KOTA BHARU - Seorang pegawai Kastam wanita maut selepas kenderaan rasmi dinaiki dilanggar pacuan empat roda dipercayai tonto.
Anisah Ali,54, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, pada jam 11 malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kemalangan berlaku di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, pada jam 1.25 pagi, Jumaat lalu.
Katanya, ketika itu, mangsa bersama dua lagi anggota lelaki menaiki kereta dan mengejar kenderaan pacuan empat roda dipercayai penyeludup.
"Kereta mangsa bagaimanapun dirempuh dari belakang oleh satu lagi kenderaan pacuan empat roda lain dipercayai tonto.
"Tonto berkenaan terus menghimpit kereta mangsa hingga terbabas dan terlanggar pokok," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, tadi.
Ab Rahman berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.