Search This Blog

Friday, January 1, 2016

Lelaki cedera cuba sambut wanita terjun bangunan


31 Disember 2015 1:07 AM


Embedded image permalink

Aksi Feng menyelamatkan seorang wanita yang terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di bandar Enshi, tengah China dengan tangan kosong berjaya dirakam, baru-baru ini. AGENSI

BEIJING 30 Dis. – Aksi berani seorang bekas anggota tentera China menyelamatkan seorang wanita yang terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di bandar Enshi, tengah negara ini dengan tangan kosong berakhir dengan kisah malang buat lelaki itu apabila dia dimasukkan ke hospital akibat kecederaan yang dialaminya, baru-baru ini.
Meskipun dapat menyambut wanita itu, Feng Ning, 23, cedera teruk akibat impak jatuhan wanita berkenaan yang mengakibatkan dia terseliuh bahu kanan, cedera di lutut kanan, dan koyak tiga da­ripada empat ligamen lututnya.
Tambah menyedihkan buat Feng, wanita yang cuba diselamatkan meninggal dunia, dalam kejadian yang berlaku pada 23 Disember lalu di Chongwen Square.
People’s Daily Online yang dipetik Mail Online melaporkan, ketika kejadian, Feng sedang berjalan di bangunan itu bersama rakannya sebelum dia terdengar jeritan meminta tolong dan melihat seorang wanita sedang bergayut pada sebuah tingkap.
Feng yang melihat wanita itu sedang jatuh cuba menyambutnya, namun beban jatuhan wanita ber­kenaan terlalu kuat hingga mengakibatkan dia turut terhempas ke lantai.
“Saya hanya mahu menyelamatkannya. Saya tahu percubaan itu berbahaya, namun saya tidak dapat berdiam diri tanpa melakukan sesuatu,’’ kata Feng.
Akibat kecederaannya, Feng yang baru meninggalkan perkhidmatan tentera dan bakal memulakan pengajiannya di sebuah universiti perlu menjalani pembedahan yang menelan kos sebanyak 80,000 Yuan (RM50,944) walaupun dia tidak mempunyai sebanyak itu.
Namun Feng bertuah kerana kebanyakan pensyarah dan pelajar universiti yang bakal dimasukinya, mendermakan wang bagi tujuan pembedahan selepas mengetahui tindakan beraninya yang cuba menyelamatkan wanita berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-cedera-cuba-sambut-wanita-terjun-bangunan-1.174687#sthash.Usg9k4cW.dpuf

Rompakan: Polis tembak mati empat lelaki


Kes jenayah
KUCHING - Polis menembak mati empat lelaki awal pagi ini yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga rompakan bersenjata dilaporkan di Bintulu, bulan lepas.  
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, insiden itu berlaku dalam jam 1 pagi semasa tiga pasukan D9 sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, kira-kira 600km dari sini, berikutan beberapa rompakan yang berlaku sebelum ini.
Beliau berkata, semasa rondaan, pasukan itu ternampak empat lelaki yang berkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta Toyota Vios dan sejurus mereka menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu memecut ke arah Miri.
"Kereta itu kemudian membelok ke dalam ladang kelapa sawit, Ladang Maskat di Km42 Jalan Bintulu-Miri.  Pasukan polis terus mengejar kereta itu sehingga ia terbabas ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, apabila pihak polis menghampiri kenderaan itu, kemudian polis mendengar beberapa tembakan dipercayai daripada selaras senapang patah daripada kereta itu, dan polis membalas tembakan ke arah kereta suspek.
Muhammad Sabtu berkata, beberapa anggota polis mengejar suspek apabila melihat dua lelaki keluar daripada kereta dan bergegas ke ladang kelapa sawit tetapi apabila mereka hampir tiba di ladang itu mereka berpusing balik dan cuba menyerang anggota polis.  
"Seorang daripada mereka melibas sebilah parang dan seorang lagi sebilah sabit.  Polis menembak mati mereka untuk mempertahankan diri.  Pemeriksaan taktikal polis selepas itu mendapati kesemua empat lelaki itu mati selepas polis melepaskan tembakan.  
"Seorang suspek rebah di kerusi pemandu, suspek kedua ditemui di temapt duduk penumpang dengan senapang patah di sisi tubuhnya.  Dua lagi suspek berada tidak berapa jauh daripada kereta dengan parang dan sabit di sisi tubuh masing-masing," katanya.  
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan memecah rumah, sebilah parang dan beberapa jam tangan dipercayai daripada rompakan awal manakala Toyota Vios yang digunakan mereka dilaporkan hilang di Bintulu pada Julai 2015.  
"Tiada dokumen pengenalan dijumpai pada suspek, yang disyaki terlibat dalam tiga rompakan bersenjata di Bintulu pada 25 Disember, dan terakhir pada 29 Disember," katanya.  
Muhammad Sabtu juga berkata kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes di Miri dan Sibu tahun lepas.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak atas kejayaan pasukan D9 yang telah berada di Bintulu sejak sebulan lepas untuk mengumpul maklumat risikan dan menjejaki kumpulan itu.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya mengucapkan syabas atas kejayaan itu. - Bernama

Dua remaja maut selfie dengan kapal terbang


Lokasi kejadian

ALANYA - TURKI. Dua remaja maut selepas dilanggar sebuah lori ketika baring di tengah-tengah sebuah jalan untuk berselfie dengan berlatar belakang kapal terbang.
Kedua mangsa dilanggar sebuah lori di luar sebuah lapangan terbang di Turki.
Muhammet Bozkurt, 17 dan Calgar Savesci, 19, bersama tiga lagi rakan yang lain menyewa sebuah kereta untuk melancong dari Alanya ke Antalya melalui laluan pantai di barat daya negara itu.
Menurut rakan mangsa, mereka menghentikan kereta ditepi jalan untuk berselfie dengan berlatar belakangkan pesawat yang hendak mendarat.

Namun, keadaan pada waktu kejadian gelap menyebabkan pemandu lori berkenaan tidak melihat mereka dan terus melanggar kedua-dua mangsa.

Menurut polis, tiga rakan yang lain berjaya mengelak dan berkata kesemua mangsa berkenaan berada dibawah pengaruh alkohol.

Memetik laporan Metro.uk, pemandu lori berkenaan menghubungi perkhidmatan kecemasan
.

Jururawat kantoi gigit, pukul bayi


Tindakan Emiliya Kovachewa yang dirakam CCTV.

SOFIA - BULGARIA. Seorang jururawat akan berdepan hukuman penjara akibat tindakannya  memukul serta menggigit seorang bayi berusia empat hari kerana menangis.
Emiliya Kovachewa, ibu kepada dua anak secara berulang ulang memukul bayi perempuan yang baru empat hari dilahirkan di Hospital Sofia Med di Bulgaria.
Wanita berkenaan mendakwa dia gagal mengawal kemarahan selepas bayi itu menangis sekitar jam 2 pagi dan telah mengejutkan bayi yang lain.
Tindakannya itu telah menyebabkan bayi berkenaan mengalami keretakan pada tengkorak serta otak.
Rawatan intensif ke atas bayi berkenaan oleh pasukan perubatan bagaimanapun menyelamatkan bayi berkenaan daripada kecederaan serius.
Emiliya didakwa atas tuduhan cubaan membunuh.
Memetik laporan Metro.uk, tindakan jururawat berkenaan terbongkar selepas pihak hospital membuat pemeriksaan rakaman CCTV selepas bayi berkenaan mengalami kecederaan dan kesan gigitan pada badannya.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan Sofia memutuskan suspek yang pada mulanya tidak mengaku bersalah sebelum rakaman perbuatannya itu dikemukakan dan ditahan sehingga  proses perbicaraan selesai.
Emiliya berdepan hukuman penjara 15 hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Jurucakap Hospital Tokuda yang merawat bayi berkenaan selepas insiden itu, Boriana Marinkova berkata, apa yang penting bagi kedua ibu-bapa bayi berkenaan adalah memastikan bayi berkenaan pulih
.

Serangan anti-China rosakkan patung bersejarah

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 3:46 PM

ANTARA patung yang didermakan aktor Jackie Chan, kepada muzium baharu di Taiwan disimbah cat dan diconteng slogan anti-China. TAIPEI: Dua patung yang didermakan aktor Jackie Chan, kepada muzium baharu di Taiwan disimbah cat dan diconteng slogan anti-China, Rabu lalu. Ia mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat berhubung pengaruh Beijing di pulau yang berpisah dari China pada 1949. Patung kepala naga dan kuda daripada gangsa itu diletakkan di taman dekat cawangan terbaharu Muzium Istana Negara di selatan bandar Chiayi. Ia adalah replika peninggalan purba dari Dinasti Qing, yang diumpamakan imbauan masa lalu ketika China menderita di bawah penjajah asing. Serangan berlaku hanya tiga hari selepas lokasi itu dibuka Isnin lalu. Kepala haiwan itu disimbah cat merah dan diconteng dengan perkataan "barisan budaya bersatu" oleh dua penyerang yang tidak dikenali. Siasatan polis mendapati serangan itu dilakukan seorang lelaki dan seorang wanita. Ini bukan kali pertama patung menjadi sasaran penunjuk perasaan, yang bimbang dengan hubungan baik di antara Taiwan dan China. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/109879

Amaran gangguan seksual malam Tahun Baru di India


AKTIVIS memegang lilin menyala semasa protes di Mumbai pada 21 Disember 2015 terhadap pembebasan seorang remaja disabitkan rogol. - Foto AP

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 11:34 AM


 UTTAR PRADESH: Polis India menghantar mesej kepada hampir 600,000 lelaki pada malam tahun baru yang sebelum ini dilaporkan terbabit dengan gangguan seksual. Mesej teks itu memberi amaran kepada mereka untuk menjaga tingkah laku dengan wanita atau akan menerima akibatnya. Kandungan SMS dari polis di negeri Uttar Pradesh itu menyebut "Anda dan telefon anda masih di bawah pengawasan kami. Diharapkan tingkah laku anda adalah baik. Kami mengucapkan Selamat Tahun Baru." Mesej itu dihantar pada hari ini kepada Eve-teasers, gelaran untuk pelaku seksual di Selatan Asia. Pegawai Polis Kanan dan ketua talian bantuan wanita, Navniet Sekera, berkata mesej kepada Eve-teasers adalah peringatan bahawa polis mempunyai rekod mereka. "Ia bertujuan menghalang. Kami cuba untuk memberitahu mereka bahawa sebarang cubaan untuk menimbulkan masalah kepada wanita akan mengundang tindakan tegas," kata Sekera memberi amaran. Beliau berkata setakat ini 500,000 wanita membuat aduan sejak hotline itu dilancarkan pada 2012. Sejumlah 98.6 peratus daripada pengadu memberikan maklum balas positif. Menurut Biro Rekod Jenayah Negara India, sejumlah 309,546 kes jenayah terhadap wanita dilaporkan pada 2013, peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tahun sebelumnya. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/109813

Raja puak Afrika Selatan akhirnya ke penjara

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 11:12 PM

 RAJA Buyelekhaya Dalindyebo mula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan membakar, menculik dan melakukan serangan ke atas mangsanya. - Foto AP

 JOHANNESBURG: Seorang raja tradisi Afrika Selatan daripada kumpulan etnik Thembu yang seangkatan dengan Nelson Mandela, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan membakar, menculik dan melakukan serangan ke atas mangsanya, selepas sekian lama berjuang mengelak daripada dihukum. Raja Buyelekhaya Dalindyebo, 51, melapor diri ke pusat pemulihan Mthatha di wilayah Eastern Cape hari ini, selepas gagal dalam cubaan ke-11 untuk mengelak dihukum dengan memohon perbicaraan semula atau pengampunan presiden. Pada tahun 2009, raja itu disabitkan atas kesalahan membunuh, membakar dan menyerang dilakukan lebih dua dekad lalu. Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun pada tahun 2009, namun Oktober lalu, mahkamah agung menggugurkan tuduhan membunuh dan mengurangkan hukumannya kepada penjara 12 tahun berikutan rayuan. Minggu ini dia memohon lanjutan jaminan ke atasnya, namun seorang hakim mahkamah tinggi di Mthatha, bandar terbesar berhampiran tempat asal Mandela di Qunu, menolak permohonan itu. "Kami mengesahkan, Raja Buyelekhaya Dalindyebo melapor diri kepada ketua pusat pemulihan Mthatha," kata kementerian kehakiman dalam satu kenyataan. Dia dijangka menjalani hukuman di penjara Wellington di luar Mthatha. Raja terbabit yang mengaku mengambil candu, didapati bersalah membakar rumah yang menempatkan penyewa namun enggan berpindah. Dia juga disabitkan menyerang secara terbuka tiga lelaki muda yang sudah teruk dibelasah orang suruhannya selain menculik seorang wanita dan anak mangsanya yang dianggap pengkhianat. Mahkamah agung memutuskan raja itu memerintah dengan kejam dan "kelakuannya lebih buruk kerana mangsanya terdiri daripada golongan miskin luar bandar." Selain itu, mahkamah juga menuduhnya "menghalang" tindakan undang-undang kerana menukar peguamnya 11 kali, menyebabkan 34 penangguhan kesnya. -Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110004

3,100 anggota PKK dibunuh sepanjang 2015

JUMAAT, 1 JANUARI 2016 @ 12:48 AM

PASUKAN keselamatan Turki membunuh 3,100 militan Kurdish pada tahun 2015. - Foto Reuters


ISTANBUL: Pasukan keselamatan Turki membunuh 3,100 militan Kurdish pada tahun 2015, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan, hari ini. Beliau berikrar akan melancarkan serangan besar-besaran untuk mengusir pemberontak dari bandar dan pergunungan di tenggara negara itu. Kenyataannya sempena perutusan Tahun Baru disiarkan di televisyen, muncul ketika amaran meningkat ke atas kesan kemanusiaan berikutan perintah berkurung bagi menyokong kempen ketenteraan terbaru memerangi Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan bermula awal bulan ini. "Pada tahun 2015, seramai 3,100 pengganas berjaya ditewaskan dalam operasi di dalam negara dan luar negara. "Pihak keselamatan berjaya menghapuskan pengganas dari setiap inci kawasan pergunungan dan bandar serta akan terus berbuat demikian," katanya merujuk kepada operasi ketenteraan terhadap kubu kuat PKK di tenggara Turki dan utara Iraq. Katanya, kerajaan akan berjuang sehingga PKK dihapuskan. Setakat ini kira-kira 200 anggota tentera terbunuh selain sejumlah penduduk awam tidak dikenal pasti. -AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110062

100,000 anggota polis dikerah di Paris

JUMAAT, 1 JANUARI 2016 @ 7:16 AM

 PRESIDEN Perancis, Francois Hollande (kanan) dan Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve (kiri) ketika melawat anggota keselamatan di Champs Elysees, semalam. - Foto Reuters


PARIS: Lebih 100,000 anggota polis akan ditugaskan mengawal keselamatan sempena sambutan Tahun Baharu di negara itu, enam minggu selepas serangan jihad berlaku di Paris, kata Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve. Cazenueve berkata, walaupun tiada ancaman langsung, semua bandar di Eropah kini berada dalam berjaga-jaga berikutan ancaman umum. Di ibu kota ini, 11,000 anggota polis dikerahkan termasuk 1,700 pegawai ditempatkan di sepanjang Champs Elysees, yang menjadi lokasi tumpuan sambutan Tahun Baru sejak dulu di Perancis. Kira-kira 600,000 orang berkumpul di sana pada tahun lalu, namun bilangan itu kini semakin kecil tahun ini dengan pertunjukan bunga api raksasa dibatalkan. Sejumlah 130 orang dibunuh di ibu kota cinta ini November lalu apabila lelaki bersenjata bersekutu IS menembak bar, dewan konsert dan penonton di stadium Stade de France. -AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110074

16 cedera hotel mewah di Dubai terbakar

JUMAAT, 1 JANUARI 2016 @ 7:28 AM


 ASAP tebal menyelubungi sekitar Dubai berikutan kebakaran itu. - Foto EPA DUBAI: Seramai 16 cedera dalam kebakaran sebuah hotel mewah berdekatan menara tertinggi dunia, Burj Khalifa, beberapa jam menjelang sambutan tahun baharu. Saksi berkata, Hotel Address Downtown yang terletak cuma beberapa blok dari menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa terbakar membabitkan beberapa tingkat ketika siren berbunyi dan helikopter berlegar di udara. Ketua Polis Dubai berkata, tetamu di hotel lima bintang itu dipindahkan dari tempat kejadian dan setakat ini punca kejadian belum dapat dipastikan dan kebakaran tidak dapat dipadamkan sepenuhnya selepas beberapa jam berlaku. "Semua tetamu dipindahkan. Sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya, kami tidak mempunyai maklumat mengenai punca kejadian," kata Jeneral Khamis Matar al-Mzeima. Sehubungan itu, tweet dari pejabat media berkata: "Sekurang-kurangnya 14 mengalami kecederaan ringan dan seorang agak parah dan seorang lagi mengalami serangan jantung akibat berasak-asak." Seorang saksi, Raphael Slama berkata, kebakaran bermula pada kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan dan merebak di beberapa tingkat hotel berkenaan. Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian berkata: "Kebakaran bermula di bahagian tengah hotel dan merebak seperti kilat sebelum merebak ke atas semula." "Orang ramai yang berada dekat dengan tempat kejadian mula panik dan melarikan diri jauh dari situ," katanya. Kumar, yang berada dekat dengan hotel itu berkata: "Kami nampak kebakaran dari tingkat atas, dua jam sebelum tengah malam dan orang ramai mula menjerit dan berlari jauh dari hotel." - AFP


API dan asap membuak keluar dari Hotel Address Downtown, berdekatan Burj Khalifa, menara tertinggi dunia, di Dubai, beberapa jam menjelang sambutan Tahun Baharu. Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan cedera dalam kebakaran membabitkan hotel setinggi 63 tingkat itu. - Foto Reuters  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/110077

Pelajar Kolej Didakwa Beri Sokongan Kepada Al-Qaeda


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 12:34 PM
Mohamad Hidayat yang menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis. - fotoBERNAMA

SEPANG: Seorang pelajar kolej di Kaherah, Mesir menjadi individu pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Mohamad Hidayat Azman, 19, pelajar Kolej Markaz Salam di Hayyu Asyir, Kaherah didakwa telah memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi ahli kumpulan pengganas itu.
Mohamad Hidayat dari Kuala Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Perak didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Syria antara 5 Sept 2014 hingga 1 September tahun ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Hidayat, yang didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 130J kanun sama kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.
Mahkamah menetapkan 28 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. - BERNAMA

Pemandu Bas Ekspres Didakwa Sebabkan Kematian Empat Penumpang


Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2015 12:40 PM
Muhammad Hazil Hakimi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian empat penumpang di Mahkamah Majistret Machang pada Khamis. - fotoBERNAMA
MACHANG: Seorang pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian empat penumpang di KM124, Batu 14 Jalan Raya Timur Barat Jeli-Gerik pada Jumaat lepas, dihadapkan di Mahkamah Majistret Machang di sini, Khamis.
Muhammad Hazil Hakimi Ahmad Zaki, 26, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias dan minta dibicarakan.
Dia didakwa memandu bas ekspres Syarikat SP Bumi WVW 7689 dari arah Gerik, Perak, ke Jeli, Kelantan, di tempat tersebut dengan cuai sehingga menyebabkan kematian empat penumpang pada pukul 1.30 pagi, 25 Disember lalu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan meminta jaminan sebanyak RM20,000 dengan mengambil kira kepentingan awam kerana menyebabkan empat kematian penumpang.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Alias Ibrahim memberitahu mahkamah keluarga tertuduh hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM5,000 kerana kurang berkemampuan.
Amal Razim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, digantung lesen memandu serta ditahan pasportnya.
Dalam kejadian pada 1.30 pagi Jumaat lepas, bas ekspres yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu hilang kawalan sebelum terbabas dan bergesel dengan sebuah treler muatan papan lapis hingga menyebabkan empat penumpang maut.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Hasiah Osman, 57, dan anaknya, Muhammad Amir Abdul Rahim, 19, berasal dari Pulau Pinang serta Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, dan Muhammad Syafiq Azrul Azmi, 25, masing-masing dari Kuala Terengganu, Terengganu. - BERNAMA

Hilang di Pulau Bidan

Alor Setar: Lelaki dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca yang dinaiki dipukul ombak dalam kejadian di perairan Pulau Bidan, Yan, di sini, kira-kira 6 petang semalam.
Dalam kejadian itu, Yamin Mohd Yasin, 22, masih belum ditemui manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.
Pegawai Seksyen Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Madya Maritim Meor Hamzah Badri Shah, berkata pihaknya menerima maklumat pada kira-kira 7 malam.
Katanya, empat anggota melakukan operasi mencari dengan sebuah bot APMM.
"Bagaimanapun, keadaan cuaca buruk dan ombak kuat menyebabkan operasi terpaksa dihentikan dan akan disambung bermula 8 pagi.
"Operasi turut membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Marin dan nelayan untuk mencari dan menyelamat mangsa," katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dan rakannya dipercayai dalam perjalanan pulang ke Tanjung Dawai selepas keluar memancing ikan sebelum kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 1:08 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103995#sthash.w6gpDvSA.dpuf

Jatuh tergelincir dari bumbung

Petaling Jaya: Seorang lelaki berusia 49 tahun patah kaki kanan dan tangan kiri selepas terjatuh dari bumbung rumahnya di Seksyen 51, di sini, 3.48 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membaik pulih bumbung rumah berkenaan
Katanya, ketika melakukan kerja terbabit di atas bumbung mangsa tergelincir dan jatuh.
"Mangsa patah kaki kanan dan tangan kiri selepas jatuh pada ketinggian hampir 5 meter.
"Mangsa di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 8:10 PM


ANGGOTA Bomba dan pasukan perubatan memberi rawatan awal kepada mangsa. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103953#sthash.0GCZ1suM.dpuf

Geng pecah rumah tumpas

Tawau: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah pecah rumah yang aktif beroperasi sejak tiga bulan lalu, berikutan penahanan enam individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sini, semalam.
Semua suspek berusia 17 hingga 46 tahun itu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita, ditahan di dua lokasi sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun selepas melakukan pemeriksaan terhadap kereta Proton Waja berwarna kelabu di tepi Jalan batu 2 Jalan Apas, kira-kira jam 5 petang semalam.
"Selain beberapa barangan dipercayai digunakan untuk memecah rumah mangsa, polis turut menemui 793 pil ecstasy dianggar bernilai RM50,000 dalam kenderaan terbabit.
"Berikutan penahanan suspek itu, polis menyerbu chalet di sebuah resort di sini dan menahan dua lelaki serta tiga wanita dan menemui beberapa barangan berharga dipercayai hasil pecah rumah,” katanya di sini, hari ini.
Semua suspek direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah manakala Mohd Rafiq turut disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 8:08 PM


Antara barangan yang ditemui semula selepas penahanan enam orang dipercayai kumpulan pecah rumah di Tawau. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103951#sthash.BfxVio2q.dpuf

Didakwa edar ganja

Bukit Mertajam: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mengedar 7.005 kilogram ganja.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh S Gunalan, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit.
Nurul Rashidah kemudiannya menetapkan 28 Mac tahun depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim.
Gunalan dari Bayan Lepas, didakwa mengedar kanabis di rumah di No. 28 Lorong Seri Awana 13, Taman Seri Arowana, Seberang Jaya pada 11.30 malam, 22 Oktober lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 7:52 PM


TERTUDUH (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam. FOTO Amir Irsyad Omar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103949#sthash.Or7I65aX.dpuf

Ditemui mati dalam bilik berkunci

Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui meninggal dunia dalam biliknya di tingkat 3, Blok A, Apartmen Saujana di sini, hari ini.
Sumber bomba dan penyelamat berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru bersama seorang pegawai dan 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 4.45 petang.
"Berdasarkan maklumat, seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia dalam bilik di apartmen berkenaan.
"Anggota bomba membantu polis memecahkan pintu bilik untuk mengeluarkan mayat terbabit," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, operasi diketuai Pegawai Kanan Bomba II Khairul Azhar Aziz selesai pada jam 5.21 petang.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 7:11 PM


Mayat lelaki yang ditemui terbaring dalam biliknya. - Foto Ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103939#sthash.na6EUgAk.dpuf

Jumpa mayat lelaki terjatuh

Kota Kinabalu: Pengunjung di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Tunku Abd Rahman, di sini, gempar susulan penemuan mayat lelaki tertiarap dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan bangunan berkenaan, petang tadi.
Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Charles, 26, dan dipercayai bekas pengawal keselamatan di bangunan itu dikatakan ditemui oleh sekumpulan kakitangan yang secara kebetulan berada berhampiran lokasi lelaki terbabit terjatuh.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Boy, 20, berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi dentuman yang kuat dan pada mulanya menyangka ada kemalangan berlaku di lokasi itu.
"Pada mulanya saya sangka ada kereta berlanggar kerana bunyi dentuman itu amat kuat.
"Selepas membuat pemeriksaan, didapati ada seorang lelaki sedang tertiarap dan berlumuran darah di bahagian kepala yang kami percaya sudah terjatuh dari tingkat sembilan atau sepuluh bangunan ini berdasarkan tingkap yang terbuka dari aras berkenaan," katanya yang ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan siasatan masih giat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 9:13 PM


KELIHATAN mayat mangsa yang ditemui orang ramai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103957#sthash.BeN914so.dpuf

Tercekik gigi palsu ketika sarapan

Segamat: Seorang lelaki berumur 52 tahun dikejarkan ke hospital oleh isterinya selepas dia tertelan gigi palsu ketika bersarapan di rumah mereka di Jabi, Jalan Buloh Kasap di sini, pagi tadi.
Ketika kejadian jam 7 pagi itu, lelaki berkenaan bersarapan bersama isterinya yang berusia 48 tahun sebelum ke tempat kerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan di sini.
Bagaimanapun, dia kemudian tersedak dan mengadu sukar bernafas menyebabkan isterinya membawanya ke Hospital Segamat untuk tindakan lanjut.
Setiba di hospital, pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mendapati lelaki itu tercekik gigi palsunya yang berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 7:14 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103941#sthash.OLTipNOB.dpuf

Marsha sah isteri Mohamed Shaiful Nizam

Georgetown: Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh sah bergelar isteri ahli perniagaan Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Mohamed Ismail pada jam 9.20 malam tadi dalam majlis akad nikah yang diadakan secara tertutup di kediaman pengantin lelaki di Jalan Free School di sini.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu itu, kedua-dua mempelai segak berpakaian putih.
Antara yang hadir ialah ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat serta rakan artis, termasuk Farah Diana Anuar, Elfira Loy, Rich AF, Velvet, Adeline Tsen, Dafi, Ozzlynwaty, Michael Ang, Sharifah Sakinah, Johan Raja Lawak dan Adira.
Mohamed Shaiful Nizam dan Marsha yang berasal dari Tamparuli, Sabah, mengikat tali pertunangan pada 14 Disember lalu di kampung halamannya selepas mereka berkenalan sejak 10 tahun lalu.
Majlis resepsi akan diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Januari depan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 11:25 PM

Perkenalan Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam selama 10 tahun membawa mereka ke jinjang pelamin. - - Foto Ihsan Pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103980#sthash.0ruMdHMT.dpuf

Pelakon Glee miliki porno budak

Los Angeles: Seorang pelakon kisah bersiri popular ‘Glee’ ditahan kelmarin atas tuduhan memiliki puluhan gambar lucah kanak-kanak.
Mark Salling, 33, yang memainkan watak Noah (Puck) Puckerman dalam Glee ditahan selepas polis merempuh masuk ke rumahnya apabila dia enggan membuka pintu ketika mereka datang menyiasat.
Jurucakap pasukan khas jenayah Internet terhadap kanak-kanak polis Los Angeles, Andrea Grossman berkata, Salling tidak mengendahkan panggilan polis yang turut mengetuk pintu berkali-kali sebelum akhirnya merempuh masuk pada jam 7 pagi (waktu tempatan.
“Memang mengejutkan. Kami menemui lebih 100 gambar menjijikkan kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh,” katanya.
Portal hiburan TMZ memetik sumber berkata, bekas teman wanita pelakon itu menunjukkan gambar berkenaan kepada polis di komputer Salling. Ada yang memaparkan budak perempuan di bawah usia 10 tahun melakukan aktiviti seks.
Grossman turut mengesahkan peralatan elektronik lain turut dirampas dari kediaman itu untuk siasatan lanjut. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:24 AM


Salling
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103695#sthash.yP0tPFjU.dpuf

Hidup, penjara bersama

London: Sepasang suami isteri yang merancang serangan di London untuk memperingati ulang tahun ke-10 pengeboman ibu kota itu pada 7 Julai lalu, semalam dipenjara 52 tahun.
Mohammed Rehman, 25, merancang meletupkan sama ada sebuah pusat beli-belah atau stesen kereta api bawah tanah menggunakan bom bersaiz dua kali ganda yang digunakan dalam serangan pada 21 Julai 2005 itu. Isterinya, Sana Ahmed Khan, 24, membiayai projek itu dengan menggunakan gajinya untuk membeli baja yang digunakan sebagai menjadi bahan letupan oleh Mohammed yang kemudian diuji di halaman rumah mereka.
Kedua-duanya dikenakan hukuman seumur hidup selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan persiapan untuk melakukan keganasan.
Mohammed dikenakan hukuman penjara minimum 27 tahun manakala Sana dikenakan sekurang-kurangnya 25 tahun.
Dalam rayuan meringankan hukumannya, Sana meminta maaf dan mengaku insaf serta sudah memfailkan cerai daripada suaminya itu.
“Saya meminta maaf. Ketika itu saya tidak tahu sejauh mana perancangan Mohammed dalam hal ini. Saya kini hanya mahu memperbaiki keadaan terutama dengan keluarga dan memulakan kehidupan baru,” katanya dalam surat yang dibacakan kepada mahkamah.
Perancangan mereka terbongkar selepas Mohammed bertanya secara terbuka di Twitter meminta nasihat mengenai sasaran terbaik untuk dibom.
Tweet itu turut disertai pautan ke siaran media al-Qaeda mengenai kejadian 7 Julai 2005.
Polis yang menyerbu kediaman Mohammed di Reading, Berkshire, menemui 10 kilogram letupan nitrat, iaitu dua kali ganda jumlah digunakan dalam satu lagi kejadian letupan dirancang pada 21 Julai 2005 yang berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:26 AM

SANA

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103698#sthash.eL9ctq41.dpuf

Trompet guna kertas helaian al-Quran tersebar di Indonesia

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia merampas sejumlah trompet kertas yang diperbuat daripada helaian kitab suci al-Quran yang dijual secara meluas di beberapa bandar di negara itu.
Trompet kertas yang dijual sempena untuk menyambut Tahun Baru itu dikesan diedar di Jakarta, Bekasi, Kendal dan di wilayah Bogor.
“Kami merampas 400 trompet kertas tulisan ayat al-Quran yang dijual di Parung dan sejumlah lagi di Leuwiliang dan Cibungbulang,” kata jurucakap polis Bogor, Aulia Djabar semalam.
Menurutnya, anggota tentera Indonesia merampas trompet yang sama di beberapa bandar lagi di Bogor.
“Kami mengambil keterangan peniaga untuk mengesan pihak yang membuat trompet berkenaan,” jelasnya.
Penjualan trompet itu mencetuskan bantahan beberapa pertubuhan Islam di Indonesia yang mahu kerajaan mengambil tindakan tegas.
Sementara itu, sebuah syarikat percetakan di Semarang, CV Aneka Ilmu mengakui trompet berkenaan diperbuat daripada helaian kitab al-Quran yang dicetaknya.
Pemiliknya, Suwanto berkata, kitab al-Quran itu sepatutnya dihantar untuk dilupuskan selepas rosak akibat terkena banjir.
“Kami menghantar kitab ini kepada sebuah syarikat untuk dibakar, tetapi kami tidak tahu ia dijual kepada syarikat lain dan digunakan untuk membuat trompet,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:27 AM


SATU trompet kertas yang diperbuat dari helaian al-Quran yang dijual di sebuah kedai di Bogor.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103700#sthash.wf5KHCFM.dpuf

Bintang Glee Ditahan Disyaki Miliki Pornografi Kanak-Kanak


Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2015 8:05 AM
Pemeriksaan polis menemui ratusan imej eksploitasi seks kanak-kanak di dalam komputer milik Mark Salling.

PELAKON siri drama muzikal popular Glee, Mark Salling ditahan pada pagi Selasa kerana disyaki memiliki gambar pornografi kanak-kanak.
Salling yang memegang watak Noah 'Puck' Puckerman dilaporkan berhadapan dengan waran geledah daripada pihak polis di Sunland, California.
Menurut portal Mail Online, pemeriksaan di kediaman pelakon berusia 33 tahun itu dilakukan oleh Unit Petigas Khas Jenayah Internet Terhadap Kanak-Kanak Jabatan Polis Los Angeles (LAPD).
Pemeriksaan polis menemui ratusan imej eksploitasi seks kanak-kanak di dalam komputer Salling.
Pegawai LAPD, Aaron Jefferson mengesahkan kepada Mail Online mengenai penahanan Salling berhubung dakwaan memiliki pornografi kanak-kanak.
Dilaporkan, pelakon itu kini disiasat di Los Angeles.
Salling muncul buat pertama kali dalam drama bersiri Glee pada 2008 dan kemudiannya menjadi pelakon tetap sehingga musim kelima.
Pada 28 Jun 2013m dilaporkan bahawa Salling tidak kembali sebagai pelakon tetap tetapi tampil sebagai bintang undangan dalam siri popular itu.

Pemandu van sekolah dipenjara rogol pelajar lembam



KUALA LUMPUR - Seorang pemandu van sekolah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol seorang pelajar lembam berusia 16 tahun.
Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Ser Kim Joo, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Kes ini melibatkan pemandu van yang menghantar dan mengambil pelajar dari rumah ke sekolah. Perkara ini menjadi perhatian dan menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat. Namun, mahkamah turut mengambil kira tertuduh yang kelihatan uzur dan umur melebihi 50 tahun," kata hakim itu sebelum menjatuhkan hukuman.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Ser dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 2 Disember 2014.
Ini bermakna tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan dua sebatan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.
Duda empat anak itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar tingkatan empat itu di sebuah flat di Wangsa Maju di sini pukul 11 pagi, pada 22 November dan 29 November 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, peguam Tan Choon Hong yang mewakili Ser, memohon supaya anak guamnya dihukum penjara minimum dan tidak dikenakan sebatan atas alasan tertuduh tidak melakukan keganasan yang meninggalkan kesan buruk terhadap mangsa, selain faktor usianya ketika kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat serta menasihatkan orang awam agar tidak mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang diamanahkan oleh ibu bapa terutamanya kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.
"Mangsa diamanahkan oleh ibunya kepada tertuduh untuk dihantar ke pusat tuisyen. Namun, perbuatan licik tertuduh berjaya memperdaya mangsa yang masih muda dan lembam sehingga merogolnya sebanyak dua kali di rumah tertuduh," kata Liyana Zawani. - Bernam
a