Malah kesemua kepala mayat tersebut ditutup dengan plastik dan terdapat kesan luka pada tangan dan peha.
Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, siasatan awal pihak polis mendapati mayat tersebut dipercayai telah dibunuh sekurang-kurangnya tiga hari lalu di tempat lain dan dicampakan ke kawasan berkenaan.
Beliau berkata, identiti keempat-empat mayat itu termasuk jantinanya masih belum dikenalpasti.


Video ihsan Pembaca Utusan Online dan Torek Sulong
"Berdasarkan pemerhatian awal, kesemua mereka berusia di antara 20 sehingga 30 tahun, cuma salah seorang daripada mereka mempunyai tatoo di tangan.
"Pembunuhan ini dipercayai dilakukan secara berkumpulan atau lebih dari seorang.
"Kita tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan disebabkan ada kesan luka di tangan dan peha pada mayat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.
Ab. Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu mempunyai hubung kait dengan satu kes yang sedang disiasat.
Namun beliau tidak mendedahkan kes yang sedang disiasat itu.
"Pasukan forensik kita termasuk seorang pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Motif pembunuhan masih belum diketahui namun kita tidak menolak elemen pergaduhan atau dendam menyebabkan kesemua mangsa dibunuh," katanya.
Katanya, identiti mayat akan dapat diketahui esok selepas kesemuanya dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE