Search This Blog

Loading...

Thursday, October 6, 2016

Pelajar temukan bayi menggigil kesejukan


06 Oktober 2016 1:02 AM

SIBU 5 Okt. – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan dalam keadaan kesejukan di tepi jalan berhampiran tong sampah di Jalan Lai Chee, di sini hari ini.

BAYI lelaki yang ditemui di Jalan Lai Chee, Sibu, semalam.
Bayi seberat 2.34 kilogram dan cukup sifat itu dijumpai oleh sekumpulan pelajar dalam perjalanan pergi ke sekolah kira-kira pukul 6 pagi sebelum mereka memaklumkan perkara tersebut kepada penghuni kediaman berhampiran lokasi kejadian.
Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Catherine, 27, memberitahu, dia bergegas ke kawasan tong sampah di depan rumahnya, sebaik sahaja dimaklumkan oleh pelajar terbabit tentang penemuan bayi tersebut.
“Tiba di situ, memang benar ada bayi masih hidup dibuang berhampiran tong sampah. Bayi tanpa seurat benang dan masih bertali pusat itu dalam keadaan menggigil akibat kesejukan.
“Saya terus membawa bayi itu masuk ke dalam rumah dan membalutnya dengan kain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Catherine, dia kemudian memandikan bayi itu dengan air suam dan menyusukannya sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut.
Katanya, bayi terbabit berhenti menangis sebaik sahaja diberi susu.
Tambahnya, sebagai ibu kepada tiga anak, dia tidak berasa kekok menjaga bayi tersebut dan me­ngakui tersentuh hati melihat nasib malang menimpa bayi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan penemuan bayi tersebut.
“Bayi itu dihantar dengan ambulans ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut. Setakat ini, dia dilaporkan berada dalam keadaan baik.
“Kejadian ini merupakan kes buang bayi pertama dilaporkan di Sibu pada tahun ini dan polis menyiasatnya di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya sambil memberitahu usaha mengesan individu bertanggungjawab melakukan jenayah itu sedang giat dijalankan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pelajar-temukan-bayi-menggigil-kesejukan-1.391188#sthash.58jZDkPq.dpuf

No comments:

Post a Comment