Search This Blog

Loading...

Thursday, November 3, 2016

Kancil remuk, tayar lori balak tiba-tiba terpelanting


FAIRUS MOHD
2 NOVEMBER 2016
Kancil remuk, tayar lori balak tiba-tiba terpelanting

Tayar lori balak terpelanting ke rumah penduduk.
KAMPUNG GALI HILIR - Nasib baik. Itu sahaja yang boleh diungkapkan terhadap situasi dihadapi seorang warga emas di sini apabila sepasang tayar lori balak yang melalui jalan di hadapan rumah tercabut dan terpelanting ke arah rumahnya.

Fatimah Sam Awang Ngah, 73, tidak menyangka dentuman kuat depan rumah yang didengari selepas menunaikan solat Asar datangnya daripada tayar yang melambung dan menghentam kereta Kancil miliknya yang diletakkan di hadapan rumah.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang. Pada awalnya makcik ingat bunyi dentuman akibat kemalangan, tetapi apabila jenguk ke luar tak nampak pula sebarang kenderaan tersadai di jalan.

“Makcik kemudian terpandang kereta Kancil yang remuk dan sudah beralih dari tempat parkir asal sebelum menjerit sekuat hati sehingga jiran tetangga datang melihat apa yang berlaku,” katanya.

Dalam keadaan keliru mengenai apa sebenarnya yang berlaku, dia bergegas keluar rumah dan melihat sepasang tayar lori yang besar berada di sisi keretanya.

“Bahagian belakang kereta remuk, cermin habis berderai. Dua buah pasu makcik yang ada di halaman rumah juga hancur berkecai akibat terkena lantunan tayar lori balak yang tercabut.

“Pada awalnya memang sangat terkejut bila tengok apa yang jadi sebab tak tau kenapa tiba-tiba jadi macam tu, kereta pun diletak di halaman rumah, bukan tepi jalan.

“Kebetulan ada kawan makcik dari Kampung Ulu Gali yang sedang memandu di belakang lori balak nampak kejadian, dia yang beritahu dan mengejar lori balak itu,” katanya.

Katanya lagi, rakannya itu telah menahan lori balak berkenaan dan memberitahu berkenaan kejadian yang berlaku sebelum kedua-dua pihak terlibat membuat laporan polis.

“Nasib baik kawan makcik nampak, kalau tidak makcik sendiri tak tahu dari mana datangnya tayar tersebut dan bagaimana kereta boleh jadi remuk sampai begitu sekali.

“Kereta Kancil ini makcik buat ulang alik ke kebun buah belimbing yang terletak berhampiran dan juga untuk ke kedai membeli barang keperluan, tetapi bila dah jadi macam ini susah jugalah kalau hendak ke mana-mana,” katanya.

Fatimah bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian dia baru sahaja masuk ke dalam rumah untuk menunaikan solat Asar.

“Sebelum itu, makcik berada di halaman membersihkan rumput seorang diri dan memang pada waktu petang seperti itu makcik selalu berada di depan rumah. Alhamdulillah, ALLAH menyelamatkan makcik dari kejadian ini.

“Makcik berharap agar kenderaan yang melalui jalan ini memperlahankan sedikit kenderaan masing-masing. Memang sudah kerap sangat lihat semua jenis kenis dipandu laju termasuk lori dan bas.

“Jangan hanya mengira keuntungan di atas hasil banyak trip yang dapat dibuat, tetapi mereka perlu berfikir aspek keselamatan dari sudut keadaan kenderaan dan sentiasa berhemah di jalan raya,” katanya.

Minta pihak berkuasa ambil tindakan

Ketua Kampung Gali Hilir, Amran Noor Ahmad yang dihubungi turut mengakui bahawa kejadian seumpamanya telah berlaku sebanyak tiga kali di kawasan kampung ini.

“Apa yang boleh dikatakan, setakat ini semua kejadian tayar kenderaan tercabut dan terpelanting ke kawasan rumah penduduk yang berlaku tidak melibatkan kecederaan kepada penduduk, cuma harta benda penduduk yang terlibat rosak teruk.

“Kejadian sebegini perlu dielak selagi mampu, takkan nak tunggu sampai melibatkan nyawa penduduk atau orang ramai baru mahu ambil tindakan” tegasnya.

Menurutnya, bantuan dari pihak berkuasa mampu mengekang kejadian ini dari terus berlaku di mana penguatkuasaan seperti meletakkan kamera perangkap had laju perlu dilakukan bagi meningkatkan naluri waspada pemandu ketika berada di jalan raya.

“Rondaan kerap pihak berkuasa di jalan utama Raub ke Lipis (Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Gua Musang) ini juga perlu dilakukan bagi membantu mengekang kejadian kemalangan yang kerap berlaku.

1 comment:

  1. Dua buah pasu makcik yang pecah tu yang makcik tu panas sangat tu...

    ReplyDelete