Sumber memberitahu, jumlah keseluruhan wang dijumpai dalam tujuh peti besi yang dibuka empat semalam dan tiga lagi hari ini berjumlah RM3.3 juta.
“Daripada jumlah itu, kira-kira RM2.5 juta ditemukan selepas pegawai penyiasat membuka peti besi semalam sementara RM870,000 lagi daripada peti besi yang dibuka di dua buah bank hari ini.
“Jumlah besar wang tunai yang dirampas setakat ini adalah RM52.87 juta.
“Selain itu, ada juga peti besi sarat dengan barang kemas. Nilai bagi barang kemas itu belum dapat ditentukan dan SPRM akan memanggil pengusaha kedai pajak gadai esok untuk membuat penilaian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, SPRM berjaya membongkar satu aktiviti rasuah luar biasa dengan merampas wang berjumlah RM112 juta susulan penahanan dua penjawat awam kanan agensi kerajaan kerana dipercayai terlibat dalam kes penyelewengan dan menyalah guna dana kerajaan Persekutuan untuk projek infrastruktur bekalan air di negeri ini.
Turut ditahan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dipercayai adik kepada salah seorang pegawai kanan terbabit serta seorang akauntan.
Sementara itu, sumber memberitahu, pengarah sebuah agensi kerajaan negeri yang ditahan ekoran penemuan wang tunai luar biasa itu disyaki menggunakan lebih 17 syarikat yang dimiliki adik-beradik dan proksi.
Timbalannya pula mengaut keuntungan dengan menggunakan 21 buah syarikat milik adik-beradiknya.
Tambah sumber, penemuan wang tunai luar biasa itu bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik tempatan di negara ini.
“SPRM sedang meneliti dokumen-dokumen berkaitan perolehan agensi kerajaan itu selain mengkaji pemilikan harta-harta suspek secara meluas. Malah, satu perintah pengisytiharan harta dikemukakan kepada suspek di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
“Berhubung akaun suspek di luar negara, SPRM telah mengenal pasti akaun-akaun tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Jelas sumber itu, seramai enam saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan yang masing-masing merupakan kakitangan agensi kerajaan serta syarikat tersebut.
Katanya, SPRM juga telah mengenal pasti lebih 40 saksi dan terbaharu akan memanggil 10 daripada mereka dipercayai terlibat secara langsung dalam kes penyelewengan sejak enam tahun lalu.
Katanya lagi, setakat ini tiada tangkapan terbaharu dibuat berhubung kes tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.