Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Dua Cedera Seorang Maut Dalam Tempoh Kurang Enam Jam


Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2016 8:01 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Tidak sampai enam jam, dua cedera terkena tembakan rambang yang dilepaskan ke arah orang awam dan seorang maut diserang dengan senjata tajam di Pasar Borong Jalan Ipoh di sini.
Dalam kejadian pertama kira-kira 10 malam Rabu, seorang lelaki berumur 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, kedua-duanya warganegara Myanmar cedera selepas terkena tembakan rambang oleh sekumpulan suspek.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata berdasarkan maklumat saksi, kira-kira lima suspek menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dilihat melepaskan tembakan secara rambang di luar deretan kedai di lokasi berkenaan.
"Jarak tempat kedua-dua mangsa ditembak adalah kira-kira 200 meter. Sebanyak lima kelongsong serta dua anak peluru ditemui di tempat kejadian," katanya.
Munusamy berkata seorang lelaki tempatan ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.
"Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Usaha giat akan diteruskan untuk mengesan suspek lain yang masih bebas," katanya.
Manakala kejadian kedua menurutnya berlaku pukul 3.45 pagi tadi dengan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam kawasan pasar borong dengan lima kesan tikaman di tubuhnya.
"Menurut saksi di tempat kejadian, simati telah diserang oleh dua lelaki yang menaiki motosikal bersenjatakan pisau. Kes belum melibatkan sebarang tangkapan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ditanya sekiranya kedua-dua kes berkaitan, Munusamy berkata ianya masih disiasat. - BERNAMA

Tiga Maut Kereta Bertembung Lori Tangki


Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 12:30 PM
Kemalangan yang mengorbankan tiga lelaki apabila kereta yang dinaiki terbabas dan bertembung lori tangki di Paka, Jumaat.

DUNGUN: Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 101 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Masjid Hadhari, Paka di sini, Jumaat.
Dalam kemalangan 6.34 pagi itu, Irwan Khalid,37, Muhammad Rashid Yoon Chow, 48 dan Mohammad Nizan Ismail, 46 terbunuh di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Nahas itu turut melibatkan sebuah lori tangki dan kereta Proton Wira.
Kedua-dua pemandunya selamat dan tidak cedera.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Viva itu, yang dari arah Kuantan ke Dungun, hilang kawalan lalu melanggar pasu bunga di atas pemisah jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Susulan itu, kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki dan Proton Wira di arah bertentangan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu Perodua Vivaitu tercampak keluar dari kenderaan.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi, Jumaat.-- Bernama

Remaja Maut Ditikam Di Lahad Datu


Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2016 9:26 PM
Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki warga tempatan berusia 17 tahun maut selepas dipercayai ditikam menggunakan benda tajam di bahagian perut pada awal pagi Rabu lepas di sebuah hotel di Lahad Datu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata remaja berkenaan dipercayai ditikam oleh seorang remaja perempuan, juga berusia 17 tahun, selepas berlaku pergaduhan antara mereka berdua di hotel berkenaan pada pukul 3 pagi Rabu.
Bagaimanapun katanya mayat berkenaan cuma dihantar ke wad kecemasan Hospital Lahad Datu pada jam 2 pagi Khamis oleh remaja perempuan itu sendiri.
Menurutnya polis kemudian menangkap perempuan remaja berkenaan dan siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 13 Januari, kira-kira pukul 3 pagi di sebuah hotel di Lahad Datu.
"Pihak polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa," kata Salehhudin kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Pos Kawalan Keselamatan Burs Point, Tawau di Mes Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini Khamis.
Dalam perkembangan lain, Salehhudin berkata pihaknya menahan seorang lelaki berumur 25 tahun untuk membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang wanita dipercayai warga Filipina berumur dalam lingkungan 40-an di kawasan kebun kelapa sawit di daerah Beaufort dua hari lepas.
Beliau berkata suspek yang juga warga Filipina ditahan petang semalam di Beaufort dan direman sehingga 20 Januari ini.
Mayat wanita berkenaan ditemui di tepi jalan sebuah kebun kelapa sawit berhampiran rumah murah Kampung Taman Muhibbah kira-kira jam 3.50 petang dan mempunyai kesan lebam pada mata kiri serta hentakan di sebelah kanan kepala.
Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Suami Isteri Antara Tiga Ditahan Palsukan Sijil Cuti Sakit


Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 3:43 PM

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan sijil cuti sakit hospital kerajaan, dalam serbuan di Dengkil dan Gombak pada 13 Januari lepas.

Selain pasangan berumur 28 dan 50 tahun itu, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai dalang sindiket itu yang beroperasi sejak setahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor ACP Mohd Sakri Arifin berkata suami isteri itu ditahan di rumah mereka di Sungai Buah, Dengkil manakala dalang terbabit ditahan di sebuah pangsapuri di Gombak.

"Kami memulakan siasatan apabila sebuah syarikat mengemukakan sekeping sijil cuti sakit pekerjanya kepada Hospital Kajang untuk mengesahkan ketulenannya dan setelah disemak, sijil cuti sakit itu sama seperti yang dikeluarkan hospital itu tetapi jumlah hari, nombor siri dan nama doktor berbeza.

"Cuti sakit itu diberi kepada pekerja terbabit selama 14 hari sehingga menimbulkan keraguan pihak syarikat kerana pekerja itu tidak mengalami penyakit serius. Seorang doktor dari hospital itu kemudian membuat laporan polis," katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.

Mohd Sakri berkata turut dirampas daripada pasangan suami isteri itu ialah 29 keping sijil cuti sakit palsu dan wang tunai RM90 manakala pihaknya turut merampas 100 cop getah pelbagai nama dan tempat serta beratus-ratus keping  salinan fotostat sijil cuti sakit dan sijil cuti sakit pelbagai nombor siri disyaki palsu dari dalang sindiket itu.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai tidak menjual sijil cuti sakit palsu secara terbuka tetapi melalui orang tengah dengan harga yang berbeza-beza.

"Berdasarkan siasatan, sijil cuti sakit palsu ini dijual dengan harga RM30 sekeping (bagi pelanggan tetap) dan RM100 bagi pelanggan baharu. Itu tidak termasuk jumlah hari cuti sakit di mana sindiket ini akan kenakan bayaran RM30 bagi setiap sehari cuti sakit.

"Nama pada cop getah pula, setelah disiasat, adalah nama-nama doktor yang memang wujud di beberapa hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang. Anggota sindiket ini semak setiap nama doktor di hospital berkenaan," katanya.

Mohd Sakri berkata ketiga-tiga suspek itu direman sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 468/472 Kanun Keseksaan.

Pihak polis juga sedang menjejaki baki anggota sindiket berkenaan.

Kereta Hilang Dijumpai Hangus


Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2016 6:14 PM
R. Munusamy.

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang dilaporkan hilang di Mont Kiara pada Oktober lepas dijumpai terbakar di Taman Desa Bakti, di sini, malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata berdasarkan siasatan awal yang dijalankan pasukan forensik bomba, terdapat unsur khianat dalam kejadian itu berikutan penemuan kesan petrol pada kereta berkenaan.
"Semakan nombor pendaftaran kereta itu didapati palsu manakala casis kereta berkenaan menunjukkan ia adalah kereta yang dilaporkan hilang Oktober lalu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya polis bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 9.52 malam.
Bagaimanapun, Munusamy berkata tiada tangkapan dilakukan manakala motif serta punca kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
Pada masa sama beliau meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu.
Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dikerah ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira pukul 9.58 malam.
"Kereta itu terbakar sebanyak 90 peratus sehingga rangka kereta sahaja yang tertinggal manakala api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.15 malam," katanya. - BERNAMA

Dua Kanak-Kanak Dalam Kenderaan Yang Dicuri Ditemui Selamat


Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 11:45 AM

KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak yang berada di dalam kenderaan apabila ia dicuri ditemui selamat kira-kira 500 meter dari tempat mereka dilarikan pada awal pagi Jumaat.

Kanak-kanak lelaki itu ditemui di dalam kereta Proton Wira yang ditinggalkan di kawasan letak kereta di belakang Jalan Gaya di sini oleh polis.

Kenderaan itu dicuri ketika ibu mereka sedang mengeluarkan wang dari mesin ATM di sini.

Ketika kejadian, ibu mangsa meninggalkan dua kanak-kanak itu di dalam kereta yang tidak berkunci dengan enjin tidak dimatikan.

Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak berusia lapan dan lima tahun itu ditemui polis yang sedang melakukan rondaan memburu suspek yang dipercayai telah melarikan diri.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra mengesahkan kejadian itu dan berkata mereka sedang memburu suspek.

Pemerdagangan Manusia: 20 Wanita Kemboja, Indonesia Diselamatkan


Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 2:30 PM
SHAH ALAM: Seramai 20 wanita Kemboja dan Indonesia berusia 17 hingga 40 tahun, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di sini, diselamatkan polis, Jumaat.
Polis juga menahan tujuh lelaki tempatan terdiri daripada pengurus premis dan enam pemandu serta seorang wanita Kemboja yang bertugas sebagai penyelia berumur antara 30 hingga 59 tahun, yang dipercayai anggota sindiket itu.
Penolong Pengarah Antipemerdagangan Orang  and  Antipenyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Maszely Minhad berkata kesemua   14 warga Kemboja dan enam warga Indonesia itu dikurung dalam sebuah bilik berukuran 1.86 meter x 3.72 meter di sebuah premis agensi pekerjaan.
"Mereka bekerja sebagai tukang cuci di sekitar Shah Alam dan Subang Jaya.
Melalui siasatan awal, mangsa mendakwa mereka tidak dibayar gaji antara enam hingga 10 bulan dan pasport disimpan oleh majikan selain gerak geri mereka dikawal," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, Jumaat.Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari premis tanpa mendapat kebenaran daripada pengurus, katanya.
Serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari unit D7C Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Maszely berkata pihaknya akan memohon tempoh reman bagi anggota sindiket itu esok.
Kesemua mangsa pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 13 Antipmerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, katanya.
Mereka akan ditempatkan di rumah-rumah perlindungan sekitar Lembah Klang dan polis akan memaklumkan perkara ini kepada kedutaan masing-masing, katanya.-- Bernama

Isteri Terjebak Komplot Cinta Rugi RM1,500


Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 3:55 PM

KANGAR: Seorang isteri mendakwa ditipu sindiket 'komplot cinta' yang dipercayai didalangi rakyat asing sehingga dia kerugian RM1,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, DSP Mohd Rawi Ab Ghani berkata wanita beranak satu berusia 30-an itu mendakwa telah berkenalan dengan seorang lelaki Afrika melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata wanita berkenaan yang baru seminggu berkenalan dengan lelaki terbabit kerap berhubung antara satu sama lain menerusi Facebook sehingga terjalin hubungan cinta antara mereka.

"Mangsa kemudiannya dijanjikan wang tunai berjumlah USD10,000 (RM43,867) oleh lelaki tersebut. Bagaimanapun mangsa perlu membayar deposit sebanyak RM1,500 sebagai wang proses sebelum boleh menerima kesemua baki wang itu," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Mohd Rawi berkata mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institusi pengajian tingi awam di sini membayar deposit tersebut ke dalam sebuah akaun milik rakyat tempatan di sebuah bank di Padang Besar.

Penjara, denda jual rokok kepada kanak-kanak di India




NEW DELHI: Denda sebanyak Rs 1 lakh (RM6,501) dan penjara sehingga tujuh tahun akan dikenakan kepada sesiapa yang menjual rokok atau produk tembakau kepada kanak-kanak di India bermula hari ini.
Peruntukan itu sebahagian daripada Akta Keadilan Juvana (Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak) 2015 diluluskan Parlimen India bulan lalu dan mula dilaksanakan pada hari ini.
Undang-undang berkaitan pesalah bawah umur itu juga membuka jalan percubaan kepada mereka berumur 16 hingga 18 tahun yang dituduh melakukan jenayah kejam seperti orang dewasa, untuk dihukum penjara sehingga tujuh tahun.
Untuk melindungi kanak-kanak daripada kesan bahaya merokok dan mengetatkan undang-undang kepada penjual rokok, kerajaan buat kali pertama menetapkan penjualan produk tembakau kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun satu kesalahan jenayah yang serius.
Akta Kehakiman Juvana lama hanya meliputi minuman keras dan dadah.
Akta Rokok dan Produk Tembakau Lain (Larangan Iklan & Peraturan Penjualan dan Perdagangan, Pengeluaran, Bekalan dan Pembahagian) semasa melarang penjualan rokok atau produk tembakau lain kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, dalam radius 100 meter daripada institusi pendidikan.
Hukuman kerana melanggar peraturan lama tidak ketat apabila denda Rs 200 (RM13) dan penjara sehingga tiga bulan dikenakan.
Begitu juga dengan kesalahan memberi dadah atau bahan-bahan psikotropik kepada kanak-kanak adalah kesalahan mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik.
Bagaimanapun, ia tidak termasuk produk tembakau. - AGENSI

14 maut nahas bas di Jepun

JUMAAT, 15 JANUARI 2016 @ 11:17 AM




PENYIASAT sedang memeriksa bangkai sebuah bas terbabas lalu terhempas di jalan dekat kawasan pergunungan di Nagano, tengah Jepun hari ini. - Foto AFP
TOKYO: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera apabila bas yang membawa mereka ke resort percutian ski terbabas di jalan dekat kawasan pergunungan di tengah Jepun awal hari ini, kata kerajaan.
Difahamkan bas dari Tokyo dengan 41 penumpang itu menuju ke resort ski di daerah Nagano apabila ia tergelincir dari jalan raya di bandar peranginan di selatan Karuizawa Nagano.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga dalam satu sidang media di Tokyo berkata, 14 orang terbunuh dan 27 lain cedera dalam kemalangan itu.
Jurucakap tertinggi kerajaan itu berkata, kementerian pengangkutan sudah melancarkan siasatan dan menghantar penyiasat ke kawasan kejadian.
Rakaman televisyen menunjukkan bas terbalik ke dalam hutan dengan tingkap hadapan berkecai sepenuhnya selepas merempuh penghadang jalan.
Jurucakap polis memberitahu AFP, bas itu menjunam sebelum subuh, manakala media tempatan berkata ia membawa penumpang yang mengikuti pakej pelancongan yang dijual agensi pelancongan Tokyo.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Jepun menyaksikan beberapa kemalangan bas berprofil tinggi, sebahagiannya menyalahkan pemandu yang tertidur ketika bertugas. - AFP

WHO sahkan kes baharu Ebola di Sierra Leone

JUMAAT, 15 JANUARI 2016 @ 5:50 PM

 GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengesahkan kematian terbaharu akibat Ebola di Sierra Leone, sehari selepas negara Afrika Barat itu menyambut berita gembira bebas dari virus maut itu. "Kami boleh mengesahkan ada kes Ebola di Sierra Leone," kata WHO dalam satu kenyataan selepas seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun yang sakit dibawa dari sempadan Guinea, maut tiga hari lalu dengan ujian sampel ke atasnya positif Ebola. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/114685

Merompak: Warga Malaysia dipenjara 7 tahun, 12 sebatan

JUMAAT, 15 JANUARI 2016 @ 12:06 PM
SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan 12 sebatan kerana terbabit dalam rompakan berkumpulan pada 2014, lapor Channel NewsAsia semalam.
Ravi Sandhira Sagaran, 28, merupakan anggota pertama kumpulan yang mengaku terlibat dalam rompakan berkenaan.
Laporan itu menyebut, tujuh lagi tertuduh termasuk enam rakyat Malaysia dan seorang penduduk tetap Singapura berumur antara 29 dan 43 tahun.
Kumpulan lapan perompak itu dikatakan telah merancang dengan teliti jenayah mereka lebih dua bulan.
Mereka bertindak merompak seorang pengurus perniagaan pengurupan wang berusia 35 tahun yang memiliki sejumlah besar wang tunai, kata laporan itu.
Selepas empat cubaan dibatalkan pada Oktober 2014, perompak berkenaan berjaya melarikan wang tunai berjumlah S$624,036.41 (kira-kira RM1.903 juta). - BERNAMA

JPJ diarah sita lori hantu serta-merta

JUMAAT, 15 JANUARI 2016 @ 3:05 PM

Oleh Mohamed Farid Noh


NAHAS yang membabitkan dua pelajar perempuan Tingkatan Satu SMK Bandar Damai Perdana, Cheras, Selangor, maut manakala seorang penjaja cedera dirempuh sebuah van yang dilanggar sebuah lori hantu di hadapan sekolah berkenaan, semalam. - Foto Saddam Yusoff
BATU PAHAT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah menyita serta-merta lori hantu yang masih berdegil dan menggunakan jalan utama di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu juga bagi menggempur majikan lori hantu yang tidak bertanggungjawab sehingga membahayakan keselamatan awam.
"Kita amat sedih dengan tragedi yang mengorbankan dua pelajar di Cheras, Selangor, semalam. Saya sudah arahkan JPJ untuk ambil tindakan tegas termasuk menyita serta-merta lori hantu yang masih degil dan melalui jalan utama di seluruh negara.
"Mulai hari ini juga JPJ akan menggempur habis-habisan serta mengambil tindakan terhadap kegiatan lori hantu di kawasan pembinaan atau mana-mana kawasan yang membabitkan tempat tinggal penduduk supaya tragedi seperti ini tidak berulang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ziarah masyarakat di FELCRA Seri Wangi, Parit Yaani, dekat sini, sebentar tadi.
Abdul Aziz mengulas tragedi jam 12.50 tengah hari semalam, apabila dua pelajar perempuan Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Cheras, Selangor, maut manakala seorang penjaja cedera dirempuh sebuah van yang dilanggar sebuah lori hantu di hadapan sekolah berkenaan.
Kedua-dua pelajar yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen, kedua-dua mereka berumur 13 tahun.

Bekas pengarah Protasco Bhd didakwa tipu lebih RM68j


TEY Por Yee didakwa menipu ahli lembaga pengarah dan pegawai syarikat Protasco Bhd, iaitu dengan sengaja menyembunyikan maklumat bahawa tertuduh mempunyai perkaitan terus dengan sebuah syarikat yang diperbadankan di Indonesia iaitu PT Anglo Slavic Utama. - Foto Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Bekas pengarah Syarikat Protasco Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu menipu ahli lembaga pengarah membabitkan wang lebih RM68 juta dan membuat perakuan palsu, empat tahun lepas.
Datuk Tey Por Yee, 40, didakwa menipu ahli lembaga pengarah dan pegawai syarikat Protasco Bhd, iaitu dengan sengaja menyembunyikan maklumat bahawa tertuduh mempunyai perkaitan terus dengan sebuah syarikat yang diperbadankan di Indonesia iaitu PT Anglo Slavic Utama.
Ini mendorong mangsa memasuki satu perjanjian pelaburan dalam perniagaan minyak dan gas di Indonesia melalui pembelian 63 peratus saham syarikat PT Anglo Slavic Indonesia yang bernilai USD22 juta (RM68,393,170) dengan PT Anglo Slavic Utama.
Pembayaran pembelian saham tersebut dibuat secara berperingkat ke dalam dua akaun CIMB PT ASU, yang mangsa tidak akan memasuki perjanjian pelaburan tersebut dan membuat pembayaran pembelian saham jika mereka tidak diperdayakan tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Protasco Bhd, tingkat 2, Corporate Building Unipark Suria, Jalan Ikram-Uniten, Kajang, di sini antara November 2012 hingga 30 Januari 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa membuat perakuan palsu kepada Pesuruhjaya Sumpah, Wern Li Morsingh bahawa tertuduh tidak mempunyai kaitan dengan syarikat PT Anglo Slavic Utama, mana-mana pengarahnya, mana-mana pemegang sahamnya, sedangkan pada masa dia membuat perakuan berkenaan tertuduh mengetahui dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat syarikat Protasco Bhd, tingkat 2, Corporate Building Unipark Suria, Jalan Ikram-Uniten, Kajang, di sini pada 25 Julai 2014.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 181 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Datin Nurshuhaida Zainal Azahar menawarkan wang jaminan RM5 juta dengan seorang penjamin bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah untuk prosiding seterusnya.
Tertuduh mempunyai syarikat di Indonesia dan Hong Kong, kami bimbang wang jaminan yang minimum tidak dapat memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah," katanya.
Tertuduh yang diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Mak Lin Kum memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu mengambil kira beberapa faktor termasuk tidak ada kebarangkalian untuk tertuduh tidak hadir ke mahkamah kerana tertuduh sendiri menyerah diri di balai polis sebelum ini.
"Tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Jaminan yang tinggi seolah-olah sudah menghukum tertuduh yang belum didapati bersalah," hujah Kumaraendran sambil menambah tertuduh bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya perlu.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 24 Februari untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Azilah serah petisyen pengampunan


Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri menyerahkan petisyen pengampunan kepada Sultan Selangor terhadap sabitan dan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Peguam Datuk Hazman Ahmad mewakili Azilah yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, beliau menyerahkan petisyen berkenaan kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor pagi ini selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.
Hazman berkata, petisyen yang diserahkan itu antaranya mengandungi rekod rayuan, nas perundangan dan nota keterangan kes.
Beliau berkata tiada had tempoh masa untuk mendengar petisyen itu dan ia terpulang kepada budi bicara Sultan.
Katanya, beliau selaku peguam bela akan dipanggil pada sesi pendengaran petisyen berkenaan, bagaimanapun anak guamnya tidak perlu hadir.
Hazman berkata, Lembaga Pengampunan berkemungkinan mengandungi lima atau enam anggota panel termasuk Sultan Selangor, Menteri Besar, Peguam Negara atau wakilnya dan anggota lain yang dilantik sultan.
Pada 13 Januari tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mendapati Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar bersalah membunuh Altantuya dan menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-dua tertuduh.
Panel membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh pada 23 Ogos 2013.
Mereka didakwa membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Azilah kini dipenjarakan di Penjara Kajang, manakala Sirul Azhar tidak hadir ketika keputusan Mahkamah Persekutuan dan dikatakan melarikan diri ke Australia.

Pengurus syarikat hadapi 14 tuduhan menipu

SEREMBAN: Seorang pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan kerugian bernilai RM645,229.
Tertuduh, Mohd Liza Azmie Md Darus, 45, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman dan mohon dibicarakan.
Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada Disember 2014 hingga November 2015 tahun ini di cawangan bank Malayan Banking Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd dan pejabat syarikat Seputeh Resources, di sini.
Mengikut fakta kes, Mohd Liza Azmie bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa telah menipu Mohd Shamir Leman, 42, dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh seorang remiser yang berdaftar yang mendorong mangsa untuk menyerahkan wang kepada syarikat Seputeh Resources, syarikat tertuduh bekerja.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat atau dikenakan denda.
Bagi semua pertuduhan itu, Majistret Mohd Zaki membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah memohon kepada mahkamah untuk mengenakan jaminan sebanyak RM200,000 bagi semua pertuduhan dengan dua orang penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
Semasa rayuan, Peguam Gurdit Singh memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM30,000 dengan alasan syarat tambahan sudah menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah dan wang jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukan menghukumnya.
"Selain itu, semasa dalam tahanan pihak polis semenjak 28 Disember yang lepas sehingga hari ini, tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Pemandu lori hantu nahas SMK Bandar Damai direman


Oleh Siti Azila
KAJANG: Pemandu lori hantu warga Indonesia direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung nahas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai di sini, semalam, sehingga mengakibatkan dua pelajar perempuan maut.
Perintah reman terhadap buruh binaan warga Indonesia berusia 39 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang, Sharifah Fazilah Zilkifli.
Lelaki itu direman bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian.
NAHAS yang membabitkan dua pelajar perempuan Tingkatan Satu SMK Bandar Damai Perdana, Cheras, Selangor, maut manakala seorang penjaja cedera dirempuh sebuah van yang dilanggar sebuah lori hantu di hadapan sekolah berkenaan, semalam. - Foto Saddam Yusoff

Warga emas maut ditikam penyamun

Melaka: Warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman di rusuk kiri dan kanan dalam kejadian samun bersenjata di Kampung Lanjut Manis, Krubong, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 11 pagi tadi, mangsa, Hussin Joh, 75, ditemui dalam keadaan terbaring di depan rumahnya dalam keadaan berlumuran darah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Bakar berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan samun bersenjata kerana barang peribadi mangsa beg pinggang turut hilang.
"Mangsa dipercayai ditikam mengguna senjata tajam kerana terdapat dua kesan tikaman di bahagian bawah rusuk kiri dan kanan.
"Bagaimanapun, tiada senjata ditemui di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 3:12 PM


Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian. FOTO Muhammad Hatim Abd Manan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107571#sthash.owZqr1uT.dpuf

Azilah mohon pengampunan Sultan Selangor

Kuala Lumpur: Bekas anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri mengemukakan permohonan pengampunan daripada Sultan Selangor hari ini berhubung sabitan hukuman pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu pada 2006.
Perkara itu disahkan oleh peguam Datuk Hazman Ahmad ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, petisyen pengampunan itu akan difailkan di Lembaga Pengampunan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Tambah beliau, salinan petisyen itu juga akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan Menteri Besar Selangor.
Pada 13 Januari 2015, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar.
Oleh itu kedua-dua mereka dikenakan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 1:10 PM


AZILAH dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009. FOTO arkib NSTP Ahmad Irham Mohd Noor
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107559#sthash.Jl6j5QXL.dpuf