Search This Blog

Loading...

Thursday, November 3, 2016

Kontraktor, pegawai TM ditahan


02 November 2016 1:14 AM



ALOR SETAR 1 Nov. – Kelicikan dua kontraktor dan seorang pegawai teknik Telekom Malaysia (TM) yang dipercayai membuat tuntutan palsu bernilai RM400,000 berkaitan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah pa­da Julai lalu terbongkar apabila ketiga-tiga mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 29 tahun hingga 38 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan membantu siasatan kes tersebut di pejabat SPRM Kedah pada pukul 10 pagi.
Menurut jurucakap SPRM, dua kontraktor terlibat merupakan pengarah urusan dan pengurus projek di syarikat masing-masing manakala pegawai teknik TM terbabit bertugas di cawangan Kedah.
Katanya, ketiga-tiga lelaki terlibat dipercayai mengemukakan tuntutan palsu itu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah berkaitan kerja-kerja utiliti TM dalam projek berkenaan.
“Antara tuntutan palsu itu me­li­­batkan kerja-kerja menaik taraf Sungai Tanjung Pauh, terusan utama dan terusan utara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Sungai Anak Bukit serta kerja-kerja lain.
“Nilai projek utiliti TM tersebut ialah RM1.5 juta namun sebahagian kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya di sini.
Jurucakap itu memberitahu, pegawai teknik TM itu dipercayai terlibat dalam mengesahkan pro­jek-projek tersebut di­siapkan ketika dua kontraktor berkenaan mengemukakan tuntutannya.
Tambah beliau, SPRM memulakan siasatan mengenai kes tersebut pada awal Oktober lalu selepas menerima laporan daripada orang awam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mem­peruntukkan hukuman den­­­­da lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan pen­jara tidak melebihi 20 tahun,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kontraktor-pegawai-tm-ditahan-1.402485#sthash.CTQ6Ubzg.dpuf

No comments:

Post a Comment