Search This Blog

Loading...

Sunday, October 2, 2016

Seorang maut, dua cedera




KEADAAN kereta jenis Perodua MyVi mangsa yang remuk teruk akibat kemalangan.FOTO ihsan Bomba KLIA



Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Sepang: Seorang lelaki maut manakala, dua mangsa lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori 1.5 tan dan dua buah kereta di Jalan Pekeliling, berdekatan depot minyak menghala ke Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.22 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Syafiq Syzwan Ramli, 32, berasal dari Seksyen 19, Shah Alam, Selangor.

Jurucakap polis berkata, mangsa maut serta merta di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu di dalam kereta jenis Peroduua MyVi yang dipandu.

"Kami masih menyiasat punca kejadian," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Yahya Mohd Sham ketika dihubungi berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan anggotanya terpaksa memotong bahagian depan kereta sebelum mangsa dapat dikeluarkan.

"Kami difahamkan, dua mangsa lain yang menaiki kereta Perodua Axia hanya mengalami cedera ringan dan sudah dibawa menaiki ambulan Mahamas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Manakala, pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 7:51 PM

No comments:

Post a Comment