Search This Blog

Monday, January 4, 2016

Empat Lelaki Menyamar Polis, Peras Ugut Warga Asing Ditahan


Diterbitkan: Ahad, 3 Januari 2016 7:51 PM

PUTRAJAYA: Polis berjaya menahan empat lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota polis dengan memeras ugut dan meminta wang tebusan daripada seorang warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata tiga suspek berumur antara 35 dan 47 tahun ditahan di balai pelepasan KLIA, manakala seorang lagi berumur 54 tahun ditangkap di sekitar Jalan Masjid KLIA.
Dalam kejadian 3.35 petang Sabtu, seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di kedai serbaneka, pergi ke KLIA untuk menjemput adik dan sepupunya yang baru tiba dari Bangladesh untuk melancong di negara ini, sebelum didatangi empat lelaki mengaku sebagai polis.
"Suspek kemudian mengarahkan mangsa pulang dan menyediakan wang sebanyak RM15,000 bagi mendapatkan kembali adik dan sepupunya itu," katanya.
Bertindak atas maklumat, Abdul Aziz berkata polis membuat beberapa serbuan dan tangkapan antara 5 dan 6.30 pagi, dan berjaya menyelamatkan dua lelaki Bangladesh di Aras 5, KLIA pada Ahad.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati perancang utama kumpulan terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau berhubung kes yang sama. - BERNAMA

Dua Suspek Kes Tetak Pekerja Pusat Komputer Ditahan


Diterbitkan: Ahad, 3 Januari 2016 11:40 PM
Polis tiba di lokasi kejadian.

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian menetak seorang lelaki di sebuah pusat komputer di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini, malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad berkata dua suspek berusia 44 dan 46 tahun itu ditahan di sekitar daerah berkenaan pada Ahad, dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam Sabtu itu, tiga suspek lelaki berusia 40-an bertindak menetak seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan parang panjang dan rotan.
"Insiden berlaku akibat salah faham antara suspek dan mangsa yang merupakan pekerja di pusat komputer itu.
"Tiga suspek yang tidak berpuas hati masuk ke pusat komputer berkenaan dengan membawa sebilah parang panjang dan rotan lalu menetak mangsa," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan di leher, kini dirawat di Hospital Serdang dan keadaannya dilaporkan stabil. - BERNAMA

Ajal pulang ke kampung

Bagan Serai: Lelaki, 37, maut selepas terjatuh dari motosikal berkuasa tinggi ditungganginya sebelum dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Gula, Gunung Semanggol, di sini, dekat kilang kelapa sawit Sime Darby, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa Mohd Hisham Abdul Hamid maut ditempat kejadian selepas parah dibeberapa bahagian anggota badan akibat dirempuh kereta berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kulim bersama empat lagi rakannya selepas makan di Restoran Terapung Kuala Gula, di sini.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang itu, motosikal jenis Ducati yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan dan ditolak menggunakan kaki secara bergilir-gilir oleh empat lagi rakannya.
Katanya, motosikal mangsa secara tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan mangsa gagal mengawalnya dan terjatuh di tengah jalan berkenaan sebelum dirempuh kereta jenis Kia Spectra.
"Rempuhan pada bahagian kepala serta tubuh badan mangsa menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian sebelum mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987," katanya.
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 1:50 PM


FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104781#sthash.Zyj0FJGA.dpuf

Empat lagi askar maut

Puinjab: Empat lagi askar India, termasuk seorang pegawai kanan terbunuh akibat kecederaan selepas serangan oleh kumpulan militan terhadap sebuah pangkalan udara berhampiran sempadan Pakistan, menjadikan jumlah yang terbunuh dalam kejadian itu meningkat kepada 13.
Jumlah itu termasuk enam penyerang yang ditembak mati di pangkalan Patthankot di negeri Punjab, utara India, selepas sekumpulan lelaki bersenjata berat, dipercayai anggota kumpulan Jaish-e- Mohammed menyusup masuk awal kelmarin.
Serangan itu berlaku seminggu selepas Perdana Menteri Narendra Modi membuat lawatan mengejut ke Pakistan, yang pertama oleh Perdana Menteri India dalam masa 11 tahun.
Menurut seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan, antara yang terbunuh dalam serangan itu ialah yang berpangkat leftenan kolonel dalam unit komando Pengawal Keselamatan Kebangsaan.
Jurucakap tentera Rochelle D’Silva berkata, tiga daripada 12 askar yang cedera dalam pertempuran kelmarin mati di hospital, semalam.
Sembilan masih dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil.
Turut mati ialah Subedar Fateh Singh, pemenang pinat emas Kejohanan Menembak Komanwel 1995 di New Delhi.
Pangkalan udara Pathankot menempatkan puluhan jet pejuang dan amat penting kerana lokasinya yang strategik, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Pakistan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:37 AM


POLIS memeriksa seorang penunggang motosikal di luar pangkalan tentera udara di Pathankot.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104680#sthash.kdZW9WEp.dpuf

Wanita Arab Saudi ada yang miang

Jeddah: Sebuah pusat beli-belah terbesar di sini melaporkan 16 kes gangguan seksual yang dilakukan wanita terhadap lelaki.
Walaupun gangguan itu dilaporkan kepada kakitangan keselamatan, tidak seorang pun lelaki terbabit membuat aduan rasmi kerana bimbang ia akan mengaibkan diri sendiri, lapor akhbar Saudi Gazette.
Pengurus besar pusat beli-belah itu Ryan Kaddouri berkata, rakaman CCTV menyokong dakwaan lelaki yang diganggu itu dan video mengenainya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Laporan mengenainya mencetuskan perdebatan dalam kalangan penduduk Jeddah dengan sebahagian mereka mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap wanita itu.
“Wanita yang mengganggu lelaki hanya mahukan perhatian, lebih-lebih lagi jika lelaki itu kacak,” kata seorang pengunjung lelaki yang diwawancara akhbar berkenaan.
Seorang wanita pula memberitahu Saudi Gazette, wanita mengganggu lelaki kerana mereka ingin mencari pasangan hidup. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:43 AM


GAMBAR hiasan, wanita Arab Saudi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104688#sthash.shPFQvbo.dpuf

Sindiket beli emas guna kad kredit palsu

Bangkok: Jabatan Pencegahan Jenayah polis Thailand menahan lima warga China kerana menggunakan kad kredit palsu untuk membeli barangan kemas bernilai jutaan dolar sebelum menjualnya semula untuk mendapatkan wang tunai.
Suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita yang berusia 31 hingga 53 tahun itu ditahan di dua hotel di Sathorn, tengah Bangkok pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Polis juga merampas 182 kad elektronik, penerima kad kredit, alat pembaca kad, mesin membuat nombor, tiga komputer riba dan 11 pasport.
Timbalan komander Jabatan Pencegahan Jenayah, Phantana Nuchanart berkata, semua suspek ditangkap selepas pihaknya menerima laporan dua warga China menggunakan kad kredit palsu untuk membeli emas di sebuah kedai di Big C Ratchadamri pada Jumaat lalu.
Ketika disoal siasat suspek menggunakan kad kredit palsu untuk membeli emas sebelum menukar semula logam berkenaan dengan wang tunai.
Wang tunai itu kemudian didepositkan ke dalam beberapa bank luar negara.
Kumpulan itu mengaku masuk ke Thailand beberapa kali sejak lapan bulan lalu dan biasanya tinggal selama satu atau dua minggu.
Kegiatan kumpulan berkenaan menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah 180 juta baht (RM21.55 juta). - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:44 AM


SUSPEK bersama barangan yang digunakan mereka untuk membuat kad kredit palsu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104692#sthash.JIP5x6Uh.dpuf

Mayat atas bumbung kereta

Hyderabad: Sebuah kereta yang dipandu laju melanggar seorang warga emas berusia 70 tahun dan meneruskan perjalanan sehingga beberapa kilometer dengan mayat mangsa di atas bumbung kenderaan itu.
Polis berkata, kejadian berlaku di daerah Nalgonda di negeri Telangana kelmarin apabila kereta yang dipandu Rahim Khan melanggar Venkat Reddy yang hendak menyeberang jalan.
Lelaki itu dikatakan mati sebelum sempat dibawa ke hospital.
“Mangsa terpelanting ke atas bumbung kereta, tetapi pemandu berkenaan tidak berhenti.

“Dia meneruskan perjalanan dengan mayat di atas bumbung keretanya,” kata jurucakap polis, Sudhakar.
Menurutnya, Rahim memandu laju ketika kejadian. Orang ramai yang melihat tubuh manusia di atas kereta itu memaklumkan kepada polis.
“Dengan beberapa penduduk tempatan, kami berjaya menahan kereta itu. Rahim ditahan dan akan dituduh cuai hingga menyebabkan kematian,” kata Sudhakar. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:46 AM


MAYAT Reddy di atas kereta yang melanggarnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104695#sthash.Vd5VJ55d.dpuf

Tiga Maut, 30 Cedera Gempa Bumi Di India


Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2016 12:34 PM

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya tiga orang mati dan 30 cedera, dengan jumlah mangsa dijangka meningkat, dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.7 skala Rithcer yang melanda timur laut India serta Myanmar, Bangladesh dan Bhutan pada kira-kira pukul 4.35 pagi pada waktu tempatan (pukul 7.05 pagi waktu Malaysia).

Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India (NDRF) telah dikerah, dengan Jabatan Meteorologi India memaklumkan pusat gempa itu pada kedalaman 17 kilometer dan melanda 29 kilometer di barat Imphal, Manipur.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan gegaran dapat dirasai di beberapa bahagian Manipur, Assam, Arunachal Pradesh, Mizoram dan Tripura.

Pejabat perdana menteri Narendra Modi dalam kenyataan menyatakan bahawa pesanan kepada Menteri Dalam Negeri Rajnath Singh supaya menyediakan bantuan kecemasan kepada mangsa gempa itu.

Menurut kenyataan itu Modi turut menghubungi ketua menteri Assam, Tarun Gogoi dan Arunachal Pradesh, Nabam Tuki.

Polis dan pasukan bantuan di Imphal, Manipur melaporkan dinding-dinding, tangga dan bumbung beberapa bangunan telah runtuh.

Beberapa bangunan juga dilaporkan mengalami kerosakan, termasuk hospital, kata polis.

Wanita ditahan miliki raifal buatan sendiri, dadah

PDRM

3 JANUARI 2016

LABUAN - Polis Labuan menahan empat rakyat tempatan termasuk seorang wanita kerana memiliki raifal buatan sendiri dan dadah semalam.
Semua suspek berusia antara 30 dan 40 tahun ditahan bersama tiga laras raifal dan peluru guli dan 6.53 gram dadah sintetik jenis syabu di Jalan Tanjung Kubong  pukul 3 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata semua suspek lelaki ditahan reman empat hari manakala suspek wanita tiga hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mereka ditahan dua kereta peronda ketika melakukan rondaan biasa di sekitar Kampung Tanjung Kubong selepas mendapati kereta Toyota Land Cruiser yang dinaiki mereka diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
"Ketika melakukan pemeriksaan badan, polis menemui tin aluminium mengandungi 37 straw mengandungi dadah dipercayai syabu dalam kocek seluar seorang suspek. 
"Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menjumpai dua raifal dalam kenderaan itu manakala satu lagi ditemui dalam longkang berhampiran selepas dicampakkan oleh suspek lain," katanya.
Mohd Ibrahim turut mengesahkan kesemua suspek diuji positif syabu.
"Tiada seseorang pun dibenarkan memiliki, membawa atau menggunakan senjata atau peluru tanpa lesen atau permit, walaupun untuk tujuan memburu binatang atau burung," katanya. - Bernam
a

Pegawai Imigresen dituduh rogol, liwat anak kandung

SYAMILAH ZULKIFLI
mahkamah


 4 JANUARI 2016

SEREMBAN - Seorang pegawai Jabatan Imigresen Seremban dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi atas pertuduhan merogol dan meliwat anak perempuannya berusia empat tahun.
Tertuduh, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim, Fathiyah Idris.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dan persetubuhan luar tabie terhadap anak kandungnya berusia empat tahun.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Sikamat pada akhir Oktober 2015 hingga pertengahan November 2015.
Bagi kesalahan melakukan hubungan seks, dia dituduh di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun, atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Sementara bagi kesalahan melakukan persetubuhan luar tabie, dia dituduh di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang mensabitkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, dan boleh juga dikenakan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin, tidak membenarkan tertuduh diberi jaminan atas alasan mangsa merupakan anak tertuduh dan dia juga merupakan seorang penjawat awam.
Tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Hanif Hasan, bagaimanapun memohon tertuduh diberi jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes
.

Hilang dilarikan jurulatih silat

HIDAYAH HAIROM

4 JANUARI 2016

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri bimbang keadaan anak perempuan mereka berusia 13 tahun yang tidak dapat dijejaki sejak lebih tiga minggu lalu, dipercayai dilarikan oleh seorang lelaki yang juga jurulatih sebuah persatuan silat disertai remaja berkenaan.
Mohd Rizal Johari, 40, berkata, dia menyedari ketiadaan anaknya, Sufi Arifah pada jam 4 pagi, 13 Disember lalu, apabila menemui surat ditinggalkan Sufi di bilik tidur.
Bagaimanapun katanya, dia percaya, tindakan Sufi itu kerana mendapat tekanan daripada lelaki tidak bertanggungjawab itu berdasarkan pengakuan seorang lagi lelaki yang bertindak membawa anaknya untuk diserahkan kepada jurulatih silat berkenaan.
“Lelaki yang bawa Sufi itu adalah orang kanan  jurulatih silat itu dan setelah dipujuk, dia mengakui kehilangan Sufi adalah dirancang kerana mahu menutup kes jenayah yang pernah dibuat terhadap anak saya sebelum ini.
“Sekarang ini kami tidak tahu apa nasib Sufi kerana jurulatih silat berkenaan gagal dihubungi dan dijejaki,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini.
Mohd Rizal menambah, pendengaran kes jenayah yang dilakukan jurulatih silat berkenaan dijadualkan berlangsung pada 11 Januari ini.
“Sebelum ini, suspek telah ditahan pihak polis namun dijamin keluar oleh ahli keluarganya. Suspek tidak sepatutnya mendekati Sufi kerana itu dia gunakan orang kanannya untuk bersubahat.
“Saya percaya Sufi telah dipengaruhi atau kemungkinan diugut,” katanya.
Hilang dilarikan jurulatih silat

Dalam pada itu, ibu mangsa, Ismalia Ismaon, 34, berkata, Sufi yang juga anak kedua daripada tujuh beradik itu sebelum ini tidak pernah menghadapi masalah dalam keluarga.
Katanya, mereka tidak menghalang penyertaan Sufi dalam pasukan silat olahraga itu setelah yakin dengan aktiviti yang dijalankan secara sah termasuk penganjuran beberapa pertandingan sebelum ini.
“Saya cuma mahu Sufi dikembalikan dengan selamat. Tidak tahu apa nasibnya sekarang. Walaupun kehilangannya telah tersebar, tiada sebarang perkembangan setakat ini,” katanya.
Berikutan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu 14, Hulu Langat pada 13 Disember lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard ketika dihubungi mengesahkan kes itu.
“Kita sedang jejak suspek untuk bantu siasatan,” katanya
.

Lagi bayi migran mati lemas

4 JANUARI 2016

 ATHENS - GREECE. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat lemas menjadi korban pertama migran tahun ini, selepas bot kecil dinaiki melanggar batu di pulau Agathonis, Greece.
Menurut pengawal pantai, seramai 39 penumpang lain termasuk seorang wanita yang jatuh ke laut telah diselamatkan selepas nelayan tempatan meminta bantuan.
Lagi bayi migran mati lemas

"10 orang mangsa dibawa ke hospital kerana hypothermia. Mayat kanak-kanak itu telah dibawa keluar oleh nelayan dan semua pendatang termasuk ibu budak tersebut dibawa ke pelabuhan Pythagorio di Samos, iaitu pulau paling hampir terletak kira-kira 50 kilometer," katanya.
Stesen Bantuan Amal Luar Pesisir (MOAS) yang membantu menyelamatkan pendatang dan pelarian di laut turut menghantar bot laju untuk menyelamatkan penumpang yang terkandas, dalam operasi bersama dengan pengawal pantai negara itu.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada maklumat segera mengenai status kewarganegaraan semua mangsa. - AFP
Puluhan jaket keselamatan ditinggalkan pelarian sejurus tiba di pulau Lesbos, Greece, selepas menyeberangi Laut Aegean dari Turki. Foto: AF
P

Ibu saudara: Hasif kelihatan hiba, mungkin teringat ayahnya

4 JANUARI 2016
Tragedi air terjun: Imam surau seorang pemurah ilmu

SHAH ALAM - Perasaan hiba jelas kelihatan pada wajah Mohd Hasif Abdul Halim, 9, waris tunggal kepada lima sekeluarga yang mati lemas Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, pada 19 Disember lalu ketika memulakan sesi persekolahan di Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Jalan Kebun di sini, hari ini.
Mohd Hasif yang tiba di sekolah baharunya itu pada kira-kira pukul 7.45 pagi ditemani oleh ibu saudaranya, Dr Siti Sabariah Samian, 38, yang merupakan penjaganya serta dua lagi sepupunya yang turut bersekolah di tempat yang sama.
Sebelum ini Mohd Hasif bersekolah di Sekolah Rendah Islam Hira', Batu Belah, Klang.
Dr Siti Sabariah berkata, Mohd Hasif ceria semasa melakukan persiapan terakhir sebelum ke sekolah semalam, tetapi pada pagi ini dia kelihatan hiba mungkin kerana teringatkan ayahnya Abdul Halim Samian yang selalu menemaninya setiap kali sesi persekolahan baharu bermula.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah 5 beranak dikebumi dalam satu liang lahad]
[ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi air terjun: Imam surau seorang pemurah ilmu]
"Mungkin dia belum dapat sesuaikan diri dengan kawan-kawan baharu di sini. Bagaimanapun saya percaya Mohd Hasif adalah budak yang kuat dan tabah, dan saya yakin dia mampu hadapi semua ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini hari ini.
Dalam tragedi pada 19 Disember lalu, ayahnya, Abdul Halim, 44, ibunya, Nurul 'Adilah @ Salaiwati Awang, 39, dan tiga kakaknya iaitu Nurul Arifah, 16, Nurul Hidayah Aina, 11, dan Nurul Izah, 10, lemas ketika mandi-manda di kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu.
Mohd Hasif terselamat kerana berada di daratan ketika kejadian itu berlaku.
Beliau ditempatkan di kelas Tahun 3 Umar bersama-sama 36 pelajar yang lain. 
Sementara itu guru kelasnya Zulkifli Mohamad, 28, berkata, pihak sekolah sedia maklum akan pengalaman pahit yang dialami oleh Mohd Hasif dan sedaya upaya akan melakukan yang terbaik bagi membantu ia pulih.
"Pada peringkat awal ini saya telah berpesan kepada semua murid di kelas  ini agar memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik untuk keluarga Mohd Hasif.
"Kami guru-guru di sekolah ini juga akan melakukan yang terbaik bagi membantu beliau menghadapi peristiwa pahit itu," katanya. - Bernama

Azimah Hubungi Rakan Tanya Cara Kahwini Warga Arab Sebelum Hilang


Diterbitkan: Ahad, 3 Januari 2016 11:27 PM

KUALA LUMPUR: Ibu tunggal Nor Azimah Ibrahim yang hilang di Madinah, pernah menghubungi kenalannya di Tanah Suci untuk mengetahui proses perkahwinan dengan warga Arab Saudi atau rakyat Malaysia yang menetap di sana.
Abdul Aziz Abas, yang kini menetap di Madinah mengikuti pengajiandi peringkat ijazah sarjana di Universiti Islam Madinah, berkata Nor Azimah menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp bertanyakan perkara berkenaan, beberapa hari sebelum dia dilaporkan hilang.
"Bila dia yang bercakap begitu, saya menjadi takut...sebab, nanti susah pula saya nak kena uruskan kahwin...apa semua. Saya sibuk dengan belajar,  peperiksaan, buat tesis," katanya ketika dihubungi Bernama TV di sini, Ahad.
Abdul Aziz berkata Nor Azimah, 31, adalah kenalannya semasa menuntut di sebuah kolej di Malaysia.
Abdul Aziz berkatabeliau kemudian meminta Nor Azimah menghubungi isterinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung proses perkahwinan itu.
"Saya kata pada Azimah untuk urusan lanjut hubungi isteri saya," katanya sambil menambah Nor Azimah kemudian tidak lagi menghubungi beliau atau isterinya selepas itu.
Abdul Aziz berkata dia juga telah dipanggil memberi keterangan oleh pihak berkuasa Arab Saudi susulan kehilangan Nor Azimah.
Nor Azimah yang mempunyai seorang anak perempuan dan berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Disember lepas.
Ibu mangsa, Zamhani Zakaria, 52, sebelum ini berkata kali terakhir dia bersama anaknya itu ialah pada 19 Disember lepas.
Zamhani yang tiba di tanah air pada 23 Disember lepas, berkata mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Malaysia pada 22 Disember lepas. - BERNAMA

18 Maut Feri Karam Di Sungai Nil


Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 7:13 AM
Gambar hiasan.

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 18 orang mati lemas apabila sebuah feri idak berlesen karam di utara Sungai Nil, di sini.
Kabinet dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata pasukan penyelamat menemui 15 mayat di wilayah Kafr al-Sheikh di utara bandar ini.
Sementara itu, tiga lagi mangsa yang terselamat kini menerima rawatan di sebuah hospital.
Kerajaan berkata, feri terbabit membawa 22 penumpang walaupun kapasiti maksimumnya adalah tujuh penumpang selain lesennya sudah tamat tempoh. 
Beberapa bulan lalu, sekurang-kurangnya 36 warga tempatan maut apabila sebuah bot parti bertembung dengan kapal kargo di Sungai Nil.
Susulan insiden pada Julai lalu, kerajaan memberi jaminan untuk memperketatkan peraturan di terusan dengan melarang penggunaan pembesar suara di kapal yang disewa untuk parti persendirian dan feri pengangkut.

Budak 2 tahun mangsa pertama di Laut Aegean

AHAD, 3 JANUARI 2016 @ 7:56 AM

 ATHENS: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menjadi pendatang pertama lemas pada tahun baharu selepas bot kecil padat dengan penumpang yang dalam pelayaran merempuh batu dekat Pulau Agathonisi, Greece, kata pengawal pantai. Seramai 39 penumpang lain termasuk seorang wanita yang tercampak keluar berjaya diselamatkan selepas nelayan tempatan membunyikan isyarat kecemasan. Sehubungan itu, seramai 10 pendatang yang terselamat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan disebabkan suhu badan rendah. Bot dibuat daripada getah itu belayar dari Turki pada awal pagi ketika cuaca berangin. Stesen Bantuan Pendatang Pesisir Pantai (MOAS) yang membantu menyelamatkan pendatang dan pelarian di laut, menghantar bot penyelamat bagi membantu penumpang yang terperangkap ketika operasi bersama dengan pengawal pantai Hellenic. Pengawal pantai berkata, mayat kanak-kanak dua tahun itu dibawa naik oleh nelayan. Sementara itu, pendatang termasuk ibu mangsa dibawa ke Pelabuhan Pythagorio di Samos, pulau terdekat iaitu kira-kira 50 kilometer. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110586

Lelaki parah diterkam jerung

SABTU, 2 JANUARI 2016 @ 5:43 PM

 SYDNEY: Seorang lelaki cedera di bahagian lengan dan kaki dipercayai akibat serangan jerung, hari ini ketika berenang di pantai timur Queensland. Perkhidmatan ambulans berkata, lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai diterkam seekor jerung ketika berenang di Teluk Rosslyn, kira-kira 670 kilometer ke utara Brisbane pada jam 12 tengah hari. "Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian lengan dan kaki. Keadaan mangsa sedang dinilai dan akan dipindahkan ke Hospital Rockhampton," katanya. Pengawal pantai tempatan berkata, mangsa dipercayai melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Miall dekat Teluk Rosslyn. - AFP


 SEORANG lelaki cedera di bahagian lengan dan kaki dipercayai akibat serangan jerung, hari ini ketika berenang di pantai timur Queensland. - Foto hiasan   DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110472

Kanak-kanak dua tahun maut telan bateri

SABTU, 2 JANUARI 2016 @ 4:28 PM

 Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Briana Flores meninggal dunia akibat tertelan bateri kecil ketika cuti perayaan Krismas.

 OKLAHOMA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat tertelan bateri kecil ketika cuti perayaan Krismas. Briana Flores dilaporkan jatuh sakit sehari selepas membuka hadiahnya di rumah datuknya pada Boxing Day (sehari selepas Krismas). Kanak-kanak malang dari Oklahoma itu dikejarkan ke hospital selepas kulitnya bertukar biru-kebiruan dan muntah darah. Datuknya, Kent Vice memberitahu Tulsa World: "Pada Sabtu, beliau dalam keadaan baik. Ia adalah sambutan Hari Natal yang sempurna," katanya. Sementara itu, doktor mengesahkan bahawa kanak-kanak itu menelan bateri kecil bersaiz butang dan terus menghantar mangsa ke hospital lain untuk menjalani pembedahan. Vice kemudian memberitahu akhbar itu: "Mereka buat pembedahan selama dua jam setengah, tetapi doktor gagal menghentikan pendarahannya. "Mereka (doktor) percaya asid bateri itu memasuki arteri karotid (saluran darah) dan kemudiannya esofagus (saluran yang menghubungkan tekak dan perut)... Kami tidak tahu bila dia menelan bateri itu," katanya. - AGENSI.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110459

New York kena saman isu label garam

AHAD, 6 DISEMBER 2015 @ 10:06 AM

SEBUAH restoran Applebees di New York City. Label baharu untuk rangkaian restoran yang menawarkan makanan bergaram di Bandaraya New York (NYC) bakal dibawa ke mahkamah, selepas pemilik restoran terbabit memfailkan saman kerana jabatan kesihatan melampaui had undang-undang dalam melaksanakan label itu. - Foto AFP NEW YORK: Label baharu untuk rangkaian restoran yang menawarkan makanan bergaram di Bandaraya New York (NYC) bakal dibawa ke mahkamah, selepas pemilik restoran terbabit memfailkan saman kerana jabatan kesihatan melampaui had undang-undang dalam melaksanakan label itu. "Ironinya, peraturan ini akan mengelirukan pelanggan dengan pemilihan makanan tidak sihat akibat pelaksanaan tidak menyeluruh, tidak konsisten dan berasaskan maklumat saintifik tidak tepat," mengikut saman terbabit. Saman itu difailkan persatuan restoran yang terjejas di sebuah mahkamah di Manhattan, baru-baru ini. Persatuan itu berkata, lembaga kesihatan melangkaui kuasanya dan mengeruhkan keadaan ketika pengawal selia peringkat persekutuan sedang menyiapkan peraturan melabel menu di seluruh negara. Saman itu mendakwa, label terbabit tidak masuk akal kerana hanya dilaksanakan ke atas penjual makanan tertentu dan berhujah ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara restoran kerana terpaksa meletakkan tanda amaran berasaskan pendapat saintifik penuh kontroversi. Jabatan Undang-Undang bandaraya berkata, ia akan meneliti tuntutan itu tetapi ia yakin Lembaga Kesihatan mempunyai kuasa dalam pelaksanaan label berkenaan. Pakar kesihatan umum berkata, simbol terbabit membantu orang ramai mengetahui kandungan garam tinggi dalam makanan mereka. Sebagai contoh, ada burger keju mempunyai lebih 4 gram garam sementara salad tertentu mempunyai lebih 3 gram garam. Ramai pakar berpendapat, warga Amerika memakan terlalu banyak garam dengan purata pengambilan di Amerika Syarikat adalah kira-kira 3.4 gram sehari. Pemakanan tinggi kandungan garam pastinya meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan masalah jantung. Bagaimanapun, pengeluar garam mendakwa ada kajian mendapati sebaliknya. Satu kajian antarabangsa ke atas 100,000 orang tahun lalu mencadangkan pengambilan garam tidak menyebabkan masalah kesihatan jantung kepada orang ramai. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102565

13 maut bas mini dirempuh komuter di Jakarta

AHAD, 6 DISEMBER 2015 @ 1:05 PM

JAKARTA: Tiga belas maut apabila bas mini Metromini yang mereka naiki dirempuh komuter elektrik di laluan Kalideres-Grogol berhampiran Stesen Angke, Jakarta Barat di sini, hari ini. Siaran berita televisyen tempatan melaporkan, akibat rempuhan itu bas mini yang cuba melintasi rel komuter berkenaan remuk setelah diseret sejauh 400 meter dalam kejadian itu jam 8.48 pagi. Pegawai Hubungan Manusia syarikat KAI Commuter Jabodetabek, Eva Chairunnisa, dipetik sebagai berkata bagaimanapun semua penumpang komuter terselamat. Beliau berkata, kerja-kerja mengeluarkan bangkai bas yang tersepit pada bahagian kepala komuter itu masih dilakukan dan pihaknya masih belum boleh membuat kenyataan berhubung punca kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Seksyen Tambora, Wirdhanto berkata setakat ini polis mengesahkan 13 orang maut manakala tiga lagi parah. Semua mereka adalah penumpang bas mini terbabit. Katanya, semua mangsa dihantar ke Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo, Jakarta Pusat dan hospital berhampiran. Kemalangan itu mengakibatkan laluan menuju ke Angke di Jakarta Barat mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk hingga sekarang. - BERNAMA Stesen Angke, Jakarta Barat.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/102626

Syabu, senapang buatan sendiri dalam kereta

Labuan: Polis menahan empat orang termasuk seorang wanita dan merampas 37 tiub berisi dadah jenis syabu seberat 6.52 gram dan merampas tiga senjata api buatan sendiri berserta guli sebagai peluru di Jalan Tanjung Kubong, Labuan, jam 3 pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, ketika kejadian dua anggota unit peronda polis yang sedang membuat rondaan, menahan sebuah kereta pacuan empat roda yang berada di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan mendapati tiga lelaki dan seorang wanita berada dalam kereta dan siasatan menemui satu tin aluminium daripada seorang suspek. Pemeriksaan lanjut menemui 37 tiub mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 6.52 gram bernilai RM1,000.
"Pemeriksaan seterusnya menemui dua laras senjata api buatan sendiri dan apabila pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan kejadian, polis menemui satu lagi senapang buatan sendiri yang disembunyikan dalam longkang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas peluru berupa guli dan semua yang ditahan berusia antara 30-an hingga 40-an itu dibawa ke IPD Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 3:58 PM


Syabu dan tiga laras senapang buatan sendiri yang dirampas selepas menahan empat individu termasuk seorang wanita ditahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104542#sthash.HOiclnpl.dpuf

Syukur tak rentung bersama kereta

Shah Alam: Pemandu sebuah kereta nyaris maut selepas kenderaan dipandunya terbakar selepas terbabas di Bukit Jelutong di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang memandu bersendirian dipercayai hilang kawalan sebelum keretanya terbabas berhampiran Space U8, Bukit Jelutong.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.14 pagi sebelum enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya yang tiba tiga minit kemudian mendapati kenderaan jenis Proton Waja itu sudah terbakar keseluruhan.
"Bagaimanapun pemandunya seorang lelaki berusia 61 tahun berjaya diselamatkan orang awam.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya di sini sebentar tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 4:01 PM

Ketika bomba tiba, kereta sudah terbakar keseluruhan. - Foto Ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104545#sthash.vzOumGoR.dpuf

Dirompak ketika solat asar

Marang: Peniaga kedai emas menanggung kerugian RM200,000 apabila satu dulang emas milik kedai emasnya dilarikan pencuri wanita di Pekan Bukit Payung, di sini, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku ketika isteri kepada pemilik kedai emas itu menunaikan solat asar dan menutup kedai tanpa menguncinya kira-kira 4.30 petang.
Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari kira-kira 5 petang apabila isteri mangsa melihat sedulang emas mengandungi pelbagai jenis emas yang berada di dalam bahagian cermin dipasang jerejak sudah tiada lalu menghubungi suaminya berusia 53 tahun.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita masuk ke dalam kedai emas berkenaan sebelum mengambil dulang itu dengan menghulurkan tangannya ke dalam tempat penyimpanan emas membabitkan kerugian dianggarkan bernilai RM200,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan suspek dengan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:50 PM


RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek mencuri barang kemas. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104560#sthash.iTAC2iwD.dpuf

Seorang maut, seorang cedera

Bukit Beruntung: Seorang maut, seorang lagi cedera apabila kenderaan mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 431 Lebuh Raya Utara Selatan dekat susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung arah Ipoh, petang tadi.
Kejadian jam 2 petang itu membabitkan tiga kenderaan dan tujuh mangsa tetapi lima lagi selamat.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Omar Mohd Yatim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.12 petang dan jentera tiba jam 2.59 petang.
"Ketika bomba sampai semua mangsa sudah dibawa keluar oleh orang awam dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.
"Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dipercayai dipandu laju sebelum merempuh dua kereta lain,"
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:52 PM


Keadaan dua kereta yang bertembung menyebabkan serang maut dekat susur masuk Plaza Tol Bukit Beruntung. - Foto Ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104562#sthash.70xbkMgh.dpuf

Remaja maut motosikal dirempuh kereta

Sitiawan: Remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunganginya dirempuh kereta di Kilometer 14.5 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Mohamad Zulkanain Mohammad,19, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari arah belakang oleh kereta.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, mangsa dirempuh ketika sedang membelok ke kanan jalan.
"Kereta yang dipandu seorang lelaki itu dalam perjalanan dari Sitiawan menuju ke Teluk Intan dan secara tiba-tiba mangsa yang berada di hadapan dipercayai mengubah laluan dari kiri ke kanan.
"Pemandu kereta tidak sempat mengelak kerana jarak yang sangat dekat dan melanggar bahagian kanan belakang motor yang ditunggang mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Chong berkata, akibat rempuhan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 6:04 PM


MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104564#sthash.RAdHJwFK.dpuf

Kerugian hampir setengah juta ringgit

Kota Bharu: Bahagian enjin kapal korek pasir di Kampung Sireh, di sini, terbakar menyebabkan kerugian RM490,000, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu disedari beberapa pekerja selepas melihat api marak di bahagian enjin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.41 pagi dan tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika sampai, api sedang marak di bahagian enjin dan bagi memadamkan api, kami menggunakan sumber air sungai bagi menyejukkan bahagian tangki yang menyimpan diesel.
"Selepas memastikan kapal itu selamat, bomba mula melakukan kerja memadam api yang mengambil masa selama sejam lebih," katanya di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 6:06 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104566#sthash.xFblj1gR.dpuf