Search This Blog

Saturday, January 2, 2016

Pemilik Kedai Makan Cedera Disamun Tiga Lelaki


Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 4:39 PM

IPOH: Seorang pemilik kedai makan cedera di kepala selepas disamun tiga lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan sepucuk pistol,  di kedainya di Kampung Keboi, Kuala Dipang dekat Kampar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari ketika mangsa Wong Kok Keong, 48, sedang mengemas premisnya.

"Dia didatangi suspek yang bertanya mengenai kandang babi di kawasan itu serta meminta air untuk minum. Seorang daripada suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacu kepada mangsa.

"Mangsa yang berada dalam keadaan takut terus melarikan diri tetapi telah dikejar dan suspek bertindak mengikat dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan batu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Ng berkata suspek telah melarikan kereta jenis Ford Ranger dan selaras 'shotgun' berserta 10 butir peluru milik mangsa di dalam kereta itu.

Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan dan polis sedang giat memburu suspek.

Mayat Wanita Ditemui Terapung Di Perairan Pulau Nunuyan


Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 7:22 PM

SANDAKAN: Mayat seorang wanita ditemui terapung di laut berhampiran Pulau Nunuyan Laut di sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata mayat itu ditemui kira-kira 7 pagi oleh seorang penduduk Pulau Nunuyan yang sedang menaiki bot, lalu menarik mayat itu hingga berdekatan Pos Pasukan Gerakan Am di pulau itu.

"Ketika ditemui, mayat itu memakai seluar pendek paras lutut berwarna coklat dan bercoli hitam. Tiada pengenalan diri ditemui, dia dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an," katanya di sini, Sabtu.

Mayat itu dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

Zabidi berkata pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan luaran pada mayat itu.

Kerana cinta, remaja perempuan sanggup menipu



SHAH ALAM - Atas dasar saling mencintai, kurang didikan agama serta kurangnya perhatian dan kasih sayang keluarga, seorang remaja perempuan sanggup melakukan penipuan demi bersama teman lelaki.
Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, itu antara punca remaja perempuan sanggup menipu keluarganya sendiri kerana cinta dan ingin bebas.
“Kerana kurangnya didikan agama, maka timbul perkara tidak sepatutnya. Apabila kurangnya perhatian dan kasih sayang, mereka mula melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan kepada keluarga," katanya.
Tengku Asmadi berkata, kerana terlalu terbuai-buai dengan perasaan cinta, terdedah dengan cerita cinta dan ditambah pula usia begitu mudah, membuatkan mereka membayangkan keindahan di alam percintaan.
Bagaimanapun, ibu bapa memainkan peranan untuk selalu mengingat dan menasihati anak-anak remaja perempuan bahawa tidak wujud lelaki di luar sana yang akan mengambil kesempatan ke atas mereka.
Pada masa sama, anak-anak juga perlu lebih bijak, bukan sahaja dalam pelajaran, tetapi dari segi sosial.
“Mereka harus faham ada pihak cuba memerangkap mereka menggunakan ayat-ayat ‘power’. Jadi apabila anak perempuan ini mengetahui, jadi tidaklah mereka mudah terperangkap dengan jerat cinta lelaki,” katanya.
Beliau berkata, ada ibu bapa terlalu percaya anak. Apabila berlaku kes seperti ini, kita terima kesan.
“Lagi pun tidak pelik anak menipu. Kes sebegini banyak berlaku. Kadang-kadang mereka sendiri berpakat dengan kawan supaya mereka boleh keluar dengan teman lelaki.
“Sikap remaja begini membuatkan orang ramai marah. Namun, kita jangan serik  bantu. Jika berlaku kes sebegini yang sengaja diada-adakan ceritanya, wujud kes benar,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian viral yang berlaku terhadap remaja perempuan 14 tahun baru-baru ini, umurnya terlalu mentah dan mungkin bertindak tanpa fikir panjang.
“Beri mereka peluang. Mungkin ia pengajaran kepada anak remaja lain,” katanya.
Katanya, dalam insiden tersebut, keluarga pasti malu, kerana pada saat ia diviralkan keluarga berharapkan bantuan agar anak ditemui,  tetapi pada masa rasa marah.
Marah pada si anak gadis dan malu dengan orang ramai kerana ia membongkar kelemahan keluarga itu dalam segi pendidikan. Namun keluarga perlu sabar dan beri peluang  agar anak itu fahami makna hidup
.

Ikan ternak kena racun


Mohd Nor Paisal (kiri) menunjukkan keadaan ikan diternak di dalam sangkar yang mati keseluruhannya sambil diiringi Malik (tengah) dan Roslan.

BAGAN SERAI - Gara-gara menegur sekumpulan lelaki, penduduk Kampung Parit Haji Taib 2, di sini berputih mata apabila ratusan ikan diternak di sepanjang parit utama kampung itu, mati akibat perbuatan khianat.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kelmarin penduduk dikejutkan dengan fenomena ikan timbul di sepanjang permukaan parit utama kampung itu, dipercayai mati akibat diracun.
Penduduk, Malik Ahmad, 55, berkata, tiga hari sebelum kejadian itu, pada jam 9.30 malam, penduduk mengenal pasti tiga individu luar menaiki sebuah lori cuba menangkap ikan di parit utama kampung menggunakan pukat harimau.
Menurutnya, tindakan mereka itu tidak disenangi penduduk memandangkan penggunaan pukat harimau bukan sahaja mengaut keseluruhan ikan, malah turut menjejaskan benih ikan terdapat di dalam parit itu.
“Berikutan itu, saya bersama beberapa penduduk lain menegur dan mendesak mereka menghentikan perbuatan itu serta-merta.
“Setelah dilarang, mereka mengemas barang untuk beredar, namun seorang daripada mereka mengeluarkan kata-kata ugutan akan melakukan sesuatu tidak diingini penduduk sebelum pergi,” katanya kepada media di sini, semalam.
Malik berkata, pada jam 9 malam kelmarin, penduduk tidak menyangka ugutan itu bertukar menjadi kenyataan setelah mereka menemui ratusan bangkai ikan timbul di sepanjang parit utama kampung.
“Lebih mengecewakan, terdapat beberapa sangkar pelbagai jenis ikan air tawar diusahakan penduduk turut terjejas apabila pihak tidak bertanggungjawab bertindak membubuh racun di parit berkepanjangan dua kilometer itu.
“Kejadian ini membingungkan penduduk dan menyebabkan beberapa pengusaha sangkar ikan kerugian berjumlah keseluruhan lebih RM10,000,” katanya.
1,000 benih ikan mati
Kejadian itu turut merugikan seorang peniaga makanan di kampung berkenaan.
Peniaga kedai makan, Mohd Nor Paisal Noraini, 39, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM5,000 setelah dua sangkar ikan miliknya menempatkan lebih 1,000 benih ikan tilapia mati keseluruhannya.
“Selain itu, gerai makan saya turut terjejas kerana faktor bau busuk dari ikan mati yang timbul di permukaan parit berkenaan.
“Kejadian itu turut menyebabkan premis saya ditutup memandangkan bau busuk yang meloyakan dari parit utama kampung menjejaskan kehadiran pelanggan,” katanya.
Pengusaha ikan sangkar, Roslan Hussein, 35, kesal apabila lebih 1,000 ikan tilapia merah dan ikan puyu diternak mati kesemuanya menyebabkan dia menanggung kerugian hampir RM5,000.
“Kesemua ikan itu hanya menunggu masa untuk dipasarkan, namun apakan daya tiada rezeki saya untuk kali ini,” katanya.
Dia berkata, susulan kata-kata ugutan diterima penduduk daripada kumpulan tidak dikenali itu, pihaknya segera membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai dan percaya kejadian khianat itu ada hubung kait dengan mereka.
“Kejadian khianat sebegini pertama kali berlaku di kampung ini dan saya menggesa polis segera menjejaki dalang kejadian bagi mengelakkan kejadian sama berulang di kampung lain,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 430A Kanun Keseksaan.
“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katany
a

Kes Nur Amirah: MyWatch mahu tindakan tegas diambil


Remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki diculik. - Foto Facebook

SHAH ALAM – Remaja hilang yang kononnya diculik, Nur Amirah Athirah Abdul Majid perlu dikenakan tindakan tegas kerana melakukan dakwaan palsu berhubung kehilangannya.
Pengerusi  kumpulan pemerhati jenayah MyWatch, Datuk Seri Sanjeevan R berkata, tindakan yang dilakukan remaja terbabit bukan sahaja menyusahkan ibu bapa tetapi turut menyusahkan pihak polis dan orang awam yang ramai bersimpati mengenai keselamatan dirinya.
“MyWatch mengutuk sekerasnya tindakan remaja 14 tahun, Nur Amirah yang mereka cerita dengan mendakwa dirinya diculik supaya beliau dapat keluar bersama teman lelakinya.
“Mywatch menggesa tindakan tegas dikenakan kepada remaja ini di bawah  Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Teman lelaki remaja ini juga harus didakwa kerana bersubahat dalam kes penipuan ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Nur Amirah yang hilang sejak Ahad lepas ditemui selamat bersama teman lelakinya di dalam sebuah kereta di Banting, Selangor oleh pasukan polis jam 8 malam tadi.
Menurut Sanjeevam, pihaknya percaya sekiranya tiada tindakan tegas diambil, kes seperti ini akan berulang pada masa akan datang.
“Ini bukan kes yang pertama kalinya berlaku. Sebelum ini pada hujung tahun 2014, seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang turut bertindak mereka cerita kononnya diculik oleh tiga lelaki di hadapan rumah sewanya di Pasir Gudang hanya kerana mahu melepaskan diri setelah gagal menghantar tugasan yang  diberi pensyarah.
“Bagaimanapun, MyWatch memuji risikan berkesan pihak polis yang berjaya menjejaki remaja ini dan teman lelakinya. MyWatch turut menghargai rasa simpati dan ambil berat masyarakat dalam kes jenayah ini,” katanya lagi
.

Tak sangka tahi lalat penyebab kanser


Kesan parut di muka serta leher Gemma

LANCASHIRE - BRITAIN. Seorang wanita tidak pernah menyangka tahi lalat yang dimilikinya sejak berusia 15 tahun adalah penyebab kanser.

Gemma Cottam, 25, dari Skelmersdale memuatnaik foto yang menunjukkan parut kekal di mukanya bagi mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan mengenai tahi lalat.

Menurut Gemma, dia menyedari mengidap kanser atau melanoma tahap dua selepas diberitahu doktor mengenai penyakitnya itu selepas menjalani pembedahan membuang tahi lalat berkenaan untuk tujuan kecantikan.

"Ujian yang dilakukannya menunjukkan tahi lalat itu telah merebak ke nodus limfa dan terpaksa menjalani pembedahan besar untuk merawatnya," katanya dipetik Mirror.uk

Gemma turut berkongsi gambar parut selepas pembedahan di laman Facebooknya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahaya tahi lalat.

"Ia adalah mengerikan tetapi itulah yang saya terpaksa  hadapi dan saya mahu meningkatkan kesedaran bahawa tahi lalat kecil boleh menjadi kanser dan orang ramai tidak seharusnya mengabaikannya,” katanya lagi.

Gemma menjalani dua pembedahan sejak Oktober lalu dan pembedahan itu turut menyebabkan kerosakan saraf yang menyukarkan dia bergerak serta menghadapi masalah di telinga kiri, leher dan lengan kiri yang memaksanya untuk menjalani fisioterapi bagi merawatnya
.

Janda bawa anak dicekup khalwat


Seorang ibu tunggal menenangkan anaknya yang berusia 10 tahun setelah dicekup bersama teman lelakinya

GEORGETOWN - Seorang janda sanggup membawa bersama anak lelaki berusia 10 tahun ke sebuah hotel bajet di Seberang Jaya, di sini, semata-mata mahu melampiaskan nafsu bersama suami orang.
Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu hotel berkenaan kira-kira jam 3 pagi semalam.
Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berusia 27 tahun membuka pintu dan pada awalnya mengaku membawa ‘anaknya’ bersama.
Namun setelah pemeriksaan lanjut, lelaki dan wanita berusia 36 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perkahwinan.
Ketua Operasi dan Penguatkuasaan JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, pada awal pemeriksaan mendapati kanak-kanak lelaki itu sedang tidur di bahagian tepi katil dan langsung tidak menyedari apa-apa.
“Lelaki tersebut mengaku sudah berkahwin dan mempunyai isteri di Balik Pulau, sementara wanita dari Sungai Petani berkenaan sudah bercerai dengan suaminya.
“Apa yang kami kesalkan ialah mereka turut membawa anak berusia 10 tahun, yang sudah tentu tertanya-tanya apa yang terjadi terhadap emaknya sendiri apabila ditahan penguatkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Setelah diarahkan untuk mengosongkan bilik hotel berkenaan, kanak-kanak tersebut dilihat masam mencuka dan kelihatan bersedih.
Sepanjang waktu ditahan JHEAIPP, ibunya dilihat cuba memberi penerangan satu persatu sambil dilihat kanak-kanak tersebut hanya termangu kosong.
Gadis berkongsi bilik dengan beberapa lelaki
Berlainan situasinya di Tanjung Bungah apabila sekumpulan remaja lelaki dari Kelantan ditemui bersama remaja wanita yang turut menginap bersama di dalam sebuah bilik.
Ketika pemeriksaan awal dilakukan pada jam 4.30 pagi itu, remaja perempuan berkenaan memberikan alasan bilik sudah penuh.
“Dalam bilik tu, ada sepupu lelaki saya, dia ada dengan saya ustaz,” katanya memberikan alasan kepada penguatkuasa.
Bagaimanapun hairannya di dalam bilik yang sama terdapat beberapa lagi lelaki yang lain dan berkemungkinan boleh membahayakan dirinya sendiri.
Semua mereka berkonvoi ke negeri ini kononnya menyambut Malam Ambang Tahun Baharu 2016.
“Kami datang suka-suka saja, bilik kongsi-kongsi nak jimat kak, mana kami ada duit banyak nak tempah bilik banyak-banyak,” katanya.
Itu antara alasan yang didengari daripada mulut remaja berkenaan ketika dibawa masuk ke van penguat kuasa JHEAIPP.
Lelaki cetus provokasi
Penguatkuasa turut berdepan dengan beberapa individu yang tidak mahu memberikan kerjasama.
Wartawan Sinar Harian sendiri melihat bagaimana ada di antara individu yang cuba berkasar dengan penguatkuasa dan dilihat melakukan provokasi.
Seorang lelaki di sebuah hotel bajet di sini, membuka pintu pada jam 5.45 pagi setelah diketuk oleh anggota penguatkuasa.
Ketika diminta menunjukkan bukti perkahwinan, lelaki tersebut dengan nada kasar menjawab.
“Pasaipa semua nak check, dah kata kahwin cukuplah, orang nak solat Subuh pun tak tenang, nak buat apa?, tak payahlah," katanya.
Bagaimanapun kakitangan penguatkuasa wanita menjawab dengan tenang dan menyatakan ia hanyalah prosedur biasa.
Bagaimanapun lelaki itu tiba-tiba berkata, ‘tak payah nak marahlah, saya cakap baik-baik’.
Sedangkan penguatkuasa JHEAIPP dengan tenang menjawab sementara lelaki tersebut dilihat sengaja mencetuskan provokasi.
Khairul Azman berkata, itu adalah prosedur biasa dan orang ramai perlu bekerjasama.
“Kadangkala ada yang dah kata kahwin dan memang bawa kanak-kanak, bila kami periksa dan selidik semua sekali, rupa-rupanya tidak berkahwin, itu adalah cara biasa pemeriksaan, selepas ini kami berharap supaya lebih ramai memberikan kerjasama,” katanya.
13 lokasi diperiksa
Operasi Maksiat Malam Ambang Tahun Baru 2016 itu bermula pada jam 2 pagi dan berakhir jam 8 pagi semalam.
50 individu ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 untuk sepanjang tahun 2015.
Jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara, ataupun kedua-duanya sekali.
Khairul Azman berkata, mereka terdiri daripada 24 perempuan dan 26 lelaki yang terdiri dari lingkungan usia dari 18 hingga 30 tahun.
“Sebanyak 13 lokasi diperiksa termasuk di Daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah, dan juga Seberang Perai Utara.
“Kami terdiri daripada 25 penguatkuasa yang turut dibantu oleh anggota polis,” katanya.
Kesemua dibawa ke Pejabat Agama JHEAIPP Butterworth untuk siasatan dan dijamin oleh ahli keluarga masing-masing.
Khairul menasihatkan supaya ibu bapa lebih memantau pergerakan anak masing-masing terutama yang masih berada di bawah umur.
“Jika sayangkan anak anda, pantaulah sebaiknya, kita tidak mahu ada yang menyesal di kemudian hari,” katanya
.

Hak Pertahan Diri Ada Batas: Pakar Undang-Undang


Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 9:35 AM

PETALING JAYA: Undang-undang mengatakan bahawa anda mempunyai hak untuk mempertahankan diri apabila mendepani penjenayah dan walaupun anda 'tidak sengaja' membunuhnya.
Namun pakar undang-undang memberi amaran bahawa terdapat satu 'garis halus' antara perbuatan mempertahankan diri dan juga membunuh.
Insiden seorang lelaki yang didakwa di mahkamah kerana membunuh selepas dua lelaki yang cuba merompak kediamannya di Terengganu hangat diperkatakan sama ada secara dalam talian mahupun media sosial.
Lelaki itu menikam kedua-dua perompak tersebut dan salah seorang daripadanya meninggal dunia.
Peguam Sreekant Pillai memberikan contoh fiksyen pemilik rumah diserang perompak bersenjatakan pisau dan dalam pergelutan itu, menikam dan membunuh perompak tersebut.
"Hak dan had mempertahankan diri adalah tentang mendepani kekerasan yang munasabah. Ini boleh dianggap sebagai kekerasan yang munasabah dan juga, mempertahankan diri," kata Sreekant.
Dalam situasi berbeza, beliau berkata sekiranya anda menikam perompak sebanyak tiga hingga empat kali, anda mungkin tidak dianggap mempertahankan diri.
"Tikaman sebanyak tiga hingga empat kali boleh ditafsirkan sebagai niat. Oleh itu, ia boleh dikira sebagai membunuh," katanya.
Peguam Kanan Persekutuan, Ishak Mohd Yusoff menyebut contoh apabila seseorang yang menembak mati seorang lelaki yang menyerangnya dengan sepapan kayu kecil.
Dalam kes ini, 'ancaman' dari penyerang tidak akan dianggap sebagai teruk sehingga menyebabkan dia ditembak mati.
"Tetapi jika ada tiga anak bersama dengan saya dan anda menyerang saya dengan sepapan kayu dan saya menembak anda, itu adalah perbuatan mempertahankan diri.
"Kerana saya bimbang mungkin kehilangan atau anak-anak saya akan cedera.
"Sepapan kayu kecil boleh mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak," katanya.
Seksyen 96 dan 97 Kanun Keseksaan menggariskan 'hak mempertahankan diri sendiri'.
Seksyen 96 menyatakan bahawa amalan mempertahankan diri tidak anggap satu kesalahan.
Seksyen 97 menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka dan orang lain terhadap kecederaaan tubuh badan atau demi mempertahankan harta benda mereka daripada kecurian, rompakan, khianat atau pencerobohan.
Namun Seksyen 99 (4) menyatakan bahawa tidak hak untuk mempertahankan diri jika melampaui daripada yang sepatutnya adalah disengajakan bagi tujuan tersebut.
Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan menjelaskan bahawa mahkamah di Malaysia dilihat tidak munasabah apabila meneliti kes kematian semasa mangsa mempertahankan diri dalam situasi seperti rompakan.
"Terdapat banyak kes di Malaysia di mana mahkamah membenarkan hak mempertahankan diri.
"Dalam kebanyakan kes, terutama dalam perbuatan pecah rumah, jika anda menyerang perompak bersenjata, ada anggapan bahawa terdapat penggunaan kekerasan yang munasabah," katanya.
Namun, Sreekant berkata orang ramai tiada hak untuk memutuskan sama ada kekerasan munasabah telah digunakan.
Budi bicara terletak di tangan pihak polis dan Jabatan Peguam Negara yang mempunyai fakta yang boleh digunakan untuk menentukan sama ada mereka perlu mendakwa seseorang atas pertuduhan bunuh atau tidak.
"Oleh itu, kepada mereka yang kata anda tidak boleh pertahankan diri, anda sebenarnya boleh. Ia bergantung kepada berapa banyak tenaga yang anda gunakan," katanya.

Segamat & Tangkak Dilanda Banjir, 74 Mangsa Dipindahkan


Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 9:22 AM
Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Johor membantu mangsa banjir untuk bergerak dari rumah mereka yang dimasuki air di Kampung Pogoh 2 Segamat pada Rabu. - FotoBERNAMA

JOHOR BARU: Dua pusat pemindahan banjir dibuka, masing-masing satu di Segamat dan Tangkak, apabila 74 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan apabila kampung mereka dilanda banjir.
Pengarah Pertahanan Awam Negeri Johor Kol (PA) Mat Zin Bujang berkata proses pemindahan mangsa banjir bermula lewat petang sehingga malam Jumaat.
Katanya daripada jumlah itu, 52 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Orang Asli Segamat Kechil.
"Di Tangkak pula, pusat pemindahan dibuka di Sekolah Kebangsaan Sialang yang menempatkan seramai 22 mangsa daripada lima keluarga," kata beliau dalam satu kenyataan di sini. - BERNAMA

Seorang Rentung, 20 Diselamatkan Dalam Kemalangan Bas, Kereta Dekat Yong Peng


Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2016 7:10 AM
Seorang pemandu kereta rentung dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas.

BATU PAHAT: Seorang pemandu kereta rentung manakala 20 penumpang termasuk pemandu bas berjaya diselamatkan dalam kebakaran susulan kemalangan antara kedua-dua kenderaan itu di Kilometer 124.5, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Yong Peng, malam Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Mohd Lazim Abdul Rahman berkata mayat mangsa yang belum dikenal pasti itu, rentung berikutan keretanya terbakar 100 peratus.
"Bomba menerima panggilan pada pukul 8.53 malam dan sebaik tiba di tempat kejadian pada 9.13 malam, kami dapati berlaku kebakaran melibatkan bas dan kereta yang telah terbakar keseluruhannya," katanya.
Mohd Lazim berkata seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng dan Timah Sari dikejarkan ke tempat kejadian.
Operasi memadam api tamat pada 11.20 malam Khamis, katanya. - BERNAMA

Empat Penjenayah Ditembak Mati Di Bintulu


Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2016 11:58 AM

KUCHING: Polis menembak mati empat lelaki awal pagi Jumaat yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga rompakan bersenjata dilaporkan di Bintulu, bulan lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata insiden itu berlaku dalam pukul 1 pagi semasa tiga pasukan D9 sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, kira-kira 600km dari sini, berikutan beberapa rompakan yang berlaku sebelum ini.
Beliau berkata semasa rondaan, pasukan itu ternampak empat lelaki yang berkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta Toyota Vios dan sejurus mereka menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu memecut ke arah Miri.
"Kereta itu kemudian membelok ke dalam ladang kelapa sawit, Ladang Maskat di Km42 Jalan Bintulu-Miri. Pasukan polis terus mengejar kereta itu sehingga ia terbabas ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.
Beliau berkata apabila pihak polis menghampiri kenderaan itu, kemudian polis mendengar beberapa tembakan dipercayai daripada selaras senapang patah daripada kereta itu, dan polis membalas tembakan ke arah kereta suspek.
Muhammad Sabtu berkata beberapa anggota polis mengejar suspek apbila melihat dua lelaki keluar daripada kereta dan bergegas ke ladang kelapa sawit tetapi apabila mereka hampir tiba di ladang itu mereka berpusing balik dan cuba menyerang anggota polis.
"Seorang daripada mereka melibas sebilah parang dan seorang lagi sebilah sabit. Polis menembak mati mereka untuk mempertahankan diri. Pemeriksaan taktikal polis selepas itu mendapati kesemua empat lelaki itu mati selepas polis melepaskan tembakan.
"Seorang suspek rebah di kerusi pemandu, suspek kedua ditemui di temapt duduk penumpang dengan senapang patah di sisi tubuhnya. Dua lagi suspek berada tidak berapa jauh daripada kereta dengan parang dan sabit di sisi tubuh masing-masing, " katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan memecah rumah, sebilah parang dan beberapa jam tangan dipercayai daripada rompakan awal manakala Toyota Vios yang digunakan mereka dilaporkan hilang di Bintulu pada Julai 2015.
"Tiada dokumen pengenalan dijumpai pada suspek, yang disyaki terlibat dalam tiga rompakan bersenjata di Bintulu pada 25 Disember dan terakhir pada 29 Disember," katanya.
Muhammad Sabtu juga berkata kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes di Miri dan Sibu tahun lepas.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak atas kejayaan pasukan D9 yang telah berada di Bintulu sejak sebulan lepas untuk mengumpul maklumat risikan dan menjejaki kumpulan itu.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya mengucapkan syabas atas kejayaan itu.  - BERNAMA

Maut Jatuh Cerun Ketika Berkelah di Gunung Jerai


Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2016 10:42 PM

YAN: Seorang lelaki berusia 51 tahun maut dipercayai  tergelincir dan terjatuh ke dalam cerun sewaktu berkelah di pusat peranginan Taman Rimba Gunung Jerai dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhamad Halim Yatim berkata mangsa dikenali sebagai Ishak Ibrahim, 51, dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Difahamkan mangsa bersama isteri dan anaknya datang untuk berkelah kira-kira pukul 2.30 petang. Pada pukul 4.30 petang, anaknya mencarinya untuk mengajaknya makan dan kemudian menemui bapanya di dalam cerun setinggi 15 meter.

"Selepas dihubungi, pasukan bomba Guar Chempedak datang dan membawa mangsa keluar," katanya kepada Bernama.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Yan untuk dibedah siasat.

Warga Korea Mangsa Culik Ditemui Mati Di Jolo


Diterbitkan: Ahad, 1 November 2015 5:56 PM
Pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga bagi memelihara keselamatan penduduk sekitar Jolo.

ZAMBOANGA: Mayat warganegara Korea yang diculik awal tahun ini ditemui di sebuah kolej di daerah Jolo, Sulu pada malam Sabtu.
Ketua Angkatan Tentera Laut Mindanao Barat, Komander Vincent Roy Trinidad berkata, mangsa yang dikenalpasti sebagai Hong Nwi Seong diculik di bandar Roseller Lim, Zamboanga Sibugay.
Kejadian culik membabitkan pemilik restoran yang berusia 73 tahun itu berlaku pada 24 Januari lalu.
Trinidad berkata, mayat Nwi Seong yang mula mereput itu ditemui pada pukul 10.30 malam.
Katanya lagi, laporan awal polis mengatakan pemeriksaan pada mayat mangsa tidak menemui kesan tembakan atau luka tikaman.
Mangsa dianggarkan mati antara tiga hingga lima hari lepas. 

16 Cedera Hotel Mewah Di Dubai Terbakar


Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2016 7:16 AM
Hotel Address Downtown terbakar menjelang sambutan tahun baru.

DUBAI: Seramai 16 cedera dalam kebakaran sebuah hotel mewah berdekatan menara tertinggi dunia, Burj Khalifa, beberapa jam menjelang sambutan tahun baharu.
Menurut saksi, Hotel Address Downtown yang terletak cuma beberapa blok dari menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa terbakar membabitkan beberapa tingkat ketika siren berbunyi dan helikopter berlegar di udara.
Ketua Polis Dubai berkata, tetamu di hotel lima bintang itu dipindahkan dari tempat kejadian.
Katanya, setakat ini punca kejadian belum dapat dipastikan dan kebakaran tidak dapat dipadamkan sepenuhnya selepas beberapa jam berlaku.
"Semua tetamu dipindahkan. Sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya, kami tidak mempunyai maklumat mengenai punca kejadian," kata Jeneral Khamis Matar al-Mzeima.
Sehubungan itu, tweet dari pejabat media berkata: "Sekurang-kurangnya 14 mengalami kecederaan ringan dan seorang parah manakala seorang lagi mengalami serangan jantung akibat berasak-asak."
Seorang saksi, Raphael Slama berkata, kebakaran bermula kira-kira pukul 9.30 malam waktu tempatan dan merebak di beberapa tingkat hotel berkenaan.
Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian berkata kebakaran bermula di bahagian tengah hotel sebelum merebak dengan cepat.
"Orang ramai yang berada dekat dengan tempat kejadian mula panik dan melarikan diri jauh dari situ," katanya.
Kumar, yang berada dekat dengan hotel itu berkata dia ternampak kebakaran dari tingkat atas, dua jam sebelum tengah malam.
"Orang ramai mula menjerit dan berlari meninggalkan hotel tersebut," katanya.

18 Maut Feri Karam Di Sungai Nil


Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 7:13 AM
Gambar hiasan.

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 18 orang mati lemas apabila sebuah feri idak berlesen karam di utara Sungai Nil, di sini.
Kabinet dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata pasukan penyelamat menemui 15 mayat di wilayah Kafr al-Sheikh di utara bandar ini.
Sementara itu, tiga lagi mangsa yang terselamat kini menerima rawatan di sebuah hospital.
Kerajaan berkata, feri terbabit membawa 22 penumpang walaupun kapasiti maksimumnya adalah tujuh penumpang selain lesennya sudah tamat tempoh. 
Beberapa bulan lalu, sekurang-kurangnya 36 warga tempatan maut apabila sebuah bot parti bertembung dengan kapal kargo di Sungai Nil.
Susulan insiden pada Julai lalu, kerajaan memberi jaminan untuk memperketatkan peraturan di terusan dengan melarang penggunaan pembesar suara di kapal yang disewa untuk parti persendirian dan feri pengangkut.

18 Maut Feri Karam Di Sungai Nil


Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2016 7:13 AM
Gambar hiasan.

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 18 orang mati lemas apabila sebuah feri idak berlesen karam di utara Sungai Nil, di sini.
Kabinet dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata pasukan penyelamat menemui 15 mayat di wilayah Kafr al-Sheikh di utara bandar ini.
Sementara itu, tiga lagi mangsa yang terselamat kini menerima rawatan di sebuah hospital.
Kerajaan berkata, feri terbabit membawa 22 penumpang walaupun kapasiti maksimumnya adalah tujuh penumpang selain lesennya sudah tamat tempoh. 
Beberapa bulan lalu, sekurang-kurangnya 36 warga tempatan maut apabila sebuah bot parti bertembung dengan kapal kargo di Sungai Nil.
Susulan insiden pada Julai lalu, kerajaan memberi jaminan untuk memperketatkan peraturan di terusan dengan melarang penggunaan pembesar suara di kapal yang disewa untuk parti persendirian dan feri pengangkut.

Ajal dua beradik

Papar: Dua beradik lelaki masing-masing berusia 10 dan 12 tahun ditemui lemas di kolam terbiar di Kampung Simpudu, dekat sini, tengah hari tadi.
Mangsa, Davis Ching Meng ditemui pada 12.40 tengah hari dan abangnya Rony Chiu Meng, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui setengah jam kemudian oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar.
Mereka dipercayai mandi di kolam berkenaan sebelum lemas.
Ketua BBP Papar Dunstan Peter berkata, sebaik menerima maklumat daripada ibu kedua-dua mangsa, sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 12.50 tengah hari, mangsa pertama sudah ditemui pekerja kebun berhampiran lokasi kejadian dan operasi menyelamat terus dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa.
"Selepas setengah jam operasi mencari dilakukan, mangsa kedua ditemui," katanya ketika dihubungi, petang tadi.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans Hospital Papar dan bomba untuk tindakan lanjut.
"Bagaimanapun, kita menerima maklumat daripada pihak hospital bahawa kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 4:01 PM


Lokasi kejadian dua beradik ditemui lemas. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104191#sthash.ojMvpkP1.dpuf

29 kaki judi antara 36 dicekup

Johor Bahru: Tiga puluh enam individu termasuk 29 kaki judi diberkas Polis Johor dalam Ops Ambang Bersepadu yang dijalankan di sekitar Iskandar Malaysia, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Kamarul Zaman Mamat berkata, dua pusat hiburan dan empat premis judi diperiksa selain pelbagai barangan serta wang tunai berjumlah lebih RM4,700 dirampas dalam serbuan itu.
Beliau berkata, 87 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan selain 42 motosikal dan sebuah kenderaan disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Seramai 264 anggota dan 52 pegawai polis daripada cawangan Jabatan Siasatan Jenayah, Trafik, Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Wilayah Pembangunan Iskandar terbabit dalam ops berkenaan.
"Seramai 395 individu dan 229 kenderaan diperiksa selain sejumlah peralatan judi termasuk komputer dan laptop dirampas dalam operasi berkenaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 4:11 PM


ANTARA lokasi yang diperiksa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104193#sthash.hx4hhjpH.dpuf

441 saman dalam lima jam

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengeluarkan 441 saman dan menyita 16 kenderaan menerusi Ops Bersepadu Tahun Baru 2016 yang dijalankan di dua lokasi di ibu kota, malam tadi.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ, Mohammad Kifli Mahassan berkata, operasi selama lima jam terbabit dilaksanakan menerusi sekatan jalan raya di Bulatan Kampung Pandan ke Susur Jalan Tun Razak dan Bulatan Kampung Pandan ke Jalan Darvis.
Katanya, operasi terbabit turut mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasa lain antaranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Seramai 153 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi bersepadu yang bermula dari 10 malam hingga 3 pagi ini.
“Sebanyak 1,689 kenderaan diperiksa membabitkan kereta dan motosikal. Hasil pemeriksaan, 441 saman dikeluarkan kepada pemilik atas pelbagai kesalahan dan 16 kenderaan di sita.
"Antara kesalahan yang paling banyak dikesan adalah membabitkan cukai jalan tamat tempoh iaitu sebanyak 264 kes," katanya.
Mohammad Kifli turut 18 warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, empat lelaki tempatan turut ditahan oleh AADK selepas gagal melepas ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 3:52 PM


PEGAWAI penguatkuasa JPJ memeriksa kenderaan ketika operasi bersepadu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104189#sthash.xsq0HvdC.dpuf

Kongsi bilik dengan dua lelaki

Johor Bahru: Dua lelaki dan seorang wanita yang berada dalam satu bilik di sebuah hotel bajet antara 13 orang berusia antara 20 hingga 67 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Ambang Tahun Baru di sekitar bandar ini, pagi tadi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Mohd Zamri Kamari berkata, selain tiga orang dalam bilik itu, pihaknya menahan lima lagi pasangan dalam operasi empat jam bermula 12 tengah malam, membabitkan 16 penguatkuasa JAINJ dengan tumpuan terhadap hotel bajet sekitar Johor Jaya dan Permas Jaya.
Katanya, operasi berkenaan bertujuan mencegah aktiviti tidak bermoral sempena Tahun Baru di hotel bajet.
Katanya, fokus diberikan kepada lokasi dikenal pasti sering menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan perbuatan terlarang.
Katanya, semua pasangan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat, yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 3:22 PM


Wanita dan lelaki yang ditahan JAINJ di hotel bajet sekitar Johor Jaya dan Permas Jaya, awal pagi tadi. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104187#sthash.vRyI6UuX.dpuf

Sita 23 motosikal samseng jalanan

Kuantan: Seramai 23 samseng jalanan ditahan dalam operasi khas sempena Tahun Baharu di sekitar bandar ini, berakhir jam 5 pagi tadi.
Operasi diketuai Pegawai Penguatkuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman itu bermula jam 10 malam.
Polis mengeluarkan 381 saman bagi pelbagai kesalahan dalam operasi tujuh jam itu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Superintendan Mohammad Noor Yusof Ali berkata, antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu dan motosikal tidak mempunyai cukai jalan yang sah.
"Kita turut mengeluarkan saman bagi kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lampu brek ketiga dan mengubah suai ekzos.
“Semua 23 motosikal yang ditunggang samseng jalanan yang ditahan itu disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 2:59 PM


Anggota polis bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) mengadakan sekatan jalan raya dalam operasi Tahun Baharu 2016 di Jalan Kuantan - Gambang berhampiran Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). - Foto ZULKEPLI OSMAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104185#sthash.XiGey6dy.dpuf