Menurut sumber, kira-kira 14.5 kilogram barang kemas yang bernilai RM2.74 juta adalah milik pengarah agensi tersebut.
Ujarnya, timbalannya pula memiliki 4.8 kilogram barang kemas yang bernilai kira-kira RM900,000.
“Barang kemas yang dirampas terdiri daripada cincin, rantai, subang dan gelang selain berlian serta batu permata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, SPRM berjaya membongkar satu aktiviti rasuah luar biasa dengan merampas wang tunai berjumlah RM112 juta susulan penahanan dua penjawat awam kanan agensi kerajaan kerana terlibat dalam kes penyelewengan dan menyalah guna dana kerajaan Persekutuan untuk projek infrastruktur bekalan air di ne­geri ini.
Turut ditahan bersama dua pegawai kanan itu ialah seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk serta seorang akauntan.
Tambah sumber lagi, penilaian kesemua barang kemas itu dilakukan oleh pakar penilai barang kemas dari Bank Rakyat dan mengambil masa kira-kira dua jam.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, 127 geran tanah yang dirampas SPRM sebelum ini ditemukan di rumah timbalan pengarah agensi kerajaan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, SPRM masih belum menilai tanah-tanah itu dan penama dalam geran tanah tersebut.
“SPRM juga telah memanggil 11 orang terdiri daripada pegawai agensi kerajaan yang terlibat serta kontraktor bagi membantu siasatan. Ahli keluarga kedua-dua suspek masih belum dipanggil ke­rana pihak SPRM masih meneliti dokumen-dokumen kes sebelum memanggil mereka,” katanya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai nilai kesemua emas tersebut.