Search This Blog

Loading...

Thursday, October 6, 2016

Perompak tersungkur





Mohamad Roy menunjukkan 87 botol perisa vape yang ditemui dalam beg di PPR Ayer Panas, Setapak.


Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pertama kali berlaku apabila tiga penjenayah merompak dan melarikan 426 botol cecair perisa vape dari sebuah premis di Taman Sri Rampai di sini, April lalu.

Bagaimanapun penjenayah terbabit akhirnya dijejaki dan diberkas polis jam 10.30 malam Isnin lalu, hasil serbuan di sebuah unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Panas, Setapak, di sini.

Pemeriksaan lanjut polis di dalam rumah itu menemui sebuah beg galas disembunyikan di bawah katil mengandungi 87 botol perisa vape.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata, semua lelaki berusia 23 dan 26 tahun itu dikesan memecah masuk sebuah kedai menjual peralatan menghisap rokok elektronik pada jam 5.50 pagi, 23 April lalu.

Menurutnya, terdapat seorang pekerja lelaki warga Myanmar tidur di dalam premis ketika kejadian.

“Seorang suspek memukul pekerja itu sebelum merampas telefon pintarnya manakala seorang lagi suspek merampas peralatan dan ratusan botol perisa vape.

“Pekerja lelaki itu melihat dua suspek melarikan diri menggunakan dua motosikal model Yamaha LC135 berwarna putih dan Yamaha 125Z berwarna merah bersama dua lagi suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, semalam.

Katanya, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah dan memiliki senjata.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 8 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 6:09 AM

No comments:

Post a Comment