Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, kedua-dua lelaki itu yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana terlebih dahulu diekori selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Ipoh di sini sebelum cuba ditahan untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, bagaimanapun kereta yang dipandu suspek tidak berhenti dan terus dipecut laju menghala ke Kepong.
Menurut beliau, pihaknya telah meminta bantuan tiga buah kenderaan polis peronda (MPV) untuk mengejar kereta tersebut.
“Sebaik sahaja tiba di Lebuh Raya MRR2 berdekatan Taman Layang-Layang, kereta yang dinaiki suspek telah melanggar beberapa kereta orang awam. Dalam usaha memaksa suspek berhenti beberapa das tembakan telah dilepaskan ke arah tayar belakang kereta mereka.
“Selepas kereta mereka terbabas, salah seorang suspek terus melarikan diri sementara seorang lagi dapat diberkas,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Munusamy memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam kereta terbabit telah menemukan pelbagai dadah.
“Semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan suspek tiada dalam rekod sementara suspek tiada rekod jenayah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selain memburu seorang lagi suspek. Sementara pelbagai dadah yang ditemukan pula akan dihantar ke makmal kimia untuk dianalisis,” ujarnya.