Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Aidil atau nama sebenarnya Mohd. Aidil Abdul Aziz, 29; pekerja sendiri, Omar Sayeed Ghulam Mohammad, 36, dan jurutera teknologi maklumat, R. Guevara Cortez, 33.
Mereka hanya mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengedar dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 465.61 gram di No. 1, Jalan Ampang Ulu di sini, pada pukul 12.40 tengah hari, 24 September lalu.
Pertuduhan terhadap pelakon utama drama bersiri, Saiful Nita dan dua rakannya itu dikemukakan mengikut Sesyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aftal Mariz Mohamed manakala peguam, Muhammad Nor Izzat Nordin mewakili Aidil dan G. Jaya Prem pula mewakili Omar, sementara Guevara tidak diwa­kili peguam.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes untuk laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelakon lelaki dan dua rakannya ditahan di sebuah kediaman di Jalan Ampang, di sini kerana disyaki memiliki dadah dan senjata berbahaya.
Dalam serbuan tersebut, polis telah merampas sejumlah pokok yang ditanam di dalam pasu dan dedaun kering dalam bekas kaca serta satu bekas pengisar mengan­dungi dedaun kering disyaki ganja.
Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah benih pokok ganja, 21 bilah pisau, tujuh bilah pedang samurai, empat pucuk pistol angin, tiga buku lima, dua laras senapang angin, sebilah kapak dan sehelai vest Polis Diraja Malaysia (PDRM).