Video itu yang dimuat naik dalam Facebook milik Erlangga pada Selasa lalu menunjukkan kanak-kanak itu menangis dan menjerit.
Malah suaranya tertahan kerana mukanya ditutup bantal, manakala kedengaran suara ibunya yang ketawa.
“Tolong laporkan kepada pihak polis Yogyakarta seorang ibu sakit jiwa mahu membunuh anaknya,”tulis Erlangga.
Dia kemudian membetulkan lokasi rakaman video itu dibuat iaitu di Bekasi, bukan di Yogyakarta.
“Maaf lokasi ibu kejam ini di Bekasi bukan di Yogyakarta, tolong bantu buat laporan,’’ tambahnya.
Rakaman video itu diviralkan secara meluas dan telah disedari oleh ibu berkenaan.
Wanita itu, Clara mendakwa dia telah difitnah oleh Erlangga.
Dia mengaku rakaman itu dibuat semasa dia sedang bergurau dengan anaknya sambil bermain ‘hantu-hantu’.
“Demi Allah dan Rasulullah, saya dan anak kedua bermain-main dan saya menutup mukanya dengan bantal,’’ katanya.
Menurut wanita itu lagi, dia hanya meletakkan kakinya di atas bantal tanpa menekannya, selain turut memegang bangku yang diletak di tepinya.
Sejak diviralkan, video itu telah ditonton sebanyak 3,240,589 kali dan dikongsi sehingga 156,739 kali. – MERDEKA.COM