Search This Blog

Monday, January 11, 2016

Pengusaha pub maut, teman wanita cedera ditembak


MD AZRIN ROSLY  |  11 Januari 2016 12:31 AM


SIBU 10 Jan. - Seorang pengusaha pub maut ma­nakala teman wanitanya yang me­ru­pakan warganegara China cedera akibat ditembak selepas menikmati makan malam di sebuah kedai di Jalan Long Bridge Off Jalan Lanang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.09 malam, mangsa dikenali sebagai Ting Meng Min, 30, maut di hospital manakala teman wanitanya dikenali Xiao Fen.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Kamal Kordi berkata, pihaknya mene­rima maklumat pada pukul 11.25 malam daripada seorang rakan mangsa yang melaporkan kedua-dua rakan mereka telah ditembak.
Katanya, mangsa lelaki mengalami kesan tembakan di dada dan bahu kiri serta belakang badan manakala wanita yang merupakan warganegara China cedera di bahu dan pergelangan tangan kiri.
“Kejadian berlaku setelah mereka selesai makan apabila sebuah pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux berwarna putih tiba-tiba berhenti mengejut berdekatan kedai itu.
“Seorang rakan mangsa yang baru hendak bergerak mengambil kereta nampak pemandu 4WD itu mengangkat senapang dan melepaskan tembakan ke arah mangsa dua ke tiga kali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakan mangsa yang melihat tembakan itu juga mengeluarkan pistol dan melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan berke­naan yang dikatakan mungkin mengenai tiga suspek di dalamnya.
“Selepas itu, kenderaan itu terus memecut keluar ke Jalan Lanang dan melarikan diri.
“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengusaha-pub-maut-teman-wanita-cedera-ditembak-1.178255#sthash.WHcWO0Bp.dpuf

Remaja jumpa bayi dalam plastik pasar raya


Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalam beg plastik
Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalam beg plastik dijumpai remaja lelaki di Jalan 7/5G, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, dekat Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR 10 Jan. – Seorang remaja lelaki yang dalam perjalanan pulang dari surau terkejut apabila menemukan seorang bayi lelaki dibungkus dengan plastik putih di tembok longkang di Jalan 7/5G, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, remaja berumur 16 tahun berkenaan terus memaklumkan kejadian tersebut kepada ayahnya yang berada di surau.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, remaja itu pada mulanya terdengar bunyi seperti suara anak kucing dari arah longkang dan berhenti untuk melihat.
Bagaimanapun menurutnya, dia ternampak satu bungkusan plastik pasar raya berwarna putih yang bergerak-gerak dan terkejut apabila mendapati seorang bayi lelaki di dalamnya.
“Remaja berkenaan segera memaklumkan ayahnya yang berada di surau dan bapa remaja itu kemudian menghubungi pihak polis kira-kira pukul 5.21 petang
“Bapa remaja itu kemudian pergi melihat bayi tersebut bersama rakannya yang juga seorang doktor sebelum mereka membantu memotong tali pusat bayi itu selain membersihkan tubuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Willey, bayi yang dibaluti dengan baju orang dewasa berwarna kelabu kehitaman itu kemudian dibawa pihak polis ke Hospital Kajang untuk rawatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan diminta tampil ke hadapan bagi membantu siasatan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/remaja-jumpa-bayi-dalam-plastik-pasar-raya-1.178266#sthash.jlFWj6HD.dpuf

Polis bongkar makmal proses ekstasi, rampas dadah bernilai RM8.1j



JOHOR BAHRU 11 Jan. - Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses pil ekstasi dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.1 juta dalam lima serbuan berasingan di negeri ini beberapa hari lalu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam serbuan tersebut, polis turut menahan enam lelaki berusia antara 37 dan 45 tahun.


“Antara barangan yang dirampas ialah 58 kilogram dadah dipercayai serbuk ekstasi, 5,290 pil ekstasi, satu kilogram dadah syabu dan peralatan memproses pil ekstasi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. 


Beliau berkata, polis percaya dadah yang dirampas itu untuk diseludup ke Singapura dan Indonesia. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-bongkar-makmal-proses-ekstasi-rampas-dadah-bernilai-rm8-1j-1.178400#sthash.Xg7tqSWj.dpuf

Datuk diserang, penjenayah ditembak pengawal peribadi


KUALA LUMPUR 11 Jan. - Seorang penjenayah cedera selepas ditembak pengawal peribadi seorang Datuk di Jalan Empat, Jalan Chan Sow Lin, dekat sini hari ini.


Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, penjenayah itu bersama seorang rakannya difahamkan telah menyerang Datuk terbabit yang sedang bersarapan di sebuah gerai di tepi jalan itu dengan menggunakan parang.


Menurut saksi, dalam kejadian itu, rakan Datuk terbabit telah ditetak di bahagian bahu manakala seorang pekerja di gerai berkenaan iaitu seorang remaja berusia 17 tahun dipercayai terkena serpihan peluru.


“Dua penjenayah yang menaiki motosikal tiba-tiba menyerang dua individu yang sedang makan di gerai terbabit namun pegawai peribadi mangsa itu bertindak menembak penjenayah berkenaan.


“Salah seorang penjenayah itu terkena tembakan dan seorang lagi berjaya melarikan diri,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/datuk-diserang-penjenayah-ditembak-pengawal-peribadi-1.178511#sthash.vgggDcF7.dpuf

Etnik Albania bertempur dengan polis


Seorang penunjuk perasaan melontar batu ke arah polis semasa satu demonstrasi di Pristina, Kosovo, kelmarin. REUTERS
PRISTINA 10 Jan. – Beribu-ribu penduduk etnik Albania bertempur dengan anggota polis semalam, susulan daripada persetujuan yang dicapai antara kerajaan Kosovo dengan Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu pemberian lebihan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan etnik minoriti Serb di negara ini.
Laman web Al Jazeera melaporkan, pertempuran yang berlaku di ibu negara itu terjadi selepas timbul kebimbangan dalam kalangan rakyat perjanjian berkenaan akan memperkukuhkan pengaruh Serbia di negara ini.
Perjanjian tersebut juga bakal membuka jalan kepada penduduk Serbia untuk menetap di Kosovo dan menerima bantuan kewangan daripada Belgrade.
Wakil Al Jazeera, Stefan Goranovic berkata, situasi tegang antara kerajaan dengan pihak yang membantah perjanjian berkenaan sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu.
“Penunjuk perasaan berpendapatan negara Serbia akan kembali semula ke Kosovo melalui pintu belakang.
“Mereka juga bimbang dengan bantuan kewangan yang disalurkan oleh Belgrade, pihak berkuasa tempatan akan mempunyai hubu­ngan lebih erat dengan Serbia,” jelas Goranovic.
Bulan lalu, anggota politik pembangkang bertindak melepaskan gas pemedih mata ke dalam bangunan Parlimen selepas mengadakan bantahan berhubung isu berkenaan.
Kosovo yang majoritinya dihuni oleh etnik Albania mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia pada tahun 2008 dengan sokongan negara-­negara barat, namun Rusia dan beberapa buah negara lain tidak mengiktiraf kemerdekaan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/etnik-albania-bertempur-dengan-polis-1.178332#sthash.FvXPAjiw.dpuf

Wanita berhijab diusir dari kempen Trump


Rose hamid (dalam bulatan) bersama penonton lain, berdiri sebagai
Rose hamid (dalam bulatan) bersama penonton lain, berdiri sebagai tanda bantahan terhadap kempen Donald Trump yang diadakan di Rock Hill Carolina Selatan, kelmarin. AGENSI
ROCK HILL, Carolina Selatan 9 Jan. – Seorang wanita Islam yang memakai tudung diusir keluar daripada kempen yang dihadiri calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam selepas dia berdiri sebagai tanda bantahan semasa jutawan selebriti tersebut berucap dalam majlis itu.
Rose Hamid, 56, seorang kru penerbangan berdiri betul-betul di tempat duduk di belakang kedudukan Trump apabila calon pendahulu Presiden AS dari Parti Republikan itu mendakwa pelarian Syria yang datang dari negara tersebut terlibat dengan militan Negara Islam (IS).
Meskipun Rose hanya berdiam diri, penyokong-penyokong Trump di sekeliling wanita itu mula menyebut-nyebut namanya seperti mana yang diarahkan oleh jentera pilihan raya jutawan berkenaan sebelum kempen tersebut sekiranya berlaku bantahan.
Penyokong Trump kemudiannya menunding jari ke arah Rose dan Marty Rosenbluth, lelaki yang berada di sebelah wanita itu, yang turut berdiri.
Ketika mereka diiring keluar oleh polis, penyokong Trump bersorak dan mengejek sambil menjerit ke arah pasangan itu supaya mereka keluar dengan ada di antara hadirin menjerit, ‘Anda memiliki bom, anda memiliki bom’.
Rose berhubung insiden itu memberitahu CNN, dia terkejut dengan reaksi spontan yang dite­rimanya.
“Keadaan berubah sekelip mata. Secara tiba-tiba saya menjadi tumpuan negatif hadirin pada hari itu,” katanya menerusi perbualan te­lefon sejurus diusir.
Sementara itu, Jabatan Polis Rock Hill, Major Steven Thompson berkata, Rose diusir daripada majlis berkenaan kerana pihak penganjur terlebih dahulu memaklumkan sekiranya ada individu yang membuat gangguan, mereka perlu dibawa keluar.
Pihak jentera pilihan raya Trump bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mengulas pengusiran Rose daripada dewan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-berhijab-diusir-dari-kempen-trump-1.177981#sthash.yznDLSZw.dpuf

Pelagak ngeri maut ketika lakukan aksi


10 Januari 2016 12:13 AM



PARIS 9 Jan. - Pelagak ngeri Perancis, Tancrede Melet dilapor meninggal dunia selepas terjatuh dari ke­tinggian lebih 30 meter, setelah berlaku kesilapan dalam percubaannya meniti kabel antara dua buah belon panas, dalam satu kejadian di sini, baru-baru ini.
Kemalangan tragik melibatkan Melet berlaku di Drome, Perancis Selasa lalu, lapor Mail Online yang memetik kenyataan pasukan pelagak ngeri itu, Flying Frenchies di laman tersebut.
Melet, 32, ketika kejadian sedang membuat persiapan untuk meniti kabel berkenaan untuk satu projek bersama pelagak ngeri lain.
Namun menurut rakannya, mangsa secara tiba-tiba terjatuh ketika berada di dalam bakul sebuah daripada belon panas itu.
Seorang jurucakap pasukan Flying Frenchies dalam laman Facebooknya menyatakan, pemergian Melet amat mengejutkan.
“Beliau meninggalkan banyak kenangan, mengajar erti kebebasan kepada kita, dan seorang ketua yang penuh dengan impian,’’ jelas status Facebook itu.
Melet yang dilahirkan di Meurthe-et-Moselle merupakan pakar dalam sukan ekstrem termasuk terjun udara dan meluncur di udara dengan menggunakan sut terjun khas yang mempunyai sayap.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pelagak-ngeri-maut-ketika-lakukan-aksi-1.177963#sthash.HSNfb9pM.dpuf