Search This Blog

Tuesday, January 5, 2016

Amah Di Singapura Dipenjara Kerana Tendang, Tampar Kanak-Kanak


Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2016 4:11 PM
Khaerun Nisa Selfitriya

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah bertindak menendang anak perempuan majikannya yang berusia 23 bulan kerana kanak-kanak itu enggan menghabiskan makanannya.

Untuk itu, Khaerun Nisa Selfitriya, 28, dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada Isnin.

Dia turut mengaku bersalah menampar seorang lagi anak majikannya berusia lapan bulan di bahagian belakang beberapa kali di sebuah flat di Woodlands pada 14 Oktober tahun lepas.

Mahkamah diberitahu bahawa majikan berusia 28 tahun itu mula menyedari selepas dapati kesan calar pada lengan anaknya pada Mei tahun lepas.

Kejadian ini berlaku selepas dia mula menggajikan Khaerun untuk bekerja.

Beliau kemudian bertindak memasang CCTV di rumahnya yang disambungkan dengan telefon bimbitnya untuk memantau kejadian di rumah sewaktu ketiadaannya.

Hukuman penjara ke atas Khaerun bermula pada 16 Oktober lalu dan dia juga boleh didenda sehingga $4,000 (RM12,187) dan dipenjara sehingga empat tahun bagi setiap pertuduhan. -Berita Harian/Asia News Network

9 Maut Gempa Bumi Kuat Di Timur Laut India


Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2016 9:25 PM
Antara bangunan di Imphal yang musnah akibat gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda timur laut India pada Isnin. Foto AFP

IMPHAL (India): Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan ramai lagi cedera dalam kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.7 magnitud di timur laut India pada Isnin.
Kerajaan berkata, enam maut di India, manakala tiga lagi di Bangladesh selepas mengalami strok atau sakit jantung berikutan gempa bumi yang berlaku pada awal pagi.
Pihak berkuasa di negeri Manipure di mana menjadi pusat gempa berkenaan berkata, 70 lagi mangsa cedera akibat bencana itu, selain bangunan-bangunan turut musnah di Imphal. - AFP 

Hong Kong Bimbang Nasib Lima Penerbit Buku 'Hilang'


Diterbitkan: Selasa, 5 Januari 2016 10:08 AM
Sekumpulan penunjuk perasaan memegang notis orang hilang berikutan kehilangan lima penerbitan buku di bandaraya Hong Kong.

HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying menegaskan beliau amat bimbang mengenai nasib lima penerbit buku terkenal dengan penerbitan yang mengkritik kerajaan China yang dilaporkan hilang selepas seorang Ahli Parlimen terkemuka menuduh pegawai keselamatan negara tanah besar itu menculik mereka.
Semua penerbit buku tersebut yang bekerja untuk syarikat penerbitan berpangkalan di Hong Kong dikhuatiri ditahan pihak berkuasa China.
Berikutan itu timbul rasa kurang senang terhadap kebebasan di bandaraya separa autonomi itu yang kian terhakis.
Dibawah perlembagaannya, Hong Kong boleh menikmati kebebasan bersuara dan penguatkuasa undang-undang China tidak mempunyai hak untuk beroperasi di bandaraya itu.
"Saya dan jabatan kerajaan berkaitan amat prihatin. Kerajaan mengambil berat mengenai hak dan keselamatan rakyat Hong Kong.
"Hanya agensi penguatkuasaan undang-undang di Hong Kong sahaja mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang di negara ini," 
"Jika pegawai penguatkuasa undang-undang tanah besar menguatkuasakan undang-undang di Hong Kong, ia tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan Undang-Undang Asas (perlembagaan di bandaraya ini)," kata Leung.
Pengubal undang-undang demokratik, Albert Ho pada Ahad berkata beliau percaya sekumpulan penerbit buku itu diculik pegawai keselamatan China.

Rumah tinggal terbakar


Anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai berusaha memadamkan kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong.
BAGAN SERAI - Sebuah rumah kosong di Jalan Siakap, di sini musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira 3 petang itu, mengejutkan penduduk di kawasan berhampiran memandangkan rumah itu sudah lama ditinggalkan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Rodzi Che Pah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.25 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.
“Dua jentera membabitkan lebih 10 pegawai dan anggota sampai ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.
“Sebaik kami sampai, api sudah marak berikutan struktur rumah yang diperbuat daripada papan dan memusnahkan 95 peratus daripadanya. Kami mengambil masa 30 minit untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya di sini, semalam.
Rodzi berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika kejadian rumah terbabit tidak berpenghuni.
“Punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Maut gara-gara terjatuh ketika selfie


Mayat mangsa ditemui anggota JPAM di celah batu.

KUANTAN - Seorang pekerja pasar raya warga Myanmar ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke celah batu di Teluk Chempedak ketika ‘berselfie’ bersama beberapa rakan lain.
Lelaki berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Lawin itu dikatakan menghabiskan masa cuti hujung minggu bersama rakan-rakanya dan mengambil peluang berselfie di pusat peranginan itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam itu mangsa dikatakan memanjat batu berkenaan untuk merakam gambar.
“Bagaimanapun, mangsa tergelincir kerana keadaan batu licin dan terjatuh. Kesemua rakannya panik dan tidak sempat menyelamatkan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia  (JPAM) selepas beberapa rakan mendapatkan bantuan anggota yang bertugas di pantai itu.
Katanya, mayat mangsa ditemui anggota JPAM di lokasi sama pada jam 6.30 petang.
“Mayat dibawa Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dijalankan dan polis juga mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah,” katanya
.

Rumah musnah angkara hoverboard


Hoverboard yang hangus dalam kejadian di Australia, semalam.

STRATHMORE - AUSTRALIA. Sebuah keluarga berputih mata selepas tempat tinggal mereka musnah dalam kebakaran yang berpunca dari hoverboard, semalam.
Menurut laporan CNN, hoverboard tersebut yang dimiliki oleh anak perempuan keluarga berkenaan sedang dicas sebelum kebakaran berlaku.
Pegawai bomba, Phil Smith memberitahu keluarga berkenaan berjaya menyelamatkan diri sehelai sepinggang namun tempat tinggal mereka musnah hampir seratus peratus.
"Hoverboard tersebut menjadi panas ketika ditinggalkan untuk dicas dan terbakar," kata Phil.
Phil juga menasihatkan supaya peranti elektrik yang sedang dicas tidak ditinggalkan tanpa pengawasan
.

Terus panjat doa anak ditemui

Shah Alam: “Sudah lebih dua minggu anak saya hilang dan saya tidak putus-putus berdoa supaya dia ditemui, malah memohon rakyat negara ini sama-sama mendoakan keselamatannya,”kata ibu kepada Nor Azimah Ibrahim, 30-an (gambar) yang hilang di Madinah sejak 19 Disember lalu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zamhani berkata, walaupun belum ada perkembangan terkini mengenai berita kehilangan anaknya, namun dia sekeluarga terus berusaha mencari Nor Azimah.
Menurutnya, suaminya Ibrahim Abdul Rahman, 54, masih berada di Madinah mencari bersama-sama pihak berkuasa negara itu dan dia sekeluarga terus berdoa supaya anak sulung daripada 11 beradik itu ditemui dalam keadaan selamat.
“Suami masih berada di sana mencari anak di pelbagai tempat dan saya yakin anak masih selamat.
“Ibu mana yang tidak sayangkan anak dan kami sekeluarga terasa kehilangannya,”katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Nor Azimah didapati hilang selepas ke Masjid Nabawi sementara ibu bapanya yang turut membuat umrah melakukan ziarah tempat bersejarah di Madinah.
Sekembali daripada ziarah, ibu dan bapanya mendapati anaknya itu sudah tiada dan usaha menjejaki di masjid juga gagal.
Pada hari kejadian Nor Azimah dipercayai berada dalam keadaan tidak sihat.
Usaha menjejaki Nor Azimah kini diperluaskan di semua lokasi tumpuan awam termasuk hospital yang mungkin dikunjungi ibu tunggal berkenaan.
Jurucakap Konsulat Malaysia di Jeddah menyatakan pencarian dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi serta komuniti di Jeddah dan Madinah.
Sementara itu, Zamhani mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Konsulat Malaysia yang turut sama membantu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:46 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104696#sthash.Hp5XnhTa.dpuf

Remaja 19 tahun terbabit 4 kes jenayah

Kajang: Usia baru mencecah 19 tahun namun seorang remaja lelaki sudah berani melakukan ‘4 jenayah dalam 1’ membabitkan samun, pecah rumah, curi kereta dan dadah.
Remaja itu bagaimanapun berjaya diberkas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ketika pergi ke rumah rakannya di Taman Maju, di sini, jam 1.30 tengah hari kelmarin.
Jurucakap polis berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui kunci kereta yang pernah dilaporkan dicuri sebelum ini.
“Suspek kemudian membawa polis ke Jalan Anggerik Perdana di sini, sebelum menunjukkan kereta model Honda Civic berwarna hitam.

“Semakan ke atas kenderaan itu mendapati ia dilaporkan hilang pada 10 Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui dua parang panjang diselitkan di tepi pintu hadapan penumpang kenderaan itu.
“Selain itu, polis turut merampas sebatang besi kuku kambing di bawah tempat duduk hadapan penumpang kenderaan.
“Selain itu polis turut menemui lima topeng muka di bawah tempat duduk pemandu kereta itu,” katanya.
Abdul Ghani berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan di kawasan Kajang, Shah Alam, Serdang, Selangor dan Mantin Negeri Sembilan.
“Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke Jalan J Avenue, Cheras sebelum menunjukkan sebuah kereta model Toyota Camry yang pernah dicuri di Sri Muda, Shah Alam,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 4:53 AM


ANTARA barang yang ditemui dalam kereta suspek kes samun bersenjata.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104841#sthash.QZ4VKPB7.dpuf

Potong tak lepas

Sungai Petani: “Saya terkejut apabila melihat kereta dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori tangki,” kata Fauzi Bakar, 53, yang melihat Proton Saga dipandu seorang wanita bertembung dengan lori tangki membawa muatan kapur di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran persimpangan Jalan Sidam Kiri, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, Nur Azirah Wahab, 20, dari Kampung Banggol Berangan, Baling, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman manakala rakan lelakinya, Mohd Sadri Lazim, 34, cedera ringan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan.
Fauzi berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Tawar, Baling dan berada tidak jauh di belakang kereta dipandu mangsa.
Menurutnya, sebaik tiba berhampiran persimpangan itu, kereta dipandu mangsa dilihat cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum merempuh lori tangki dari arah bertentangan.
“Akibatnya kereta itu remuk dan diseret sejauh beberapa meter menyebabkan saya terkejut kerana melihat kejadian berlaku di depan mata.
“Saya memberhentikan kereta dan bergegas membantu mangsa dengan cuba menariknya keluar dari kereta, tetapi gagal disebabkan kakinya tersepit.
“Ketika itu keadaan mangsa parah di muka dan tenat, namun saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dua kali sebelum dia meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Ibu mangsa, Asiah Ahmad, 36, berkata, dia terkejut melihat jenazah anak perempuannya sebaik tiba di tempat kejadian kerana tidak menyangka sama sekali arwah meninggal dunia akibat kemalangan.
“Azirah keluar dari rumah kami jam 10 pagi sebelum bersama rakannya ke bandar Sungai Petani untuk mencari kerja.
‘Saya menerima SMS memberitahu dia dalam perjalanan pulang ke rumah, namun tidak lama selepas itu saya menerima panggilan keretanya terbabit dalam kemalangan.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu Azirah meninggal dunia kerana hanya dimaklumkan anak terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki.
“Mangsa mati di tempat kejadian, rakannya cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:23 AM


KEADAAN kereta selepas rempuh lori.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104885#sthash.CZDBl3cN.dpuf

Air dicampur tiga dadah

Kuala Lumpur: Jurukimpal berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai mengedar dan menjual botol air minuman mengandungi dadah jenis ekstasi, eramin 5 dan ketamin, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, suspek lelaki terbabit ditahan pada 5 petang di bengkel kimpalannya di Salak Selatan, Cheras di sini.
"Hasil serbuan polis menemui 120 botol minuman berperisa oren yang sudah dicampurkan tiga jenis dadah berkenaan. Nilai rampasan lebih RM30,000," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek menjual air minuman berkenaan pada harga RM200 hingga RM300 kepada pelanggannya yang terdiri daripada pengungjung pusat hiburan dan parti persendirian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:37 PM


BOTOL air minuman yang dirampas. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104810#sthash.cnf0gsz0.dpuf

Penganggur mengaku bersalah

Georgetown: Seorang penganggur berusia 20 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Khas Trafik Georgetown terhadap pertuduhan memandu dengan gopoh di jalan awam hingga membahayakan dan boleh menyebabkan kecederaan orang lain.
Tertuduh, Aizat Abdul Rahman, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Catherine Nicholas.
Menurut kertas pertuduhan, Aizat didakwa melakukan kesalahan terbabit pada jam 4 pagi di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jumaat lalu.
Dia didakwa mengikut Akta 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Mahkamah Asisten Superintendan Ahmad Padzli Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Catherine menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh pembentangan fakta dan laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta menjatuhkan hukuman.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:42 PM


Aizat Abdul Rahman, 20, (tengah) diiring keluar dari di Mahkamah Khas Trafik Georgetown selepas mengaku bersalah. - Foto DANIAL SAAD
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104812#sthash.ihIQkMWp.dpuf

Korek tanah jumpa peluru meriam

Petra Jaya: Sebiji peluru meriam lama yang masih aktif ditemui tertanam dalam tanah di Lorong Meranti 1, Kampung Rampangi, Santubong di sini, petang semalam.
Peluru meriam lama itu ditemui kontraktor yang sedang melakukan kerja mengorek tanah di kawasan itu untuk membuat longkang pada 5 petang.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, sebaik melihat objek yang mencurigakan itu, kontraktor memaklumkan mengenainya kepada pemilik rumah dan menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
"Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak mengesahkan objek yang ditemui itu ialah peluru meriam lama dan masih aktif.
"Peluru meriam itu akan dipindahkan ke tempat sesuai untuk dimusnahkan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:26 AM


PELURU meriam lama yang ditemui tertanam dalam tanah. FOTO ihsan Polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104953#sthash.K7qxY9hi.dpuf

Kemiskinan meningkat

Jakarta: Jumlah penduduk Indonesia yang hidup dalam kemiskinan terus meningkat sejak September lalu akibat kelemahan pertumbuhan ekonomi, menurut data yang dikeluarkan Agensi Statistik Pusat semalam.
Lebih 28.5 juta penduduk atau 11.1 peratus populasi Indonesia memperoleh pendapatan yang dianggap di bawah garis kemiskinan iaitu 344,809 rupiah (RM108) sebulan.
Jumlah itu meningkat daripada 27.7 juta penduduk atau 10.9 peratus populasi pada 2014.
Bagaimanapun, ia menunjukkan penurunan daripada 28.6 juta penduduk yang dicatatkan pada Mac 2015.

Agensi statistik itu melakukan kajian dua kali setahun, pada Mac dan September.
Maluku dan Papua masih kekal sebagai wilayah termiskin dengan 22 peratus populasi hidup di bawah garis kemiskinan.
Dalam pada itu, hanya 6.45 peratus penduduk di Kalimantan kini tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah.
Ekonomi Indonesia berkembang sebanyak 4.7 peratus tahun lalu, pertumbuhan paling lemah sejak 2009.
Pendapatan negara itu berdepan dengan tekanan akibat daripada kejatuhan tuntutan global terhadap komoditi, sumber utama pendapatan bagi kebanyakan pekerja berpendapatan rendah Indonesia.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:21 AM


GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104945#sthash.JHgyg9lM.dpuf

Budak mati diduduk bapa

Florida: Seorang lelaki seberat 112 kilogram berdepan tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh selepas didakwa duduk di atas anaknya yang berusia enam tahun sambil bermain permainan video.
James ‘Rick’ Dearman, 31, dan teman wanitanya Ashley Cole memberitahu polis, mereka cuba mendisiplinkan dua anak mereka yang enggan tidur sehari sebelum Krismas.
Dia mengarahkan kedua-dua anaknya berdiri menghadap dinding. Apabila melihat seorang daripada mereka menyaksikan dia bermain, Dearman memaksanya meniarap di atas sofa dan dia duduk di atasnya sambil meneruskan permainan.
Polis berkata, pasangan itu tidak mempedulikan jeritan kanak-kanak berkenaan yang meminta tolong kerana sukar benafas.
Lima minit kemudian mereka menyedari mangsa tidak bergerak sebelum mengambil keputusan memanggil ambulans.
Paramedik membawa budak itu ke hospital, tempat dia disahkan mati.
Ketika ditanya mengenai kejadian itu, anak Dearman yang berusia tujuh tahun memberitahu polis: “Bapa duduk di atasnya dan dia mati.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:25 AM


DEARMAN bersama anaknya yang mati dan teman wanitanya ketika menyambut ulang tahun kelahiran mangsa beberapa bulan lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104951#sthash.WGFEFDwQ.dpuf

Komputer riba Alvin Tan antara barang kes dirampas


Vivian Lee, bekas teman wanita penulis blog kontrovesi, Alvin Tan hadir ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, hari ini, bagi sambungan perbicaraan tuduhan ke atas mereka kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di bawah Akta Hasutan.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) merampas sembilan barang termasuk dua komputer riba di rumah sewa milik blogger kontroversi, Alvin Tan dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee.
Insp J. Sharveen Seelan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah SKMM berkata, tujuh barang lain yang dirampas ialah satu unit jalur lebar U Mobile, dua unit pemacu pena, dua kamera, sekeping bil elektrik dan sekeping penyata bil U Mobile yang dijumpai di ruang tamu dan dapur di rumah itu.
Sharveen, saksi pendakwaan ke-13, berkata semasa serbuan dilakukan pada 15 Julai 2013, pasukan polis membawa pasangan itu, yang ketika itu ditahan reman, ke rumah berkenaan di Jalan Ipoh di sini.
"Ketika sampai, pagar jeriji dan pintu rumah itu berkunci. Selepas masuk ke rumah itu, saya mengambil gambar di beberapa bahagian di dalam rumah itu," katanya.
Menurutnya kesemua barang itu diserahkan kepada pegawai SKMM selepas serbuan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam kes perbicaraan Alvin Tan atau Tan Jye Yee dan Vivian Lee atau Lee May Ling yang didakwa menyiarkan gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' yang mengandungi logo halal, di laman Facebook mereka.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.
Mereka turut didakwa terhadap pertuduhan menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook sama mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara 9 malam 6 Julai 2013 dan 2 pagi 7 Julai 2013.
Ketika disoal balas peguam Chong Joo Tian, yang mewakili Lee, mengenai siapa pemilik barang itu, Sharveen berkata, Tan memberitahunya dua komputer riba, dua kamera, jalur lebar  dan dua pemacu pena itu adalah milik beliau.
Beliau berkata sekeping bil elektrik dan sekeping penyata bil U Mobile adalah milik tuan rumah itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud disambung pada 21 Januari depan. - Bernam
a

Pelajar USM maut depan kampus


Keadaan motosikal mangsa yang rosak selepas dilanggar kereta.

GEORGETOWN - Seorang pelajar jurusan komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) maut selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat universiti berkenaan malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Muhammad Zaquan Mohd Anuar Hisham, 21, disahkan meninggal di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Jambul menghala ke Masjid Negeri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemandu kereta berkenaan yang berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal dan maklumat dari saksi kejadian mendapati mangsa tidak berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah.
"Bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengambil keterangan lanjut saksi bebas untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Mior Faridalatrash berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
.

Larikan BMW X4, RM20,000 lepas acu pistol


Lokasi kereta suspek yang dilarikan.

BANDA HILIR - Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X4 milik sepasang suami isteri dilarikan dua penjenayah sebaik sahaja mereka ditinggalkan di tepi jalan di Semabok di sini, hari ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, pasangan berusia 30-an itu dikatakan turut diacukan objek menyerupai pistol sebelum diarah masuk ke dalam kereta di belakang premis perniagaan mereka di Taman Melaka Raya, di sini.
Menurut sumber, pasangan suami isteri terbabit terlebih dahulu memakir kereta di belakang salun kecantikan mereka sebelum didatangi seorang lelaki.
"Lelaki berkenaan menyuruh wanita itu masuk ke dalam kereta pasangan terbabit dan kemudian mengacukan pistol ke arah suami wanita lalu mengarahkan memandu mengikut sebuah kenderaan di hadapan menghala Semabok sebelum mereka ditinggalkan di tepi jalan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisoner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, ketika kejadian lelaki yang mendekati mangsa itu memakai penutup muka dan berkaca mata hitam.
"Suspek turut mengambil wang tunai berjumlah RM20,000 milik pengusaha salun itu sebelum melarikan kenderaan milik mereka selepas meninggalkan pasangan terbabit di tepi jalan.
"Kita akan berusaha mengesan suspek dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui, di sini
.

Polis siasat lelaki dakwa Sultan Melaka


Ahli perniagaan berkenaan ketika bersama Abdul Rani Kulup Abdullah. Gambar berkenaan menjadi viral di laman sosial.
MELAKA - Polis Melaka telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas mengenai seorang lelaki yang mengaku diri sebagai Sultan Melaka.
Siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 itu dijalankan berikutan laporan daripada Pejabat Ketua Menteri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, siasatan akan dijalankan di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan bukti selain mengesan saksi atau individu berkaitan kes berkenaan.
"Kita juga sedang mengesan lelaki yang mengaku sebagai Sultan Melaka itu untuk merakam percakapannya selain penerima-penerima pingat atau darjah daripada beliau," katanya.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Shaikh Abdul Adzis berkata, polis telah menerima laporan dibuat Pejabat Ketua Menteri Melaka terhadap ahli perniagaan berusia 58 tahun itu.
Lelaki itu mendakwa dirinya Sultan Melaka di Balai Polis Ayer Keroh kira-kira jam 10.30 pagi pada 30 Disember lepas.
Awal tahun lepas, lelaki berkenaan pernah dikenakan tahanan reman oleh Mahkamah Rendah Melaka bagi membantu siasatan kes dirinya sebagai Sultan Melaka.
Isu ini kembali hangat setelah gambar dia mengadakan majlis pengurniaan darjah kebesaran kepada beberapa individu dan aktivis menjadi viral di dalam media sosial.
Antara yang dikurniakan darjah kebesaran membawa gelaran datuk ialah Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, lelaki berkenaan perlu menghormati perkembangan serta perundangan negeri dan negara ini dan tidak memburukkan suasana keharmonian sedia ada.
"Isu ini menyentuh urus tadbir sebuah negeri...sebuah negara yang berdaulat dan telah merdeka.
"Perkara ini bukan bahan jenaka dan setiap rakyat perlu mendukung perlembagaan negara," katanya ketika ditemui pemberita. - Bernama

Remaja maut kereta langgar treler


Remaja berusia 19 tahun, Nur Azirah Wahab, maut manakala rakannya, Mohamad Shadri Lazim, 33, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, mengalami kecederaan di kepala dan kaki, selepas kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandunya berlanggar dengan sebuah treler di Kilometer 10 Jalan Sungai Petani - Kuala Ketil berhampiran simpang ke Sidam, dekat sini, kira-kira pukul 4.20 petang tadi. - Foto Bernama

SUNGAI PETANI - Seorang remaja berusia 19 tahun maut apabila kereta yang dipandunya melanggar sebuah treler di KM10 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil hari ini.
Dalam kejadian 4.20 petang tadi, Nur Azirah Wahab maut di tempat kejadian berhampiran simpang ke Sidam di sini manakala rakannya Mohamad Shadri Lazim, 33, yang duduk di hadapan, cedera di kepala dan kaki.  
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga itu yang dari arah Sungai Petani ke Kuala Ketil memasuki laluan bertentangan lalu melanggar treler yang dalam perjalanan dari Kuala Ketil ke Sungai Petani.
Pemandu treler tidak cedera, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan penumpang yang cedera dirawat di hospital sama," katanya. - Bernam
a

'Bukan sisa bauksit'

Kuantan: Kuantan Port Consortium Sdn Bhd menafikan dakwaan bahawa fenomena 'laut merah' di kawasan pantai Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam, di sini, disebabkan oleh sisa bauksit dari simpanan bauksit (stockpile) di Pelabuhan Kuantan.
Ketua Pegawai Operasi Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, Datuk Ir Khasbullah A Kadir berkata, ini kerana sisa mineral daripada stockpile di pelabuhan itu akan menerusi sistem tapisan terlebih dahulu sebelum memasuki Sungai Pengorak.
Beliau berkata, Sungai Pengorak terletak jauh dan tidak bercantum dengan Sungai Balok dan jauh daripada Pantai Batu Hitam.
"Kita ada menyediakan sistem penapisan supaya air yang mengalir ke laut dalam keadaan terkawal, kalau kita lihat air di Sungai Pengorak tidak terjejas seperti di kawasan lain ketika kejadian pada 29 Disember lalu.
"Hujan (pada 27 hingga 29 Disember 2015) merobohkan tiga besi penapis namun sistem gabion/filter masih berfungsi dan mengurangkan kotoran ke Sungai Pengorak," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 1:57 PM


AHMAD Amirul Shahir Zulkifli, 11, bermain basikal di kawasan perlombongan bauksit. Lombong bauksit ini terletak kurang dari 200 meter dari tapak perumahan di Felda Bukit Goh. FOTO Farizul Hafiz Awang
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104786#sthash.GqCA2K5H.dpuf

Dua maut kereta bertembung bas

Kuantan: Dua maut selepas kereta dinaiki terbabas dan bertembung dengan bas ekspres di Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Cherating, pagi tadi.
Dalam kejadian 4 pagi itu, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identiti berusia 40 tahun maut di tempat kejadian akibat parah.
Bagaimanapun, pemandu bas berusia 50 tahun bersama 20 penumpang tidak mengalami kecederaan.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 3:03 PM


KEADAAN kereta selepas terbabit kemalangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104796#sthash.lH4cTVQS.dpuf

Kereta mewah, wang RM20,000 lesap

Melaka: Suami isteri kerugian hampir RM500,000 selepas sebuah kereta mewah, telefon bimbit dan wang tunai RM20,000 dilarikan seorang lelaki di Taman Melaka Raya di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi tadi, kedua-dua mangsa berusia lewat 20-an yang juga pemilik salon dandanan rambut baru tiba di premis di lokasi dan membuka pintu belakang salon apabila didekati seorang lelaki.
Menurut sumber, ketika isteri mangsa sedang membuka pintu belakang premis, seorang lelaki turun dari pikap Mitshubishi Triton dan mengacukan sesuatu seperti senjata api di bahagian pinggang dan mengarahkan dia menyerahkan telefon bimbit.
"Isteri mangsa menurut arahan sebelum dia diarah menaiki kereta mangsa BMW X4 dipandu suaminya (mangsa).
"Suspek kemudian mengarahkan suami mangsa memandu ke Jalan Semabok dan mengarahkan mereka turun sebelum melarikan kereta yang mempunyai wang tunai RM20,000 kutipan perniagaan selama empat hari lalu," kata sumber.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 329/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:20 PM


Bahagian belakang salon dandan rambut di Taman Melaka Raya, tempat seorang lelaki menyamun sepasang suami isteri. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104806#sthash.zURjewB9.dpuf

Lelaki rentung kereta langgar rumah kedai

Seremban: Lelaki ditemui rentung dalam kereta selepas dipercayai terbabas merempuh bangunan rumah kedai di Jalan Kapitan berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, tengah malam tadi.
Kereta dipandu lelaki itu dipercayai dari arah Bandar Seremban menghala ke Sikamat sebelum hilang kawalan dan terbabas merempuh bangunan rumah kedai dua tingkat berkenaan lalu terbakar, kira-kira 12.15 tengah malam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.28 tengah malam dan sebuah jentera serta ambulans unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) membabitkan 10 anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setiba di lokasi api sedang marak. Usaha memadamkan kebakaran dilakukan sebelum menemui lelaki yang juga pemandu kereta itu sudah rentung 80 peratus.
Pemeriksaan awal mengesahkan mangsa meninggal dunia.
"Kami mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa. Bagaimanapun, identiti mangsa belum dapat dikenalpasti dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 7:36 AM


KERETA yang terbabas. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104925#sthash.TM1pvDZN.dpuf