FOTO yang memaparkan seorang wanita dikatakan pembantu rumah duduk di sebuah meja berasingan di samping keluarga majikannya di sebuah restoran menjadi perbualan hangat di Facebook, minggu ini.
Lebih menyedihkan apabila tiada sebarang makanan di atas meja pembantu rumah itu sementara keluarga majikannya sedang menikmati makanan.
Foto berkenaan dimuatnaik seseorang pada 23 September lepas dan dipercayai dirakam di Jakarta, Indonesia.
"Pembantumu sebahagian dari hidupmu, cerminan kemanusiaanmu. Bayangkan anda ada di posisinya, hp tidak pegang, diajak makan tidak.. Mata hanya mutar meliat sekeliling," tulis dia yang dipercayai warga tempatan di Facebook.
Berpuluh-puluh ribu pelayar terutamanya pelayar dari Indonesia melahirkan rasa simpati terhadap keadaan pembantu rumah tersebut.
Sebahagian dari pelayar pula mengecam tindakan majikan berkenaan yang didakwa tidak bertimbang rasa.