Search This Blog

Loading...

Tuesday, November 1, 2016

Polis Kelantan Tangkap Tujuh Suspek Kes Rompakan Stesen Minyak


Diterbitkan: Isnin, 31 Oktober 2016 4:16 PM

KOTA BARU: Polis Kelantan menangkap tujuh suspek termasuk seorang wanita dipercayai anggota 'Geng Minyak' yang sebelum ini aktif melakukan aktiviti merompak stesen minyak di sekitar Bachok dan Kota Bharu sejak September lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata kesemua suspek berusia antara 18 dan 50 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan berbeza di Bachok dan Kota Bharu sejak Selasa hingga Khamis lepas.

"Serbuan pertama yang dilakukan di Bachok menemui dua lelaki dalam keadaan tergesa-gesa ke sebuah kereta di Kampung Tengah, Perupok pada pukul 4.30 petang dan hasil soal siasat membawa kepada penahanan lima suspek lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad di sini, Isnin.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata pihaknya turut merampas 34 barangan seperti sepucuk pistol jenis Walther P99 dan satu magazin Walther P99 berisi 10 butir peluru hidup 9mm, sepucuk pistol jenis Walther CP88, silinder magazin yang mempunyai lapan lubang, sepasang gari, enam bilah pedang serta pelbagai peralatan pecah rumah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami oleh beberapa stesen minyak berkenaan mencecah RM300,000 dan kesemua suspek direman sejak tarikh ditangkap sehingga Khamis ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

Katanya pihaknya akan memburu saki-baki anggota kumpulan berkenaan menerusi satu pasukan khas yang ditubuhkan sejak September lepas bagi menyiasat kes rompakan terhadap stesen minyak di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Rahman berkata pihaknya menahan tiga lelaki dalam satu serbuan pada Jumaat lepas di sebuah rumah di Taman Uda di sini, kerana menjalankan perjudian dalam talian.

Ab Rahman berkata dalam serbuan kira-kira 11 malam itu pihaknya turut merampas satu set komputer, satu modem, tiga buah meja dan tiga buah kerusi yang digunakan suspek bagi menjalankan aktiviti haram itu.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan kesemua suspek direman selama lima hari bermula Jumaat lepas hingga esok.

No comments:

Post a Comment