Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, terbaharu sebanyak 12 daripada 20 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 36 ditahan secara berperingkat-peringkat mulai kelmarin kerana menyerang tujuh individu menggunakan senjata tajam sehingga mendatangkan kecede­raan dalam kejadian di Kampung Pisang, Chemor empat hari lalu.
Menurutnya, semua suspek ber­usia antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan dalam Op Cantas Khas 2 di sekitar Chemor selepas menyerang mangsa yang didakwa memasuki kawasan mereka.
Katanya, tiga daripada yang di­tahan itu mempunyai rekod kesalahan jenayah termasuk men­da­tangkan kecederaan parah, me­langgar perintah sekatan serta menceroboh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
“Kejadian berlaku ketika kese­mua mangsa yang berusia antara 21 hingga 24 tahun itu sedang ber­ada di sebuah kawasan lapang pada pukul 2 pagi sebelum dise­rang oleh suspek berkenaan.
“Mereka bagaimanapun mela­rikan diri apabila kereta peronda polis tiba di tempat kejadian. Mang­sa yang cedera telah mendapat rawatan di hospital,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut Tian Kee, ekoran tangkapan itu, polis merampas 13 senjata tajam pelbagai saiz termasuk parang, kerambit dan pisau serta dua buah motosikal.
Kata beliau, pihaknya akan menjejaki saki-baki suspek untuk didakwa.
Tambahnya, kesemua suspek telah direman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” kata beliau.