Search This Blog

Loading...

Wednesday, November 2, 2016

Ibu didakwa bunuh anak OKU [METROTV]




TERTUDUH didakwa ke Mahkamah Majistret Mersing. FOTO Mohd Azren Jamaludin



Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Mersing: Ibu kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Mohd Roshamnudin Abdullah, 11, yang meninggal dunia dipercayai didera, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bersama bapa tiri dan bapa saudara tiri mangsa atas pertuduhan membunuh.

Roshimah Abdullah, 27; Mohd Sapawi Ab talib, 27; dan Shukur Ab Talib, 31; faham akan pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama membunuh mangsa di No M-8, Kampung Bukit Tekedai, Endau di sini, antara 8.30 malam 18 Oktober hingga 4.30 petang, 19 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Disember ini sementara menunggu laporan kimia, DNA dan forensik.

Harian Metro dua minggu lalu, melaporkan bahawa Mohd Roshamnudin meninggal dunia disyaki akibat didera keluarganya.

Dia pada mulanya dibawa ibu kandungnya ke Klinik Kesihatan Endau di sini, selepas mendakwa kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air rumah mereka.

Klinik Kesihatan Endau kemudian mengesahkan kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia sebelum hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di dada selain terdapat kesan lebam dan melecur di badan.

Pihak polis yang kemudiannya mengaitkan kematian mangsa dengan unsur jenayah menahan tiga suspek dalam kes ini iaitu ibu kandung mangsa, bapa tiri mangsa dan bapa saudara tiri mangsa.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 12:51 PM

No comments:

Post a Comment