Search This Blog

Thursday, January 7, 2016

Wanita nyaris maut kereta terbakar


Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman ke atas kereta yang terlibat dalam kemalangan semalam.

SIMPANG AMPAT - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar di Jalan Tasek, Bandar Tasek Mutiara, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kereta Proton Tiara yang dipandu mangsa terbakar selepas selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis Hyundai dan lori.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, sepasukan anggota dari balai bomba dan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan jam 12.37 tengah hari.
“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman sehingga kira-kira jam 2.45 petang. Proton Tiara berkenaan musnah sama sekali akibat kemalangan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, pemandunya berjaya diselamatkan dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum kereta tersebut terbakar.
Katanya, pihaknya menyerahkan kes tersebut untuk siasatan lanjut pihak polis.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa akibat kebakaran tersebut,” katanya
.

Pengawal keselamatan parah ditetak


Gambar hiasan.
SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan parah di siku dan pinggang dipercayai ditetak berhampiran tapak pembinaan di Seksyen 13 di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Zulkifli Mohd Saman, 64, ditemui berdekatan sebuah jengkaut yang terbakar di kawasan tapak pembinaan tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mangsa diselamatkan anggota bomba yang menerima maklumat mengenai kebakaran enjin jengkaut itu pada 4.18 pagi.
"Lelaki terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan menerusi WhatsApp hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata polis percaya terdapat unsur khianat dalam kebakaran jentera itu.
"Turut terbakar ialah sebuah kabin yang terletak di kawasan pembinaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan seramai enam orang suspek bersenjatakan parang.
Katanya keadaan mangsa dilaporkan stabil. - Bernama

Tiga anggota polis didakwa terima rasuah



JOHOR BAHRU - Tiga anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,050 tahun lalu.
Konstabel V.Venisan Raj, 31; Konstabel Mohd Dzulfadzli Mohammad Noor, 29; dan Lans Koperal Shafiul Kamal Salleh, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohamad Haldar Bin Abd Aziz.
Ketiga mereka menghadapi dua pertuduhan berasingan dan dua lagi pertuduhan bersama dalam meminta serta menerima suapan daripada seorang pekerja warga Vietnam, Nguyen Van Tuan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu yang tidak mempunyai permit bekerja.
Bagi pertuduhan berasingan, Mohd Dzulfadzli dituduh menerima suapan RM1,000 manakala Venisan dituduh menerima suapan bernilai RM550.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi iaitu di sebuah rumah di Jalan Jasa Indah 4, Taman Jasa Indah dan premis komersial di Taman Desa Harta Emas, Parit Semerah dalam daerah Pontian antara 19 Mac hingga 17 April 2015 pada pukul lebih kurang 2.47 hingga 5.30 petang.
Mereka juga dituduh secara bersama-sama meminta rasuah sebanyak dua kali, masing-masing berjumlah RM1,000 dan RM1,500 dari Nguyen di sebuah rumah di Jalan Jasa Indah 4, Taman Jasa Indah dan di hadapan sebuah kedai di Jalan Utama Taman Damai, Pontian antara 19 Mac hingga 1 April 2015 lebih kurang 2 hingga 5.30 petang.
Kesemua tertuduh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim membenarkan kesemua mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan 15 Februari ini untuk pengurusan kes. - Bernam
a

Wanita maut kebakaran di Ipoh


Keadaan hadapan rumah mangsa, kebakaran bermula dari ruang tamu dan 20 peratus sahaja musnah.
IPOH - Seorang wanita maut manakala dua terselamat dalam kejadian kebakaran di Hala Bekor 2, Taman Pertama di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenalpasti identitinya dipercayai menyewa bersama dua rakannya di kediaman itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, empat jentera bersama 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.
"Anggota mengambil masa yang lama untuk memecahkan pintu belakang sebelum menemui dua mangsa di bahagian dapur rumah dalam keadaan separuh sedar akibat terhidu asap.
"Mangsa ditemui di pintu berkenaan tetapi gagal keluar kerana tidak menemui kunci pintu dapur," katanya.
Menurutnya, pencarian diteruskan menemui mangsa seorang wanita di bilik tidur utama rumah terbabit dalam keadaan tertiarap tidak jauh dari katilnya.
"Mangsa dibawa keluar dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.
Difahamkan, mangsa yang terselamat yang merupakan seorang lelaki dan seorang telah wanita dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan.
Pihak polis masih menyiasat punca kematian dan menunggu hasil laporan forensik bomba bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Pusat urut tawar seks


Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan kelmarin.

SHAH ALAM -  Aktiviti tidak bermoral dua premis urutan refleksologi dengan menawarkan perkhidmatan pelacuran dibongkar sepasukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.
Serbuan secara serentak itu dijalankan kira-kira jam 10 malam, kelmarin, di sekitar Shah Alam, diketuai Asisten Superintendan Ibrahim Husin.
Ibrahim berkata, serbuan yang dijalankan hasil maklumat dan risikan selama tiga minggu berjaya menahan 11 wanita warga Vietnam dan empat wanita Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 30-an yang bekerja sebagai tukang urut.
“Pemeriksaan mendapati dua premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.
“Malah premis pusat urutan refleksologi ini juga dikesan menawarkan khidmat seks dengan harga lingkungan RM160 kepada pelanggannya,” katanya.
Beliau berkata, premis tersebut mempromosikan perkhidmatan tidak bermoral mereka di aplikasi media sosial Wechat bagi menarik pelanggan dengan mudah.
Menurutnya, pelanggan yang bersetuju dengan tawaran diberikan akan hadir ke premis terbabit selepas mengesahkan pembayaran.
Susulan itu, katanya, polis menahan dua lelaki merupakan penjaga bagi membantu siasatan.
"Beberapa barang disyaki digunakan untuk aktiviti tidak bermoral telah dirampas, antaranya, 15 keping kondom, tiub pelincir, botol pelincir, buku catatan pekerja dan wang tunai RM980," katanya.
Selain itu, Ibrahim berkata, operasi yang tamat kira-kira jam 3 pagi turut memeriksa sebuah premis urutan refleksologi, namun tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen,” katanya
.

Kes Altantuya: Mahkamah hubungi Wisma Putra


Altantuya Shaariibuu

SHAH ALAM - Mahkamah akan menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui status dokumen pindaan pernyataan tuntutan yang diserahkan kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Sirul Azhar Umar berhubung saman RM100 juta yang difailkan oleh keluarga model Monggolia, Altantuya Shariibuu, lapan tahun lalu.

Peguam, Ram Karpal yang mewakili Shariibu Steve berkata, ia berikutan tiada sebarang perkembangan mengenainya sejak ia diserahkan pada Ogos lalu.

"Kita akan hubungi Wisma Putra untuk mengetahuinya," katanya selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Azlinda Mohd Sharif sebentar tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sirul sering diganggu dakwa peguam]

Sirul kini berada dalam tahanan di Australia selepas melarikan diri sebelum Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya kerana bersalah membunuh model Monggolia tersebut.

Selain Sirul, bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri, bekas penganalisis politik, Razak Baginda dan Kerajaan turut dinamakan dalam saman tersebut
.

Pekerja penyembur nyamuk sambilan mengaku rogol



KLANG - Seorang pekerja penyembur nyamuk sambilan mengaku bersalah di Mahkamah Juvana Klang atas tuduhan merogol gadis yang reka cerita diculik baru- baru ini.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret, Nor Asma Ahmad dan disamping kedua ibu bapanya.
Dia yang kini berusia 16 tahun mengaku merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun enam bulan di sebuah rumah di Bandar Suleiman pada sekitar Disember 2014.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Nor Asma kemudiannya menetapkan 14 Januari depan untuk fakta dan perintah.
Terdahulu, Ibu remaja berkenaan memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas faktor kewangan.
"Saya bekerja sebagai operator kilang berpendapatan RM900 manakala suami buruh kasar," katanya.
Nor Asma membenarkan jaminan RM1,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan remaja berkenaan melapor diri di balai berdekatan.
Semalam, mahkamah memerintahkan kedua ibu bapa remaja itu hadir kerana kes tersebut melibatkan kanak-kanak bawah umur
.

Dipenjara rogol rakan sekerja di rumah orang tua



SEREMBAN - Seorang lelaki warga India dikenakan hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi, selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol rakan sekerjanya dan mencuri barang mangsa di sebuah Pusat Jagaan Orang Tua, tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Kamarudin Kamsun terhadap S.R Dinesh Kumar, 33, selepas mengambil kira rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.
Menurutnya, mahkamah mengambil berat kes membabitkan rakan sekerja dan berharap ia dapat memberi pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain.
Hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 27 Jun 2015.
Mengikut pertuduhan pertama, Dinesh Kumar didapati telah merogol rakan sekerjanya seorang wanita warga Pakistan berusia 26 tahun yang dilakukan di tempatnya bekerja iaitu di sebuah Pusat Jagaan Orang Tua di Taman Murugesu, pada 27 Jun 2015 jam lebih kurang antara 12.30 malam.
Kesalahan itu dituduh di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang mensabitkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda kerana telah mencuri harta mangsa iaitu wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh dengan mengambil kira trauma dihadapi mangsa.
"Tertuduh telah pun berumah tangga, tak sepatutnya melakukan perkara begini kepada rakannya sendiri yang mencari rezeki bersama.
"Saya mohon mahkamah pertimbangkan kepentingan awam melebihi peribadi. Lagipun kes ini membazir masa, tenaga dan kerja mahkamah,"katanya yang turut meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh
.

Wanita maut dalam kebakaran di Ipoh

KHAMIS, 7 JANUARI 2016 @ 7:37 AM

 KEADAAN rumah mangsa yang terbakar di Hala Bekor 2, Taman Pertama, awal pagi tadi. - Foto Yahya Zain


 IPOH: Seorang wanita maut manakala seorang lelaki melecur 40 peratus di badannya dalam kebakaran sebuah rumah di sini awal pagi tadi. Dalam kejadian itu kira-kira jam 2 pagi di kawasan perumahan Hala Bekor 2, Taman Pertama, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas kerana asap tebal. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam, berkata tiga mangsa berada dalam rumah itu dan anggotanya terpaksa memecahkan pintu belakang rumah untuk mengeluarkan semua mangsa. "Mangsa lelaki yang melecur 40 peratus di badannya dan seorang lagi wanita yang sesak nafas kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mendapatkan rawatan manakala mangsa yang terkorban turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya. Mengikut Samasuvam pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai mengenai kebakaran itu pada jam 2.06 pagi dan tiba di lokasi lapan minit kemudian. Katanya, tiga jentera bomba dari Jalan Kompleks Sukan serta satu unit pasukan Kecemasan Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (ERMS) dengan kekuatan 20 anggota berjaya memadam kebakaran dalam tempoh 10 minit. Identiti semua mangsa dan punca kebakaran belum dikenal pasti, katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/111822

Wanita Perancis maut dilanggar bot laju di Krabi

RABU, 6 JANUARI 2016 @ 5:42 PM

 POLIS sudah menahan Yothin Subsak, pemandu bot laju berusia 29 tahun atas kecuaian dan dia didakwa menyebabkan kematian wanita Perancis. - Foto ihsan bangkokpost

 BANGKOK: Seorang pelancong wanita Perancis terbunuh dilanggar bot laju ketika berenang di kawasan perairan yang dikhususkan untuk penyelam di tempat percutian Thailand, di sini. Wanita berusia 52 tahun itu maut di tempat kejadian tengah hari semalam selepas bot itu melanggarnya ketika dia sedang menyelam di Pulau Poda, antara beberapa pulau kecil di kawasan tarikan pelancongan di wilayah Krabi. Polis sudah menahan Yothin Subsak, pemandu bot laju berusia 29 tahun atas kecuaian dan dia didakwa menyebabkan kematian wanita Perancis itu. "Dia sudah mengaku terhadap dakwaan itu," kata komander polis pelancongan, Leftenan Kolonel, Man Rotthong. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/111665

14 bekas pegawai tentera Guatemala ditahan

KHAMIS, 7 JANUARI 2016 @ 8:22 AM

 MANUEL Benedicto Lucas diiringi anggota polis ketika tiba di perkarangan mahkamah di Bandar Guatemala, semalam. - Foto Reuters

GUATEMALA CITY: Kerajaan Guatemala menahan 14 bekas pegawai tentera, termasuk abang kepada bekas presiden atas dakwaan menyebabkan kehilangan orang awam dan jenayah terhadap kemanusiaan ketika perang saudara berdarah selama 36 tahun. Antara yang ditahan ialah Manuel Benedicto Lucas, 83, bekas jeneral kanan dan abang kepada bekas Presiden, Romeo Lucas dan bekas Menteri Dalam Negeri dari tahun 2000 hingga 2004, Byron Barrientos. Pendakwa raya, Orlando Lopez berkata, keterangan mangsa membantu pegawai mengesan 558 tengkorak di dalam tanah perkuburan rahsia dalam zon tentera dan mensabitkan kesalahan itu kepada tertuduh. Lebih sedekad lalu, negara Amerika Tengah itu mula mendakwa jenayah ketika perang saudara termasuk pembunuhan terhadap wanita dan kanak-kanak. Perang Saudara di Guatemala dari 1960-1996 memperlihatkan kejayaan kerajaan dipimpin parti berhaluan kanan terhadap pemberontak berhaluan kiri dan menyebabkan suku juta orang terkorban. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/111835

Sempat hantar mesej bunuh diri


Sebahagian mesej mahu bunuh diri yang dihantar lelaki terbabit dalam grup WhatsApp. Gambar kanan: Mangsa dibawa ke Unit Psikiatri Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

PARIT BUNTAR - Seorang penganggur sempat mengirim mesej mahu membunuh diri kepada rakan-rakannya menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 8 malam, kelmarin.
Bagaimana pun, cubaannya membunuh diri gagal setelah rakannya memaklumkan kiriman itu kepada Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Islam Kerian (PSKK).
Pengerusi PSKK, Sohaimi A Hamid berkata, pihaknya bergegas ke pinggiran Sungai Kerian, di Ampang Jajar di sini, sejurus menerima maklumat itu.
"Lelaki tu terkejut bila tengok kami sampai dan ugut mahu terjun Sungai Kerian kalau kami tak beredar.
"Kami tengok dia amat tertekan, jadi, kami terus maklumkan pada polis dan bomba untuk memujuknya membatalkan niat bunuh diri," katanya ketika ditemui media di pekarangan Hospital Parit Buntar, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, sebuah perahu turut diletakkan di pinggir sungai sebagai persediaan menyelamat sekiranya mangsa terjun.
Menurutnya, lelaki berasal dari Bagan Tiang itu berjaya ditenangkan dan seolah-olah membatalkan niat membunuh diri setelah hampir dua jam dipujuk.
"Tapi, tiba-tiba mangsa cuba terjun... mujur sempat dipeluk ahli PSKK.
"Masa tu mangsa macam dirasuk, meronta-ronta menolak beberapa ahli PSKK yang memegangnya.
"Lepas laungkan azan barulah lelaki ni nampak tenang dan kita terus bawa dia ke Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut," katanya.
Sementara itu, rakannya, Mohd Zaihid Yahaya, 24, berkata, dia dan rakan-rakannya terkejut apabila menerima kiriman mesej dalam grup WhatsApp daripada lelaki terbabit.
"Dia kata nak bunuh diri terjun Sungai Kerian sebab putus cinta. Dia juga minta maaf dengan kami.
"Mulanya kami ingat dia berjenaka, tapi bila telefon banyak kali dia tak angkat, kami terus maklumkan kepada PSKK.
"Mujur juga dia bagi tahu kami... kalau tak mungkin dia dah terjun," katanya.
Sinar Harian dimaklumkan mangsa dihantar ke Unit Psikiatri Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan susulan
.

Pemandu lori maut langgar treler


Anggota bomba sedang melihat keadaan lori mangsa setelah terlibat nahas tersebut.

KUALA KRAI - Seorang pemandu lori maut setelah kenderaan yang dipandunya merempuh sebuah treler di Kilometer 106, Jalan Gua Musang, Kota Bharu, dekat Simpang Tiga, Dabong, tengahari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengahari itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Abdullah Roning berkata, treler yang membawa muatan atap rumah sedang dalam perjalanan menghala ke Kelantan dari Selangor.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba lori yang dipandu mangsa melanggar bahagian belakang treler berkenaan di sebelah kiri," katanya sekali gus memberitahu, mangsa Jamkarim Mohamad, 41, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan, Hospital Kuala Krai.
Pemandu treler berusia 36 tahun, bagaimanapun katanya tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamed Haniff Che Khalid berkata, lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Che Razak Harun bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
"Mangsa dikeluarkan orang awam ketika bomba tiba di tempat kejadian dan kemudiannya dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya
.

‘Apabila ramai nak jadi wartawan’


Kes didakwa polis memukul pelajar sebuah institusi pendidikan di daerah ini yang viral di laman sosial, pagi semalam.

KUALA KRAI - Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menyiarkan maklumat diterima ke laman sosial bagi mengelak fakta tidak sahih tersebar.
Berhubung viral di laman sosial, seorang pegawai polis didakwa memukul seorang pelajar sebuah institusi pendidikan, pagi semalam,  Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Abdullah Roning berkata, orang awam sepatutnya memastikan kesahihan fakta diterima bagi mengelak kesan negatif kepada pihak terlibat.
Menurutnya, kes tersebut sebenarnya telah selesai tetapi yang menjadi masalah apabila ramai yang terus berkongsi maklumat berkenaan hingga tersebar lebih meluas.
“Kes itu memang berlaku tetapi faktanya diputar belitkan oleh penulisnya.
“Polis telah siasat kedua-dua  belah pihak, mereka yang terlibat tidak mempunyai apa-apa masalah lagi,” katanya sambil memberitahu, kes tersebut berlaku di lampu isyarat Guchil.
"Pelajar dan pegawai terlibat dikatakan sama-sama berhenti di lampu isyarat Guchil. Pegawai berkenaan mendapati motosikal ditunggang pelajar terbabit dalam keadaan mencurigakan... tiada nombor plat dipamerkan di bahagian hadapan.
“Pegawai terbabit yang ketika itu beruniform, meminta remaja tersebut berhenti tetapi dia melarikan diri menyebabkan pegawai berkenaan terus curiga,” katanya.
Tambahnya, semasa melarikan diri remaja terbabit terbabas ke kiri jalan dan terjatuh.
“Pegawai berkenaan ingin memeriksa dan menangkapnya, tetapi berlaku sedikit pergelutan. Kejadian berlaku di tepi jalan, ramai yang melihatnya. Apabila ramai nak jadi 'wartawan', mereka menulis tanpa asas yang betul,” katanya.
Tambah beliau, kes ini boleh dijadikan pengajaran kepada orang awam agar lebih berhati-hati menggunakan kemudahan laman sosial untuk perkara bermanfaat.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan grup media sosial di daerah ini yang sentiasa menyiarkan berita tanpa memastikan kesahihan.
Maklumat disebarkan oleh seorang individu semalam dikongsi lebih 400 pengguna laman sosial
.

Bunuh isteri kerana Facebook

bunuh tikam
6 JANUARI 2016

KAHERAH - MESIR. Seorang suami sanggup menikam isterinya sebanyak 17 kali kerana mendakwa tidak tahan dengan sikap wanita itu yang sering melayari Facebook sehingga mengabaikannya, lapor Emirates 24/7.‎
Lelaki berkenaan ditahan selepas menerima laporan dari abang mangsa yang mendakwa adik perempuannya ditikam beberapa kali di kediaman mereka yang terletak di timur Mesir.
"Suami wanita itu bertindak membunuh mangsa kerana tidak tahan dengan sikap isterinya yang lebih suka melayari laman Facebook berbanding melayaninya dan tidak menghiraukannya," sumber polis berkata yang dipetik akhbar tempatan.
Sementara itu, memetik stesen TV tempatan, ibu mangsa berkata, anaknya itu tetap meneruskan perkahwinan dengan lelaki itu walaupun dia tidak merestuinya.
" Saya tidak menghadiri perkahwinan dia. Saya hanya melihatnya pada hari perkebumiannya," katanya
.

Pesawat patah balik selepas pintu tak tutup rapat

Pesawat patah balik selepas pintu tak tutup rapat
6 JANUARI 2016

SEOUL - KOREA SELATAN. Sebuah pesawat yang membawa 163 penumpang terpaksa berpatah balik selepas salah satu pintu pesawat itu tidak tertutup rapat.
Pesawat kendalian Jin Air dalam perjalanan dari Cebu Filipina ke Busan, Korea Selatan.
Pegawai Perhubungan Awam Jin Air mengesahkan kejadian itu kepada CNN dan berkata, kejadian itu disedari oleh krew penerbangan yang mendengar bunyi bising dan memaklumkan kepada juruterbang.
Ketika kejadian, pesawat Boeing 737-800 berada pada ketinggian 10,000 kaki.
Penumpang turut diberitahu mengenai kejadian itu.
Menurut pegawai, tiada kecederaan dilaporkan namun lapor media tempatan Korea Selatan ada penumpang mengadu berasa loya ketika pesawat berpatah balik.
Jin Air turut berkata, semua penumpang kemudian diberikan bilik hotel sebelum memulakan penerbangan semula ke Busan 15 jam selepas itu.
"Setiap penumpang turut diberikan pampasan 100,000 Won (RM 365)," kata jurucakap Jin Air.
Sementara itu, jurucakap rasmi Kementerian Pengangkutan Korea Selatan berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kejadian dan turut merancang untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas enam syarikat penerbangan tambang murah lain bulan ini seperti Jin Air, Air Busan, Jeju Air, Paskah Jet, T'way Air dan  Air Incheon
.

Wanita maut dijangkiti selesema burung di China

Wanita maut dijangkiti selesema burung di China
WARTAWAN SINAR HARIAN

BEIJING - CHINA. Pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan seorang wanita 26 tahun meninggal dunia akibat jangkitan wabak selesema burung manakala seorang lagi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Kedua mangsa dijangkiti H5N6 wabak selesema burung yang setakat ini dilaporkan di China.
Memetik AP, pegawai media, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Shenzhen mengesahkan kematian wanita tempatan pada 30 Disember namun tidak mendedahkan identiti mangsa.
Seorang wanita berusia 40 tahun dari Wilayah Guangdong berada dalam keadaan serius di hospital, lapor Agensi Berita Xinhua
.

Lelaki cuba seludup berlian, mutiara ditahan

Berlian
6 JANUARI 2016

DOHA - QATAR. Pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki yang cuba meyeludup ke Qatar berlian dan mutiara yang dianggarkan bernilai AS$1.2juta (RM 52.9 juta).
Agensi berita tempatan Qatar melaporkan, pihak berkuasa negara itu menahan lelaki berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha.
Pegawai kastam menjumpai tujuh cincin berlian, tiga rantai mutiara dan 43 mutiara yang cuba disembunyikan ketika pemeriksaan.
Laporan berkata, pihaknya mengesyaki lelaki itu mahu membawa satu beg pakaian ke negara ini bersamanya manakala meninggalkan beg yang lain untuk perjalanan selanjutnya.
Lelaki yang identinya tidak dikenalpasti akan dirujuk ke pihak berkuasa secepat mungkin untuk tuduhan jenayah
.

Aktiviti Lombong Bauksit Dihenti Tiga Bulan - Wan Junaidi


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 3:48 PM
Kawasan stok penyimpanan bauksit yang terletak di kawasan Pelabuhan Kuantan dan perkampungan Sungai Pengorak disyaki menjadi punca insiden air laut menjadi merah di sepanjang pesisir pantai dari Sungai Pengorak hingga Pantai Batu Hitam selepas hujan lebat baru-baru ini.

DIKEMASKINI
KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan semua aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang akan dihentikan sementara selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan itu bagi membolehkan pengusaha menguruskan lambakan simpanan bauksit bagi mengelakkan masalah kesihatan dan pencemaran terus berleluasa di kawasan berkenaan.
"Kita arahkan semua pengusaha untuk mengeluarkan 'stockpile' ke pusat pengumpulan utama.
"Bagaimanapun, tempat berpusat itu masih belum ditetapkan dan akan diputuskan kemudian," katanya pada sidang media khas mengenai operasi bauksit di Pahang di sini, Rabu.
Turut hadir dalam sidang media ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Wan Junaidi berkata, pembersihan lambakan simpanan bauksit itu akan dilakukan di Pelabuhan Kuantan dan 11 kawasan lain.
Tambahnya, kerajaan akan menambahbaik peraturan dan syarat-syarat perlombongan bauksit bagi memastikan aktiviti berkenaan lebih terkawal.
"Jika pengusaha tidak mematuhi peraturan dan syarat-syarat tersebut, AP (permit kelulusan) tidak akan dikeluarkan.
"Pengeluaran AP dihadkan berdasarkan kapasiti pelabuhan untuk menyimpan bauksit," katanya.
Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, agensi penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu bertanggungjawab mengawal pergerakan lori yang membawa bauksit bagi menangani masalah pencemaran habuk dan debu.
Wan Junaidi yakin selepas tempoh tiga bulan itu akan menyaksikan simpanan bauksit yang terhad.
"Kedua, kekotoran di sungai dapat dikurangkan. Begitu juga dengan debu-debu akan berkurangan.
"Pergerakan lori juga akan berkurangan dan tidak akan berlaku kesesakan di pelabuhan," katanya.
Isu bauksit telah lama membelenggu penduduk di sekitar Kuantan dari segi masalah kesihatan dan alam sekitar ekoran pencemaran habuk bauksit, dan yang terbaharu apabila didakwa turut menyebabkan air laut bertukar menjadi merah di Pantai Batu Hitam.

SPRM Kesan Rasuah Aktiviti Bauksit


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 7:55 PM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan wujudnya unsur rasuah berhubung kegiatan perlombongan bauksit yang tidak terkawal di Pahang.
SPRM menerusi kenyataannya petang Rabu berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan berkaitan isu pencemaran alam sekitar berikutan kegiatan itu.
"Berdasarkan aduan tersebut, SPRM dapati wujud unsur-unsur rasuah dilakukan oleh pihak tertentu yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran bauksit berkenaan," menurut suruhanjaya itu.
Sehubungan itu, kata SPRM, pihaknya memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.
"Mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa boleh dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009," menurut SPRM lagi.
Terdahulu, pada sidang media khas pada Rabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan keputusan Kabinet supaya menghentikan kegiatan perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan.

Kes Bunuh Lelaki Gelandangan: Empat Termasuk Seorang Wanita Direman


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 10:00 PM

SIBU: Tiga lelaki dan seorang wanita direman tujuh hari bermula Rabu kerana dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki gelandangan yang dijumpai di tempat letak kereta di Jalan Pulau pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua suspek berusia antara 33 dan 53 tahun.
Menurutnya seorang daripada mereka ditahan di Terminal Bot Ekspres pada 11.50 pagi manakala tiga lagi di Jalan Tua Pek Kong pada 3 petang semalam.

Mayat mangsa yang dipercayai berusia 50an dijumpai di tempat letak kereta di belakang bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kesan pendarahan di belakang kepala dan lebam di muka oleh seorang pengawal keselamatan pada kira-kira 7.50 pagi.

Mohd Kamal berkata identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri dijumpai padanya.
ADVERTISEMENT

Bagaimanapun, terdapat tatu burung enggang pada dada kiri dan tatu seorang wanita di lengan kanan mangsa yang hanya memakai seluar panjang berwarna gelap.

Orang ramai yang mengenali mangsa diminta menghubungi Balai Polis Pusat Sibu di talian 084-336144 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kanak-Kanak Perempuan Setahun Antara Ditahan Imigresen


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 6:08 PM
Gambar Hiasan

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berumur satu tahun antara 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan Imigresen Kedah dalam 'Ops Sapu' yang dijalankan di sekitar Sungai Petani, awal pagi Rabu.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi yang dijalankan pada pukul 1.30 pagi itu, pemeriksaan telah dijalankan di tujuh buah rumah sewa di Taman Sejati Indah dan Taman SP Heights, Sungai Petani.
"Pemeriksaan telah dijalankan ke atas 29 Pati pelbagai warganegara dan hasilnya tujuh lelaki, lima wanita serta seorang kanak-kanak perempuan Indonesia, Bangladesh (1), Myanmar (1) dan dua lelaki serta dua wanita Vietnam yang kesemuanya berumur antara satu hingga 47 tahun telah ditahan.
"Dalam serbuan di Taman Sejati Indah, seorang wanita Indonesia yang ditahan bersama anak perempuannya mendakwa dirinya telah berkahwin dengan seorang lelaki Bangladesh selama lima tahun. Semasa serbuan suaminya tiada di rumah kerana sedang bekerja di sebuah kilang di situ," katanya dalam kenyataan, Rabu.
ADVERTISEMENT
Mohamad Yusri berkata, semua Pati ditahan atas pelbagai kesalahan dan ada antaranya tinggal lebih masa selepas pas lawatan sosial tamat dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun.
Beliau berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.-- Bernama

Tiga Maut Kereta Bertembung Lori


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 9:11 PM

BINTULU: Tiga termasuk dua beradik lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Km114 Jalan Sibu-Bintulu pada  2.07 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Azrel Izaidi Ahamad berkata ketiga-tiga mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu Toyota Vios, Ferrinow Kadri, 32, adiknya Anthony, 25, dan Nauyah Pusih, 64, manakala pemandu lori berumur 46 tahun itu selamat.

"Sebelum kejadian, kereta Toyota Vios itu dalam perjalanan dari Bintulu ke Sibu manakala lori seberat 10 tan itu dari Sibu ke Bintulu," katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Beliau berkata setakat ini pihaknya hanya dapat mengesahkan dua mangsa adalah adik-beradik, namun Nauyah belum dapat dipastikan sama ada mempunyai pertalian atau sebaliknya dengan kedua-dua mangsa.

Katanya sembilan anggota termasuk bomba bantuan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam operasi berakhir 5 petang ini.

Kereta Hilang Di Kompleks Mahkamah Jalan Duta


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 10:38 PM
Tempat letak kereta di mana sebuah kereta Proton Waja dicuri di sini.

KUALA LUMPUR: Apabila kereta diletakkan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, kecurian kereta adalah perkara terakhir dalam fikiran masing-masing.

Tetapi itulah yang berlaku kepada pelajar chambering (Latihan dalam Kamar) Adrian Lee, 23, apabila dia menyedari kereta Proton Wajanya tiada di tempat parkir ketika dia berjalan keluar dari mahkamah.

"Saya meletakkannya (kereta) dekat bangunan.

"Saya tak percaya kereta saya telah dicuri," katanya ketika dihubungi, Rabu.
Beliau juga membuat posting di Facebook dengan harapan pengguna internet akan membantu mengesan keretanya yang bernombor plat WMG 1505.

Apabila ditanya, Lee berkata tidak mungkin keretanya itu telah ditarik atau diambil oleh ah-long.

"Kewangan saya stabil dan pinjaman kereta itu sudah diselesaikan agak lama dulu.

"Bapa saya memberikan kereta itu kepada saya apabila saya masuk Universiti Multimedia di Melaka dan sejak itu saya telah menggunakannya," katanya, menggesa sesiapa sahaja yang mungkin telah ternampak kenderaan itu untuk menghubungi pihak berkuasa.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi hotline polis di 03-2115 9999 atau pergi ke balai polis berhampiran.

Wanita Maut Dilanggar Lori


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 11:06 PM

JOHOR BAHRU: Seorang wanita dilanggar oleh sebuah lori dalam kemalangan awal pagi di KM 12 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara , Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi.

Siasatan awal polis mendapati wanita itu, yang merupakan pembonceng motosikal yang ditunggang oleh suaminya, jatuh dari motosikal apabila dilanggar sebuah kereta dari arah depan yang memotong di lorong mereka.

Mohd Taib berkata, kereta terbabit  yang melanggar motosikal itu telah menyebabkan V. Mayuri, 30, jatuh.
Mangsa kemudian dilanggar sebuah lori di belakang mereka.

Mohd Taib berkata suami Mayuri hanya cedera ringan manakala pemandu kereta tidak cedera.

Seorang lagi penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian itu juga mengalami kecederaan  kecil.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kulai untuk bedah siasat," katanya sambil menambah bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.

158 Diselamatkan, Feri Filipina Tenggelam Di Semporna


Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 11:20 PM

KOTA KINABALU: Sejumlah 158 orang telah diselamatkan selepas feri MB Juhairi yang berpangkalan di selatan Filipina tenggelam selepas berlanggar dengan tongkang berhampiran pelabuhan di Semporna pada pukul 8 malam Rabu.

Berdasarkan laporan yang diterima setakat ini, hanya sembilan orang diberikan kemudahan perubatan sebagai pesakit luar di hospital Semporna.
Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Peter Umbas berkata mereka percaya kebanyakan mangsa telah diselamatkan dan kapal itu telah tenggelam perlahan-lahan setelah mengalami kebocoran akibat perlanggaran.

"Pelbagai agensi berada di tempat kejadian dan operasi masih diteruskan, '' katanya ketika dihubungi pada pukul 11 malam.

Difahamkan bahawa feri itu meninggalkan pulau Bongao di selatan Filipina menuju ke Semporna pada pukul 2 petang Rabu dan baru tiba di Semporna apabila ia berlanggar dengan sebuah tongkang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, dan bomba adalah antara agensi-agensi yang berada di tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

"Kebanyakan mangsa dapat dibawa keluar tanpa luka memandangkan feri itu tenggelam perlahan-lahan walaupun ada yang mengalami beberapa kecederaan kecil semasa perlanggaran, '' kata saksi kepada The Star.

Peter berkata polis turut menyiasat kejadian itu di mana feri itu telah dilanggar dari belakang.

Mati berebut anak

Shah Alam: Keengganan seorang wanita membenarkan anak perempuannya dibawa ke negara asal suaminya bertukar mimpi ngeri apabila lelaki terbabit mati beberapa minit selepas berlaku pertengkaran antara mereka tengah malam, semalam.
Kejadian jam 12 tengah malam itu berlaku di rumah pasangan itu di Setia Alam, bermula apabila Shijie, 39, dikatakan berkeras mahu membawa anak perempuan mereka yang berusia empat bulan pulang ke kampung asalnya di Liaoning, China.
Mangsa juga dikatakan enggan berbincang selain mengugut menceraikan isterinya dan sudah mengemas pakaian dan pasport anaknya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya, semalam.
Tindakannya itu menyebabkan isterinya yang berusia 37 tahun tidak bersetuju sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah mereka di Setia Alam.
Difahamkan, pasangan berkenaan berkahwin sejak empat tahun lalu dan menjalankan perniagaan membekal pekerja di negara ini bertengkar sebelum kejadian.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa yang bertindak agresif dikatakan cuba melempar anaknya ke lantai, namun berjaya ditahan seorang daripada ahli keluarga isterinya itu.
Beliau berkata, disebabkan bimbang mangsa bertindak lebih agresif, ibu mentuanya kemudian menghubungi beberapa ahli keluarga untuk berbincang dan cuba menenangkan mangsa.
“Ketika ahli keluarga isterinya iaitu bapa, adik dan seorang rakan adiknya tiba di rumah berkenaan, mangsa terus bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan antara mereka.
“Namun tidak lama selepas itu, mangsa tiba-tiba rebah di lantai sebelum sepasukan ambulans dipanggil ke rumah berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan. Pihak hospital kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Shafien berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik mendapati mendapati mangsa lebam pada mata kiri, bibir dan bengkak di belakang kepala namun tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, setakat ini empat individu iaitu isteri mangsa, bapa, adik serta seorang rakan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 5:57 AM


Anggota polis membawa empat suspek yang ditahan reman.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105117#sthash.UJiXxBFq.dpuf

Misteri belanak mati

Kuantan: Selepas kejadian Sungai Balok, di sini, yang bertukar merah dipercayai akibat pencemaran bauksit minggu lalu, penduduk di kawasan itu sekali lagi gempar apabila ratusan ikan mati di Sungai Tonggak yang bersambung ke sungai berkenaan, semalam.
Situasi itu menimbulkan kegusaran dan persoalan di kalangan penduduk sama ada kejadian itu ada kaitan dengan fenomena ‘laut merah’ atau pencemaran sisa kilang dari Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Makmur Abdul Rahman Ali berkata, kejadian itu disedari penduduk setempat jam 7.30 pagi ketika air surut dan mereka terkejut melihat ratusan ikan belanak terdampar di tengah sungai berkenaan.
“Memang sungai ini keruh dan merah pada hari sebelumnya, tetapi setahu saya tiada ‘stockpile’ (tempat penyimpanan) bauksit di sepanjang sungai ini dan mungkin kekotoran di jalan mengalir ketika hujan.
“Saya tidak tahu punca sebenar kejadian itu, tapi dan minta pihak berkuasa siasat,” katanya.
Penduduk, Ab Razak Musa, 56, dari Taman Seberang Balok, di sini, berkata, kejadian itu kali kedua berlaku sejak empat tahun lalu, tetapi kali ini jumlah ikan mati lebih banyak.
“Ada penduduk gemar menjala selain kanak-kanak yang memancing, tetapi selagi kami tidak tahu apa punca kejadian ini, kami terus dibelenggu kebimbangan,” katanya.
Katanya, keputusan ujian terhadap sampel ikan dan air sungai itu penting supaya tidak timbul spekulasi terutama ketika isu bauksit hangat diperkatakan.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussain berkata, pihaknya menghantar pegawai ke lokasi kejadian untuk menyiasat susulan aduan orang ramai.
“Pemerhatian mendapati memang ada ikan belanak mati di sungai berkenaan, tetapi jumlahnya kecil dan mungkin dihanyutkan air ketika pegawai kami tiba.
“Tiada ikan besar mati, hanya ikan kecil dan keadaan ini cuma berlaku di Sungai Tonggak, tanpa membabitkan sungai lain.
“Kejadian ini disahkan tiada kaitan dengan kelodak dan lumpur tapi siasatan lanjut diteruskan, mungkin dalam tempoh seminggu laporan penuh siap.
“Kami mengambil sampel air dan menguji beberapa parameter seperti kadar oksigen terlarut, tahap kekeruhan air dan nilai pH air di kawasan terbabit dan setakat ini ia bukan kejadian luar biasa,” katanya, di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:06 AM


IKAN belanak ditemui mati di Sungai Balok Makmur dan Sungai Tonggak, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105125#sthash.8nsgfbHS.dpuf

Geng 'Smart Tag' pecah enam kereta


Rawang: Dua penjenayah geng ‘Smart Tag’ bertindak agresif apabila memecahkan cermin enam kenderaan milik penduduk semata-mata mahu mencuri alat itu bersama kad ‘Touch n Go’.

Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, dua suspek bermotosikal dikesan melakukan jenayah itu di Taman Desa Mas, Bandar Country Homes, di sini.

Kejadian itu hanya disedari kebanyakan pemilik kenderaan ketika mereka keluar rumah untuk bekerja.

Mangsa, Nurul Syazana Rose Razman, 28, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya.

Menurutnya, dia mendapati cermin kereta model Myvi miliknya dipecahkan penjenayah.

“Tiada barang berharga dilarikan kecuali alat Smart Tag dan duit syiling disimpan di dalam kereta itu.

“Kejadian sama turut menimpa kereta milik jiran saya. Malah empat lagi kereta lain dipecahkan penjenayah dan semua alat Smart Tag dilarikan,” katanya.

Dia berkata, semua mangsa membuat laporan di Balai Polis Country Home di sini.

“Kejadian itu dianggap melampau berikutan penjenayah melakukannya terhadap enam kereta serentak,” katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Fitri, 30-an, berkata, dia yang tidur menyedari kejadian jenayah itu sebaik terdengar bunyi cermin pecah di luar rumah.

“Saya sempat melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan menaiki motosikal di hadapan rumah.

“Suspek kelihatan kelam-kabut melarikan diri apabila saya membuka pintu rumah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:28 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105134#sthash.0I9oASxq.dpuf