Search This Blog

Saturday, January 9, 2016

Senapang buatan sendiri, syabu dirampas

Kinabatangan: Polis menahan dua lelaki dan merampas senapang buatan sendiri jenis bakakuk serta syabu dalam serbuan di rumah di Kampung Entilibon, Tongod, dekat sini, 8 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis menyerbu rumah tidak bernombor di Kampung Entilibon.
"Kami menahan dua lelaki dan pemeriksaan dalam beg berwarna coklat yang disandang salah seorang suspek menemui lima butir peluru hidup dan lima paket syabu.
"Pemeriksaan seterusnya, turut menemui senapang buatan sendiri jenis ‘bakakuk’ yang dileraikan.
A Sahak berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 25 dan 37 tahun dibawa ke Balai Polis Kinabatangan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 8 Akta Senjata Api.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:50 PM


Barangan yang dirampas dalam serbuan di rumah di Kampung Entilibon, Tongod, Kinabatangan malam tadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105745#sthash.8jVSzf1T.dpuf

Perompak cedera ditembak pengawal

Petaling Jaya: Seorang penjenayah cedera ditembak di kaki oleh pengawal keselamatan, manakala dua rakannya sempat melarikan diri selepas cuba merompak premis perkhidmatan pengiriman dan pengurupan wang berlesen di Dataran Mentari, di sini, kira-kira 2 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an cedera di kaki kiri selepas ditembak oleh pengawal keselamatan premis terbabit menggunakan senapang patah.
Katanya, kejadian berlaku sewaktu solat Jumaat dan ketika itu hanya terdapat enam pekerja perempuan serta seorang pengawal lelaki di dalam premis terbabit.
"Siasatan awal mendapati terdapat tiga suspek memakai topi keledar bersenjatakan parang. Dua daripada mereka memasuki premis berkenaan, manakala seorang menunggu di luar.
"Selepas memecahkan pintu gril, dua suspek masuk ke dalam dan bertembung dengan pengawal keselamatan.
"Seorang daripada suspek melibas parang ke arah pengawal lelaki berkenaan, namun berjaya dielak. Pengawal berkenaan kemudian mengambil senapang patah dan menembak mangsa bagi mempertahankan diri," katanya ketika ditemui.
Mohd Zani berkata, suspek yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.
Katanya, pihaknya sedang mengesan dua rakan suspek yang melarikan diri menggunakan dua buah motosikal terbabit.
"Kita tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa suspek lagi dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup yang berada di kawasan berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:41 PM


ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105738#sthash.wqA9aUwp.dpuf

Maut langgar anak lembu

Tanah Merah: Pembonceng motosikal maut manakala suami dan anaknya cedera selepas motosikal dinaikinya langgar lembu di Kilometer 4.4 , Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa, Nuramirah Shahira Azemi, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di kepala.
Suaminya, Mat Soh Ismail, 39, dan anak lelaki, Muhammad Amir Syafiq berusia 5 bulan cedera.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Panglima Bayu ke Rantau Panjang.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba anak lembu melintas. Penunggang motosikal gagal mengelak dan melanggar anak lembu itu.
"Akibat pelanggaran itu, semua mangsa tercampak di atas jalan raya.
"Pembonceng motosikal bagaimanapun maut di tempat kejadian manakala penunggang dan anaknya cedera ringan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 7:35 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105755#sthash.XEdflB3g.dpuf

Lelaki rentung dalam rumah

Kinabatangan: Lelaki ditemui rentung selepas rumah didiaminya terbakar di Kampung Pinangah, Tongod, dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian 12.40 tengah hari itu, Ahmadin Mohd Zafri, 28, ditemui sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan sebaik api dipadamkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Rosemidian Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.46 tengah sebelum bergerak ke lokasi kejadian sejauh 180 kilometer bersama sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota.
“Selepas tiba di kampung berkenaan pada 3.57 petang, didapati rumah jenis tidak kekal musnah terbakar dan operasi pemadaman sisa bara kemudian dilakukan.
"Pemeriksaan lanjut menemui mayat lelaki dalam kawasan rumah berkenaan," katanya, ketika dihubungi, petang tadi.
Rosemidian berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 8:23 PM


ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa selepas api dipadamkan. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105765#sthash.mqOFPW4d.dpuf

Sembilan rumah musnah terbakar

Johor Bahru: Sekurang-kurangnya sembilan rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Jalan Kebun Teh Lama di sini, petang tadi.
Sumber bomba berkata, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 5.18 petang.
"Setibanya anggota bomba di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran membabitkan penempatan setinggan.
"Usaha memadam giat dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 8:46 PM


Kebakaran membabitkan sekurang-kurangnya sembilan rumah setinggan di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, petang tadi. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105769#sthash.4Wva4itQ.dpuf

Empat wanita cedera

Kuala Kubu Bharu: Empat wanita cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 2.6 Jalan Hulu Yam - Sungai Tua dekat Taman Desa Kelisa, dekat sini, petang tadi.
Dalam kemalangan kira-kira 6.10 petang itu, MPV Toyota Wish yang dipandu seorang wanita berusia 20 tahun dari arah Sungai Tua hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Perodua Myvi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, selepas rempuhan, Toyota Wish itu terbabas ke dalam longkang manakala kereta Perodua Myvi yang dinaiki empat wanita berusia 20-an berpusing beberapa kali.
"Akibat daripada pertembungan itu, pemandu Toyota Wish dan tiga penumpang Perodua Myvi cedera.
"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang untuk dirawat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 12:20 AM


Dua kenderaan yang terbabit kemalangan petang tadi. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105786#sthash.J5XEFHBA.dpuf

Wanita rentung akibat khianat

Ipoh: Seorang wanita maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Hala Bekor 2, Taman Pertama di sini, awal pagi semalam dipercayai akibat perbuatan khianat.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, dua kenalan mangsa masing-masing seorang wanita berusia 36 tahun dan lelaki berusia 66 tahun turut cedera dan tidak sedarkan diri akibat terhidu asap.
Mangsa Lai Yee Leng, 26, yang mati di tempat kejadian ditemui pasukan bomba tertiarap atas lantai dalam bilik tidur utama di tingkat atas kediaman itu manakala dua lagi mangsa yang sesak nafas ditemui di tingkat bawah sejurus selepas bomba memecah masuk rumah berkenaan.
Difahamkan, terdapat beberapa barang dan kesan unsur khianat ditemui di lokasi kejadian termasuk tong yang dipercayai mengandungi cecair mudah terbakar, penukul besi, pemutar skru selain cermin pintu gelongsor hadapan rumah itu terdapat kesan seperti dipecahkan.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata, pihaknya bagaimanapun setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR) kerana masih menunggu laporan rasmi bomba berhubung punca sebenar kebakaran.
Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu jam 2.29 pagi dan siasatan awal mendapati kebakaran membabitkan tiga mangsa yang seorang daripadanya meninggal dunia manakala dua lagi tidak sedarkan diri akibat sesak nafas.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
“Dua lagi mangsa yang masih tidak sedarkan diri dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan polis masih belum dapat merakam keterangan kedua-dua mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan forensik bomba turut membuat siasatan dan setakat ini punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P Samasuvam berkata, seramai 20 anggota bersama empat jentera tiba ke lokasi kejadian jam 2.13 pagi dan mengambil masa lebih lima minit untuk memasuki kediaman berkenaan termasuk terpaksa memotong pintu jeriji rumah.
“Sebaik berjaya memecahkan pintu belakang, anggota bomba menemui dua mangsa iaitu lelaki yang melecur 40 peratus dan wanita dalam keadaan lemah dan separuh sedar di bahagian dapur,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 8:30 AM


ANGGOTA forensik bomba menyiasat lokasi kebakaran rumah dua tingkat di Hala Bekor 2, Taman Pertama, awal pagi semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105682#sthash.43iXpHB1.dpuf

Empat parah

Tanah Merah: Empat mangsa termasuk seorang wanita cedera parah apabila dua kereta bertembung dalam kemalangan di Kilometer 82.9, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Kampung Chedok, Bukit Bunga, di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari menyebabkan tiga sekeluarga cedera parah iaitu Maznah Sulaiman, 63, dan dua anaknya, Wan Hazmir Wan Hamdan, 44, dan Wan Ahmad Muhsin, 28, yang menaiki kereta Perodua Viva.
Maznah adalah ibu kepada penyanyi loghat Kelantan popular, Wan Nukman, 35, atau lebih dikenali sebagai Man Khan.
Seorang lagi mangsa yang cedera parah ialah pemandu kereta Perodua MyVi, Mohd Nazim Rosdi, 34, manakala anaknya, Mohd Nazmi, 2, cedera ringan.
Semua mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan.
Man Khan ketika dihubungi berkata, dia menerima berita kemalangan ibu bersama abang dan adiknya itu kira-kira jam 1 tengah hari selepas dimaklumkan oleh saudaranya yang ketika itu berada di bandar Tanah Merah.
“Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jedok selepas emak selesai berniaga di Pasar Jeli.
“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan mengatakan emak, abang dan adik terbabit dalam kemalangan.
“Syukur alhamdulillah, semua selamat tetapi emak patah tulang di beberapa tempat, manakala abang, Wan Hazmir patah tulang rusuk.
“Adik, Wan Ahmad Muhsin, pula patah paha kiri, kaki kanan dan lutut kanan pecah dan kini dirujuk ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk rawatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Mohd Nazim dari arah Tanah Merah ke Jeli gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva dipandu Wan Ahmad Muhsin.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:09 AM


ANGGOTA bomba mengeluarkan Wan Ahmad Muhsin yang tersepit.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105902#sthash.8I66zrnO.dpuf

Menu kitar semula

Juru: Diugut dicederakan sebelum permit kerja dibuang kerana enggan memasak makanan kitar semula. Itu nasib dua pekerja warga India yang mendakwa ditindas majikan yang juga pengusaha sebuah restoran makanan India di negeri ini sejak Julai tahun lalu.
S Aravan, 32, dan rakannya, N Mohanraj, 20, juga mendakwa tidak dibayar gaji lebih empat bulan selain hanya diberi makan nasi dengan kuah dan sayur pada jam 4 petang dan 12 tengah malam setiap hari.
Nasib kedua-dua lelaki warga asing itu mendapat perhatian Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia Pulau Pinang (PVIATMPP) yang menyalurkan masalah mereka kepada Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia sebelum mereka diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia.
Timbalan Yang Dipertua PVIATMPP R Kalidas berkata, kesengsaraan pekerja terbabit diketahui selepas menerima aduan mereka sebelum dinasihatkan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa mendakwa mula bekerja di restoran itu pada Jun dan Julai tahun lalu dengan masing-masing dijanjikan gaji RM1,200 dan RM1,000.
“Mereka mendakwa menerima gaji kurang daripada dijanjikan, selain tidak dibayar tunggakan gaji beberapa bulan.
“Selain itu, Aravan yang juga tukang masak di restoran itu diugut supaya memasak makanan yang tidak habis untuk dikitar semula menyebabkan dia diturunkan pangkat kepada pembantu tukang masak selepas enggan berbuat demikian.
“Selain mereka berdua, beberapa lagi pekerja di restoran sama didakwa menerima nasib sama tetapi tidak mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri,” katanya pada sidang media, semalam.
Aravan mendakwa, selain tidak dibayar gaji lebih empat bulan, bayaran kerja lebih masa juga tidak dibayar selain tidak diberikan cuti rehat sehari seminggu seperti ditetapkan undang-undang pekerja.
“Susulan itu, pada 14 Disember tahun lalu, saya melarikan diri ke Balai Polis Jawi selepas berlaku pergelutan dengan majikan yang memaksa saya menurunkan tandatangan pada resit baucar gaji kosong yang tidak diisi.
“Saya tidak puas hati kerana majikan seakan-akan mahu menipu sebelum saya bertanyakan mengenai tindakan itu, namun dia (majikan) hanya diam dan memaksa saya menurunkan tandatangan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:10 AM


Aravan (kanan) dan Mohanraj menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105904#sthash.A705iNSo.dpuf

Doktor, jururawat, pesakit bertempiaran

Beijing: Sekumpulan 30 lelaki merobohkan sebahagian hospital termasuk rumah mayat di wilayah Henan, tengah China memaksa doktor, jururawat dan pesakit bertempiaran menyelamatkan diri serta menyebabkan tiga doktor cedera terkena runtuhan, semalam.
Kejadian itu menyebabkan hospital milik Universiti Zhengzhou itu mengalami kerugian akibat kerosakan peralatan bernilai lebuh RM2 juta.
Enam mayat yang sedang dibedah siasat juga tertimbus di bawah runtuhan.
Menurut agensi berita Xinhua, pengurusan hospital mendakwa pihak berkuasa tempatan mengarahkan kerja meroboh itu selepas gagal mendapat persetujuan hospital untuk projek pembesaran jalan.
Kenyataan Bahagian Perhubungan Awam Kerajaan Daerah Huiji menyatakan pihaknya sudah meminta hospital berkenaan merobohkan sendiri bahagian bangunan berkenaan dan rumah mayat.

Menurut kenyataan itu, pekerja yang melakukan kerja meroboh sudah diarah memastikan bangunan berkenaan kosong dan jangan menyebabkan kecederaan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:04 PM

Selain tiga doktor cedera, peralatan bernilai lebih RM2 juta juga rosak. - Foto People’s Daily’s
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105734#sthash.shU490l1.dpuf

Tiga maut trak rempuh kereta api

Bangkok: Sekurang-kurangnya tiga maut dan 30 cedera selepas sebuah trak melanggar kereta api penumpang di luar Bangkok pada pagi semalam, kata pegawai.
Trak yang membawa beberapa lembu itu melanggar penghalang sebelum merempuh kereta api di wilayah Phetchaburi di selatan Bangkok.
Timbalan gabenor Kereta Api Negara, Thanongsak Kongprasert berkata, kejadian itu menyebabkan lima gerabak tergelincir dari landasan.
“Sehingga kini saya menerima laporan tiga orang maut dan seramai 20 hingga 30 penumpang dirawat di hospital akibat cedera,” katanya.

Pemandu trak dan dua penumpang termasuk seorang sami Buddha antara yang terbunuh dalam kejadian itu.
Menurutnya, semua perkhidmatan kereta api ke selatan negara itu tergendala akibat landasan rosak.
Punca pemandu lori itu melanggar kereta api berkenaan masih belum diketahui.
Siaran televisyen menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan penumpang dari gerabak yang tergelincir manakala bangkai lembu bergelimpangan di landasan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:09 AM


PEKERJA kereta api memeriksa gerabak kereta api yang tergelincir di wilayah Phetchaburi semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105894#sthash.3zVy3EkN.dpuf

Pecah ATM bayar wang hantaran perkahwinan

Fuyang (China): Seorang lelaki di bandar ini yang tertekan kerana wang hantaran perkahwinannya masih tidak mencukupi bertindak memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan tukul.

Lelaki itu, Xiao Luo, 26, berjaya mengumpul sebanyak 60,000 yuan (RM39,911) dengan mengeluarkan semua wang simpanannya dan menjual harta ibu bapanya.
Namun, dia masih kekurangan 10,000 yuan (RM6,651) untuk membayar wang hantaran bagi mengahwini kekasihnya.
Akibat tertekan kerana tarikh perkahwinannya semakin hampir, Xiao memberanikan diri meminta keluarga kekasihnya mengurangkan wang hantaran itu.
Bagaimanapun, permintaan Xiao ditolak, malah dia juga dihina sebagai miskin serta tiada wang untuk berkahwin oleh keluarga kekasihnya.
Xiao berasa sangat sedih dengan penghinaan itu dan meminum arak sehingga mabuk untuk melupakan kekecewaannya.
Dia kemudian bertekad merompak bank bagi membuktikan kepada teman wanitanya bahawa dia mempunyai wang.
Xiao pulang ke rumah dan mengambil tukul besi serta pergi ke sebuah bank dengan niat merompak pada Isnin lalu tetapi malangnya premis itu sudah ditutup kerana sudah lewat malam.
Kerana tiada pilihan, Xiao bertindak memecahkan mesin ATM di bank berkenaan tetapi belum sempat dia mengambil wang, penggera keselamatan di premis itu berbunyi.
Polis yang tiba di lokasi kejadian menemui Xiao sedang duduk di bawah mesin ATM berkenaan sambil menangis kerana kecewa akibat gagal mendapatkan wang.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:09 AM
KEADAAN mesin ATM yang rosak selepas cuba dipecahkan Xiao.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105898#sthash.cUXkWwwd.dpuf

Tarik iklan persenda warna kulit

Bangkok: Sebuah syarikat kecantikan di Thailand semalam menarik balik satu iklan pil pemutih kulit selepas dikecam di media sosial kerana menggunakan slogan ‘Putih menjadikan anda seorang pemenang.’
Iklan oleh syarikat Seoul Secret itu mempromosikan kapsul pemutih kulit terbarunya, Snowz dengan menampilkan selebriti, Cris Horwang sebagai jurucakapnya.
Model dan aktres berusia 35 tahun itu memberitahu, kejayaannya dalam bidang seni disumbangkan oleh kulitnya yang putih.
“Bukan senang untuk kekal pada tahap ini pada jangka masa yang lama.

“Sekiranya saya berhenti menjaga badan dan kulit saya yang putih, mungkin semua ini akan hilang,” katanya.
Cris kemudiannya dilihat mengenakan alat solek yang menghitamkan wajahnya dan berdiri di sebelah seorang wanita berkulit cerah.
“Pendatang baru akan menggantikan saya dan menjadikan saya bintang yang pudar,” tambahnya.
Krim dan pil pemutih sangat popular di Thailand kerana individu yang berkulit cerah dianggap lebih cantik berbanding mereka yang berkulit gelap.
Bagaimanapun, iklan itu dikecam teruk di media sosial kerana dianggap berunsur perkauman.
“Menyatakan mereka yang berkulit gelap sebagai seorang yang gagal adalah sangat berunsur perkauman,” kata Tammaijang dalam satu forum Internet.
“Mempunyai kulit gelap juga boleh menjadi cantik dan bukannya sesuatu yang memalukan,” kata seorang lagi pengguna media sosial.
- AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:09 AM


SEDUTAN iklan menunjukkan Cris (kanan) yang menghitamkan wajahnya berdiri berhampiran seorang wanita berkulit cerah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105901#sthash.T0lK3I4B.dpuf

Geng Emey Keju perompak di Bangi


ABDUL KARIM


KUALA LUMPUR – Kegiatan samun melibatkan tujuh kes di Bangi, Selangor pada Rabu lalu disyaki angkara penjenayah Geng Emey Keju yang aktif mencari sasaran secara rambang sejak tiga tahun lalu.
Identiti kumpulan penjenayah melakukan samun yang menakutkan penduduk di Bangi itu terbongkar apabila polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan di Taman Ehsan, Kepong dekat sini kelmarin.
Difahamkan, suspek berusia 20-an tersebut ditahan pada pukul 11 pagi ketika dia melakukan samun menggunakan parang di sebuah kedai bunga berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Ehsan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3wh3b33oD 
Hakcipta terpelihara 

Premis simpan LPG haram diserbu


Muhammad Farhan


ISKANDAR PUTERI – Taktik satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang menjadikan premis perniagaan terpencil di Taman Nusa Indah sini sebagai lokasi penyimpanan terbongkar selepas diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor semalam.
Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 10 pagi itu hasil maklumat awam dan risikan sejak sebulan lalu.
Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Johor, Muhammad Farhan Esa berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menyita 130 tong LPG (gas untuk memasak) bernilai hampir RM60,000.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3wh3SKTtB 
Hakcipta terpelihara 

Lagi budak terkunci dalam kereta


ANGGOTA bomba terpaksa memecahkan cermin bahagian pemandu dalam usaha menyelamatkan Ahmad Furqan yang terperangkap di dalam kereta di hadapan rumahnya di Taman Bemban Awam, Batu Gajah kelmarin.


BATU GAJAH – Seorang ibu cemas selepas anak lelakinya yang berusia setahun sembilan bulan terperangkap di dalam kereta jenis Proton BLM hampir setengah jam di hadapan rumahnya di Taman Bemban Awam, di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6.14 petang itu, kanak-kanak berkenaan, Ahmad Furqan terperangkap di dalam kereta berkenaan selepas ibunya yang berusia 30-an keluar untuk membuka pintu pagar rumah mereka.
Bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Mohd. Azizul Hakim, 31, berkata, dia terkejut apabila isteri yang meminjam telefon jiran menelefonnya dalam keadaan menangis sambil memberitahu, Ahmad Furqan terperangkap di dalam kereta.
Menurutnya, dia yang sedang bekerja kemudian bergegas pulang sebelum mendapati, sebuah jentera bomba bersama sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah sedang berusaha mengeluarkan Ahmad Furqan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3wh3LFDFP 
Hakcipta terpelihara 

Pemandu maut kereta putus dua dalam kemalangan



KEADAAN Proton Saga dipandu Yacob yang terputus selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu kelmarin.


KOTA KINABALU – Tindakan seorang lelaki membuat pusingan U secara cuai membawa padah apabila kereta jenis Proton Saga dipandunya terputus dua selepas dirempuh sebuah kereta lain dalam kejadian di Jalan Tuaran ByPass di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.55 malam itu, mangsa, Yacob Ahmad, 50 dari Kampung Bim-Bim, Sandakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu seorang diri membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dari arah Menggatal yang dinaiki dua lelaki.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3wh3CaYiQ 
Hakcipta terpelihara 

MB akui ketirisan akibat tiada keselarasan empat jabatan


BENTONG – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengakui berlaku ketirisan dalam kutipan cukai seperti yang dinyatakan Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki.
Katanya, ketirisan itu berlaku disebabkan tiada penyelarasan antara empat jabatan utama iaitu Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kastam dan Pelabuhan Kuantan yang merekodkan data yang tidak selari.
Jelasnya, sekiranya ketirisan tidak berlaku pihaknya menjangka dapat mengutip sekurang-kurangnya RM180 juta berbanding hanya RM46.7 juta pada tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3wh2I6Dwt 
Hakcipta terpelihara 

Perangi pakatan peniaga tamak


AHMAD ZAHID (kanan) mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang turut dihadiri Hamzah (dua dari kanan) di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkukuhkan Jawatankuasa Bertindak Persaingan Perniagaan bagi mengesan peniaga yang berpakat menaikkan harga barang sebagai salah satu langkah tegas untuk menangani kenaikan kos sara hidup di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jawatankuasa itu juga akan memastikan golongan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dengan tidak menaikkan harga barangan.
Beliau berkata, kerajaan juga bakal mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya sehingga membebankan rakyat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3wh21i6jY 
Hakcipta terpelihara