Search This Blog

Loading...

Saturday, October 1, 2016

Tiga penguat kuasa JPJ didakwa





Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Kangar: Tiga penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah pada tahun lalu.

Tertuduh pertama, Sahrill Saadan, 36, didakwa menerima suapan berjumlah RM200 daripada Azahar Ahmad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana memandu lori melebihi muatan barang yang dibenarkan.

Sahrill dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran Jalan Kaki Bukit menuju ke Jalan Wang Kelian di Padang Besar pada 14 Oktober tahun lalu jam 5.52 petang.

Tertuduh kedua, Yusri Yusof, 48 pula didakwa menerima suapan sebanyak RM100 daripada pemandu lori yang sama sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya keranan memandu lori melebihi muatan barang yang dibenarkan.

Yusri didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kurong Batang menghala ke Jalan Sungai Batu Pahat pada 13 Oktober tahun lalu jam 2.07 petang.

Kedua-dua tertuduh didakwa dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Dalam mahkamah yang sama juga, seorang pembantu penguatkuasa JPJ Perlis turut dituduh atas pertuduhan meminta suapan dari pemandu lori yang sama dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya keranan memandu lori melebihi muatan barang yang dibenarkan.

Ahmad Azman Mohamad, 43 dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di Lebuhraya Kuala Perlis-Changloon pada 28 Oktober tahun lalu jam 11.35 pagi.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 21(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A. Hafiizh Abu Bakar manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Azman kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Beliau turut menetapkan 2 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memberi peluang untuk penyerahan dokumen dan perlantikan peguam oleh tertuduh.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 3:29 PM

No comments:

Post a Comment