Search This Blog

Loading...

Sunday, October 2, 2016

Rasuah: Inspektor Polis Dipenjara Dua Tahun, Denda RM20,000


Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2016 6:46 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis wanita yang sarat mengandung menangis teresak-esak selepas dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi akibat bersetuju menerima rasuah RM4,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran terhadap pembebasan Inspektor Suriati Mohd Shafie, 35, yang hamil sembilan bulan, daripada pertuduhan itu.

Selepas mendengar keputusan itu Suriati menangis teresak-esak dan dia kemudiannya ditenangkan oleh rakan-rakan wanitanya.

Ab Karim berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Nasir Nordin, telah terkhilaf semasa membuat keputusan di akhir kes pembelaan yang melepas dan membebaskan Suriati pada 23 Jan 2015. 

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula hari ini. 

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata rasuah adalah kesalahan serius terutama bagi mereka yang menjaga keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang kerana melibatkan amanah dan integriti bukan sahaja kepada seseorang bahkan kepada jabatan dan masyarakat.  

"Sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor yang menjalankan penyiasatan,kamu seharusnya memegang amanah untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti, malangnya, kamu tidak berbuat demikian.

"Kesalahan rasuah jika tidak dibendung akan menular seperti kanser dan akan melumpuhkan pentadbiran negara," katanya.

Terdahulu, peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili Suriati selaku responden, merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya sedang mengandung sembilan bulan selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

Suriati yang berkhidmat 10 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa bersetuju menerima rasuah RM4,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, warga Cameroon yangdisyaki terlibat kes samun. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), antara 8.30 malam dan 9.30 malam pada 22 Jan 2013.

Pegawai polis itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebihtinggi.

Sementara itu mahkamah turut memerintahkan Suriati membela diri terhadapsatu lagi pertuduhan meminta suapan RM6,000 daripada Nurullizean sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya itu pada 1 tengah hari, di tempat dan hari sama, mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi pegawai polis ASP S. Ravintharan, 53, yang turut didakwa bersama-sama Suriati bagi pertuduhan bersetuju menerima rasuah di tempat dan tarikh sama, antara 8.30 malam dan 9.30 malam juga diarah membela diri. 

Ravintharan selaku responden yang diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincentsebelum ini turut dilepaskan dan dibebaskan. 

Mahkamah menetapkan 6 Okt untuk Suriati dan Ravintharan membela diri.  -Bernama

No comments:

Post a Comment