Ketika ditahan kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek yang berusia 26 tahun sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek juga bergelut dengan anggota polis untuk melepaskan diri namun berjaya ditahan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal, pihaknya menemukan sepucuk pistol mainan, enam butir kelongsong peluru, dua biji pil Eramin-5 dan sebiji pil kuda dalam kocek seluar suspek.
“Pemeriksaan yang dibuat ke atas motosikal yang ditunggangnya menemukan sebatang rod besi yang menyerupai cota berwarna perak dan bersarung hitam.
“Semakan nombor enjin motosikal mendapati kenderaan itu adalah milik seorang mangsa yang melaporkan kehilangan pada 27 Oktober lepas.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek terbabit positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Bachok, dekat sini hari ini.
Nik Aminuddin berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek mendapati, lelaki yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu menyimpan sebuah kulit buku saku yang tertera lambang Polis Diraja Malaysia dan komponen pistol mainan.
Tambahnya, suspek dikatakan menggunakan kulit buku tersebut dan pistol mainan untuk memeras ugut mangsa.
“Lelaki itu ditahan reman sehingga 5 November ini bagi menyelesaikan siasatan kes di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 serta Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. - UTUSAN ONLINE