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung kegiatan judi haram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.
Menurut Azwanddin, laporan terbabit dilakukan bagi menggesa polis mengambil tindakan terhadap premis perjudian yang semakin meningkat di daerah berkenaan.
Katanya, JMM turut menyalurkan maklumat bagi mendedahkan lokasi premis judi yang sudah dikenal pasti termasuk maklumat dalang sindiket itu.
“Sebagai mewakili suara kepada masyarakat, kita mahu polis mengambil tindakan tegas menutup premis berkenaan kerana ia dibimbangi akan memberi impak negatif terutama kepada anak-anak muda di daerah Ampang.
“Kita minta polis mengambil tindakan segera terhadap premis judi haram berkenaan termasuk individu disyaki itu,” katanya.
Azwanddin turut memaklumkan pihaknya akan menubuhkan satu pasukan khas dengan kerjasama 40 Badan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi membolehkan pemantauan terhadap kegiatan judi haram dapat dilakukan secara menyeluruh di setiap negeri dan daerah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Katanya, polis memberi jaminan akan menyiasat maklumat diterima terbabit dan seterusnya mengambil tindakan susulan.
“Setakat ini pihak polis belum dapat mengesahkan individu yang mendalangi aktiviti perjudian haram kerana pada setiap pemeriksaan dilakukan mendedahkan premis berkenaan dijalankan individu berbeza,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:27 AM


Azwanddin (tengah) bersama ahli JMM membuat laporan polis berhubung kegiatan perjudian di sekitar Ampang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108609#sthash.1lu1DFxC.dpuf