Search This Blog

Loading...

Thursday, November 3, 2016

Maut motosikal bertembung kereta

Maut motosikal bertembung kereta | Harian Metro:





MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca





Safuri Kamarudin

am@hmetro.com.my





Baling: Akibat tidak memakai topi keledar, lelaki dipercayai warga Myanmar maut, manakala rakan senegaranya parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung kereta di Jalan Weng- Tanjung Pari berdekatan Kampung Charuk Putih, di sini, 11.20 malam tadi.



Mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Tanjung Pari menuju ke pekan Baling.



Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian motosikal mangsa dirempuh dari arah bertentangan oleh kereta.



Berikutan itu, seorang daripada mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan, manakala rakannya dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk menerima rawatan.



Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusuf berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Pekan Baling, manakala pemandu kereta dari arah Baling dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Weng Dalam, Siong, di sini.



"Pemandu kereta berusia 26 tahun dipercayai cuba mengelak lembu lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa.



"Siasatan awal polis mendapati kedua-dua warga asing itu tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen memandu," katanya.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 1:35 PM

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment