AHMAD TERMIZI
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, lelaki berusia 41 tahun yang juga merupakan adik mangsa ditahan di lokasi kejadian pada pukul 5 petang.
Katanya, lelaki yang bekerja ladang di Johor itu ditahan reman sehingga Ahad ini untuk disoal siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek kedua berada di rumah tersebut semasa kejadian berlaku. Dia dan suspek pertama yang berusia 39 tahun, yang juga merupakan adiknya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pa­da pukul 9.30 ma­lam kelmarin, K. Gopal, 42, maut selepas mengalami kecede­raan parah di leher ekoran terkena serpihan pinggan kaca yang dilemparkan adik lelakinya berusia 39 tahun.
Kejadian tersebut didakwa berpunca daripada pertengkaran antara dua beradik itu selepas mangsa yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk membuat bising ketika suspek sedang makan di ruang tamu rumah ke­luarga mereka.
Dalam kejadian itu, mangsa bertindak me­­nampar adiknya se­hing­ga mengakibatkan ping­gan kaca yang digu­nakan suspek pe­cah­ sebelum lelaki itu bertindak balas dengan membaling serpihan pinggan tersebut ke arah abangnya.
Serpihan pinggan terkena leher mangsa menyebabkan berlaku pendarahan sebelum dia disahkan mati di tempat kejadian.