Penghuni di pusat jagaan warga emas di Klebang dibawa menaiki bas untuk dipindahkan ke Rumah Seri Kenangan Cheng di Melaka, semalam. UTUSAN/NURSURAYA ZULKIFLI
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi di pusat jagaan berkenaan dan ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, lelaki itu ditahan setelah polis menerima laporan yang mendakwa dia memukul kepala seorang wani­ta warga emas yang berada di bawah jagaannya.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron semalam mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan menyiasat secara terperinci rakaman video tersebut membabitkan kakitangan sebuah rumah jagaan orang tua di Melaka Tengah yang mengasari penghuninya.
Video berdurasi 10 saat dan menjadi viral dalam laman sosial itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai kakitangan rumah jagaan itu melakukan kekasaran dengan memukul dan menampar kepala seorang penghuni wanita warga emas.
Berikutan insiden itu, kerajaan negeri telah mengarahkan rumah penjagaan orang tua itu ditutup dan sebanyak 12 warga emas yang sebelum ini ditempatkan di pusat penjagaan berkenaan dipindahkan ke Rumah Seri Kenangan Cheng mulai hari ini.
Bagaimanapun, lima penghuni lain yang tidak boleh menguruskan diri mereka dan terlantar dirujuk kepada Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, kesemua penghuni 16 lelaki dan seorang wanita di pusat jagaan itu dipindahkan menggunakan sebuah bas serta ambulans.
“JKM negeri sedang mengesan waris mereka untuk menyerahkan semula penjagaan, namun sekiranya tiada waris atau waris tidak mampu untuk menjaga mereka, penghuni terbabit akan dimohon untuk ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Cheng.
“Penghuni wanita yang merupakan individu dalam rakaman video tersebut telah diambil warisnya pada pukul 9 pagi hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di pusat penjagaan itu.
Difahamkan, siasatan pihak berkuasa turut mendapati pre­mis tersebut tidak berdaftar mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 di bawah JKM negeri.