
GUZMAN dikawal oleh tentera di lapangan terbang Bandar Raya Mexico kelmarin. - AFP
BANDAR RAYA MEXICO – Raja dadah Mexico, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman berjaya ditangkap dalam satu serbuan tentera kelmarin dan dihantar semula ke penjara kawalan maksimum yang menjadi lokasi dia melarikan diri enam bulan lalu.
Dengan memakai baju berwarna hitam dan seluar sukan, raja dadah yang paling dikehendaki di dunia itu dikawal oleh beberapa anggota tentera ke sebuah helikopter di lapangan terbang antarabangsa Bandar Raya Mexico.
Guzman, 58, ditahan di bandar Los Mochis di negeri Sinaloa, barat laut Mexico dalam satu serbuan yang menyaksikan insiden pertempuran dan menyebabkan lima orang suspek terbunuh pada pagi kelmarin.
“Guzman Loera akan dibawa semula ke penjara Altiplano, kira-kira 90 kilometer di barat Bandar Raya Mexico,” kata Peguam Negara Mexico, Arely Gomez kepada pemberita sebelum Guzman menaiki helikopter tentera bersama seorang ketua keselamatannya yang turut ditahan.
Pada 11 Julai tahun lalu iaitu selepas 17 bulan berada di penjara kawalan maksimum Altiplano, Guzman berjaya melarikan diri melalui sebuah terowong di bawah bilik mandi di selnya, sebelum menaiki sebuah motosikal di atas landasan kereta api.
Gomez berkata, siasatan selama beberapa bulan yang membawa kepada penahanan Guzman mendedahkan bahawa raja dadah itu pernah menghubungi seorang pengarah dengan harapan dapat menerbitkan sebuah filem biografi mengenai dirinya.
Semasa dikepung kelmarin, Guzman cuba melarikan diri menggunakan satu saliran air, namun pasukan marin telah menjangkakan taktik tersebut, kata Gomez. Penjenayah itu pernah menggunakan taktik sama ketika melarikan diri dari bandar Culiacan pada 2014.
Guzman pertama kali ditangkap di Guatemala pada 10 Jun 1993 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun pada 1995. Bagaimanapun pada 19 Januari 2001, lelaki itu berjaya melarikan diri dari penjara di negeri Jalisco dengan bersembunyi di dalam bakul dobi.
Pada 22 Februari 2014, dia berjaya ditangkap oleh anggota marin Mexico di sebuah kondominium di Mazatlan selepas beberapa percubaan menangkapnya sebelum itu gagal.
Guzman bagaimanapun berjaya melarikan diri dari penjara Antiplano dengan kawalan maksimum pada 11 Julai 2015 melalui sebuah terowong sejauh 1.5 kilometer yang digali khas. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3wmtsj2CL
Hakcipta terpelihara