Search This Blog

Loading...

Friday, October 7, 2016

Taufan Matthew ragut 39 nyawa


AFP - SEORANG lelaki mendukung seorang wanita semasa menyeberang sungai selepas sebuah jambatan runtuh akibat Taufan Matthew di Petit Goave, Haiti kelmarin.


NASSAU, Bahamas – Taufan Matthew yang disifatkan ribut paling ganas di rantau Caribbean sejak hampir satu dekad lalu membadai Kepulauan Bahamas awal semalam dan menjadi semakin kuat ketika menuju ke pantai di tenggara Amerika Syarikat (AS).
Jalan raya di Florida, Georgia, Noth Carolina dan South Carolina di AS sesak dengan kenderaan selepas berjuta-juta orang menyahut amaran pihak berkuasa supaya berpindah ke tempat lebih selamat menjelang ketibaan Taufan Matthew.
Taufan itu diramal membawa pusuan ribut, hujan lebat dan angin kuat. Ribut itu membawa angin selaju 205 kilometer sejam (km/j).
Ribut itu telah meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa dan memaksa beribu-ribu orang berpindah di Haiti. Amaran Tau­fan Matthew ditingkatkan kepada ribut kategori empat berbanding tiga sebelum ini.
Taufan Matthew diramalkan melanda daratan di AS lewatmalam semalam, kata Pusat Taufan Kebangsaan AS.
Menurut laman cuaca Weather Channel, agensi itu meluaskan amarannya sehingga jauh ke utara melibatkan negeri Georgia.
Setakat semalam, lebih 12 juta penduduk AS berada dalam jangkauan Taufan Matthew.
“Semua orang di negeri kita mesti bersedia untuk menghadapi ribut ini.
“Jika Matthew membadai Florida, kemusnahan besar mungkin berlaku dan kamu semua perlu bersedia,” kata Gabenor Florida, Rick Scott dalam satu sidang akhbar di Tallahassee kelmarin.
Empat negeri di laluan taufan itu mengisytiharkan perintah darurat pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam bagi membolehkan gabenor masing-masing mengerahkan unit separa tentera, Pengawal Kebangsaan.
Pusat perlindungan di Florida, Georgia dan South Carolina juga dibuka selepas pihak berkuasa dan Presiden AS, Barack Obama menggesa orang ramai meninggalkan rumah mereka.
Scott turut meminta Obama mengisytiharkan perintah darurat sebelum ribut itu sampai ke Florida.
Ia bertujuan untuk membolehkan bekalan termasuk makanan dan air dibawa masuk selain menggandakan bilangan anggota Pegawai Kebangsaan kepada 3,000 orang. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4MLssudSw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment