Search This Blog

Loading...

Sunday, October 30, 2016

Polis Tahan Tiga Lelaki Samun Kedai Di Persiaran Karpal Singh


Diterbitkan: Sabtu, 29 Oktober 2016 1:46 PM


GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kedai di Persiaran Karpal Singh, di sini yang membabitkan kerugian lebih RM25,000 pada Khamis lepas.

Ketua Polis Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata tiga lelaki berusia 20-an itu ditahan secara berasingan di sekitar George Town Jumaat.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis berjaya mengesan seorang daripada mereka di George Town sebelum menahan lelaki itu dan dua lagi rakannya di lokasi berasingan.

"Siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kes berkenaan dan mereka direman lima hari bagi membantu siasatan," katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata ekoran penahanan tiga lelaki itu polis merampas pelbagai barangan yang digunakan sewaktu menyamun dan pihaknya sedang mengesan wang tunai serta barangan yang disamun kumpulan tersebut dari kedai berkenaan.

Dalam kejadian Khamis lepas, peniaga kedai berkenaan membuat laporan polis selepas mendapati premis perniagaannya telah dipecah masuk dan menyebabkan kehilangan wang tunai sebanyak RM9,000 bersama beberapa barangan yang dianggar membabitkan kerugian lebih RM25,000.

Sementara itu, di Bukit Mertajam polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun dipercayai aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah secara kecil-kecilan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), di Jalan Kulim di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan dua lelaki menaiki sebuah motosikal di jalan itu kira-kira pukul 9 malam, tetapi mereka enggan berhenti dan terus memecut sebelum terbabas dan berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas mereka, polis menemui dadah disyaki heroin seberat 0.30 gram dan satu pisau lipat kira-kira 14.5 sentimeter panjang.
Siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan mereka dilaporkan dicuri sebelum ini," katanya.

Beliau berkata dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah itu turut positif dadah dan mereka kini direman enam hari bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment